Tuesday, October 11, 2011

Kebanjiran Pasar Raya, Peniaga Kecil Sengsara

Dalam meniti kemajuan negara, ada kalanya kita dihidangkan dengan pembangunan yang cukup pesat. Maka, muncullah pusat-pusat perniagaan dan pusat-pusat akademik untuk memastikan masyarakat merasai kenikmatan pembangunan ini. Cuma, agak malang sekiranya pembangunan dan kemajuan tersebut tidak seimbang di antara input pusat-pusat perniagaan dan output pusat-pusat akademik.

Rata-rata, di setiap bandar besar di Malaysia ini akan wujud lambakan jenis Pasar Raya termasuklah di tempat saya iaitu di Seremban. Rasanya, masyarakat sudah mengenali Giant, Tesco, Carefour, Econsave, Mydin, The Store, Jaya Jusco dan Family Store. Masakan tidak, kerana kerap dikunjungi dan dihidangkan dengan harga yang cukup hebat seperti harga borong. Kebanjiran Pasar Raya ini menyebabkan peniaga-peniaga kecil sengsara dan merana. Mana mungkin peniaga kecil atau kedai runcit mampu menandingi harga-harga seperti yang ditawarkan oleh Pasar Raya. Mustahil! Usah kata menandingi, menghampiri pun belum pasti. Di Seremban sendiri yang tidaklah sebesar mana pun dipenuhi oleh kesemua Pasar Raya yang disebutkan tadi. Macam mana peniaga kecil nak hidup?

Saya cuma terfikir, mengapa dasar-dasar ekonomi kita tidak menjurus menggalakkan belia dan beliawanis untuk menjadi pengurus perniagaan ataupun menjadi taukeh (bahasa kampung)? Sedangkan di IKM, Politeknik, Giat Mara dan Universiti ditawarkan kursus perniagaan yang sepatutnya menggalakkan dan melahirkan graduan yang berniaga. Bukan hanya kerja makan gaji di Pasar Raya entah sampai bila. Sepatutnya golongan ini dan juga golongan yang berminat untuk berniaga digalakkan dan diberi bantuan untuk berniaga sama ada dari segi kewangan, tempat, tunjuk ajar dan sebagainya. Sampai bila kita nak bergantung harap kepada Pasar Raya import kerana kebanyakannya adalah pelaburan asing. Pelaburan asing memang menguntungkan tetapi jangan sampai menjejaskan ekonomi rakyat kita sendiri. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sendiri pun masih belum mampu menandingi produk-produk luar, inikan pula peniaga kecil sudah pasti kelemasan apabila Pasar Raya membanjiri sesebuah kawasan.

Sekiranya graduan-graduan dari IKM, Politeknik, Giat Mara dan Universiti ditumpukan dalam membangunkan produk IKS dan perniagaan seperti peruncitan, fesyen, restoran, katering, bakeri, servis kenderaan dan telekomunikasi, Insya Allah kita mampu membangunkan ekonomi kita sendiri dan tidak mustahil mampu mengeksport perniagaan kita ke luar negara.

Saya mencadangkan agar perlu dibuat dasar keperluan sesebuah Pasar Raya beroperasi di sesebuah kawasan atau bandar sama ada melalui keluasan bandar atau jumlah penduduk. Juga perlu dasar untuk memanfaatkan graduan dalam bidang perniagaan ini untuk mewujudkan momentum IKS dan perniagaan sendiri dalam keadaan dunia sebenar.

Wallahua'lam...


*Artikel ini telah dihantar ke editor akhbar iaitu Utusan Malaysia, Berita Harian, Sinar Harian dan Harakah pada 10 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment