Saturday, February 14, 2015

Ke Arah Masyarakat Berilmu

Dalam usrah baru-baru ini, wujud satu persoalan di kalangan ahli usrah iaitu apakah kesan isu ISIS ini kepada Islam keseluruhannya? Adakah ianya memberi kesan buruk dan merosakkan Islam atau sebaliknya?

Apabila berlakunya kisah WTC pada 2001, wujudnya Islamphobia dan Islam dilemparkan dengan tuduhan keganasan dan militan. Tetapi, hikmahnya apabila masyarakat non-Muslim mula mengkaji Islam. Meskipun akibat kisah WTC ini menyebabkan terkorbannya negara Islam seperti Afghanistan dan Iraq di tangan musuh-musuh Islam, tetapi di negara Barat pula berlaku sebaliknya. Hasil kajian mereka terhadap Islam, berbondong-bondong masyarakat Barat mula mendekati dan memeluk agama Islam.

Saya melihat perkara yang sama akan berlaku dengan isu ISIS ini terutama di negara Barat. Isu ini akan terus digunakan untuk menfitnah dan mengaitkan Islam dengan keganasan. Bagi masyarakat yang pintar dan berilmu, pasti mereka akan mengkaji sedalam-dalamnya tentang Islam dan membuka ruang kepada dakwah itu sendiri.

Ini yang membezakan di antara penerimaan sesuatu isu oleh masyarakat negara kita dan negara Barat. Apabila sesebuah masyarakat kurang membaca dan kurang membuat kajian, masyarakat itu akan terus ketinggalan dan terus berada dalam arus kebodohan. Lihat saja masyarakat kita, banyak ajaran sesat yang berkembang biak dan yang paling melucukan, ada saja pengikut yang mendokongnya. Sedangkan mengikut logik akal, tiada sebarang istimewa atau kehebatan yang ada pada ajaran sesat tersebut. Maka, tidak hairan juga apabila masih ramai di kalangan masyarakat yang masih mempercayai kisah seorang warga emas meliwat seorang pemuda tanpa sebarang bukti yang kukuh. Ia sepatutnya tidak berlaku jika masyarakat kita adalah generasi membaca, berfikir dan sentiasa membuat kajian.

Berbalik pada isu ISIS ini, saya masih yakin bahawa masih ramai masyarakat di negara kita yang tidak tahu atau tidak ambil kisah berkaitan isu ini. Jadi, tiada ruang yang digunakan untuk dakwah dan sebaliknya mempercayai bulat-bulat apa yang disampaikan berkaitan Islamphobia. Jika ini berlarutan, semestinya tiada manfaat pada dakwah dan Islam itu akan terus difitnah dan dicerca oleh musuh Islam.

Berdasarkan kajiselidik oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 2005, secara purata, rakyat Malaysia hanya membaca 2 buah buku dalam setahun. Manakala rakyat Jepun dan Perancis membaca 10 buah buku dalam setahun dan rakyat Amerika dan Kanada lebih ke hadapan dengan membaca 17 buah buku dalam setahun.

Maka, itulah yang membezakan penerimaan di antara masyarakat yang berilmu dan tidak berilmu. Jika masyarakat masih tidak berubah dari segi keilmuan dengan hanya menerima apa yang diajarkan saja atau hanya berharap pada media arus perdana saja, masyarakat itu tidak akan bergerak jauh ke hadapan. Masyarakat akan terus dikongkong kerana kurang ilmunya. Justeru itu, tidak hairan apabila berpuluh tahun negara kita merdeka, pembangunan dan perubahan masyarakat tidak meningkat pada tahap yang sepatutnya. Kita harus sedar bahawa wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah adalah berkaitan dengan keilmuan sebagai permulaan dalam memantapkan dakwah dan tarbiyah.

Firman Allah: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq, 96: 1 - 5)

Kesimpulannya, dalam ruang lingkup dakwah, kita bukan saja hendak mengajak masyarakat untuk beramal tetapi juga memartabatkan keilmuan masyarakat. Tamadun hanya dapat dibina dengan keilmuan yang tinggi dan dapat memberi manfaat kepada orang lain. Keilmuan ini jugalah yang akan memberi kesan yang besar kepada dakwah dan seterusnya dapat disebarkan kepada seluruh manusia. 

Wallahua'lam...

Friday, February 13, 2015

Hidupkan Obor Perjuangan Itu

Syurga Allah itu  bukannya murah. Perjuangan untuk mengejarnya bukannya mudah dan dipenuhi dengan air mata, ranjau dan kekecewaan. Perjuangan itu akan diteruskan walaupun ada yang pergi mengadap Rabb terlebih dahulu atau ada yang terhumban di jeriji besi.
 
'Penjara bukanlah tembok tebal dan jeriji besi. Sebenarnya penjara adalah keadaan dalam perasaan dan fikiran kalian.' - Hasan Hudhaibi
 
Pejuang silih berganti tetapi obor perjuangan akan terus hidup dan tidak akan pernah padam. Teruskanlah berjuang menuju redha Allah dan semoga berkumpul para pejuang di syurga kelak bersama para Anbiya' dan para syuhada'.
 
 
Amin Ya Rabb...
 

 
 
 

Thursday, February 5, 2015

Gagasan Politik Baru

Sudah lebih 57 tahun Malaysia Merdeka. Kepimpinan negara silih berganti, namun adakah negara kita makin maju atau mundur ke belakang? Kita sentiasa melihat gagasan politik yang dibawa oleh parti politik sama ada pemerintah atau pembangkang, sama ada mampu menjadi anjakan dalam halatuju negara kita.
 
Kita harus mengerti hakikat politik yang hendak diperjuangkan dan perlulah berada di landasan yang tepat. Melaungkan slogan Negara Islam atau pelaksanaan Hukum Hudud tidak semudah yang disangka. Banyak ranjau-ranjau yang perlu diatasi dan disantuni. Bagaimana kita hendak mengharapkan penubuhan sebuah negara Islam dengan keadaan orang Islam sendiri jauh daripada Islam dan orang bukan Islam langsung tidak didekatkan dengan Islam? Dan dengan mudah kita mengharapkan perubahan itu berlaku hanya ketika pilihan raya. Berpeganglah pada realiti di mana ianya tidak akan berjaya. Allah Taala sendiri menurunkan perintah pengharaman arak dengan berperingkat dan Rasulullah sendiri membawa perlaksanaan hukuman Hudud dengan berperingkat. Penerimaan masyarakat terutama orang Islam dan waqi' pada ketika itu amat diambil kira sebelum sesuatu hukuman dilaksanakan.
 
Ijtihad Politik bagi ahli politik dan parti politik tidak akan sentiasa kekal. Ianya bergantung pada keadaan masyarakat dan waqi' pada masa itu. Ijtihad Politik pada waktu sekarang berbeza dengan pada 10 tahun akan datang. Ijtihad Politik di Terengganu juga berbeza dengan Selangor dan semestinya berbeza dengan Sabah. Juga tidak boleh disamakan waqi' di Malaysia dengan Mesir, mahupun Turki. Kerana ianya pasti berbeza. Maka, ianya bergantung pada kebijaksanaan dalam menghadapinya.
 
Gagasan Politik di Malaysia memerlukan nafas baru, sama ada di peringkat parti politik atau individu. Kita tidak mahu terus ditadbir dengan idea-idea lapok dan ketinggalan zaman. Pertembungan seteru-seteru politik lama tidak wajar diteruskan kerana tidak lagi dilihat memberi manfaat. Rakyat sudah muak dengan politik fitnah - menfitnah dan caci maki yang dibawa sebelum ini.
 
Berpolitik dari erti kata membawa dakwah kepada masyarakat dan terus membina keharmonian kaum. Bukan hanya mementingkan aspek pembangunan material semata-mata tetapi juga pembangunan sahsiah demi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Binalah sesuatu kebaikan untuk diwarisi oleh generasi akan datang supaya kebaikan itu dapat memberi manfaat keseluruhannya.
 
Seperti yang dipelajari dalam sirah, Islam adalah rahmat kepada semua. Justeru itu, gagasan yang hendak dibawa perlu mengambil kira pelbagai aspek seperti keadilan kepada semua makhluk Allah, ketelusan undang-undang, kebajikan rakyat, keharmonian kaum dan kegiatan dakwah dan tarbiyah yang berterusan supaya manusia ini mengenal siapa Allah. Banyak lagi kerja yang perlu kita lakukan supaya Islam itu bertebaran di muka bumi ini dalam memastikan gagasan Islam terus gah dan memberikan rahmah kepada seluruh alam.

Monday, February 2, 2015

Terima Kasih Kerana Merotanku

Bila dikenang balik kisah silam semasa kecil, semestinya itulah yang mencorak diri kita sekarang. Benar kata pepatah melayu, "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya."
 
Apa yang dilalui semasa waktu kecil adalah pengalaman yang mendewasakan seseorang. Apa yang ibu bapa dan guru lakukan pada kita adalah untuk kebaikan diri kita sebenarnya. Pengalaman dirotan dan dipukul akibat nakal, malas mengaji dan malas nak solat masih terngiang-ngiang dalam fikiran. Dirotan, dicubit dan diarah berdiri atas kerusi oleh guru kerana nakal dan tidak siapkan kerja sekolah adalah perkara normal. Marah dan dendam semestinya ada pada masa itu, tapi apabila dewasa, hanya senyum saja yang terukir ;)
 
 
 
Jika didikan dan tarbiyah tidak bermula sejak kecil, maka bilakah sepatutnya ianya dilakukan? Merotan itu bukanlah hendak melepaskan geram tetapi adalah untuk mendidik. Perlu faham tu... Bahkan Rasulullah sendiri mengajarkan cara tarbiyah dan didikan anak-anak yang perlu diaplikasikan. Cara, umur yang sesuai dan bagaimana dilaksanakan, semuanya ada diterangkan.
 
Sabda Nabi s.a.w.: "Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun." (Riwayat Abu Daud)

Senang cerita, itulah salah satu cara supaya kita benar-benar menjadi seorang 'manusia', bukannya seorang 'hantu'. Dan apabila si anak meningkat dewasa dan menjadi ibu dan bapa, itu jugalah yang mereka lakukan kepada anak-anak mereka. Biarlah ibu atau bapa itu dibenci atau didendam oleh anaknya sendiri sewaktu kecil disebabkan garang atau tegasnya mereka, kerana anaknya pasti akan menyayangi dan menghargainya apabila mereka dewasa kelak.

Kita sibuk sangat mengkaji undang-undang dan falsafah Barat sedangkan dalam Islam jelas terpampang hal ini. Apa yang Allah dan Rasul sampaikan tidak lain dan tidak bukan, untuk kebaikan dan rahmat ke seluruh alam.

Wallahua'lam...