Monday, June 30, 2014

Runtuhnya Ego Kuasa Besar

Ketika berlangsungnya Piala Thomas 2014 yang lepas, rata-rata mengatakan China pasti akan merangkul kejuaraan, di mana tak nampak ada kuasa lain mampu menyekatnya, baik Malaysia atau Indonesia. Tiba-tiba, muncul Jepun yang julung-julung kali merangkul Piala Thomas dengan menumbangkan China dan Malaysia. Tembok Besar China runtuh jua akhirnya. Kehadiran Lin Dan dalam skuad China dan Lee Chong Wei dalam skuad Malaysia, tidak dapat menyekat keghairahan Jepun untuk muncul juara.

Sama kisahnya ketika berlangsungnya Piala Dunia 2014. Sebelum bermula, Sepanyol yang turun sebagai juara bertahan, diramal akan mempertahankan kejuaraan edisi yang lepas. Dengan dibarisi ramai pemain bintang, ramai yang meramalkan Sepanyol akan bersinar lagi pada edisi Piala Dunia kali ini. Akhirnya, Sepanyol dimalukan oleh Belanda dan Chile di peringkat awal lagi dan dipaksa pulang lebih awal. Sepanyol yang terkenal dengan corak permainan 'tiki-taka' yang merupakan gaya permainan yang dicirikan oleh hantaran pendek dan kepelbagaian pergerakan, akhirnya rebah dan gaya permainan yang dikagumi selama ini akhirnya memakan diri.

Begitulah dunia ini. Usah disangka pada sebuah kuasa kecil tidak mampu menakluk dunia dan usah disangka sebuah kuasa besar akan berkuasa selama-lamanya. Empayar besar yang penuh dengan keegoan, pasti tidak akan bertahan lama dan akan runtuh jua akhirnya. Maka, pada sebuah kuasa kecil dengan cita-cita yang besar dan perancangan yang rapi, pasti akan berkuasa dan membina sebuah empayar besar.

Begitu juga dengan dakwah. Bukan kuantiti yang menjadi ukuran. Meskipun sedikit jumlah kita, teruskanlah berdakwah dengan membawa cita-cita yang besar, perancangan yang rapi dan memohon pertolongan kepada Allah, nescaya kemenangan akan menjadi milik kita.

Insya Allah...

Saturday, June 28, 2014

Ramadhan Bulan Perubahan

Saya agak cemburu apabila mendengar pengalaman rakan-rakan yang mengerjakan umrah di Baitullah pada bulan Ramadhan, di mana mereka melaksanakan ibadah puasa dan solat sunat tarawih dengan seronok tanpa keletihan. Ianya bukanlah suatu perkara yang pelik dan kita pun sedia maklum tentang sirah Rasulullah yang mana baginda dan para sahabat makin gencar berdakwah, bahkan mengalahkan kaum Musyrikin dalam Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan.

Tetapi, suasana sekarang seolah-olah terbalik. Ramadhan dikaitkan dengan kepenatan dan kelesuan. Meskipun pada bulan Ramadhan ini manusia kembali kepada fitrah dan kebaikan, namun tidak mencakupi keseluruhan masyarakat.

Maka, marilah kita jadikan bulan Ramadhan kali ini sebagai bulan perubahan kepada semua lapisan masyarakat. Jadikanlah sunnah Rasulullah sebagai ikutan dan carilah ruang untuk memperbanyakkan tilawah dan tadabbur Al-Quran, solat berjemaah, banyakkan bersedekah, tidak melakukan pembaziran, kesungguhan bekerja dan mencari ruang untuk mengajak rakan-rakan kepada kebaikan. Suasana kebaikan ini harus sentiasa dihidupkan di tengah-tengah masyarakat dan tidak luntur pada penghujung bulan Ramadhan.

Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai momentum dan agen perubahan kepada masyarakat agar masyarakat benar-benar faham dan berlumba-lumba ke arah kebaikan serta memperjuangkan Islam. Semestinya kita mahu dan merindui suasana Islami seperti itu. Sekiranya mahu, ayuh lakukannya bersama-sama.

Insya Allah...

Saturday, June 14, 2014

World Cup 2014

Pejam Celik..
Pejam Celik..
Pejam Celik..
World Cup 2014 muncul jua akhirnya seperti yang dijanjikan. Sejumlah 32 buah pasukan negara berkumpul untuk mengejar kemashyuran dalam dunia bola sepak.
 
Bila ditanya tentang World Cup 2014 kali ni, banyak perspektif muncul. Ada yang sebelum ini tidak langsung ambil tahu tentang bola sepak, tiba-tiba saja berminat dan ada pasukan pilihannya. Ada pula yag tidak sabar-sabar menantikan kehadiran World Cup ini dan bersedia untuk "Makan Bola, Tidur Bola, Minum Bola, Boikot Coca-Cola...". Ada juga memang buat tak tahu sebab tak minat atau merasakan sia-sia berjaga malam untuk menonton aksi perlawanan bola sepak ini. Apa-apa sajalah....
 
Ada yang bertanya, adakah World Cup 2014 ini satu perkara yang memberi manfaat kepada kita ataupun perkara yang 'totally' sia-sia dan tiada manfaat langsung? Bagaimana kita sering meletakkan minat kita pada minat orang lain dan kemampuan kita pada kemampuan orang lain. Maksudnya, kita hendak orang lain bertindak seperti apa yang kita mahu atau kita lakukan dan tidak melihat dari segi aspek positif di atas kecenderungan mereka.
 
Saya melihat, ada menariknya apabila berlangsungnya World Cup kali ni sebahagiannya pada bulan Ramadhan. Seperti yang saya 'bergurau' dengan rakan sepejabat yang gila bola untuk berqiamullail sekali sebelum menonton aksi perlawanan. Mudah-mudahan ini menjadi titik tolak perubahan apabila tiba bulan Ramadhan iaitu mudah bangun sahur dan 'cuba-cuba' untuk solat tahajud. Mungkin keadaannya seperti cakap main-main tetapi tidak salah kita meletak harapan perubahan pada rakan-rakan kita. Sama juga seperti orang bukan Islam yang cenderung atau masuk Islam apabila tertarik atau hendak berkahwin dengan orang Islam, yang mana dia perlu diraikan dan hal ehwal Islam perlu dijelaskan kepada mereka.
 
Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan World Cup 2014 sebagai ruang dan harapan kepada dakwah itu sendiri. Ianya mungkin nampak macam pelik...tetapi siapa tahu? Sebab hanya Allah yang memberikan hidayah.

Justeru itu, pasukan mana pilihan anda untuk menjuarai World Cup 2014 kali ini?
Pasukan Pilihan saya ialah Jerman atau Belanda.
Sama-sama kita nantikan....