Diturunkan berikutan sihir yang dilakukan oleh seorang Yahudi bernama Labid bin al-A’som terhadap Baginda sebagaimana yang diriwayatkan di dalam hadith sahih Bukhari dan Muslim drpd A’isyah. Dia telah menyihir baginda dalam sebuah perigi di Qasr al-Tol’l. Di situ, terdapat gumpalan rambut Baginda yang gugur selepas disikat dan gigi sisir serta tali busur panah yang disimpulkan dengan sebelas simpulan yang dicucuk dengan jarum. Lalu Allah turunkan dua surah ini. Allah takdirkan setiap kali dibacakan satu ayat, terungkailah satu simpulan sehinggalah terungkai simpulan terakhir. Baginda pun bangkit berdiri dengan tangkas bagaikan Baginda telah terlepas dari rasukan.
Kelebihan Surah:
Ahmad Abu Dawud, al-Tirmizi dan Nasa’I meriwayatkan juga dari Uqbah bin Amir katanya: “Rasulullah telah menyarankan kepadaku agar membaca setiap lepas solat tiga surah al-Muawwizat (al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas).”
Nasa’i meriwayatkan dari Abi Abdullah bin Aabis al-Juhani bahawa nabi bersabda kepadanya: “Wahai Ibnu Aabis! Mahukah engkau aku tunjukkan atau mahukah aku ceritakan kepadamu tentang sebaik-baik pendinding bagi sesiapa yang inginkan ayat pendinding?” Jawabnya: “Tentu sahaja wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Surah al-Falaq dan al-Nas. Dua surah inilah.”
Bukhari meriwayatkan daripada A’isyah bahawa nabi apabila ingin berbaring di tempat tidurnya setiap malam menghimpunkan dua tapak tangannya, kemudian Baginda menghembuskannya sambil membaca al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas. Kemudian, Baginda mengusap-usap dengan kedua-dua tangan sekujur jasad baginda sekadar yang boleh. Dimulakan dengan kepalanya, mukanya dan hadapan badannya dan diulangi perbuatan itu sebanyak 3 kali.
Perbahasan:
Surah Al-Falaq ini lebih menerangkan atau mengenalpasti jenis-jenis musuh yang akan dihadapi oleh orang Islam sama ada yang boleh dilihat secara lahiriah ataupun tidak. Mengetahui golongan Hizbus Syaitan yang merupakan gabungan iblis, manusia kafir dan jin kafir (rujuk dalil 36:60, 6:112, 114:5 dan 34:21). Iblis ini akan memasuki ke dalam manusia manapun untuk menyelewengkannya dari jalan Allah s.w.t. (rujuk juga dalil 17:62). Apabila sudah mengenali ciri-ciri golongan ini, akan terjadilah pertarungan di antara golongan Hizbus Syaitan dan golongan Mu’min di mana matlamat utama golongan Hizbus Syaitan adalah untuk membentuk peribadi yang buruk di kalangan orang Mu’min.
Di dalam surah ini, Allah mengkhususkan supaya kita meminta pertolongan-Nya dari tiga golongan Hizbus Syaitan iaitu:
Pertama: Malam apabila kegelapannya semakin gelap, kerana malam sebagaimana yang disebut oleh Fakhru al-Razi adalah saat binatang buas dan binatang melata keluar dari persembunyiannya, saat di mana pencuri dan penjahat melakukan pencerobohan, saat berlakunya kebakaran, kurangnya pertolongan dan saat di mana orang-orang jahat bersemangat melakukan kejahatan.
Kedua: Ahli sihir wanita yang meniup-niup pada simpulan benang; wahana sihir apabila menjampi. Allah mengumpamakan tiupan itu sebagaimana lagak orang yang berjampi untuk merawat orang sakit.
Ketiga: Sikap orang yang dengki apabila ia sakit hati dan menyiapkan muslihatnya. Orang yang dengki mengharapkan hilangnya nikmat dari diri orang yang didengkinya meskipun ia sendiri mungkin tidak dapat nikmat berkenaan.
Dengan wujudnya golongan Hizbus Syaitan ini, maka perlulah golongan Hizbullah (Parti Allah) memainkan peranan. Maka, ciri-ciri golongan Hizbullah perlulah mempunyai dua jenis akhlak utama:
A) Akhlak Dasar
- Mencintai Allah (5:54)
- Lemah lembut terhadap golongan Mu’min (48:29)
- Tegas terhadap golongan kuffar (48:28-29)
- Berjihad di jalan Allah (9:23-24)
- Tidak takut dicela (86:6)
- Taat dan Wala’ kepada Allah, Rasul dan orang Mu’min (5:55-56)
B) Akhlak Pergerakan
- Tidak ragu-ragu (8:45-47)
- Zikrullah (13:28)
- Taat kepada Allah dan Rasul (4:80)
- Saling bersatu (3:103)
- Sabar (3:146)
- Tawadhu’ (tidak sombong) (26:215)
- Ikhlas (tidak riya’) (39:11-14)
- Membantu jalan Allah (8:45-47)
Maka, jika benarlah kita mahu menjadi golongan Hizbullah, ayuh kita periksa, adakah mempunyai dua jenis akhlak yang utama ini. Sudah tentu, banyak segi yang perlu dikuatkan atau ditampungi untuk menjadi golongan yang terbaik di sisi Allah.
Rujukan:
1) Prof. Dr. Wahbah Mustaffa al-Zuhaily, “Tafsir al-Munir (Juz Amma),” Persatuan Ulama Malaysia & Intel Multimedia and Publication, 2007.
2) Dr. Abdullah bin Muhammad bin Abdurrahman bin Ishaq Alu Syaikh, “Tafsir Ibnu Katsir (Jilid 8),” Pustaka Imam Asy-Syafi’i, 2008.
Rujukan:
1) Prof. Dr. Wahbah Mustaffa al-Zuhaily, “Tafsir al-Munir (Juz Amma),” Persatuan Ulama Malaysia & Intel Multimedia and Publication, 2007.
2) Dr. Abdullah bin Muhammad bin Abdurrahman bin Ishaq Alu Syaikh, “Tafsir Ibnu Katsir (Jilid 8),” Pustaka Imam Asy-Syafi’i, 2008.
No comments:
Post a Comment