Monday, August 29, 2011

'Eid Mubarak

Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
La Ilaha Illallahu Wallahu Akbar
Allahu Akbar Walillah Ilham

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya 'Eidul Fitri kepada semua pengunjung blog http://imam-abuhanifah.blogspot.com/. Taqabbalallaahu Minna wa Minkum.


Ikhlas daripada:
Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Norashidah bt Samsudin
Amirul Mukminin Hanifah bin Abu Hanifah

Monday, August 22, 2011

Ramadhan: Pesta Ibadah atau Pesta Makanan?

Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang dinyatakan kelebihan dalam Al-Quran. Kita juga sedia maklum tentang kelebihan bulan Ramadhan. Bulan yang mengandungi Lailatul Qadar yang mempunyai kelebihan 1000 bulan iaitu bonus yang dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hamba yang disayanginya.

Firman Allah: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar." (Al-Qadr, 97: 1 - 5)

Bulan Ramadhan adalah proses untuk mencetuskan momentum ibadah dan dakwah supaya ia tetap kekal unggul dalam tempoh 11 bulan akan datang. Justeru itu, wujudnya ibadah yang cukup unik yang pada bulan Ramadhan seperti puasa fardhu, solat sunat tarawikh, zakat fitrah, tadarus Al-Quran dan iktikaf pada 10 malam terakhir. Ketika di bulan Ramadhanlah, selalunya berbondong umat Islam ke masjid dan surau untuk menunaikan solat fardhu dan solat sunat tarawikh secara berjemaah yang ternyata berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Di bulan Ramadhan juga lah, ramai yang khatam Al-Quran dalam 1 bulan meskipun pada bulan-bulan yang lain hanya membaca beberapa ayat sahaja dalam sehari. Perubahan ini bukanlah 'magic' pada seseorang itu tapi itulah rahmat yang dikurniakan Allah.

Namun, ada perkara yang tidak sepatutnya berlaku tapi ianya berlaku pada bulan Ramadhan. Ketika di bulan tarbiyyah ini, sepatutnya mendidik jiwa dan nafsu diri kita namun sebaliknya berlaku. Banyak promosi untuk berbuka puasa di tempat yang eksklusif seperti di hotel-hotel dan restoran mewah yang sebenarnya dilihat lebih cenderung ke arah pembaziran. Ada sesetengah tempat yang menawarkan harga sehingga RM 70 / seorang. Yang paling murah pun sekitar RM 40 / seorang. Secara logiknya, mampukah perut kita menampung makanan yang sesuai dengan harga tersebut? Kalau ditawarkan harga sekitar RM 10 - RM 15 / seorang, bagi saya mungkin logik dengan kemampuan seseorang. Bagi sesetengah orang melihat itu adalah normal ataupun "takpe, bukan selalu pun..." Bukankah bulan tarbiyyah ini mendidik jiwa menjadi lebih sensitif dengan keadaan sekeliling dan tidak mengamalkan pembaziran? Silap-silap, makan hingga tidak solat Maghrib dan seterusnya tidak larat untuk menunaikan solat Isyak dan solat sunat tarawikh!!

Barangkali, matlamat kita apabila memasuki madarasah Ramadhan adalah untuk menjadikannya sebagai Pesta Ibadah atau pulun secukup-cukupnya ibadah di bulan ini. Namun, ada pula golongan yang berhasrat menjadikan atau menukarkan matlamat kepada Pesta Makanan atau pulun secukup-cukupnya makanan yang terhidang di depan mata. Sama ada, memang betul-betul nak makan atau saja suka-suka atau untuk berbangga-bangga makan di tempat yang eksklusif. Wallahua'lam.

Tuesday, August 16, 2011

Korek Hidung Tak Batal Puasalah...

Teringat masa belajar dulu-dulu masa kat sekolah rendah dulu. Kami diajar, salah satu perkara yg membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan. Antara contoh yg diberikan adalah korek hidung dan korek telinga.

Masa time kecik-kecik tu, punyalah tahan... kalau telinga gatal ke hidung nak bersin ke... memang tak berani lah kitorang nak memandai korek hidung or telinga tu. Nak jaga puasa la katakan...

Tapi, sekarang dah besar... dah paham la sikit-sikit bab agama ni... yang mana sumber utama dalam agama tu ada dua iaitu al-Qur’an dan as-Sunnah (al-hadith). Dan kini pun dah tau... rupa-rupanya, korek hidung dan korek telinga tu tak langsung pun membatalkan puasa kita.....

Kenapa? Sudah terang lagi bersuluh... ada dalam satu hadith tu sendiri menerangkan bahawa kita boleh memasukkan air ke dalam hidung ketika wudhu’ (bahkan memasukkan air ke dalam hidung/telinga (cuping) tu adalah salah satu tuntutan dalam berwudhu’) walaupun time tgh puasa.

Inilah hadithnya...

"...berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung (memasukkan secara sepenuhnya) kecuali ketika berpuasa." (Hadis Riwayat Abud Daud, no. 2366, at-Tirmidzi, no. 788, an-Nasa’e, no. 87)

Ini membawa maksud bahawa memasukkan air ke dalam hidung ketika berpuasa adalah dibolehkan - hanya cuma, janganlah berlebih-lebihan iaitu cukup sekadar membersihkan kotoran.


Perkara-Perkara Lain Yang Membatalkan Puasa:
1) Makan dan minum dengan sengaja/dalam keadaan sedar
2) Muntah dengan sengaja.
3) Haid dan nifas
4) Jima’
5) Suntikan yang berbentuk makanan
6) Mengeluarkan air mani dengan sengaja


Perkara-Perkara Yang Dibolehkan Meneruskan Puasa:

1) Masih Dalam Keadaan Junub Ketika Waktu Subuh

Dari ‘Aisyah & Ummu Salamah:
"Sesungguhnya Nabi memasuki waktu subuh dalam berjunub kerana jima’ dengan isterinya, kemudian Baginda mandi dan berpuasa." (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1825, Muslim, no. 1109)

2) Bersiwak / Menggosok Gigi

Nabi s.a.w. bersabda:
“Sekiranya tidak memberatkan ummatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak setiap kali ingin bersolat.” (Hadis Riwayat Bukhari, 887) Manakala ada dari riwayat yang lain mengatakan, “... Setiap kali hendak berwudhu’” (Hadis Riwayat Bukhari, 2/682)

Hadis ini bersifat umum. Termasuklah ketika berpuasa. Oleh itu, diperbolehkan bersiwak/memberus gigi bagi sesiapa yang ingin solat atau berwudhu’ samaada berpuasa atau tidak. Pendapat inilah yang dipilih oleh imam Bukhari di dalam sahihnya (2/682, dan Fathul Bari, 4/158) serta Ibnu Khuzaimah di dalam Shahihnya (3/247), al-Baghawi di dalam Syarh Sunnah (3/298), dan jumhur ahli ilmu yang lain.

3) Berkumur-Kumur & Memasukkan Air ke Dalam Hidung

"...berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung (memasukkan secara sepenuhnya) kecuali ketika berpuasa." (Hadis Riwayat Abud Daud, no. 2366, at-Tirmidzi, no. 788, an-Nasa’e, no. 87)

Ini membawa maksud bahawa memasukkan air ke dalam hidung ketika berpuasa adalah dibolehkan - hanya cuma, janganlah berlebih-lebihan iaitu cukup sekadar membersihkan kotora

4) Bermesra dan Mencium Isteri.

Dari ‘Aisyah:
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah mencium isterinya dalam keadaan berpuasa, dan bermesra dengan isterinya dalam keadaan berpuasa, akan tetapi Baginda adalah orang yang paling mampu menahan diri.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1927, Muslim, no. 1106)

Ada yang berpendapat, perbuatan ini dimakruhkan bagi pemuda berdasarkan hadis ini:

Dari Abdullah bin ‘Amr:
“Kami pernah berada di sisi Nabi s.a.w., datanglah seorang pemuda, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Bolehkah aku mencium dalam keadaan berpuasa? Nabi menjawab: Tidak. Kemudian, datanglah seorang tua, lalu berkata: Bolehkah aku mencium dalam keadaan aku berpuasa? Nabi menjawab: Ya. Berkata (Abdullah): Kami melihat sesama sendiri (kehairanan), Maka Nabi bersabda: Sesungguhnya orang tua itu lebih mampu menahan dirinya.” (Lihat silsilah as-shahihah: 1606)

5) Mengeluarkan Darah atau Suntikan Yang Bukan Berupa Makanan.

Hal ini tidak termasuk dalam perkara yang tidak membatalkan puasa. Perkara ini telah disepakati oleh jumhur ulama al-mu’ashirin, seperti yang telah ditetapkan Majma’ Fiqhul Islami. (Rujuk: Majallah Majma’, 2/464)

6) Berbekam

Daripada Ibnu Abbas:
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah berbekam dalam keadaan berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1939)

7) Merasa Makanan / Masakan (dengan syarat tidak melepasi kerongkong).

Dari Ibnu Abbas:
“Tidak mengapa merasa cuka, atau apa-apa makanan selagimana tidak sampai ke krongkongan dalam keadaan berpuasa." (Hadis Riwayat Bukhari dengan tanpa sanad, dan Ibnu Hajar menyambungnya di dalam Fathul Bari, 3/154)

8) Memakai Celak, Menitiskan Air atau Ubat ke Dalam / Bahagian Mata

i) Imam Bukhari mengatakan: “Anas bin Malik, Hasan al-Basri, dan Ibrahim an-Nakha’i memandang tidak mengapa bercelak bagi orang yang berpuasa” (Fathul Bari, 4/153)

ii) Perkara ini telah disepakati oleh jumhur ulama al-mu’ashirin (Seperti Syeikh Abdul Aziz bin Bazz, al-Uthaimeen, Dr. Wahbah Zuhaily, dan lain-lain...), bahawa menitiskan air atau ubat ke dalam mata tidak membatalkan puasa (Rujuk: Majallah Majma’, 2/378, 381, 385, 392) Juga ada perbahasannya di website berikut: http://www.saaid.net/

9) Mencurahkan Air ke Atas Kepala / Mandi.

Dari Abu Bakr, katanya, telah berkata orang yang meriwayatkan kepada aku:
"Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. mencucurkan ke atas kepalanya air dalam keadaan Baginda bepuasa, kerana dahaga atau kepanasan." (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2365, Disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Sunan Abu Daud)

Manakala di dalam Shahih beliau mendatangkan satu tajuk “Bab Mandinya Orang Yang Bepuasa”, dan beliau mendatangkan hadis Ibnu Umar:

“Ibnu Umar telah membasahi bajunya (kerana kehausan) kemudia beliau memakainya dalam keadaan berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari, lihat Fathul Bari: 3/154)


Perkara-perkara yg mengurangkan pahala puasa:
1 - Berkata-kata akan hal yang sia-sia
2 – Berkata dengan mengatakan sesuatu yang dusta.


Sumber: http://an-nawawi.blogspot.com/2007/09/hai-korek-hidung-pun-takkan-batal-puasa.html

Saturday, August 13, 2011

Isu Murtad

Isu Murtad yang tiba-tiba mendapat liputan meluas di negara kita sekarang ini, sebenarnya merupakan isu yang telah lama. Isu ini menjadi hangat secara tiba-tiba dan muram dengan sekelip mata. Kini, isu ini kembali menarik perhatian. Adakah kita masih ingat dengan isu pemurtadan Aisyah Bukhari dan Hartina Kamarudin yang berlaku pada pertengahan 1990-an? Adakah juga kita masih ingat dengan kenyataan dari Mufti Perak bahawa terdapat lebih 100,000 permohonan untuk keluar dari Islam di Jabatan Pendaftaran Negara? Jadi, apa tindakan? Atau hanya menunggu isu tersebut dimakan waktu?

Kini, kecoh pula tentang kewujudan gerakan kritianisasi untuk memurtadkan orang Islam. Isu 15 tahun dahulu didiamkan, tiba-tiba muncul pula isu baru. Jangan pula didiamkan tanpa sebarang tindakan. Berkaitan isu ini, persoalannya, adakah tuduhan tersebut benar dan mempunyai bukti yang kukuh? Sekiranya benar, lihat diri kita dahulu. Apa yang telah kita lakukan sejak kes murtad yang berlaku lebih kurang 15 tahun dahulu? Di Malaysia, kebanyakan Menteri Kabinet dan Menteri Besar adalah orang Islam. Di setiap negeri ada Jabatan Agama, Jabatan Mufti, Pusat Zakat, Baitulmal dan lain-lain institusi dalam menyebarkan dakwah dan membantu orang Islam. Adakah masih tidak mencukupi? Jika kita mengatakan gerakan untuk memurtadkan orang Islam dibantu dengan kekuatan kewangan yang tinggi, mana perginya wang zakat yang berjuta-juta ringgit yang tujuan utamanya adalah untuk membantu dari segi kewangan golongan yang memerlukan? Apalah gunanya dihebah di dalam media massa tentang kutipan zakat setiap negeri yang berjumlah berjuta-juta ringgit jika pengurusan zakat sendiri tempang?

Dari segi sudut yang lain, usah kita terlalu cepat menyalahkan pihak yang melakukan kerja-kerja dakyah sedangkan diri kita masih lagi statik. Di saat gerakan pemurtadan bergerak dengan rancak, kita hanya mampu berkata-kata dan mengutuk sahaja. Di mana gerak kerja dakwah kita? Di manakah pendakwah-pendakwah kita? Saya teringat tulisan blog Dr Asri mengenai teguran Allahyarhamah Dr Lo' Lo' yang menyelar golongan 'Ustaz Sampul' yang sibuk meminta bayaran apabila diminta menyampaikan ceramah di saat umat di luar tunggang langgang.

Saya cukup takut akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak sekiranya gagal menyelamatkan umat di sekeliling saya dari terus hanyut dan murtad. Apalah gunanya hidup bahagia di samping keluarga tercinta, dapat kerja yang bagus dan berpendapatan lumayan, tetapi umat terus terumbang-ambing. Bukan mudah jadi pendakwah. Berdakwah memang senang tetapi mencintai dakwah terlalu sukar untuk dilaksanakan. Mencintai dakwah menuntut pengorbanan yang luar biasa, kesusahan dan keperitan semata-mata untuk menyelamatkan umat.

Firman Allah: "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, 'Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)?'" (Fussilat, 41: 33)

Firman Allah: "Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum engkau (Muhammad), melainkan Kami wahyukan kepadanya, bahawa tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Aku, maka sembahlah Aku." (Al-Anbiya', 21: 25)

Dalam sebuah perlawanan bola sepak, sekiranya Team A mengamalkan teknik bertahan daripada asakan Team B sepanjang permainan, kebarangkalian Team A menjaringkan gol sangat rendah dan kebarangkalian bolos adalah sangat tinggi. Tetapi jika Team A mengubah teknik permainan dengan memperhebatkan serangan di samping bertahan dengan baik, kebarangkali Team A menjaringkan gol akan meningkat dan kebarangkalian bolos akan berkurangan. Dalam permainan bola sepak, menyerang adalah strategi bertahan yang cukup baik. Begitu juga dengan dakwah. Untuk menghalang  gerakan dakyah terhadap umat Islam ini, kita harus merancakkan dan mempercepatkan dakwah Islam. Insya Allah, kebarangkalian orang mencintai dan mahu kepada Islam akan bertambah dan kebarangkalian orang yang murtad akan berkurangan ataupun tiada.

Wallahua'lam.

Sunday, August 7, 2011

Demokrasi: Siri 3

Sesetengah golongan mengatakan bahawa sistem demokrasi merupakan sistem kuffar dan tidak boleh digunakan oleh golongan Muslim. Tetapi yang hairannya, mereka mengambil elemen-elemen demokrasi seperti berhimpun, menyuarakan pendapat dan mengedarkan risalah dalam menyampaikan pendirian mereka.

Sebahagian golongan yang lain pula, mengatakan bahawa mereka lah juara demokrasi tetapi melaksanakan sikap yang bertentangan dengan demokrasi. Mereka mencantas golongan yang berhimpun secara aman dan mencantas golongan yang mengkritik untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Apakah salahnya berhimpun secara aman? Lebih kurang 10 tahun lepas, ketika Palestin teruk diserang oleh golongan Yahudi laknatullah, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir bersama-sama dengan Ketua Pembangkang, Dato' Hj Fadzil Noor mengadakan pidato umum menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Palestin. Ketika itu, saya melihat kedua-dua pemimpin menolak kepentingan dan perseteruan politik demi memperjuangkan kesengsaraan rakyat Palestin. Mereka menggunakan saluran demokrasi iaitu mengadakan pidato umum, dihimpunkan rakyat jelata sama ada dalam dewan ataupun menonton melalui kaca televisyen untuk meluahkan apa yang terpendam dalam hati nurani mereka dan mengajak rakyat bersama-sama dengan mereka.

Pada tahun lepas, isu Palestin juga menyebabkan masyarakat serata dunia turun ke jalanan membantah serangan dan pencerobohan Israel ke atas Palestin. Rakyat di Malaysia juga tidak ketinggalan untuk berdemonstrasi. Meskipun demonstrasi tersebut tidak mendapat premit atau diistilahkan sebagai perhimpunan haram, masih lagi rakyat yang sayangkan perjuangan Palestin turun dan yang paling uniknya, perhimpunan tersebut tidak diganggu malah dikawal oleh pihak berkuasa sebaik-baiknya.

Berlainan pula dengan isu Perhimpunan Bersih 2.0 bulan lepas. Setelah penganjur mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong untuk berhimpun di stadium, namun, rupa-rupanya ada golongan yang lebih berkuasa dari YDP Agong yang tidak membenarkan perhimpunan tersebut. Siapa yang derhaka sebenarnya ni? Maka, berlangsunglah perhimpunan tersebut dan sedia maklum bahawa elemen-elemen demokrasi telah punah dan kotor akibat kuasa-kuasa yang rakus. Berhimpun dan berarak secara aman namun dibalas dengan semburan pemedih mata dan sepak terajang sehingga ada yang cedera dan mati. Astaghfirullah hal azim...

Salahkah rakyat menuntut Pilihan Raya yang Adil dan Telus?
Salahkah rakyat membuat tuntutan dalam menghidupkan sistem demokrasi?
Bukankah itu satu tuntutan normal dalam sesebuah negara demokrasi?

Saya berbicara sebagai seorang rakyat yang cinta kepada kedamaian dan keharmonian seperti yang dianjurkan oleh Islam. Dalam post saya yang terdahulu iaitu Demokrasi: Siri 2, http://imam-abuhanifah.blogspot.com/2011/07/demokrasi-siri-2.html yang memaparkan kisah-kisah di zaman para Sahabat Nabi apabila berhadapan dengan protes dari rakyat ketika pemerintahan mereka. Mereka tidak menggunakan kekerasan untuk menyuraikan suara rakyat tetapi dengan meneliti permintaan mereka dan bertindak dengan penuh hikmah. Adakah tindakan pihak berkuasa dengan memukul, menyepak dan menerajang orang yang berhimpun merupakan tindakan yang penuh berhikmah? Ataupun mahu menjadi pengikut Abdullah bin Saba' (pengasas Syiah yang sesat lagi menyesatkan) dengan melakukan provokasi agar demonstrasi aman menjadi kacau bilau.


Hidup kita di dunia ini tidak kekal abadi. Semua bernyawa pasti akan mati mahupun yang berkuasa ataupun yang dikuasai. Hidup ini pun ibarat roda. Kadang-kadang kita berada di atas dan kadang-kadang kita berada di bawah. Jika kerja kita hari ini adalah sebagai seorang Pemimpin, laksanakanlah pimpinan itu sebaik-baiknya. Tunaikanlah amanah dan tanggungjawab itu seadil-adilnya agar kita tidak didakwa oleh rakyat di akhirat kelak. Jika kerja kita hari ini adalah sebagai Pihak Berkuasa, laksanakanlah kerja kita dalam mengawal keselamatan rakyat dan negara dengan adil tanpa mengira batasan agama, bangsa dan ideologi politik.

Jika hari ini kita tidak adil kepada orang yang kita kuasai, akan datang, pasti akan ada orang yang tidak berlaku adil dengan kita. Jika hari ini, kita tersenyum lebar menindas, memfitnah, memukul, menyepak dan menerajang orang lain tanpa belas kasihan seolah-olah kita akan berkuasa selama-lamanya, maka tidak mustahil, kita ataupun keluarga kita yang akan diperlakukan sedemikian.



Firman Allah: "Dan mereka membuat tipu daya, maka Allah pun membalas tipu daya. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya." (Ali-Imran, 3: 54) 

Buka kembali lembaran sejarah. Mengapa orang dari dulu hingga sekarang tidak kira orang Islam atau bukan Islam amat menyanjungi pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz? Ini disebabkan keadilan dalam pemerintahannya. Mengapa rakyat amat membenci sehingga menggulingkan pemerintahan Suharto di Indonesia, Hosni Mubarak di Mesir dan Ben Ali di Tunisia? Tidak lain dan tidak bukan, ini disebabkan kezaliman dan penindasan dalam pemerintahannya.

Wallahua'lam.