Tidak dinafikan bahawa sukan Bola Sepak adalah antara sukan utama yang diminati di Malaysia. Tetapi, sayangnya, minat saja tidak mencukupi untuk diterjemahkan dengan kejayaan di peringkat antarabangsa. Liga yang berprestij tinggi dan status pasukan dan kelab professional tidak menjamin kualiti dan kejayaan di peringkat antarabangsa. Sehingga kini, ranking dan kedudukan terkini pasukan bola sepak Malaysia jatuh kepada tangga ke-169.
Di mana silapnya?
Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) ataupun NFPD yang dirangka untuk pembangunan akar umbi bola sepak, dilihat sebagai perancangan terbaik bagi jangka masa panjang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara. Ianya merupakan pembangunan akar umbi dalam arena bola sepak yang bermula seawal umur 7 tahun. Bahkan, pada tahun 2015, sedikit sebanyak kita dapat melihat prestasi semasa Pasukan NFPD Malaysia (Bawah 13 Tahun) yang menonjol dan bersaing dengan akademi kelab luar negara di pentas antarabangsa.
Pembangunan akar umbi bagi sesuatu elemen sangat penting bagi menjamin keberlangsungan untuk jangka masa panjang. Mungkin, buat masa sekarang, kita boleh lupakan seketika atau mengharapkan kejayaan bola sepak negara buat masa ini. Ini kerana, kita perlu merancang pembangunan jangka masa panjang dan berterusan. Kita tidak akan nampak hasilnya pada waktu sekarang, tetapi hasilnya sedikit demi sedikit akan terserlah dalam 10 - 20 tahun akan datang. Bakat dan potensinya dibentuk sejak usia remaja dan kanak-kanak, di mana usia yang lebih mudah untuk dilentur. Lihat saja akademi kelab luar negara yang disertai oleh kanak-kanak seawal usia 7 tahun! Bahkan, pembangunan akar umbi ini bukan saja dibangunkan di peringkat kebangsaan, bahkan patut diwujudkan di dalam akademi bola sepak di peringkat kelab dan negeri. Jika ini berhasil, sukan bola sepak pastinya menjadi kerjaya professional yang menjadi rebutan di Malaysia.
Memang benar peribahasa - "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya." Maka, begitu juga halnya dengan dakwah dan tarbiyah. Organisasi dakwah tidak patut hanya merangka pelan pembangunan pada waktu sekarang sahaja. Ianya perlu dimasukkan juga pelan pembangunan untuk jangka masa panjang. Ini penting supaya tiada ketandusan dalam pelapis dakwah pada masa akan datang.
Sejak zaman dahulu lagi, bahkan jauh sebelum Islam muncul di muka bumi, para Nabi dan Rasul yang diutus untuk menyampaikan wahyu Allah s.w.t dan syariat-Nya kepada umat manusia, semuanya adalah orang-orang yang terpilih dari kalangan pemuda yang berusia sekitar empat puluhan. Bahkan, ada di antaranya yang diberi kemampuan untuk berdebat dan berdialog sebelum umurnya genap 18 tahun. Berkata Ibnu Abbas r.a., "Tidak ada seorang Nabi pun yang diutus oleh Allah, melainkan ia (dipilih) dari kalangan pemuda sahaja (iaitu antara 30 - 40 tahun). Begitu pula tidak seorang 'Alim pun yang diberi ilmu melainkan ia (hanya) dari kalangan pemuda sahaja."
Justeru itu, dakwah juga perlu melihat pembangunan pada kanak-kanak, remaja dan belia. Ianya bukanlah sesuatu yang baru, kerana ketika awal dakwah Rasulullah, kebanyakan yang mendokong dakwah Rasulullah ialah anak-anak muda dan remaja! Tahap pengkaderan pada tarbiyah pertama di Darul Arqam merangkumi Ali bin Abu Talib (8 tahun), Zubair bin Awwam (8 tahun), Talhah bin Ubaidillah (11 tahun), Saad bin Abi Waqas (17 tahun) dan Mushab bin Umair (24 tahun).
Maka, demi keberlangsungan dakwah di arus perdana, perancangan dakwah tidak harus ketinggalan dengan perancangan pembangunan akar umbi bola sepak. Dakwah juga harus dibangunkan pembangunan akar umbi sama ada kanak-kanak, remaja dan belia supaya akan lahir generasi muda yang akan menjadi generasi utama dan generasi pengganti pimpinan pada masa akan datang.
Wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment