Thursday, January 24, 2013

Rakit Survival


Rakit Survival - Sesuai dengan nama aktivitinya, bagaimana kita survive untuk membina rakit dan memanfaatkannya. Semestinya aktiviti rakit sangat-sangat berbeza dengan kayak. Aktiviti berkayak mungkin dilihat kemampuan mengendalikannya dan keadaan air manakala bagi aktiviti rakit, perlu dilihat juga dari segi pembinaannya. Mungkin sebab itu dinamakan survival dengan melihat kepada keupayaan manusia menghasilkan rakit yang terbaik dan selamat untuk digunakan.

Dari segi teori, pembinaan sebuah rakit sangatlah mudah, tapi, dalam melaksanakannya, barulah tahu, pembinaan apa jua pun perlulah ketelitian yang sangat-sangat persis. Barulah tahu, ciri-ciri penting seperti bagaimana pengapungan rakit itu, rekabentuk yang sepatutnya, cara ikatan yang terbaik, bebanan yang mampu dipikul, kebolehupayaan rakit tersebut dan lain-lain lagi. Maka, tidak boleh sama sekali kita mengambil mudah soal tersebut kerana jika salah caranya, pasti akan tenggelam rakit itu bersama-sama pemain-pemainnya. Sepatutnya, bukan soal cepat atau lambat pembinaan rakit itu, tapi bagaimana kita nak menghasilkan produk yang terbaik.



Begitu juga dengan dakwah, kita tidak harus terburu-buru untuk melihat hasil dakwah kita. Kita harus bersabar dalam membina binaan dakwah dan mempersediakan dakwah kita untuk medan yang lebih besar. Dakwah itu secara normalnya bersifat sangat lama dan sangat panjang, maka seharusnya para dai'e memahami konsep itu. Maka, secara bertahap, perlu berhadapan segala ancaman dan tribulasi sepanjang dakwah itu. Bukanlah hasil, keutamaan yang diinginkan tapi pengisian sepanjang pembinaan dakwah itu demi mencapai matlamat. Hasil atau output yang terbaik adalah lanjutan daripada input yang terbaik dan masa yang tepat. Jika kita tergesa-gesa untuk melihat hasil dari waktu yang sepatutnya, maka pembinaan yang kita bina pasti akan musnah.

Kemusnahan rakit akibat kesilapan kita tidak seharusnya menggusarkan tetapi yang sangat menggusarkan adalah kemusnahan dakwah akibat tangan-tangan dai'e itu sendiri. Moga-moga Allah mengampunkan saya bersama ikhwah/akhwat seperjuangan.


p/s - Pengalaman bersama-sama ikhwah dalam menghasilkan rakit dalam Program Perkhemahan Remaja di D'Kok Eco Camp mencetuskan idea untuk artikel ini.

Sunday, January 13, 2013

Tarbiyah Remaja - Pembinaan Rijal Idaman Dakwah

"Malaysia tidak harus terus berharap kepada Lee Chong Wei untuk mendapat kejayaan dalam sukan badminton. Kita perlu mencari pemain-pemain muda sebagai pemain pelapis negara. Jika tiada, kita harus kembali ke peringkat akar umbi untuk membina pemain-pemain remaja seperti yang dilaksanakan oleh kuasa-kuasa badminton seperti China dan Indonesia. Kita memang tidak akan mendapat kejayaan dengan segera, tapi, pada masa akan datang, kita akan beroleh kejayaan dalam tempoh yang lama dan berterusan dengan munculnya jaguh-jaguh badminton muda yang ramai." ulas Misbun Sidek mengenai keadaan sukan badminton negara sekarang.

Agak unik pemikiran Misbun Sidek mengenai masa depan sukan badminton. Sebagai bekas jagoan dan jurulatih Kelab Nusa Mahsuri, beliau sendiri mempunyai perancangan masa depan yang sangat teliti untuk kejayaan sukan tersebut pada masa akan datang. Rumusannya, saya melihat, kita tidak harus terus mengharapkan kekuatan yang sedia ada, tapi kita harus terus memikirkan jangka masa panjang apa yang harus kita buat.

Begitu juga dalam dakwah. Kita jangan terlalu berpuas hati dan hanya mengharapkan beberapa individu untuk membawa risalah dakwah ini. Dakwah ni terlalu banyak medan dan kita akan terus berasa letih jika tidak cukup orang dan kekuatan menyantuni mad'u kita. Jadi, mengapa tidak kita berfikir seperti apa yang Misbun Sidek berfikir? Selain ketentuan Allah, seharusnya strategi dalam dakwah juga sangat-sangat penting.

Kita perlu kembali ke akar umbi untuk membina para rijal iaitu remaja. Kita perlu perkenalkan dan mematangkan mereka dengan dakwah dan membina mereka sebaik-baiknya menjadi generasi Rabbani yang bersedia untuk bergelumang dengan dakwah bersama-sama kita. Pembinaan rijal-rijal ini pastinya akan mengambil masa yang lama tapi bukankah itu sunnatullah? Pembinaan rijal ini akan memberi impak yang sangat besar apabila mereka memasuki alam belia suatu hari nanti. 

Firman Allah: " .... Jadilah kamu pengabdi-pengabdi Allah, kerana kamu mengajarkan kitab dan kerana kamu mempelajarinya." (Ali-Imran, 3: 79)

Firman Allah: "Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, 'Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran.'" (Al-Kahfi, 18: 13 - 14)

Jika ada yang bertanya, adakah ia akan berhasil? Ya, saya amat-amat optimis seperti optimisnya Misbun Sidek. Mengapa kita selalu mengharapkan kejayaan yang cepat tapi sementara? Bukankah lebih baik kita bersabar demi mencapai kejayaan untuk tempoh yang lama dan berterusan?

Kuat atau lemah sesebuah masyarakat itu bergantung pada pemudanya. Jika hebat pemudanya, maka kuatlah masyarakat itu. Jika rosak pemudanya, maka lemahlah masyarakat itu. Kita harus membina para remaja dan pemuda di luar sana untuk membina kembali bangunan Islam yang hampir roboh. Usah biarkan potensi mereka dibiarkan tanpa dimanfaatkan langsung untuk dakwah ini. Kini, remaja, bukan lagi golongan yang disibukkan dengan aktiviti persekolahan, peperiksaan, kelas tambahan dan games sahaja, bahkan sudah tiba masanya disibukkan dengan usrah dan amal-amal dakwah. Kita harus membina mereka menjadi rijal-rijal idaman dakwah seperti terbinanya tokoh-tokoh remaja zaman Rasulullah dan para Sahabat.

"Andai diumpama Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka. Tetapi aku ingin hati-hati yang IKHLAS untuk membantu dan bersamaku membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah." - As-Syahid Hasan al-Banna.

Ikhwah & Akhwat sekalian,
Tidakkah antum teruja untuk membina dan melahirkan rijal-rijal idaman dakwah? Antum semestinya TAHU tetapi adakah antum MAHU???

Wednesday, January 2, 2013

Tebalkan Mukamu Wahai Da'i

Sempena Tahun Baru 2013, saya dan beberapa orang ikhwah berpakat untuk melaksanakan Street Dakwah di Dataran Nilai dengan mengedar risalah kepada pengunjung-pengunjung di kawasan tersebut. Melaksanakan pada malam tahun baru, seperti dijangka, kawasan tersebut penuh dengan pengunjung yang mungkin bertujuan untuk berhibur, release tension, berjalan-jalan atau membeli-belah. Sasaran adalah semua lapisan masyarakat sama ada orang muda atau orang yang sudah berkeluarga. Ini adalah peluang kita mengenali masyarakat kita yang pelbagai latar belakang dan peluang terbaik berjumpa dan berinteraksi spontan dengan masyarakat.

Bukannya mudah nak edarkan risalah ni, apatah lagi untuk memberikan tazkirah spontan kepada masyarakat. Ada je yang mesra menjawab salam dan menerima risalah, ada juga mengelak bila nampak kita dan ada juga yang menolak mentah-mentah pemberian risalah. Fuh, memang kene tebal muka bila jadi da'i ni. Tak kan kita nak marah kalau dakwah kita ditolak mentah-mentah? Tak kan kita nak bergaduh kalau kita diherdik ketika menyampaikan dakwah? Semestinya tidak, sebab kita mempromosi produk Islam yang terbaik dan yang menjamin kesejahteraan keseluruhannya. 

Saya pernah dioffer untuk menjadi agen takaful, tapi saya menolak. Ketika saya mencari pekerjaan dulu pun, bahagian sales & marketing adalah pekerjaan yang saya tidak mahu terlibat. Sebabnya, tak sanggup nak tebal muka nak jumpa orang untuk promote produk. Rupa-rupanya, bila menjadi seorang da'i, we will do more than that! Mahu atau tidak, seorang da'i perlu sabar, perlu tebal muka walau apa jua reaksi masyarakat dan terus istiqamah membuat kerja. Hasilnya, kita serah pada Allah.

Wallahua'lam..