Wednesday, March 31, 2010

Cinta & Dakwah Untuk Keluarga

Dalam kesibukan bekerja dan menyertai program-program motivasi dan kebajikan, teringat sejenak ibu, abah, ayah, emak, adik beradik dan saudara mara di Seremban. Bukanlah jauh sangat pun dari rumah, tetapi mungkin cepat terasa sebab saya jenis yang rapat dengan keluarga. Berjumpa seketika cukuplah untuk melepaskan rindu dan sebagainya. Selalunya, orang yang sudah berkahwin, kekerapan bersama ibu bapa dan adik beradik semakin kurang disebabkan bertambah komitmen.

Apabila membaca buku ‘Cinta di Rumah Hasan al-Banna’ yang mengisahkan peribadi beliau di rumah sebagai seorang suami dan bapa, banyak pengajaran yang boleh saya ambil dan ikuti. Siapa yang tidak kenal dengan Hasan al-Banna? Setiap aktivis Islam sudah pasti mengenali beliau dan kehebatan beliau. Beliaulah pengasas Ikhwanul Muslimin yang cukup ditakuti oleh kaum Taghut. Beliau bukan saja kencang dari segi dakwah tetapi juga gah dalam tanggungjawab sebagai suami dan bapa. Hatta, anak-anak beliau turut menyatakan bahawa Hasan al-Banna masih sempat untuk makan bersama keluarga dan mengetahui subjek-subjek yang perlu diperbaiki oleh anak-anaknya. Bermakna, dalam kesibukan berdakwah, beliau tidak mengabaikan tugasnya di rumah.

Kadang-kadang, terdapat individu yang terlalu sibuk bekerja hinggakan keluar rumah sebelum anak-anak bangun dan balik ketika anak-anak sudah pun tidur. Alangkah sedihnya jika hidup begini. Seorang aktivis dakwah yang begitu sibuk menguruskan usrah dan halaqah untuk teman-temannya tetapi lupa untuk menghalaqahkan keluarga. Seharusnya, amanah dakwah kepada keluarga harus dititikberatkan setidak-tidaknya dengan ziarah supaya dapat mengetahui perkembangan mereka seperti masih mengamalkan dan menjaga Islam dalam kehidupan seperti solat dan membaca al-Quran. Terdapat kisah, ibu bapanya seorang pendakwah atau motivator tetapi anak-anaknya sendiri tidak dimotivasi dan jauh dari Islam. Sekiranya ketika masih kecil, kitalah yang sering didahulukan oleh ibu bapa kita dari segi makanan, pakaian dan pelajaran, mengapa tidak kita cuba mendekati dakwah kepada mereka. Secara jujurnya, saya juga mengakui masih banyak tanggungjawab dakwah kepada keluarga yang belum dilaksanakan.

Firman Allah: “Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.” (Asy-Syu’araa’, 26: 214)

Firman Allah: “Maka tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf: Yusuf merangkul ibu bapanya dan dia berkata: ‘Masuklah kamu ke negeri Mesir, Insya Allah dalam keadaan aman.’ Dan beliau menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan Yusuf berkata: Wahai ayahku inilah takbir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari rumah penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merusakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Yusuf, 12: 99 – 100)

Dalam firman Allah di atas, menunjukkan bagaimana Nabi Yusuf menghormati ibu bapanya. Seharusnya, penghormatan-penghormatan ini dijadikan contoh yang terbaik untuk kita mengaplikasinya kepada orang tua. Banyak lagi contoh-contoh yang ditunjukkan dan ini menunjukkan betapa pentingnya interaksi dengan keluarga. Andainya kita adalah aset terpenting bagi keluarga kita, ayuh kita jadikan mereka sebagai aset yang paling penting dalam dakwah kita pula.

Thursday, March 25, 2010

Masyarakat Jahiliyyah

Ketika berjalan di deretan kedai pada hari Ahad lepas bertarikh 21 Mac 2010, terbaca muka depan Berita Minggu:

“17303 anak luar nikah didaftar 2009”

Melihat angka terus saya buat perkiraan. Maknanya, secara purata, seramai 47 orang anak luar nikah dilahirkan dalam sehari dan hampir 2 orang anak luar nikah dilahirkan dalam sejam. Ini tidak termasuk, jumlah yang tidak didaftarkan dan yang tidak dijumpai setelah dibuang. Sudah pasti jumlahnya akan menjadi lebih ramai.

Alahai masayarakat kito, apo nak dikatokan??

Di saat masyarakat hendak meneroka angkasa lepas, di saat itu, akhlak masyarakat makin jatuh merudum.
Di saat kononnya, masyarakat melangkaui arus kemodenan, di saat itu, sosial masyarakat memasuki era jahiliyah.
Di saat YB Ahli Parlimen dan ADUN bertelagah tentang perebutan kuasa di Parlimen dan DUN, di saat itu, mereka lupa untuk membicarakan atau mencari solusi yang paling mujarab untuk masalah ini.

Begitu ramai pasangan yang memilih untuk menjauhi maksiat dengan bernikah tetapi ada yang lambat dikurniakan zuriat dan ada pula yang tidak memperolehi zuriat. Tetapi, sayangnya mereka yang memilih untuk mendekati maksiat atau berzina, begitu cepat dikurniakan anak luar nikah. Mengapa ini terjadi? Barangkali, Allah nak tunjukkan kepada kita betapa teruknya masyarakat sekarang ini. Mungkin tak terkena batang hidung kita, jadi kita pun ambil perasaan endah tak endah sahaja.

Dalam soal ini, seharusnya kita meneliti dua aspek iaitu:
1) Memelihara Keturunan     2) Kenikmatan
Perkara yang pertama perlu ditekankan untuk memastikan bahawa keturunan sentiasa terpelihara dengan baik dan si anak tahu siapa bapanya yang sebenar. Bagi mereka yang berzina, ternyata hanya melihat aspek yang kedua sahaja tanpa menghiraukan aspek yang pertama. Maka, lahirlah anak-anak luar nikah yang tidak berdosa yang tidak pasti siapakah bapanya kerana terlalu banyak benih-benih lelaki yang masuk dalam kandungan perempuan yang melahirkannya. Na’uzubillahi minaz zalik. Justeru kedua-dua aspek tersebut perlu dititikberatkan untuk menyelamatkan keturunan orang Islam dari terus tercemar.

Saya menganggap keadaan moral dan akhlak masyarakat terutama orang Islam semakin kronik dengan terlerainya isu ini. Kenapa saya tujukan kepada orang Islam dan tidak secara keseluruhan masyarakat kita? Kerana saya cukup yakin, majoriti yang terlibat adalah orang Islam. Sebagai umat majoriti di Malaysia ini, sepatutnya kita menjadi contoh ikut kepada yang lain tetapi sayang sebaliknya yang berlaku.

Anda, wahai perempuan, telah mengambil kenikmatan namun mengabaikan tujuan memelihara keturunan.
Anda, wahai lelaki, telah mengambil kenikmatan namun mengabaikan tujuan memelihara keturunan.
 Sementara Allah menghendaki agar Anda mengambil kenikmatan dan proses memelihara keturunan secara bersamaan.

Tuesday, March 16, 2010

Mensyukuri Nikmat-Nya

Dalam seminggu dua ni, agak sibuk berpindah randah ke rumah sewa yang baru. Dalam kesibukan berpindah itu, moga-moga tidak dilupakan banyak perkara-perkara yang penting apabila merentasi kehidupan yang lebih mencabar. Program-program tarbiyah, ziarah keluarga saudara mara yang mengajak datang ke rumah dan kerja sebagai jurutera di samping Master yang cukup menyibukkan. Agak perlahan progress Master setakat ini walaupun telah banyak kali ditegur oleh supervisor.

Bila berpindah ke rumah baru ini, ibu bapa saya seolah-olah tidak menggalakkan. Mungkin terlalu sekejap untuk berukhwah atau bermesra dengan menantu barunya. Namun, apakan daya, tugas dan beban yang dipikul sekarang ini menuntut untuk cepat berpindah ke medan baru. Alhamdulillah, keluarga saya dan keluarga isteri saya banyak membantu proses perpindahan ini. Pada asalnya, mungkin dalam pemikiran saya dan isteri, memadai dengan kemampuan kami sekarang ini dan barang-barang yang sedia ada semasa zaman bujang. Tetapi, itulah rezeki atau nikmat namanya. Bak kata isteri saya, “sekelip mata je berubah rumah ni hasil bantuan keluarga kami berdua.”

Semoga dengan bantuan kalian termasuk juga bantuan sahabat-sahabat yang menawarkan diri, diberkati oleh Allah. Semoga Allah memberikan manfaat yang lebih besar buat kalian melebihi apa yang kalian berikan bantuan kepada kami. Semoga ana dan isteri termasuk golongan yang sentiasa bersyukur atas nikmat dan rahmatnya dan akan memanfaatkan nikmat tersebut sebaik-baiknya.

Wednesday, March 10, 2010

Tersenyumku Pada Angkasa

Tersenyumku pada angkasa,
Di hujung sana tampak kebiruan,
Di hujung sini terpamer tompok awan,
Keputihan menghiasi langit terbentang,
Menambah aroma pada nikmat mata,
Yang langsung telah Kau anugerahkan..

Angkasa itu lautan kehidupan,
Di batas indah oleh nikmat-Mu Tuhan,
Dan awan di sebalik langit itu,
Laksana keindahan yang kini Kau berikan..

Pada sejuk mata yang melihat,
Di gedung hubungan yang Kau halalkan,
Tasbih di hati, terungkai dan terus bersemi,
Indahnya Islam di jalan pernikahan..

Kau bentangkan orbit percintaan,
Di falak paling indah yang Kau cipta,
Beredarlah cintaku dan si dia,
Di galaksi yang Kau naungi laluannya..

Bercintalah wahai manusia,
Telah Ku halalkan si dia untuk mu,
Bersemilah bunga kasih antara kalian,
Telah Ku berikan dirimu untuk si dia,
Kerana semua tahu bahawa,
Kau sedang tersenyum pada angkasa..


*Hasil nukilan dan dedikasi oleh ikhsaninsan