Sejak kecil lagi, bila diceritakan sirah Rasulullah, kita selalu dihidangkan dengan pelbagai cerita yang cukup menarik dan boleh dijadikan pengajaran. Kisah seperti Rasulullah menziarahi seorang kafir yang sakit, yang sering mencampakkan najis kepada Baginda, yang akhirnya orang kafir tersebut mendapat hidayah Islam. Juga kisah apabila Rasulullah melarang para sahabat daripada menyerang seorang Arab Badwi yang kencing di dalam masjid. Apabila kita dihidangkan kisah ini, sebenarnya, ini menggambarkan akhlak baginda yang cukup terpuji. Pasti ada ibrah di atas setiap tindakan Rasulullah itu apabila kita berbicara dari sudut dakwah.
Dalam Islam, kita tidak akan terlepas membicara soal hukum, dan terlalu banyak jika kita membicarakan. Tetapi bagi seorang dai'e atau pendakwah, bukannya kita bertindak atas dasar hukum semata-mata tetapi juga atas dasar dakwah. Maka, jika bertindak atas dasar dakwah, kita akan melihat dari segi banyak aspek contoh kondisi seseorang, kefahaman seseorang dan juga untuk menarik minat seseorang kepada Islam. Berbalik kepada kisah Nabi, "kencing di dalam masjid, pastinya adalah perbuatan yang dilarang ataupun haram", tetapi Nabi tidak bertindak menghukum kerana melihat dari sudut kefahaman Arab Badwi tersebut dan peluang untuk Baginda berdakwah. Itulah contoh yang ditunjukkan oleh seorang Nabi yang maksum.
Kadang-kadang diri ini rasa pelik, dengan orang yang cepat menghukum di atas sedikit pengetahuan yang ada padanya. Lantas dengan mudah menghukum orang dengan mengatakan bid'ah, tidak sunnah dan sebagainya. Bukannya hendak berdiskusi atau menegur dengan cara yang baik tetapi akhlak yang cukup rendah. Lebih malang lagi jika ianya dibalas pula dengan gelaran seperti Wahabi, sesat dan sebagainya. Adakah ini akhlak seorang muslim? Adakah ini cara dakwah para rasul? Adakah tindakan ini berdasarkan hawa nafsu, seolah hanya diri mereka saja yang baik dan diri mereka saja yang layak masuk syurga? Adakah menghukum dan menggelarkan seseorang itu dengan sebegitu rupa merupakan sunnah?
Hasan al Banna, ketika zaman remaja, pernah menubuhkan sebuah kelab iaitu Asosiasi Anti Haram (Kelab Anti Haram / Kelab Anti Bid'ah) bersama sahabat-sahabat beliau. Cara mereka bertindak adalah mengedarkan teguran secara bertulis kepada si pesalah tanpa si pesalah tersebut mengetahui siapa yang menegurnya. Di antara yang ditegur adalah ustaz kepada Hasan al Banna itu sendiri. Cara yang unik untuk menegur kesalahan seseorang dengan tujuan berdakwah dan memperbaiki amalan. Itulah dakwah!
Apa gunanya seseorang pendakwah itu berilmu tetapi sibuk hendak berdebat untuk membuktikan siapa yang lebih betul, lebih hebat dan lebih sunnah. Bukankah dakwah itu menyeru orang kepada Allah. Dalam menyeru kepada Allah, terdapat proses menegur, memperbaiki, berdiskusi dengan cara yang baik dan harmoni, rendah diri, tawadhuk, berlapang dada dan cuba untuk menghormati pendapat orang lain. Bukannya menggalakkan permusuhan dan menjadi seseorang itu takbur di atas ilmunya. Itulah pentingnya akhlak dalam berukhwah dan berdakwah seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah.
Perbezaan pendapat dalam sesuatu perkara haruslah diselesaikan dengan perbincangan yang baik, harmoni dan bertoleransi, bukannya dengan paksaan dan kekerasan mahupun memberi gelaran yang tidak sepatutnya. Wallahua'lam.
Perbezaan pendapat dalam sesuatu perkara haruslah diselesaikan dengan perbincangan yang baik, harmoni dan bertoleransi, bukannya dengan paksaan dan kekerasan mahupun memberi gelaran yang tidak sepatutnya. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment