Sunday, May 30, 2010

Halatuju Wayang Kita

Seminggu yang lepas, ketika saya pulang ke kampung, sebaik sahaja selesai makan malam, isteri saya sempat melayan filem Melayu seram untuk beberapa ketika. Saya secara peribadi, memang tak suka menonton filem sebegitu. Setelah beberapa minit, dia minta saya menemannya ke dapur disebabkan waktu malam walaupun rumah ibu bapa saya adalah rumah teres di bandar dan bukanlah rumah kampung yang sunyi. Mungkin sedikit ketakutan rasanya.

Saya juga perasan dan pelik, mutakhir ini, begitu banyak drama dan filem yang berunsurkan seram dan tahyul. Meskipun, makin ramai cendekiawan dan ahli professional dilahirkan, tetapi tahap industri filem kita makin mundur ke belakang. Saya lihat kesannya cukup medalam dalam mewujudkan generasi penakut dan generasi pengecut dalam masyarakat. Cuba bayangkan anak-anak kecil sekarang dibesarkan dengan filem-filem sebegitu, menyebabkan mereka tidak berani apabila menjadi dewasa. Ini merupakan salah satu perang saraf yang dilakukan oleh musuh Islam untuk menjadikan masyarakat mudah tunduk kepada taghut. Sebagai contoh, pelajar-pelajar universiti ditakutkan dengan AUKU atau penarikan biasiswa apabila bergiat aktif dengan program-program Islam. Sebahagian masyarakat juga mudah tunduk kepada ugutan pihak penguasa atau majikan.

Kita mengetahui bagaimana perang saraf itu dilakukan dan apakah sarana-sarananya. Kita juga perlu sedar bahawa perang saraf ini akan terus menyerang dan melemahkan masyarakat Islam. Bukannya tiada filem-filem yang membangkitkan semangat dan berani dalam diri kita. Melambak!! Tetapi kenapa tidak ditayangkan? Kenapa hanya ditayangkan ketika Hari Kemerdekaan sahaja?

Filem seperti Bukit Kepong, Leftenan Adnan, The Message, The Lion of Desert, Hang Tuah dan banyak lagi filem-filem yang berteraskan perjuangan. Saya sendiri, sejak kecil hingga sekarang masih lagi berkobar-kobar semangat apabila menonton filem tersebut walaupun sudah hafal jalan ceritanya. Sepatutnya, filem-filem sebegini perlu mewarnai dunia seni tanah air kita. Begitu juga dengan buku-buku yang mengisahkan Nabi Muhammad s.a.w., para Sahabat baginda, Imam-Iman Mazhab, tokoh-tokoh kemerdekaan Tanah Melayu dan kisah-kisah perang seperti Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandaq.

Justeru itu, sebagai orang soleh ataupun hendak memperbanyakkan generasi soleh dalam masyarakat kita, perlu dilontarkan semangat pada ahli masyarakat. Ini kerana, generasi orang yang soleh adalah bersifat berani dan tidak melayan perasaan pengecut. Perlu dididik anak-anak sekarang dengan didikan yang baik, diperkenalkan buku-buku yang baik, kisah-kisah yang menjadikan diri mereka cintakan Allah dan Rasul, bencikan maksiat dan berkobar-kobar untuk berjuang di jalan Allah.

Matahari tidak selama-lamanya akan terbenam...
Matahari akan terbit dengan sinar kemenangan Islam...

Saturday, May 29, 2010

Ikhlas Dalam Niat

Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk badan dan rupamu, tetapi memperhatikan niat dan keikhlasan dalam hatimu. (Riwayat Muslim)

Sekiranya, ada dua orang, seorang kaya dan seorang miskin, sedang menunaikan solat, yang dilihat pada diri mereka bukanlah taraf kekayaan tetapi adalah keikhlasan dan kekhusyukan ketika menunaikan solat.

Dalam sirah, kita mengenali beberapa orang sahabat yang jika dilihat dari sisi keduniannya, di tahap yang terbawah tetapi pada sisi Allah, mereka inilah yang berada di samping-Nya. Bilal bin Rabah sebagai contoh, merupakan seorang hamba tetapi diangkat martabatnya sebagai muazzin yang pertama dalam sejarah Islam. Beliau akhirnya juga dilantik sebagai Gabenor Syam. Inilah kehebatan Bilal, di mana dakwah Islam menjadikan beliau seorang yang cukup hebat, "from zero to hero." Ternyata, Allah Taala tidak melihat dari segi taraf beliau sebagai hamba dan warna kulitnya, tetapi dilihat dari segi keimanan kepada Allah. Mush'ab bin Umair, ketika zaman jahiliyyah adalah seorang yang kacak dan berasal dari keluarga yang kaya, tetapi beliau sanggup meninggalkan segala apa yang dimilikinya semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

Sama juga dengan kondisi pada zaman sekarang. Yang selalu dilihat adalah taraf kekayaan, pekerjaan yang hebat dan latar belakang keluarga yang berada. Tidak kisahla sama ada seseorang itu adalah orang bandar ataupun orang kampung, itu bukan lah ciri utama yang perlu diperhatikan. Bukan juga ciri utama apabila seorang itu orang yang kaya ataupun orang yang miskin. Bukan juga pekerjaan-pekerjaan yang hebat yang selalu diperhatikan seperti Jurutera, Doktor, Peguam ataupun Peniaga kecil-kecilan. Itu semua bukanlah perkara yang penting untuk kita labelkan seseorang itu dan juga bukanlah asbab utama untuk kita agungkan seseorang itu. Jika ciri-ciri ini dititikberatkan, nescaya tidak diangkat martabat Bilal bin Rabah di sisi Allah.

Ini kerana, yang dilihat di sisi Allah adalah niat dan keikhlasan dalam hati seseorang itu serta keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah. 



Wednesday, May 19, 2010

Halalkah Judi Sekarang?

Selalunya, apabila saya hendak membeli sesuatu produk makanan, akan dipastikan dahulu, sama ada mempunyai lesen atau cop HALAL atau tidak. Jika ada cop HALAL dari Jakim, tidak berlengah-lengah saya membelinya. Meskipun, banyak juga pendapat atau khabar angin yang mengatakan tidak semestinya produk yang mempunyai cop HALAL itu pastinya HALAL, tetapi bagi saya, saya cukup thiqah kepada mereka yang memberikan lesen itu. Sudah pastinya, mereka ini dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka lakukan.

Sama juga kalau seseorang hendak melanjutkan pelajaran dalam sesuatu bidang, haruslah dipastikan bidang yang ditawarkan adalah diiktiraf dan diberikan lesen oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebab pernah berlaku di sebuah IPTA apabila bidang yang ditawarkan tidak diiktiraf dan ini memberikan beban kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian tersebut.

Apabila saya memperkatakan tentang penguasaan sesuatu penguasa ke atas apa yang dikuasainya, kita harus mengetahui siapakah penguasanya, apa yang dikuasainya dan adakah wujud kuasa yang lebih berkuasa daripadanya? Apabila Yang Maha Kuasa iaitu Allah s.w.t. mengatakan sesuatu itu HALAL, maka HALAL dan tiada sebarang syak lagi padanya. Namun, apabila telah thabit hukumnya HARAM, maka tetaplah HARAM padanya dan tiada sesiapa yang boleh menghalalkannya melainkan golongan yang ingkar.

Justeru itu, apabila Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Hussein yang mengisytiharkan bahawa dihalalkan lesen judi, saya terus melihat siapa orang tersebut? Ternyata dia juga seorang manusia yang berasal dari tanah dan akan kembali pada tanah. Dia juga adalah salah seorang calon MB Kelantan yang kecundang dalam PRU-12 yang lepas. Apabila melihat sikap dia, memang wajarlah dia kalah untuk mengelakkan tercemarnya negeri tersebut dengan perkara yang tidak berakhlak. Secara peribadi, timbul dalam diri saya rasa tidak hormat dan benci kepada dia dan golongan yang diwakilinya.

Firman Allah: "Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tetang khamar dan judi. Katakanlah, 'Pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosanya lebih besar dari manfaatnya.' Dan mereka menanyakan kepadamu (tentang) apa yang (harus) mereka infakkan. Katakanlah, 'Kelebihan (dari apa yang diperlukan).' Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu memikirkan." (Al-Baqarah, 2: 219)

Ini adalah salah satu ayat Al-Quran yang memberitahu kepada seluruh manusia bahawa JUDI itu tetap HARAM. Mungkin golongan yang hendak meluluskan lesen judi itu terlepas pandang ayat ini atau pun tidak pernah sama sekali mentadabbur ayat ini. Dalam 10 tahun dahulu, pernah seorang yang berjawatan tinggi dalam pentadbiran, iaitu bekas Ketua Polis Negara yang berkecimpung dengan bisnes judi setelah bersara menyatakan bahawa, dia tidak pernah menjumpai ayat Al-Quran yang mengatakan bahawa judi itu HARAM. Tak tahulah sama ada dia hendak membuat lawak atau pun terlalu jahil. Setahu saya, budak sekolah pun tahu judi itu HARAM.

Mereka yang hendak meluluskan lesen judi ini memberi alasan supaya pihak pemerintah memperolehi cukai di atas aktiviti ini. Saya mempunyai dua persoalan atas alasan ini. Pertama: Tidak cukupkan hasil-hasil bumi dan cukai-cukai yang diperolehi setakat ini? Kedua: Tergamakkah pihak pemerintah membayar gaji jutaan pekerjanya dengan menggunakan hasil yang HARAM, yang akan digunakan untuk menyara anak dan isteri mereka? Tepuk dada, tanya iman.

Saya cukup bimbang akan lahirnya lebih ramai golongan yang berani mencanggah ketetapan dan hukum Allah Taala. Di saat-saat kita hendak memperbaiki akhlak ummat, wujud pula di satu pihak yang lain golongan yang hendak menghancurkan ummat. Jika keadaan ini dibiarkan, kita cukup bimbang akan ada pula lesen industri pelacuran dan lesen kongsi gelap pada masa hadapan yang bakal melumatkan akhlak dan moral ummat kita.

"Tiada Ketaatan Kepada Makhluk Dalam Bermaksiat Kepada Allah"

Sunday, May 16, 2010

Berakhirnya "SMASH" Piala Thomas



Seusai melihat Perlawanan Akhir Piala Thomas 2010, saya semacam hendak menulis artikel tentang ini. Tidak kisah, siapa pemenangnya, tetapi saya cukup tertarik dengan permainan badminton dari dulu hingga sekarang. Walaupun Malaysia gagal menamatkan kemarau 18 tahun kejuaraan, itu tidaklah mematikan minat saya untuk mengikuti perkembangan Piala Thomas kali ini. Adakah sokongan kita hanya ketika negara kita muncul juara saja? Adakah pujian kita terhadap pemain-pemain hanya ketika mereka membawa pulang kejuaraan sahaja?

Mengenang kembali lagenda-lagenda Piala Thomas 1992 seperti Rashid Sidek dan Razif & Jalani Sidek,  agak sukar untuk mengembalikan jagoan-jagoan seperti itu sekarang ini. Pada masa sekarang, nama-nama jagoan dari China dan Indonesia lebih banyak meniti di bibir peminat badminton. Dengan permainan cantik yang mereka pamerkan seperti jumping smash, drop shot, backhand, rally and great defence menjadikan permainan badminton makin menarik untuk disaksikan. Bagi saya, corak permainan beginilah yang menyebabkan minat kepada sukan badminton tidak pernah luntur. Agak sukar, untuk melihat hatta seorang pemain mempunyai pakej lengkap skill-skill tersebut ataupun dalam bahasa kampung saya complete packages.

Kondisi di Malaysia sekarang sebenarnya, tidak menjamin berjayanya seseorang atlet sukan tidak seperti di luar negara. Apabila seseorang itu menjadi atlet professional, selalunya mereka ini akan ketinggalan dari segi pelajaran, dan seseorang Muslim pula ternyata hilang pula personaliti sebagai seorang Muslim. Ada yang membuka aurat dan mula memakai rantai (bagi atlet lelaki). Teringat saya pada Sukan Asia 2006, di mana seorang atlet Muslimah dari Bahrain, Ruqayyah menggemparkan dunia olahraga dengan memenangi pingat emas dan perak dalam acara 100m dan 200m walaupun mengenakan pakaian yang menutup aurat dan bertudung. Nah, ini buktinya bagi orang-orang yang jahil yang tetap mempertahankan kenyataan bahawa hendak bersukan perlulah berseluar pendek dan tidak bertudung!

Seharusnya, dalam dunia yang semakin mencabar di mana manusia sudah mula kembali kepada Islam, kita perlu mencetak nama-nama besar dalam bidang sukan sama ada dalam badminton, bola sepak, hoki, renang dan olahraga. Di saat-saat gerhananya sukan di Malaysia, perlunya dilahirkan atlet-atlet professional yang tidak hanya kental dalam gelanggang bahkan turut menjadi cendekiawan dalam bidang pelajaran yang mempunyai Ijazah, Master dan PhD serta turut mempunyai akhlak peribadi Muslim yang unggul.

Atlet Muslimah dari Bahrain sudah buktikan. Atlet Muslim dan Muslimah Malaysia bila lagi??

Thursday, May 13, 2010

Mengapa Bumi Mengalami Gegaran (Vibration Concept)?

Firman Allah: "Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung yang kokoh supaya bumi itu (tidak) goncang bersama mereka, dan telah Kami jadikan (pula) di bumi itu jalan-jalan yang luas, agar mereka mendapat petunjuk." (Al-Anbiyaa', 21: 31)

Betapa pentingnya peranan gunung-gunung di muka bumi ini untuk mengukuhkan bumi ini. Cuba bayangkan, andainya tiada gunung-gunung atau bukit-bukit di muka bumi ini? Apa yang berlaku pada bumi ini? Dan apa kesannya pada diri kita?

Kita juga sedia maklum bahawa, kekayaan Allah s.w.t. disalurkan kepada hamba-hambanya untuk dimanfaatkan. Tidak perlu dilihat ke seluruh dunia, cukuplah sekadar Malaysia yang cukup kaya dengan pelbagai hasil galian seperti Petroleum, Gas Asli, Bijih Timah, Emas dan sebagainya. Dulu, pernah ditujukan persoalan, berapa tahun lagikah kewujudan hasil-hasil galian tersebut? Adakah 50 tahun lagi? Atau 100 tahun lagi? Atau 200 tahun lagi?

Saya hendak mengaitkan kedua-dua persoalan tersebut dengan satu konsep engineering atau kejuruteraan iaitu vibration atau getaran. Dalam mengetahui atau mengukur vibration sesuatu sistem, perkara yang penting adalah mengetahui nilai frekuensi asli (wn) sesuatu sistem.

Frekuensi asli / Natural frequency, wn = √(k/m)

Semakin tinggi nilai frekuensi asli sesuatu sistem, semakin tinggi vibration atau getaran sesuatu sistem. Justeru itu, berdasarkan rumus di atas, jisim (m) sesuatu sistem adalah berkadar songsang dengan frekuensi asli (wn). Ini bermakna, jisim juga berkadar songsang dengan vibration sesuatu sistem.

Saya teringat ketika saya berada di Darjah 6 (lebih kurang 15 tahun dahulu), guru saya mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bebas dari ancaman gempa bumi dan kenyataan guru saya memang benar ketika itu. Tetapi, keadaan sekarang, kenyataan tersebut sudah tidak beberapa tepat kerana kerap kali, negara kita mengalami gegaran atau ancaman akibat gempa bumi di negara jiran yang merupakan tanda-tanda kecil Hari Kiamat.

Adakah logik jika saya mengatakan, semakin berkurangnya galian-galian di muka bumi dan semakin kurang tinggi bukit-bukit dan gunung-gunung akibat ditarah adalah menjadi punca negara kita sudah mula menerima gegaran akibat gempa bumi di negara lain? Berdasarkan konsep vibration ini, kebarangkaliannya benar bahawa dunia sekarang semakin dekat dengan Hari Kiamat, dengan jisim-jisim bumi makin lama makin berkurangan disebabkan hasil-hasil bumi semakin kehabisan. Jika ia benar, kita memang berada di landasan yang tepat menuju ke Hari Pembalasan. Bersediakah kita?

Tuesday, May 11, 2010

Ini Langkahku

Artis: Shoutul Harakah

Aaa... Ini langkahku
Aaa... Terus melaju
Aaa... Ini langkahku
Aaa... Bangkitkan jihad

Ini Langkahku yang kan ku ayun
Walaupun payah tak akan jera
Ini langkahku kan terus melaju
Setegar karang bangkitkan jihadku

Aral rintangan datang menghadang
Tapi syurga di bawah kilatan pedang
Hancurkan kezaliman
Tegakkan keadilan

Pastikan langkahmu wahai pejuang
Dengan Al-Qur'an menjadi pedoman
Hembuskanlah angin pembaharuan
Karena kita khalifaturrahman