Saya agak cemburu apabila mendengar pengalaman rakan-rakan yang mengerjakan umrah di Baitullah pada bulan Ramadhan, di mana mereka melaksanakan ibadah puasa dan solat sunat tarawih dengan seronok tanpa keletihan. Ianya bukanlah suatu perkara yang pelik dan kita pun sedia maklum tentang sirah Rasulullah yang mana baginda dan para sahabat makin gencar berdakwah, bahkan mengalahkan kaum Musyrikin dalam Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan.
Tetapi, suasana sekarang seolah-olah terbalik. Ramadhan dikaitkan dengan kepenatan dan kelesuan. Meskipun pada bulan Ramadhan ini manusia kembali kepada fitrah dan kebaikan, namun tidak mencakupi keseluruhan masyarakat.
Maka, marilah kita jadikan bulan Ramadhan kali ini sebagai bulan perubahan kepada semua lapisan masyarakat. Jadikanlah sunnah Rasulullah sebagai ikutan dan carilah ruang untuk memperbanyakkan tilawah dan tadabbur Al-Quran, solat berjemaah, banyakkan bersedekah, tidak melakukan pembaziran, kesungguhan bekerja dan mencari ruang untuk mengajak rakan-rakan kepada kebaikan. Suasana kebaikan ini harus sentiasa dihidupkan di tengah-tengah masyarakat dan tidak luntur pada penghujung bulan Ramadhan.
Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai momentum dan agen perubahan kepada masyarakat agar masyarakat benar-benar faham dan berlumba-lumba ke arah kebaikan serta memperjuangkan Islam. Semestinya kita mahu dan merindui suasana Islami seperti itu. Sekiranya mahu, ayuh lakukannya bersama-sama.
Insya Allah...
No comments:
Post a Comment