Sunday, September 27, 2015

Pengorbanan

Kita selalu mengimbau kenangan semasa kecil dan remaja, tentang bagaimana pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan kita. Duit belanja sekolah, keperluan harian, bercuti dan sebagainya yang semata-mata mahu melihat kita membesar dan gembira. Ketika itu, tiada pun dalam fikiran - Ibu dan abah ini ada duit ke? Mahal ke tidak barang ni? Ada keperluan ke beli barang ni? Begitu juga lah, apabila semakin meningkat usia dan tibanya pula masa kita melayan karenah anak-anak. Apa yang ibu bapa kita rasai dahulu, itu juga lah dirasai oleh kita sekarang.

Sebuah pengorbanan ini tidak akan wujud jika tidak merasai kesusahan dan keperitannya. Kesusahan yang dirasai oleh ibu bapa dalam membesarkan kita, itulah pengorbanan yang mereka berikan kepada kita. Pengorbanan yang tidak dapat diganti oleh seorang anak hatta dengan apa saja balasannya. 

Setiap kali Hari Raya Aidil Adha ataupun Hari Raya Korban, kita selalu bercakap berkaitan pengorbanan. Maka, tiada maknanya, jika kita sendiri tidak memahami istilah pengorbanan itu atau tidak langsung melakukan pengorbanan hatta sedikit. Seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim yang berkorban terhadap anak dan isterinya yang tercinta atas perintah Allah, dan itulah sebesar-besar pengorbanan manusia. 

Justeru itu, pengorbanan adalah pada orang atau sesuatu yang kita cintai. Jika cinta kita pada keluarga kita, apakah pengorbanan yang dilakukan pada mereka? Jika cinta pada agama kita, apakah pengorbanan dalam mengangkat darjat agama kita? Manusia sanggup berkorban demi kerjaya, pangkat dan kemahsyuran, yang akhirnya akan mendapat balasan apa yang dikorbankan. Maka, apakah manusia tidak memburu pengorbanan untuk agama ini? Dan, apakah pengorbanan kita lakukan untuk agama selama ini?

Firman Allah: "Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka, bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung." (At-Taubah, 9: 111)

Pengorbanan oleh ibu bapa adalah semata-mata kerana cintakan anaknya dan untuk mengejar kebahagiaan anaknya. Seperti mana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan Nabi Ibrahim a.s., di mana, pengorbanan yang mereka lakukan adalah kerana cinta pada ummat dan agama-Nya. Justeru itu, di manakah tahap pengorbanan kita? Adakah sekadar mendengar alunan cerita dan sirah yang saban tahun diulang? Atau ianya titik tolak meredam erti pengorbanan tersebut dan mengaplikasikannya dalam kehidupan kita. Syurga itu mahal harganya. Hanya pengorbanan yang ikhlas dan mahal harganya yang membawa ke syurga itu.

Wallahua'lam...

Wednesday, September 23, 2015

Pembangunan Akar Umbi



Tidak dinafikan bahawa sukan Bola Sepak adalah antara sukan utama yang diminati di Malaysia. Tetapi, sayangnya, minat saja tidak mencukupi untuk diterjemahkan dengan kejayaan di peringkat antarabangsa. Liga yang berprestij tinggi dan status pasukan dan kelab professional tidak menjamin kualiti dan kejayaan di peringkat antarabangsa. Sehingga kini, ranking dan kedudukan terkini pasukan bola sepak Malaysia jatuh kepada tangga ke-169. 
 
Di mana silapnya?

Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) ataupun NFPD yang dirangka untuk pembangunan akar umbi bola sepak, dilihat sebagai perancangan terbaik bagi jangka masa panjang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara. Ianya merupakan pembangunan akar umbi dalam arena bola sepak yang bermula seawal umur 7 tahun. Bahkan, pada tahun 2015, sedikit sebanyak kita dapat melihat prestasi semasa Pasukan NFPD Malaysia (Bawah 13 Tahun) yang menonjol dan bersaing dengan akademi kelab luar negara di pentas antarabangsa.

Pembangunan akar umbi bagi sesuatu elemen sangat penting bagi menjamin keberlangsungan untuk jangka masa panjang. Mungkin, buat masa sekarang, kita boleh lupakan seketika atau mengharapkan kejayaan bola sepak negara buat masa ini. Ini kerana, kita perlu merancang pembangunan jangka masa panjang dan berterusan. Kita tidak akan nampak hasilnya pada waktu sekarang, tetapi hasilnya sedikit demi sedikit akan terserlah dalam 10 - 20 tahun akan datang. Bakat dan potensinya dibentuk sejak usia remaja dan kanak-kanak, di mana usia yang lebih mudah untuk dilentur. Lihat saja akademi kelab luar negara yang disertai oleh kanak-kanak seawal usia 7 tahun! Bahkan, pembangunan akar umbi ini bukan saja dibangunkan di peringkat kebangsaan, bahkan patut diwujudkan di dalam akademi bola sepak di peringkat kelab dan negeri. Jika ini berhasil, sukan bola sepak pastinya menjadi kerjaya professional yang menjadi rebutan di Malaysia. 

Memang benar peribahasa - "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya." Maka, begitu juga halnya dengan dakwah dan tarbiyah. Organisasi dakwah tidak patut hanya merangka pelan pembangunan pada waktu sekarang sahaja. Ianya perlu dimasukkan juga pelan pembangunan untuk jangka masa panjang. Ini penting supaya tiada ketandusan dalam pelapis dakwah pada masa akan datang.

Sejak zaman dahulu lagi, bahkan jauh sebelum Islam muncul di muka bumi, para Nabi dan Rasul yang diutus untuk menyampaikan wahyu Allah s.w.t dan syariat-Nya kepada umat manusia, semuanya adalah orang-orang yang terpilih dari kalangan pemuda yang berusia sekitar empat puluhan. Bahkan, ada di antaranya yang diberi kemampuan untuk berdebat dan berdialog sebelum umurnya genap 18 tahun. Berkata Ibnu Abbas r.a., "Tidak ada seorang Nabi pun yang diutus oleh Allah, melainkan ia (dipilih) dari kalangan pemuda sahaja (iaitu antara 30 - 40 tahun). Begitu pula tidak seorang 'Alim pun yang diberi ilmu melainkan ia (hanya) dari kalangan pemuda sahaja." 

Justeru itu, dakwah juga perlu melihat pembangunan pada kanak-kanak, remaja dan belia. Ianya bukanlah sesuatu yang baru, kerana ketika awal dakwah Rasulullah, kebanyakan yang mendokong dakwah Rasulullah ialah anak-anak muda dan remaja! Tahap pengkaderan pada tarbiyah pertama di Darul Arqam merangkumi Ali bin Abu Talib (8 tahun), Zubair bin Awwam (8 tahun), Talhah bin Ubaidillah (11 tahun), Saad bin Abi Waqas (17 tahun) dan Mushab bin Umair (24 tahun).

Maka, demi keberlangsungan dakwah di arus perdana, perancangan dakwah tidak harus ketinggalan dengan perancangan pembangunan akar umbi bola sepak. Dakwah juga harus dibangunkan pembangunan akar umbi sama ada kanak-kanak, remaja dan belia supaya akan lahir generasi muda yang akan menjadi generasi utama dan generasi pengganti pimpinan pada masa akan datang.
 
Wallahua'lam...

Thursday, September 10, 2015

Bai'ah Talak Tiga: Pencerobohan Institusi Keluarga

Tidak salah saya, isu bai'ah talak tiga ini pernah kedengaran pada tahun 2009, tetapi terhenti apabila dinafikan oleh pemimpin utama PAS. Namun, kini, ianya kembali berkumandang apabila berlaku krisis dalaman PAS. 

Isu bai'ah talak tiga ini adalah isu dalaman parti ataupun boleh dikatakan sebagai isu dalam kelambu, yang tak perlu didedahkan pada umum. Mengapa ianya didedahkan sekarang? Wujudnya Gerakan Harapan Baru (GHB) dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai pengganti PAS di dalam Pakatan Rakyat, dilihat sebagai ancaman lebih-lebih lagi apabila ramai wakil rakyat PAS telah dan akan berhijrah ke Amanah. Kemungkinan besar, atas faktor ini lah, isu ini gagal dibendung dari pengetahuan umum sebagai amaran bagi mereka yang ingin keluar parti.

Saya tak berani nak ulas berkaitan isu ini dan saya bukan ahlinya untuk mengulas isu ini. Banyak pandangan telah dikeluarkan oleh para ahllinya seperti Mufti Perlis, Mufti Pulau Pinang, Dr. Ust. Zaharudin dan sebagainya. Cuma, agak pelik apabila kita melihat dan menilai sebuah parti atau organisasi seperti sebuah agama. Sebuah Parti Islam atau Pertubuhan NGO Islam bukanlah sebuah agama. Ia hanya sebuah organisasi yang membawa agenda Islam. Apabila disebut organisasi, ianya dipimpin oleh manusia yang tidak lepas dari kesalahan. Selepas wafatnya Rasulullah, kesemua organisasi adalah tidak semestinya 100% benar walaupun membawa panji Islam. Ini kerana pimpinan selepas Rasulullah adalah bukan maksum. Justeru itu, mengapa tergamaknya institusi keluarga dicagarkan atas sebuah organisasi? Sedangkan ramai yang maklum atas ketidakmaksuman manusia yang memimpin organisasi. Islam atau Ad-Deen itu bersifat unggul dan benar, tetapi organisasi yang membawa Islam tidak selalunya unggul dan benar. Hatta, sebuah organisasi, walaupun dipimpin seorang yang bergelar Syeikh atau Tok Guru, tetap saja tidak terlepas dari kesilapan.

Dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Perbuatan halal yang paling dibenci Allah ialah cerai." Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah. Hadith Sahih menurut Hakim. Abu Hatim lebih menilainya Hadith Mursal.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Cara keganasan dan militan bukanlah kaedahnya untuk menubuhkan negara Islam. Mengkafirkan individu atau organisasi atau budaya takfiri, bukanlah caranya untuk berdepan dengan golongan sekular dan golongan yang berlainan aliran. Begitu juga dengan isu bai'ah ini. Tidak sepatutnya bai'ah talak tiga yang mencagarkan institusi keluarga dan merendahkan martabat wanita dilakukan hanya semata-mata untuk memastikan survival parti politik tertentu atau untuk mengelak wakil rakyat melompat parti. Apatah lagi, umat Islam keseluruhannya maklum tentang hukum talak ini dan tidak sepatutnya dijadikan bahan mainan atau bahan cagaran bagi sesuatu isu. Harapnya, ianya tidak dijadikan ikutan oleh kelompok lain dalam membuat janji atau sumpah seperti jatuhnya talak tiga jika tidak bayar hutang atau jatuhnya talak tiga jika bocor sesuatu rahsia.

Berpolitiklah dengan matang dan berbaiklah dengan semua orang. Apabila berpolitik dengan membina banyak permusuhan, apa yang diharapkan kebaikan pada negara ini? Usah disemai kebencian pada pihak tertentu dan elakkanlah rasa tidak hormat dan dendam kesumat supaya disenangi oleh semua orang. Politik yang disemai dengan kebencian dan dendam kesumat hanya membawa kehancuran kepada sesebuah negara.

Sebuah unit keluarga merupakan subset di dalam masyarakat, dan hancurlah masyarakat itu jika institusi keluarga dicerobohi hanya akibat daripada sifat dendam dan survival pihak tertentu. Binalah negara ini dengan masyarakat yang unggul, dan binalah masyarakat dengan keluarga yang sakinah dan unggul. Usah dicerobohi sistem kekeluargaan ini dan perkukuhkanlah sistem ini demi keberlangsungan masyarakat dan negara yang unggul.

Wallahua'lam...

Sunday, September 6, 2015

R&D

"Melihat isu-isu umat Islam sekarang dan pelbagai kekeliruan, kita perlu sentiasa membuat research dan mewujudkan Team R&D untuk mempertahankan dan menyerang balik dakwaan dan fitnah terhadap Islam. Sesiapa yang berminat untuk masuk dalam team ni, boleh jumpa dengan saya."

Lebih kurang begitulah tawaran yang disampaikan oleh penceramah slot Sains & Al-Quran di Desasiswa Lembaran, USM pada Jun 2003. Entah mengapa, tiba-tiba rasa teruja dan terus jumpa penceramah tu dan menyatakan minat. Dan itulah saat dan ketikanya saya 'ditangkap' dan dibawa ke dalam dunia Tarbiyah.

Antara isu yang sering diutarakan ialah peristiwa WTC 2001 dan fahaman Sister In Islam (SIS) yang menghantui masyarakat ketika itu. Merujuk artikel saya sebelum ini, http://imam-abuhanifah.blogspot.my/2015/02/ke-arah-masyarakat-berilmu.html, kita sebagai dai'e perlu banyak membaca dan membuat research sedikit sebanyak bagi menjawab dakwaan dan fitnah yang dilemparkan kepada Islam.


Apakah Itu R&D?

R&D bermaksud Research and Development atau Penyelidikan dan Pembangunan. Secara umum, boleh difahami, penyelidikan dilaksanakan berdasarkan sesuatu perkara baru, produk atau masalah, dan dibangunkan hasil penyelidikan itu.

Dalam dunia pendidikan, R&D ini sangat penting dalam mengembangkan kajian dalam pendidikan. Begitu juga dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan ketenteraan. Itu sebabnya, kebanyakan firma atau syarikat yang besar dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, diwujudkan Bahagian R&D untuk memastikan wujudnya produk baru atau inovasi untuk terus berdaya saing.


R&D Dalam Dakwah

Pelbagai kekeliruan dan perkara baru yang timbul kepada masyarakat pada ketika ini, dan yang paling menyedihkan, dakwah ini bersifat statik dalam menghadapinya. Dunia semakin kompleks dan begitu juga permasalahan yang timbul. Justeru itu, kepelbagaian bahan dan kaedah amat diperlukan dalam menghadapi keadaan ini.

Sadangkan wahyu yang diturunkan kepada manusia tidak hanya merangkumi pada satu penafsiran saja. Kepelbagaian penafsiran inilah yang mencantikkan dunia dakwah dan menjadi modal kepada para pendakwah.

Memetik kata-kata Allayarham Ahmad Deedat, "Jika benar Malaysia sebuah negara Islam, pastinya warga bukan Islamnya sudah memeluk  Islam pasca sekian lama telah merdeka."

Isu seperti ISIS, Agama-Bangsa, Tahalluf Siyasi, Ketuanan Bangsa, Kepimpinan Ulama dan lain-lain adalah antara isu yang dipermainkan dan berlegar-legar di kalangan masyarakat, dan masyarakat terus keliru. 

Justeru itu, para dai'e perlu menghidupkan budaya mengkaji, membaca, memerah fikiran untuk menjawab sesuatu hujah dan persoalan yang dilemparkan. Jika fitnah dilemparkan dengan hujah, maka ianya perlu dibalas dengan hujah. Jika fitnah dilemparkan dengan dialog atau wacana, wasilah ini juga perlu diwujudkan untuk membalasnya. Dan, jika dilemparkan fitnah melalui media atau artikel, kita harus menguasai media dan dunia penulisan untuk membalasnya. Dakwah ini perlu bergerak dan dinamik supaya kekal relevan. Jika dakwah itu hanya statik tanpa sebarang hujah, dakwah ini akan hilang aura dan seninya.

Jika kemajuan teknologi adalah dengan kemajuan R&D nya, maka, dakwah juga perlu dimajukan dengan adanya R&D. Di saat taghut mengancam dunia dengan dakyah yang pelbagai, para dai'e Islam juga harus mempertahankan Islam dan memburu mad'u dengan kaedah dakwah yang pelbagai. 

Wahai para dai'e, luaskanlah kaedah dakwahmu, dan bukan hanya selesa dengan kerja-kerja rutin dakwah. Teruskanlah mengkaji, memerah fikiran dan membangunkan idea-idea baru demi keberlangsungan dakwah.

Friday, September 4, 2015

Keliru

Rakyat semakin keliru dengan apa yang terjadi sekarang ini. Benar atau salah, bukanlah isunya. Tetapi, kekeliruan itu menyebabkan rakyat seolah-olah tidak tahu ianya benar ataupun salah.

Skandal 1MDB yang dikatakan Father of the Scandal, mendapat tumpuan ramai di kala rakyat diliputi kesusahan, pengangguran, pemberhentian kerja dan penangan GST. Keliru sebab ianya dikatakan penyelewengan dan skandal politik, dan juga keliru sebab ianya dikatakan sebagai derma! Ramai yang mengutuk skandal ini, tetapi ramai juga bermati-matian mempertahankan.

Golongan agamawan di dalam organisasi Islam yang sepatutnya menjadi qudwah kepada masyarakat, bertindak sebaliknya. Perbuatan mencerca, memaki hamun dan melabel sesama mereka seolah-olah dihalalkan. Ada yang mengkritik perbuatan itu, tetapi ada juga yang menyokong, bahkan turut sama mengeruhkan keadaan. Di mana akhlaknya? Adakah ada pengecualian bagi golongan tertentu? Semakin keliru, kerana ianya melibatkan golongan agamawan.

Tidak cukup dengan itu, timbul pula isu Bai'ah Talak Tiga yang dilaksanakan oleh sebahagian wakil rakyat Parti Islam. Isu yang di dalam kelambu dibongkarkan dan menjadi perbualan umum. Keliru sebab ianya dilakukan oleh sebuah Parti Islam. Kalau parti Islam, begini sumpah dan bai'ahnya, bagaimana pula sumpah wakil rakyat parti sekular. Ada yang mengkritik perbuatan ini kerana merosakkan institusi keluarga, tetapi ada juga yang bermati-matian mempertahankan.

Rakyat semakin keliru, dan berterusan keliru. Saya tidak bimbang kepada golongan yang melakukannya. Tetapi, saya bimbang kekeliruan muncul di tengah-tengah masyarakat dan menjadikan itu hujah untuk bersama-sama mengelirukan orang lain. Kesian kepada mereka yang berterusan taksub pada pemimpin tertentu hingga sukar untuk diperbetulkan hujahnya. Lebih kesian kepada yang menjadikan pemimpin ini sebagai idola mereka.

Maka, rakyat akan terus dibelenggu dengan kekeliruan.....