Wednesday, June 22, 2011

Mujahid Setia

Artis: Shoutul Harakah


Bangkitlah mujahid bangkitlah
Rapatkan barisan rapatkan
Ayunkanlah langkah perjuangan
Mati syahid atau hidup mulia

Siapkan dirimu siapkan
Gentarkan musuhmu gentarkan
Takkan pernah usai pertarungan
Hingga ajal kan menjelang

Hindarkan rasa takut dan gentar
Walau ragakan meregang nyawa
Kerana Allah telah janjikan syurga
Untukmu mujahid setia


* Apabila teringatkan lirik lagu ini, timbul persoalan dalam diri ini. Adakah mampu diri ini bangkit menjadi Mujahid Setia? Adakah layak digelar Mujahid Setia?

Sunday, June 12, 2011

Akhlak Seorang Muslim

Sejak kecil lagi, bila diceritakan sirah Rasulullah, kita selalu dihidangkan dengan pelbagai cerita yang cukup menarik dan boleh dijadikan pengajaran. Kisah seperti Rasulullah menziarahi seorang kafir yang sakit, yang sering mencampakkan najis kepada Baginda, yang akhirnya orang kafir tersebut mendapat hidayah Islam. Juga kisah apabila Rasulullah melarang para sahabat daripada menyerang seorang Arab Badwi yang kencing di dalam masjid. Apabila kita dihidangkan kisah ini, sebenarnya, ini menggambarkan akhlak baginda yang cukup terpuji. Pasti ada ibrah di atas setiap tindakan Rasulullah itu apabila kita berbicara dari sudut dakwah.

Dalam Islam, kita tidak akan terlepas membicara soal hukum, dan terlalu banyak jika kita membicarakan. Tetapi bagi seorang dai'e atau pendakwah, bukannya kita bertindak atas dasar hukum semata-mata tetapi juga atas dasar dakwah. Maka, jika bertindak atas dasar dakwah, kita akan melihat dari segi banyak aspek contoh kondisi seseorang, kefahaman seseorang dan juga untuk menarik minat seseorang kepada Islam. Berbalik kepada kisah Nabi, "kencing di dalam masjid, pastinya adalah perbuatan yang dilarang ataupun haram", tetapi Nabi tidak bertindak menghukum kerana melihat dari sudut kefahaman Arab Badwi tersebut dan peluang untuk Baginda berdakwah. Itulah contoh yang ditunjukkan oleh seorang Nabi yang maksum.

Kadang-kadang diri ini rasa pelik, dengan orang yang cepat menghukum di atas sedikit pengetahuan yang ada padanya. Lantas dengan mudah menghukum orang dengan mengatakan bid'ah, tidak sunnah dan sebagainya. Bukannya hendak berdiskusi atau menegur dengan cara yang baik tetapi akhlak yang cukup rendah. Lebih malang lagi jika ianya dibalas pula dengan gelaran seperti Wahabi, sesat dan sebagainya. Adakah ini akhlak seorang muslim? Adakah ini cara dakwah para rasul? Adakah tindakan ini berdasarkan hawa nafsu, seolah hanya diri mereka saja yang baik dan diri mereka saja yang layak masuk syurga? Adakah menghukum dan menggelarkan seseorang itu dengan sebegitu rupa merupakan sunnah?

Hasan al Banna, ketika zaman remaja, pernah menubuhkan sebuah kelab iaitu Asosiasi Anti Haram (Kelab Anti Haram / Kelab Anti Bid'ah) bersama sahabat-sahabat beliau. Cara mereka bertindak adalah mengedarkan teguran secara bertulis kepada si pesalah tanpa si pesalah tersebut mengetahui siapa yang menegurnya. Di antara yang ditegur adalah ustaz kepada Hasan al Banna itu sendiri. Cara yang unik untuk menegur kesalahan seseorang dengan tujuan berdakwah dan memperbaiki amalan. Itulah dakwah!

Apa gunanya seseorang pendakwah itu berilmu tetapi sibuk hendak berdebat untuk membuktikan siapa yang lebih betul, lebih hebat dan lebih sunnah. Bukankah dakwah itu menyeru orang kepada Allah. Dalam menyeru kepada Allah, terdapat proses menegur, memperbaiki, berdiskusi dengan cara yang baik dan harmoni, rendah diri, tawadhuk, berlapang dada dan cuba untuk menghormati pendapat orang lain. Bukannya menggalakkan permusuhan dan menjadi seseorang itu takbur di atas ilmunya. Itulah pentingnya akhlak dalam berukhwah dan berdakwah seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah.

Perbezaan pendapat dalam sesuatu perkara haruslah diselesaikan dengan perbincangan yang baik, harmoni dan bertoleransi, bukannya dengan paksaan dan kekerasan mahupun memberi gelaran yang tidak sepatutnya. Wallahua'lam.

Monday, June 6, 2011

Jenama dan Pelaksanaan

Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, “Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.”

Kenyataan yang betul-betul menarik dan saya amat setuju dengannya. Bukan sibuk pada jenama tapi pelaksanaan. Sesetengah organisasi dakwah, suka betul pada jenama bahkan ada yang cukup taksub pada jenama atau nama organisasi. Hinggakan, berhabisan duit dan tenaga untuk memperkenal jenama tersebut dengan program umum supaya lebih dikenali ataupun nampak lebih gah dari jenama yang lain. Kononnya, jenama atau jemaah mereka adalah yang terbaik manakala jemaah lain tidak sehebat mereka. Bagaimana pula dengan sistem usrah dan tarbiyyah? Adakah berhabisan juga dan all out juga dakwahnya? Adakah pelaksanaan segah pada jenama yang dipromosikan?

Kadang-kadang perlu muhasabah diri, adakah sesetengah dai'e sekarang lebih sibuk memantapkan dakwah dan tarbiyyah ataupun lebih suka promosi bahawa merekalah Ikhwanul Muslimin, merekalah PKS dan mereka jugalah HAMAS. Usah menjadi orang yang cepat perasan. Apalah rupanya berbangga kononnya mereka adalah Ikhwanul Muslimin tetapi pada realitinya, sistem usrah dan tarbiyyah hancur, hanya sibuk pada program umum sahaja. Adakah ini yang diajarkan oleh Rasulullah dan adakah ini yang ditunjukkan oleh As-Syahid Hasan al-Banna?

Menurut As-Syahid Abdullah Azam, gerakan ataupun harakah Islam di serata dunia adalah diibaratkan sebagai beberapa batang sungai yang akan terus mengalir dan akan bercantum kesemuanya di penghujungnya. Matlamatnya sama, Insya Allah untuk menegakkan Islam di muka bumi ini. Jadi, apa yang hendak disibukkan dengan jenama ataupun cawangan jemaah mana sekalipun? Tidak kisah la sama ada PAS, IKRAM, ISMA, Haluan, Hizbut Tahrir atau jemaah apa pun, tiada gunanya jika yang disibukkan adalah jenama bukannya pelaksanaan. Lebih malu jika mengaku mereka diiktiraf Ikhwanul Muslimin, sedangkan tiada gerak kerja atau pelaksanaan usrah dan tarbiyyah yang seolah-olah menipu dan menzalimi ahlinya. Jika benar-benar golongan ini yang diiktiraf, maka, yang memberi pengiktirafan juga ditipu.

Ikhwah dan Akhwat sekalian,
Di dalam era tarbiyyah, marhalah takwin dan tanfiz cukup-cukup penting untuk dilakukan untuk menjamin keberlangsungan tarbiyyah dan pembentukan seorang dai'e dan muslim yang mantap manakala marhalah ta'rif merupakan batu loncatan kepada kedua-dua marhalah yang disebutkan tadi. Insya Allah, akan saya huraikan secara terperinci tentang marhalah dakwah ini pada entry yang akan datang. Jika sesebuah jemaah dakwah hanya memandang pada marhalah ta'rif tetapi kurang menekankan marhalah takwin dan tanfiz, maka, mana mungkin ahli-ahlinya ditarbiyyah dengan cukup mantap. Maka, lahirlah golongan yang sibuk berprogram umum sebanyak mungkin untuk meramaikan ahli, namun dari segi penyusunan usrah entah bagaimana. Dilihat hebat Islam itu pada luaran atau pada kulit tetapi di dalam atau isinya, mungkin sedikit ataupun mentah.

Ikhwah dan Akhwat sekalian,
Ayuh, kita kembali kepada manhaj kita iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Buka balik buku sirah dan teliti bagaimana cara Rasulullah berdakwah dan cara Baginda membentuk para sahabat. Rasulullah sebenarnya lebih mementingkan pelaksanaan dan gerak kerja dakwah bukan pada jenama semata-mata. Jika kita mahu Islam kembali gemilang dan dakwah kembali rancak, ikutlah cara Rasulullah dan tinggalkan cara-cara merepek yang banyak meresapi jemaah dakwah sekarang.

Ikhwah dan Akhwat sekalian,
Kita sekarang berdepan tugas yang sangat berat. Maka, bertindaklah mengikut manhaj yang benar dan tepat mengikut acuan Rasulullah dan bukannya bertindak membabi buta.

Wallahua'lam..

Wednesday, June 1, 2011

No Way I'm Leaving


"No way I'm leaving!" Itulah kata-kata bintang bola sepak Barcelona kelahiran Argentina, Lionel Messi selepas membantu kelabnya meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah dengan menumpaskan Manchester United 3-1. Kata-kata itu memberi gambaran bahawa dia akan setia bersama Barcelona dan tidak akan berhijrah ke mana-mana. Mungkin masih belum puas dengan kejayaan yang dicapai atau berada di kelab Barcelona adalah jaminan bahawa dia akan terus meraih kejayaan yang berterusan. Segala-galanya telah dikecapi dengan Barcelona kecuali bersama Argentina, yang masih sedang diburu olehnya. Itulah kenikmatan seorang pemain bola sepak professional; Kejuaraan, Kemahsyuran, Kekayaan dan Populariti. Dengan meraih kesemua itu, tiada apa lagi yang diingini lagi di dunia ini. Bagi Lionel Messi, pada usia semuda 23 tahun, semuanya sudah diraih kecuali kejuaraan Piala Dunia bersama Argentina yang tidak mustahil dapat dicapai.

Begitu juga seorang dai'e, bukan kemahsyuran, kekayaan ataupun populariti yang berada di dalam niat dan fikirannya. Namun nikmat tarbiyyah adalah segala-galanya. Nikmat yang mendorong seseorang itu kepada syurga Allah dan redha Allah. Apa lagi yang hendak dicari jika nikmat yang tidak terhitung nilainya dari Allah yang bakal dikecapai jika segala kerja dakwah dan tarbiyyah adalah kerana Allah. Alangkah ruginya jika seseorang yang mendapat nikmat tarbiyyah, tiba-tiba membuat "U-Turn" meninggalkannya kerana mengejar nikmat dunia.

Kata-kata salah seorang Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin (tidak salah saya, Imam As-Syahid Hasan al-Banna) selalu bermain di dalam fikiran saya; "Apabila mendapat nikmat tarbiyyah, pegang dan jangan dilepaskan. Jika dilepaskan, nikmatnya akan diambil oleh orang lain."

Ayuh ikhwah-ikhwah, akhwat-akhwat dan sahabat-sahabat sekalian, ayuh terapkan dalam diri kita, "No Way I'm Leaving Dakwah!!"