Friday, July 20, 2012

Ramadhan Kareem

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ
"Bulan Ramadhan ialah bulan yang padanya diturunkan Al-Quran..." (Al-Baqarah, 2: 185)

Dengan jelas ayat berkenaan menyatakan bahawa kitab panduan ummat Islam diturunkan di dalam bulan Ramadhan, yang mana. Dari konteks dan kaca mata seorang muslim, Al-Quran adalah kitab suci yang wajib dipercayai kewujudannya di mana kandungannya tiada ragu dan menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa, manakala Ramadhan adalah salah satu bulan Islam yang mana padanya diwajibkan ibadah puasa bagi yang mampu.

Sekiranya dilihat dari perspektif sistem pengurusan kehidupan seharian, Al-Quran boleh dianggap sebagai piawaian yang harus dipatuhi oleh orang yang mempercayainya serta disokong oleh Sunnah Rasulullah s.a.w., dan Ramadhan pula adalah bulan audit dalam untuk mengesan ketakakuran diri dan melakukan tindakan pembetulan ke atas diri masing-masing.

Lantiklah diri sendiri untuk menjadi juruaudit dalam dan bukalah hati untuk dibantu oleh orang sekeliling kita melalui teguran berkaitan sebarang ketakakuran terhadap piawaian Al-Quran dan As-Sunnah. Ini bersesuaian dengan seruan Malaikat di dalam salah satu Hadith Rasulullah s.a.w.:

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: “Apabila tiba malam pertama Ramadhan akan diikat/ dirantai segala Syaitan dan jin-jin yang sesat, ditutup segala pintu Neraka hingga tidak ada satu pintu pun yang dibuka, dibuka segala pintu Syurga hingga tidak ada satu pintu pun yang ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan berseru; “Wahai orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai orang yang ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah dari melakukan kejahatan).” Akan terdapat orang-orang yang bakal dibebaskan Allah dari api Neraka. Hal demikian itu berlaku pada setiap malam (di sepanjang Ramadhan).” (Riwayat At-Tirmizi, Baihaqi dan Ibnu Hibban)

Semoga audit dalam di bulan Ramadhan kali ini dapat menjadi platform penambahbaikan diri, menjadikan kita lebih akur kepada piawaian Al-Quran dan As-Sunnah, dan menaikkan taraf kita dari seorang Muslim kepada seorang Mukmin. Diharapkan juga bulan Ramadhan ini lebih menyediakan diri kita untuk diaudit pihak ketiga, yang telah ditetapkan tugasnya kepada Malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur kelak.

Selalulah berdoa agar Allah redha dengan usaha kita untuk hidup sebagai hambanya yang berkualiti bukan hanya dari segi duniawi, malah juga memberi fokus kepada kehidupan ukhrawi. Hanya dengan redha Allah pengikitirafan untuk menjadi ahli syurga akan menjadi milik kita, Allahu musta'an.


* Artikel dipetik dari tulisan rakan sekerja Mohd Hafizzudin Ismail (QMD - NIOSH)

Sunday, July 15, 2012

Scaffolding


Scaffolding atau Perancah merupakan sebuah struktur sementara yang direkabentuk dan dibina bagi kegunaan tertentu. Ianya amat berguna terutama apabila melibatkan kerja-kerja pembinaan (construction) dan melaksanakan kerja-kerja di tempat tinggi. Dari sudut kejuruteraan, scaffolding ini merupakan ilmu yang cukup bermanfaat bagi kehidupan kita. Tanpa scaffolding, sudah pasti bangunan-bangunan sukar untuk dibangunkan dan kerja-kerja di tempat tinggi juga tidak dapat dilakukan. Mujurlah ketika bekerja, peluang untuk terus belajar dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau OSH (Occupational Safety and Health) mudah diperolehi. Kalau tiada isu keselamatan di dalam bidang pekerjaan, sudah pasti industri pekerjaan menjadi mundur dan menjadi ancaman kepada negara kita.

Memasang scaffolding dan berjalan di atas platform semestinya mendatangkan perasaan gayat pada diri saya. Meskipun baru sahaja mencapai ketinggian beberapa meter, namun memang tidak dinafikan perasaan gayat itu memang wujud. Apatah lagi apabila ramai yang berada bersama di atas platform dan sudah pasti akan bergoyang apabila masing-masing bergerak. Mujur adanya safety harness yang sekurang-kurangnya dapat menjaga diri kita dari sebarang kecelakaan. Sekurang-kurangnya, orang yang cepat gayat macam saya ini, masih lagi berpeluang bekerja di tempat tinggi. Merasa jugalah, susah payah, perasaan gayat dan panas terik yang dialami oleh scaffolder (pemasang scaffolding) dan orang yang bekerja dalam sektor pembinaan untuk membina bangunan dan bekerja di tempat tinggi. Bagaimana pula rasanya jika pemasangan scaffolding untuk pembinaan bangunan yang berpuluh-puluh tingkat?

Barangkali, inilah hikmahnya ilmu kejuruteraan yang Allah berikan pada manusia. Ilmu yang sebenarnya cukup besar sumbangannya dalam kehidupan kita. Meskipun scaffolding hanya merupakan struktur sementara untuk kerja-kerja yang dilakukan, tetapi hasilnya adalah bangunan-banguan yang siap kekal.



Begitu jugalah kehidupan di dunia ini. Andai kata umur kita di dunia ialah 60 tahun, sebenarnya hanya beberapa jam sahaja umur kita di akhirat. Begitulah singkatnya masa kita di dunia. Bermula ketika bayi; menjadi seorang budak kecil dan remaja; menjadi golongan pemuda dan terus menjadi golongan dewasa. Akhir sekali, kita meniti usia manjadi warga emas. Jika sepanjang waktu itu, hanya beberapa jam saja di akhirat... apalah yang hendak kita kejarkan di dunia ini? Kehidupan di dunia ini ibarat scaffolding yang hanya merupakan struktur sementara atau platform untuk membina bangunan yang kekal. Jika scaffolding atau kehidupan di dunia ini runtuh atau goyang, sudah pasti bangunan yang kekal atau akhirat tidak tercapai untuk dibangunkan.






Firman Allah: “Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik. Katakanlah, ‘Maukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?’ Bagi orang-orang yang bertakwa di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan pasangan-pasangan yang suci serta redha Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hamba-Nya.” (Ali-Imran, 3: 14-15)

Ayuh sahabat-sahabat, mari kita jadikan kehidupan kita yang sementara di dunia ini sebagai medan untuk membina kehidupan yang kekal di akhirat.


* Artikel ditulis hasil perasaan teruja penulis apabila mengikuti kursus Basic Scaffolding (Frame / Tubular / Modular)