"Jika begitu, Allah tidak akan sia-siakan kita," ungkap Siti Hajar kepada Nabi Ibrahim a.s. ketika Nabi Ibrahim terpaksa berjauhan demi mentaati perintah Allah. Bagaimanalah perasaan si isteri jika selalu sahaja ditinggalkan oleh si suami? Begitu jugalah perasaan si suami apabila sering sahaja terpaksa meninggalkan si isteri. Tapi, ternyata, Allah tidak akan sia-siakan amalan mereka. Pasti ada keberkatan yang diperolehi agar kedua-dua pasangan tersebut tetap sahaja teguh di jalan dakwah.
Kisah 2:
Ketika Nabi Nuh a.s. diperintahkan oleh Allah untuk membina bahtera di saat-saat majoriti umatnya mengingkari ajaran-Nya, namun hanya ketaatan yang ditunjukkan oleh Nabi Nuh a.s.. Bahkan, dilihat mustahil Nabi Nuh keseorangan membina bahtera yang besar yang memerlukan kemampuan dari segi seni bina dan kejuruteraan, namun ternyata, Allah tidak akan sia-siakan kita. Maka, Nabi Nuh dan golongan yang beriman diselamatkan oleh Allah dari banjir besar yang menimpa umatnya.
Firman Allah: "Dan (ingatlah kisah) Nuh, sebelum itu, ketika dia berdoa. Kami perkenankan doanya, lalu Kami selamatkan dia bersama pengikutnya dari bencana yang besar. Dan Kami menolongnya dari orang-orang yang telah mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang jahat, maka Kami tenggelamkan mereka semuanya." (Al-Anbiya', 21: 76 - 77)
Kisah 3:
Setelah Rasulullah wafat, dilantiknya Saidina Abu Bakar as-Siddiq menjadi khalifah yang pertama. Berlakunya peristiwa yang menggoncang akidah umat Islam iaitu gejala murtad, nabi palsu dan golongan yang tidak membayar zakat. Tanpa Rasulullah di sisi dan tanpa wahyu dari Allah, Abu Bakar memerangi golongan tersebut hingga menyelamatkan akidah umat Islam ketika itu. Ternyata, Allah tidak mensia-siakan segala usaha yang dilakukan oleh Abu Bakar dan para sahabat dan itulah jasa terbesar ketika beliau menjadi khalifah.
Dalam dunia dakwah, kadang-kadang menuntut kita tunduk kepada pelbagai arahan sama ada ringan atau berat untuk dilaksanakan. Hinggakan muncul dalam benak fikiran kita sama ada adakah ia perlu dilaksanakan atau tidak. Kisah-kisah di atas adalah sebagai contoh atau kesimpulan tindakan seseorang di jalan dakwah ini. Maka, lakukanlah yang terbaik untuk dakwah, Insya Allah, Allah tidak akan sia-siakan kita.
No comments:
Post a Comment