Showing posts with label Aqidah. Show all posts
Showing posts with label Aqidah. Show all posts

Sunday, November 10, 2013

Fekah Interaksi Dengan Non-Muslim



Saya rasa amat berat apabila mendapat banyak jemputan untuk menghadiri seminar dan perbincangan isu-isu murtad. Walaupun pihak-pihak penganjur mempunyai alasan mereka yang tersendiri, namun saya selalu berkhayal satu seminar besar dibuat tentang ramai bukan Muslim menganut Islam.

Dalam politik pilihan raya, akhbar-akhbar berbagai parti akan menyiarkan cerita ahli-ahli parti lawan keluar parti. Sama ada benar atau tidak, itu merupakan perang psikologi yang akan melemahkan jentera parti musuh dan semangat pengundi.

Demikianlah juga tentang isu murtad, jika kita asyik membicarakan tentang orang keluar agama kita, lemahlah semangat para pendakwah ikhlas yang sedikit itu, dan patahlah hasrat bukan Muslim yang ingin mendekati agama ini. Adakah di sana suatu yang lebih malang dari agama yang bukan sahaja gagal menarik orang luar mendekatinya, bahkan penganut yang ada pun ingin meninggalkannya.

Mereka yang menggembar-gemburkan angka murtad yang bukan-bukan itu - secara langsung atau tidak langsung - memainkan peranan penting melemahkan umat ini dari dalam dan menghalang orang lain dari menghampiri agama yang suci ini.


Kekuatan Kita Ada
Dahulu kita membaca pemimpin agung Islam Umar bin al-Khattab yang berpesan kepada bala tentera Islam yang dikepalai oleh Sa'd bin Abi Waqqas sebelum Peperangan Qadisiyyah menentang Parsi dengan kata-kata mutiara.

Antara katanya: "...yang menyebabkan kaum Muslimin itu menang hanyalah kerana maksiat musuh-musuh mereka. Jika tidak kerana faktor itu, kita tidak memiliki kekuatan untuk menghadapi musuh. Sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka. Jika kita sama dengan mereka dalam hal maksiat, sudah pasti mereka memiliki kelebihan di sudut kekuatan. Jika kita tidak mampu menang dengan kelebihan kita (ketaqwaan) sudah pasti kita tidak dapat menewaskan mereka dengan kekuatan kita." (Dr ‘Ali al-Salabi, ‘Umar bin al-Khattab, ms 420, Kaherah: Dar al-Tauzi' Wa al-Nasyr al-Islamiyyah).

Ucapan Umar sangat bermakna dan menarik. Pengajaran untuk kita umat yang tewas pada hari ini. Namun saya ingin melihat di sudut yang sebaliknya dalam negara kita ini. Jika ‘Umar menyatakan: "..sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka", realiti yang berlaku dalam negara kita sebaliknya. 

Jumlah umat Islam lebih ramai, peruntukan dan bajet kerajaan untuk aktiviti Islam begitu banyak. Bahkan zakat berlebihan saban tahun -walaupun yang miskin terus menderita, pegawai dan pejabat yang berkaitan Islam amatlah banyak. Kita ada jabatan, badan, yayasan, mahkamah, perlembagaan dan berbagai lagi yang berpihak kepada kepentingan Islam. Namun mengapa kita masih kelihatan bagaikan umat yang tewas. Tidakkah jika kita tidak dapat menewaskan orang lain dengan ketakwaan kita, sekurang-kurang kita berjaya disebabkan faktor kekuatan lahiriah kita. Mengapa tidak sedemikian? 

Seorang yang berjalan kaki akan sampai ke destinasinya jika ia terus berjalan dengan arah yang betul. Namun seorang yang mempunyai kenderaan canggih dan mewah tidak akan sampai jika hanya berada dalam kenderaannya sambil membelek-belek kemewahan itu tanpa menggerakkannya ke arah destinasi yang betul. Begitulah halnya kita ini. Kita wajar bertanya sejauh manakah kenderaan mewah kita ini benar-benar digerakkan?


Imej Umat Islam
Aduhai malangnya, sepatutnya dengan Islam yang indah ini, semakin lama bukan Muslim hidup di kalangan masyarakat Muslim semakin harmoni perasaan mereka dan semakin menghormati kita, jika tidak pun mereka menerimanya. Namun realiti yang berlaku, semakin hari nampaknya, unsur-unsur prasangka dan prejudis makin berbuah antara mereka dan kita.

Di sini saya tidak ingin membicarakan tentang masyarakat bukan Muslim dan agenda mereka. Barangkali kita yang gagal menonjolkan wajah Islam yang mengangkat nilai dan penghormatan. Lama-kelamaan gambaran Islam itu begitu tidak indah pada generasi mereka. 

Di sudut ekonomi dan kehidupan dunia, kita gagal menonjolkan nilai yang positif untuk mereka. Jika kita ingin berkempen agar bukan Muslim menghormati Islam dengan kejayaan kita dalam di sudut pembinaan ekonomi dan tamadun, nampaknya harapan itu amat kabur. Jalan untuk sampai kepada kehebatan ekonomi itu juga bukannya singkat. Apa yang tinggal bagi kita ialah menonjolkan kehebatan ajaran Islam yang membentuk peri laku mulia umatnya. Masih ramai manusia di dunia ini yang terpengaruh dengan budi baik melebihi kekayaan harta.


Fekah Dakwah
Malangnya, fekah dakwah kita kepada bukan Muslim terbenam sama sekali. Ada saudara baru mengadu dia ingin menganut Islam dan menghubungi pihak yang berkenaan. Tetapi pegawai agama itu memberitahunya: "Jika awak hendak masuk Islam hendaklah pada waktu pejabat, tunggu saya masuk pejabat dulu.".Saya cadangkan pegawai berkenaan tulis di pintu pejabatnya "waktu masuk Islam 8am sehingga 5pm".

Semangat dakwah kita tidak kukuh. Kemudian hairan orang tidak minat dengan Islam. Jika orang lain bekerja untuk agama mereka tanpa mengira waktu dan berkorban, maka jangan hairanlah jika mereka berjaya memenangi persaingan ini. Ramai orang bukan Islam selalu salah faham tentang sikap Islam terhadap mereka. Mereka menyangka ajaran Islam itu sentiasa membenci dan memusuhi mereka tanpa sebab. Pada hal Allah menyebut dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 (maksudnya):

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."


Fekah Sempit
Namun apa yang hendak dihairankan jika mereka salah faham. Mereka lihat ramai orang Islam yang mendapat bantuan kebajikan dari mereka; seperti ketika tsunami, yang sakit kronik dan seumpamanya. Ada orang kita berulang alik ke tempat ibadat mereka pun untuk mendapat bantuan rawatan percuma. Di pihak kita pula, kurang memberi kepada mereka. Bahkan pegangan mazhab tempatan kita begitu sempit sehingga mengharamkan sesetengah pemberian seperti daging korban dan akikah kepada mereka sekalipun jiran di sebelah rumah. Sehingga apabila kita buat korban atau akikah, kita menjemput orang ramai makan, kita tinggalkan jiran bukan Muslim kita kerana bimbang nanti korban atau akikah kita terbatal. Padahal, tiada nas dari al-Quran atau hadis yang menyatakan sedemikian.

Badan Fatwa Tetap Arab Saudi ketika ditanya tentang hal ini menjawab: "Ya, boleh untuk kita memberikan daging korban kepada bukan Muslim yang tidak memerangi Islam atau tawanan perang (bukan Muslim). Boleh kita berikan kepadanya disebabkan kefakirannya, atau hubungan keluarga atau kejiranan, atau untuk menjinakkan hatinya." (11/424).

Namun disebabkan taksub mazhab, ramai yang sempit dalam hal ini. Lucunya, kita halang daging korban beberapa keping, dalam masa yang sama kita gadaikan lesen, permit, projek dan tanah berkeping-keping. Dalam masalah menjawab salam juga kita sempit. Dulu telah saya terangkan, kita haramkan mereka menjawab salam sedangkan ia merupakan kalimah yang baik. Namun ramai yang tidak pula melenting apabila mendengar perkataan maki hamun atau mencarut atau merapu dari bukan Muslim ataupun Muslim.


Beri Sedekah
Ramai yang susah hati kerana pertubuhan agama-agama tertentu memberikan bantuan kepada orang-orang Islam yang kesusahan. Bimbang nanti akan mempengaruhi orang Islam. Persoalannya, mengapa kita tidak lakukan. Kita ada Baitul Mal, zakat yang ‘berlebihan' dan sumber-sumber lain yang boleh dijadikan penarik Muslim dan bukan Muslim mendekati agama ini. Susahnya, ada pula orang Islam menganggap memberi sedekah kepada bukan Islam tidak dapat pahala. Sedekah atau bantuan yang dapat pahala hanya untuk sesama Islam. Hal ini tidak benar.

Pada zaman Nabi SAW kaum Muslimin juga pada awalnya merasa berat untuk memberikan bantuan harta kepada selain dari kalangan mereka. Mereka seakan merasakan pahala itu hanya diperolehi jika sedekah itu diberikan kepada sesama akidah. Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 272 (maksudnya):

"Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang tidak beriman) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang baik yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang baik, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan."

Dengan turunnya ayat ini bererti pemberian sedekah kepada sesiapa sahaja, sama ada Muslim atau bukan Muslim , orang baik atau tidak, tetap mendapat pahala dari sisi Allah selagi tujuannya mencari keredaan Allah.
(lihat: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/476, Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub).

Bahkan dalam zakat, di kalangan ulama berpendapat peruntukan fakir miskin boleh diberikan kepada bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam. Dr. Yusuf al-Qaradawi antara yang berpegang kepada pendapat ini. (lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/ 707, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan Muslim atas peruntukan mualaf untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam. Sama ada miskin atau tidak, seorang bukan Muslim boleh diberikan zakat jika itu boleh mendekatkan hati mereka dengan Islam. Namun, tafsiran mualaf kita begitu sempit, maka zakat gagal berfungsi sebagai agenda dakwah. Maka tidak hairan jika zakat kita ‘berlebih-lebihan' saban tahun, sedangkan masalah umat terus bertambah.


Hormati Jenazah
Dahulu, sesetengah orang menganggap kurang baik jika lalu di hadapannya kenderaan jenazah bukan Muslim. Pada hal dalam hadis disebut (maksudnya).

"Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi SAW satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: 'Itu jenazah seorang Yahudi'. Baginda bersabda: 'Tidakkah ia juga jiwa (insan)?'"Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nilai ketinggian akhlak ini sepatutnya dijelaskan kepada bukan Muslim agar mereka pandang tinggi kepada nabi kita. Jangan cuba dikaitkan agama ini dengan nilai-nilai keganasan.


Masuk Masjid
Masjid-masjid kita juga sepatutnya seperti masjid pada zaman Nabi SAW Diizinkan bukan Muslim masuk untuk mendengar kuliah atau ceramah agama, atau untuk mengambil bantuan kewangan bagi yang kesusahan. Sepatutnya masjid dibuka untuk bukan Muslim untuk mengenali Islam, hadir melihat amalan orang Islam dan mendapat penerangan yang harmoni mengenai Islam. Inilah yang berlaku pada zaman Nabi SAW. Para perwakilan yang Muslim dan bukan Muslim dari serata ceruk rantau datang menemui Nabi SAW dalam masjid baginda. Namun kita ini, jika bukan Muslim masuk ke masjid atau duduk melihat amalan Islam di masjid, kesempitan pemikiran pun akan berperanan aktif.

Banyak lagi jika hendak dibincangkan di sini. Saya mencadangkan agar kita memasukkan dalam sukatan pengajian agama kita; di masjid dan sekolah secara jelas tajuk fekah atau akhlak Islami dalam berinteraksi dengan bukan Muslim. Dengan harapan akan terpancar di hadapan mereka cahaya keindahan agama ini.
--------------------------------------------------------------------------------
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini ditulis ketika beliau masih berkhidmat dengan kerajaan negeri itu.

Thursday, June 20, 2013

Sunday, June 2, 2013

Nyah Kau Taghut!!

Taghut adalah benda yang melampaui batas (mengingkari Allah) dan masyarakat akan mengikutinya sama ada terpaksa atau rela.

Begitu juga apabila sesebuah masyarakat berdepan dengan sebuah kerajaan taghut. Meskipun terlalu banyak kerosakan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh taghut ini, mereka masih lagi cenderung untuk mengekalkan taghut yang sedia ada. Mereka sedar akan segala kerosakan yang telah dilakukan, tetapi si taghut berjaya menundukkan dan menakutkan mereka. Maka, di antara sebabnya ialah bimbang bantuan akan disekat, takut kehilangan kerja, takut kemewahan ditarik balik dan sebagainya. Maka, berjayalah usaha taghut selama ini.

Bagi golongan yang masih takut untuk berdepan dengan kerajaan taghut ini, kembalilah kita semua kepada Al-Quran.

Firman Allah: “Katakanlah (Muhammad), ‘Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Mahakuasa atas segala sesuatu. Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Dari Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau berikan rezeki kepada siapa yang Engkau kehendaki tanpa perhitungan.’” (Ali-Imran, 3: 26- 27)

Firman Allah: “Milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Jika kamu nyatakan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu sembunyikan, nescaya Allah memperhitungkannya bagimu. Dia mengampuni siapa yang Dia kehendaki dan mengazab siapa yang Dia kehendaki. Allah Mahakuasa atas segala sesuatu.” (Al-Baqarah, 2: 284)

Bukan manusia yang menciptakan kamu dan seluruh alam ini, tetapi ALLAH!

Bukan manusia yang menaburkan rezeki kepada kamu, tetapi ALLAH!

Bukan manusia yang menghidupkan dan mematikan kamu, tetapi ALLAH!

Bukan manusia yang kamu taati dan sembah, tetapi ALLAH!

Maka, buangkanlah perasaan takut kepada taghut. Buanglah atau nyahkanlah si taghut itu seperti apa yang dilakukan oleh Nabi Musa apabila menumbangkan raja segala taghut iaitu Firaun.

Wednesday, October 26, 2011

Allah Tidak Akan Sia-Siakan Kita

Kisah 1:
"Jika begitu, Allah tidak akan sia-siakan kita," ungkap Siti Hajar kepada Nabi Ibrahim a.s. ketika Nabi Ibrahim terpaksa berjauhan demi mentaati perintah Allah. Bagaimanalah perasaan si isteri jika selalu sahaja ditinggalkan oleh si suami? Begitu jugalah perasaan si suami apabila sering sahaja terpaksa meninggalkan si isteri. Tapi, ternyata, Allah tidak akan sia-siakan amalan mereka. Pasti ada keberkatan yang diperolehi agar kedua-dua pasangan tersebut tetap sahaja teguh di jalan dakwah.

Kisah 2:
Ketika Nabi Nuh a.s. diperintahkan oleh Allah untuk membina bahtera di saat-saat majoriti umatnya mengingkari ajaran-Nya, namun hanya ketaatan yang ditunjukkan oleh Nabi Nuh a.s.. Bahkan, dilihat mustahil Nabi Nuh keseorangan membina bahtera yang besar yang memerlukan kemampuan dari segi seni bina dan kejuruteraan, namun ternyata, Allah tidak akan sia-siakan kita. Maka, Nabi Nuh dan golongan yang beriman diselamatkan oleh Allah dari banjir besar yang menimpa umatnya.

Firman Allah: "Dan (ingatlah kisah) Nuh, sebelum itu, ketika dia berdoa. Kami perkenankan doanya, lalu Kami selamatkan dia bersama pengikutnya dari bencana yang besar. Dan Kami menolongnya dari orang-orang yang telah mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang jahat, maka Kami tenggelamkan mereka semuanya." (Al-Anbiya', 21: 76 - 77)

Kisah 3:
Setelah Rasulullah wafat, dilantiknya Saidina Abu Bakar as-Siddiq menjadi khalifah yang pertama. Berlakunya peristiwa yang menggoncang akidah umat Islam iaitu gejala murtad, nabi palsu dan golongan yang tidak membayar zakat. Tanpa Rasulullah di sisi dan tanpa wahyu dari Allah, Abu Bakar memerangi golongan tersebut hingga menyelamatkan akidah umat Islam ketika itu. Ternyata, Allah tidak mensia-siakan segala usaha yang dilakukan oleh Abu Bakar dan para sahabat dan itulah jasa terbesar ketika beliau menjadi khalifah.

Dalam dunia dakwah, kadang-kadang menuntut kita tunduk kepada pelbagai arahan sama ada ringan atau berat untuk dilaksanakan. Hinggakan muncul dalam benak fikiran kita sama ada adakah ia perlu dilaksanakan atau tidak. Kisah-kisah di atas adalah sebagai contoh atau kesimpulan tindakan seseorang di jalan dakwah ini. Maka, lakukanlah yang terbaik untuk dakwah, Insya Allah, Allah tidak akan sia-siakan kita.

Monday, October 10, 2011

Allah Di Mana-Mana

Pada suatu hari, saat di penjara Mesir, seorang pengawal penjara membawa Sheikh Mustafa Masyhur bersama seorang anggota usrahnya yang tidak hilang-hilang gementar dan kengerian melihat penyiksaan yang luar biasa di luar batas manusia. Lantas, si anak usrah itu melontarkan persoalan kepada sheikh "Ya Naqib, bagaimana nasib kita bila mereka melemparkan kita ke sarang serigala lapar atau lubang busuk tanpa kehidupan?" Sheikh Mustafa Masyhur menjawab "Mereka dapat membuang kita ke tempat manapun yang kita takuti, namun ketahuilah mereka tak akan mampu membuang kita ke tempat yang tidak ada Allah."

Nah. Demikianlah jawapan sang murrabi yang jernih fikrahnya. Syu'ur (perasaan) yang sentiasa merasai maiyyatullah. Yakni kebersamaan Allah 'azzawajalla pada setiap saat dan ketika, dalam apa jua kondisi. Apa sahaja si musuh lakukan pada jasadnya tidak ada guna. Kerana syurganya. Kebahagiaan dan hartanya yang paling bernilai berada di dalam hati. Ghayah (tujuan) nya hanyalah redha Allah. Dan hanya dengan redha ini dia akan mendapat keberuntungan yang besar. "Dan keridhaan Allah lebih besar, itu adalah keberuntungan yang besar." (At-Taubah, 9: 72 )

Namun demikian perasaan maiyyatullah ini tidaklah hadir secara spontan. Ianya hanya wujud pada mereka yang beriman kepada Allah. Hasil dari ma'rifatullah (mengenal Allah). Ya. Mana mungkin bagi seseorang itu merasai kehadiran sesuatu tanpa mengenalnya terlebih dahulu. Teringat kata-kata seorang ulamak, "Awwaluddin Ma'rifatullah." Awal agama itu adalah mengenal Allah.

Wallahua'lam..


Sumber: Fiqh Dakwah, Sheikh Mustafa Masyhur (Kata pengantar oleh K.H. Rahmat Abdullah)

Saturday, August 13, 2011

Isu Murtad

Isu Murtad yang tiba-tiba mendapat liputan meluas di negara kita sekarang ini, sebenarnya merupakan isu yang telah lama. Isu ini menjadi hangat secara tiba-tiba dan muram dengan sekelip mata. Kini, isu ini kembali menarik perhatian. Adakah kita masih ingat dengan isu pemurtadan Aisyah Bukhari dan Hartina Kamarudin yang berlaku pada pertengahan 1990-an? Adakah juga kita masih ingat dengan kenyataan dari Mufti Perak bahawa terdapat lebih 100,000 permohonan untuk keluar dari Islam di Jabatan Pendaftaran Negara? Jadi, apa tindakan? Atau hanya menunggu isu tersebut dimakan waktu?

Kini, kecoh pula tentang kewujudan gerakan kritianisasi untuk memurtadkan orang Islam. Isu 15 tahun dahulu didiamkan, tiba-tiba muncul pula isu baru. Jangan pula didiamkan tanpa sebarang tindakan. Berkaitan isu ini, persoalannya, adakah tuduhan tersebut benar dan mempunyai bukti yang kukuh? Sekiranya benar, lihat diri kita dahulu. Apa yang telah kita lakukan sejak kes murtad yang berlaku lebih kurang 15 tahun dahulu? Di Malaysia, kebanyakan Menteri Kabinet dan Menteri Besar adalah orang Islam. Di setiap negeri ada Jabatan Agama, Jabatan Mufti, Pusat Zakat, Baitulmal dan lain-lain institusi dalam menyebarkan dakwah dan membantu orang Islam. Adakah masih tidak mencukupi? Jika kita mengatakan gerakan untuk memurtadkan orang Islam dibantu dengan kekuatan kewangan yang tinggi, mana perginya wang zakat yang berjuta-juta ringgit yang tujuan utamanya adalah untuk membantu dari segi kewangan golongan yang memerlukan? Apalah gunanya dihebah di dalam media massa tentang kutipan zakat setiap negeri yang berjumlah berjuta-juta ringgit jika pengurusan zakat sendiri tempang?

Dari segi sudut yang lain, usah kita terlalu cepat menyalahkan pihak yang melakukan kerja-kerja dakyah sedangkan diri kita masih lagi statik. Di saat gerakan pemurtadan bergerak dengan rancak, kita hanya mampu berkata-kata dan mengutuk sahaja. Di mana gerak kerja dakwah kita? Di manakah pendakwah-pendakwah kita? Saya teringat tulisan blog Dr Asri mengenai teguran Allahyarhamah Dr Lo' Lo' yang menyelar golongan 'Ustaz Sampul' yang sibuk meminta bayaran apabila diminta menyampaikan ceramah di saat umat di luar tunggang langgang.

Saya cukup takut akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak sekiranya gagal menyelamatkan umat di sekeliling saya dari terus hanyut dan murtad. Apalah gunanya hidup bahagia di samping keluarga tercinta, dapat kerja yang bagus dan berpendapatan lumayan, tetapi umat terus terumbang-ambing. Bukan mudah jadi pendakwah. Berdakwah memang senang tetapi mencintai dakwah terlalu sukar untuk dilaksanakan. Mencintai dakwah menuntut pengorbanan yang luar biasa, kesusahan dan keperitan semata-mata untuk menyelamatkan umat.

Firman Allah: "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, 'Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)?'" (Fussilat, 41: 33)

Firman Allah: "Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum engkau (Muhammad), melainkan Kami wahyukan kepadanya, bahawa tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Aku, maka sembahlah Aku." (Al-Anbiya', 21: 25)

Dalam sebuah perlawanan bola sepak, sekiranya Team A mengamalkan teknik bertahan daripada asakan Team B sepanjang permainan, kebarangkalian Team A menjaringkan gol sangat rendah dan kebarangkalian bolos adalah sangat tinggi. Tetapi jika Team A mengubah teknik permainan dengan memperhebatkan serangan di samping bertahan dengan baik, kebarangkali Team A menjaringkan gol akan meningkat dan kebarangkalian bolos akan berkurangan. Dalam permainan bola sepak, menyerang adalah strategi bertahan yang cukup baik. Begitu juga dengan dakwah. Untuk menghalang  gerakan dakyah terhadap umat Islam ini, kita harus merancakkan dan mempercepatkan dakwah Islam. Insya Allah, kebarangkalian orang mencintai dan mahu kepada Islam akan bertambah dan kebarangkalian orang yang murtad akan berkurangan ataupun tiada.

Wallahua'lam.

Sunday, May 29, 2011

Layang - Layang


Permainan layang-layang ataupun wau mempunyai keunikan yang tersendiri. Dalam permainan ini, ketinggian sesebuah layang-layang ataupun tempoh masa layang-layang itu terbang adalah penunjuk aras gahnya sesebuah layang-layang itu dan semakin menariknya permainan tersebut. Permainan ini berfungsi jika mempunyai dua unsur iaitu kehadiran angin dan tali layang-layang itu sendiri. Fungsi angin adalah untuk menerbangkan layang-layang itu setinggi yang mungkin. Jika tiada angin, mana mungkin layang-layang dapat terbang gah di pangkuan langit. Tali layang-layang pula adalah sebagai 'guidance' atau pengawal layang-layang itu. Pemain layang-layang akan menggunakan tali tersebut untuk mengawal kedudukan layang-layang. Sekiranya tanpa tali, layang-layang akan hilang kawalan atau pedoman dan akan terbang merata-rata mengikut angin tanpa kawalan.

Begitulah diri kita sebagai seorang Muslim. Iman seseorang itu adalah umpama tali layang-layang. Dengan iman, kita akan bertindak atau melakukan sesuatu berdasarkan iman sebagai pedoman, bukan hanya mengikut akal semata-mata ataupun nafsu.

Firman Allah: "Dan bagaimana kamu (sampai) menjadi kafir, padahal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu, dan Rasul-Nya (Muhammad) pun berada di tengah-tengah kamu? Barang siapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sungguh, dia diberi petunjuk kepada jalan yang lurus." (Ali-Imran, 3: 101)

Maka, beruntunglah kita menjadi seorang Muslim dan beruntunglah kerana kita masih mempunyai nikmat Iman dan Islam yang menjadi pedoman sepanjang hayat kita. Tanpa iman sebagai pedoman, hancur binasalah seseorang itu.

Thursday, October 14, 2010

Ayat - Ayat Angkuh (3A)

“Janganlah kacau aku tidur… Kubur aku, kubur aku. Kubur kau, kubur kau.” sergah seorang kawan apabila saya tidak henti-henti menggeraknya bangun solat Subuh ketika zaman matrikulasi lebih kurang 10 tahun lampau.

“Sepatutnya, cakap dengan dia, ‘Kalau kau masuk neraka, aku takut, kau tarik aku sekali ke dalam neraka.’” ajar seorang kawan apabila saya bercerita tentang perihal tadi kepadanya.

“Memanglah kubur lain-lain, tapi aku takut kubur aku sebelah dengan kubur kau. Susah aku nanti.” hujah seorang ustaz yang agak menggelikan hati.

Ayat-ayat angkuh ini, sudah acap kali didengari bahkan sebenarnya apabila disemak dalam lipatan sejarah tamadun manusia, bangsa Melayu bukanlah golongan pertama yang berani mengeluarkan ayat-ayat angkuh sebegini. Ianya pernah tercatit di dalam ayat Al-Quran tentang kisah Bani Israel yang seolah-olah tidak menghiraukan ancaman Allah.

Firman Allah: “Dan mereka berkata, ‘Neraka tidak akan menyentuh kami, kecuali beberapa hari saja.’ Katakanlah, ‘Sudahkah kamu menerima janji dari Allah, sehingga Allah tidak akan mengingkari janji-Nya, ataukah kamu mengatakan tentang Allah, sesuatu yang tidak kamu mengetahui?’” (Al-Baqarah, 2: 80)

Kita sedia maklum dengan golongan Bani Israel. Meskipun banyak nikmat Allah yang dicurahkan kepada mereka dan meskipun Allah selamatkan mereka dari kedurjanaan Firaun, tetapi gagal untuk menundukkan keegoan mereka. Boleh saya katakan golongan inilah yang menjadi perintis ayat-ayat angkuh ini yang kini menjadi tradisi keegoan masyarakat Melayu. Meskipun hanya mulut yang berkata-kata, tapi saya cukup bimbang apa yang dilafazkan itu adalah laknat kepada mereka sendiri.

Pernah seorang ikhwah bertanya kepada saya, dalam keadaan kita berdakwah mendekati mad’u kita, apa jawapan yang sesuai untuk mereka yang sering melafazkan ayat-ayat angkuh ini? Jawapan saya: "Wallahua’lam, hanya pengalaman yang menjadikan kita cerdik untuk berdepan dengan golongan sebegini."

Monday, October 4, 2010

Ganjaran Orang Mukmin Yang Beramal

Firman Allah: "Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman dan berbuat baik, bahawa untuk mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan  dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: 'Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu.' Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada istei yang suci dan mereka kekal di dalamnya." (Al-Baqarah, 2: 25)

Allah s.w.t. menyediakan untuk orang-orang mukmin dan muttaqin di syurga taman bunga dan taman perumahan yang penuh dengan pohon rimbun dan air mengalir di bawah tempat kediaman mereka. Di dalamnya, terdapat pelbagai nikmat dan kemudahan yang diingini serta pemandangan yang indah dipandang mata. Kenikmatan yang ada di dalam syurga dijelaskan dalam hadith sahih berikut:

"Di dalamnya ada benda yang belum pernah dilihat mata, belum pernah didengar telinga dan belum pernah terlintas di hati manusia."

Inilah yang diungkapkan oleh firman Allah:

"Tidak sesiapapun mengetahui apa yang disimpan Allah untuk mereka di dalam syurga dari berbagai bentuk keseronokan sebagai balasan terhadap amalan yang telah mereka usahakan." (Al-Sajadah, 32: 17)

Di dalam syurga terdapat banyak makanan yang tidak putus-putus dan buah-buahan yang enak serta beraneka jenis. Setiap kali penghuni syurga dihidangkan dengan buah-buahan di waktu pagi dan petang, mereka berkata dengan penuh takjub: "Buah ini sama seperti rezeki yang pernah kami kecapi di dunia." Namun, bila mereka memakannya mereka dapati rasanya berlainan daripada biasa. Lantas mereka sedar bahawa walaupun ia menyerupai buah-buahan di dunia pada pandangan mata, bentuk dan jenis, tetapi rasa, nilai lazat dan saiznya berlainan.

Ibnu Abbas berkata: "Benda-benda dunia yang ada di syurga hanyalah pada namanya sahaja." Imam al-Tabari berkata: "Takwil terbaik ialah takwil yang menjelaskan bahawa yang diberikan kepada mereka ialah benda yang serupa pada warna dan rupa tetapi rasanya berlainan. Ini bererti, buah-buahan syurga menyerupai buah-buahan dunia dari sudut rupa dan warna tetapi tidak serupa dari segi rasanya."

Di antara perkara ghaib lain yang kita wajib beriman dengannya ialah seperti pemakluman Allah s.w.t. bahawa orang-orang mukmin di dalam syurga akan diberikan beberapa orang isteri daripada bidadari pinggitan yang tidak pernah disentuh manusia dan jin. Bidadari-bidadari  ini bersih dari kekotoran dan najis yang jijik pada zahir dan batin seperti haid dan nifas atau hadas kecil seperti air kencing dan air besar, kahak dan ludah atau, kecemasan batin dan kejahatan hawa nafsu.

Imam Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Penghuni syurga (menikmati) makan dan minum di dalamnya. Mereka tidak meludah, tidak membuang air kecil dan air besar serta tidak berhingus." Sahabat-sahabat bertanya: "Bagaimana pula dengan perkumuhan makanannya?" Baginda menjawab: "Sendawa dan peluh seperti renjisan kasturi, mereka menyebut tasbih dan tahmid seperti kamu menarik nafas."

Dalam pada itu, terdapat pula riwayat yang menyatakan bahawa wanita mukminah di dunia berstatus lebih baik daripada bidadari syurga yang tersebut dalam firman Allah s.w.t.:

"Sesungguhnya Kami ciptakan mereka sedemikian rupa. Maka Kami jadikan mereka perawan. Berkasih sayang dan sebaya. Untuk golongan kanan." (Al-Waqiah, 56: 35-38)

Al-Tirmidhi meriwayatkan daripada Umm Salamah, bahawa saya bertanya: "Ya Rasulullah s.a.w!": "Perempuan dunia lebih baik atau bidadari syurga?" Baginda menjawab: "Bahkan perempuan dunia lebih baik daripada bidadari syurga, seperti pakaian luar berbanding pakaian dalam." Aku bertanya lagi: "Ya Rasulullah, mengapa mereka lebih baik?" Baginda menjawab: "Kerana solat, puasa dan ibadah mereka kepada Allah Azza wajalla."

Dalam hadith sahih diperakukan bahawa setiap seorang lelaki mempunyai dua orang isteri. Para ulama berkata bahawa salah seorang daripadanya adalah perempuan dunia dan seorang lagi adalah perempuan syurga.

Syurga lebih istimewa daripada dunia kerana ia adalah tempat yang kekal abadi. Ia menjadi tempat tinggal untuk jangka masa yang panjang dan berterusan. Segala yang lain tidak dapat menggantikannya. Kebahagiaan yang sempurna diperolehi di sana, orang-orang mukmin sentiasa mengharapkannya.


Rujukan:
1) Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaily, "Tafsir Al-Munir - Juz 1", Persatuan Ulama Malaysia & Intel Multimedia and Publication, 2007.

Sunday, July 11, 2010

Manusia Semakin Tidak Sabar

Kemungkinan pengaruh akibat pertaruhan bola sepak, minda manusia termasuklah orang Melayu masih terus dibelenggu atau dijajah. Sehinggakan, manusia yang diciptakan Allah sebaik-baik kejadian masih dan terus mempercayai kepada perkara-perkara tahyul.

Firman Allah: "Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." (At-Tin, 95: 4)

Jika dulu, kepercayaan kepada bomoh dan dukun amat menular dalam masyarakat kita bahkan hingga ke hari ini, pengaruhnya masih ada. Cuma yang lucunya, sempena Piala Dunia 2010 kali ini, tiba-tiba manusia beralih arah kepada kepercayaan kepada binatang-binatang yang jelas kejadiannya tidak sehebat manusia. Kononnya, si sotong kurita 'Paul' dan burung nuri 'Mani' mampu membuat ramalan tepat siapakah pemenang sesuatu perlawanan dan pasukan manakah akan menjulang Piala Dunia kali ini. Adakah anda percaya? Tak habis-habis sindrom Piala Dunia ini mengganggu pemikiran masyarakat kita.





Andai tepat sekalipun ramalannya, mungkin itu adalah kebetulan. Usahlah kita mendewa-dewakan si 'Paul' dan si 'Mani' tu seperti makhluk yang hebat. Janganlah kita percaya dan membawa amalan-amalan khurafat dan tahyul dalam masyarakat kita. Boleh jadi, ini juga adalah amalan sihir yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mendapatkan keuntungan.

Firman Allah: "Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka, jauhilah itu agar kamu beruntung." (Al-Ma'idah, 5: 90)

Bagi saya, mereka manjadikan kepercayaan tahyul ini supaya menang dalam pertaruhan bola sepak. Itu sebabnya, manusia menjadi tidak sabar untuk mengetahui siapakah pemenang sesuatu perlawanan hatta perlawanan belum lagi berlangsung. Janganlah kerana ketidaksabaran tersebut menjadikan manusia mensyirikkan Allah dan mempertuhankan amalan-amalan tahyul.