Showing posts with label Luahan Hati. Show all posts
Showing posts with label Luahan Hati. Show all posts

Wednesday, December 21, 2011

Tribute to Faizal Nizam Zakariya

Faizal Nizam Zakariya  (14 Jun 1978 - 21 Disember 2011)

Mula mengenali kau sebagai seorang sahabat dan pekerja yang baik dan di akhir hayat, kau juga dikenali sebagai seorang sahabat yang baik. Banyak sungguh jasa-jasa dan bantuan kau kepada aku dan aku masih mencari-cari sahabat seperti kau. Aku sangat rindu untuk bersilaturrahim, bersembang-sembang dan bergurau senda dengan kau. Apakan daya, Allah lebih menyayangi dirimu. Selamat tinggal sahabatku, semoga damai kamu di sana.

Al-Fatihah...

Saturday, November 5, 2011

Rinduku Kepada....

Teringat pada Ibadah Haji 10 tahun yang lepas,
Perasaan rinduku kembali menggamit perasaan,
Rinduku pada Masjidil Haram dan Masjid Nabawi,
Rinduku untuk Wukuf di Arafah,
Rinduku untuk Tawaf dan Sai'e di Masjidil Haram,
Rinduku untuk Melontar Jamrah di Mina,
Rinduku untuk menziarahi Makam Rasulullah,
Rinduku untuk menziarahi Makam Baqi',
Rinduku pada umat Islam di Mekah dan Madinah...

Bilakah boleh ku melepaskan perasaan rindu ku ini?
Bilakah boleh ku menunaikan Haji dan Umrah lagi?

Atau biarlah ku memberi peluang kepada umat Islam yang lain,
Semoga bersama-sama saling melepaskan rindu...

Tuesday, October 11, 2011

Kebanjiran Pasar Raya, Peniaga Kecil Sengsara

Dalam meniti kemajuan negara, ada kalanya kita dihidangkan dengan pembangunan yang cukup pesat. Maka, muncullah pusat-pusat perniagaan dan pusat-pusat akademik untuk memastikan masyarakat merasai kenikmatan pembangunan ini. Cuma, agak malang sekiranya pembangunan dan kemajuan tersebut tidak seimbang di antara input pusat-pusat perniagaan dan output pusat-pusat akademik.

Rata-rata, di setiap bandar besar di Malaysia ini akan wujud lambakan jenis Pasar Raya termasuklah di tempat saya iaitu di Seremban. Rasanya, masyarakat sudah mengenali Giant, Tesco, Carefour, Econsave, Mydin, The Store, Jaya Jusco dan Family Store. Masakan tidak, kerana kerap dikunjungi dan dihidangkan dengan harga yang cukup hebat seperti harga borong. Kebanjiran Pasar Raya ini menyebabkan peniaga-peniaga kecil sengsara dan merana. Mana mungkin peniaga kecil atau kedai runcit mampu menandingi harga-harga seperti yang ditawarkan oleh Pasar Raya. Mustahil! Usah kata menandingi, menghampiri pun belum pasti. Di Seremban sendiri yang tidaklah sebesar mana pun dipenuhi oleh kesemua Pasar Raya yang disebutkan tadi. Macam mana peniaga kecil nak hidup?

Saya cuma terfikir, mengapa dasar-dasar ekonomi kita tidak menjurus menggalakkan belia dan beliawanis untuk menjadi pengurus perniagaan ataupun menjadi taukeh (bahasa kampung)? Sedangkan di IKM, Politeknik, Giat Mara dan Universiti ditawarkan kursus perniagaan yang sepatutnya menggalakkan dan melahirkan graduan yang berniaga. Bukan hanya kerja makan gaji di Pasar Raya entah sampai bila. Sepatutnya golongan ini dan juga golongan yang berminat untuk berniaga digalakkan dan diberi bantuan untuk berniaga sama ada dari segi kewangan, tempat, tunjuk ajar dan sebagainya. Sampai bila kita nak bergantung harap kepada Pasar Raya import kerana kebanyakannya adalah pelaburan asing. Pelaburan asing memang menguntungkan tetapi jangan sampai menjejaskan ekonomi rakyat kita sendiri. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sendiri pun masih belum mampu menandingi produk-produk luar, inikan pula peniaga kecil sudah pasti kelemasan apabila Pasar Raya membanjiri sesebuah kawasan.

Sekiranya graduan-graduan dari IKM, Politeknik, Giat Mara dan Universiti ditumpukan dalam membangunkan produk IKS dan perniagaan seperti peruncitan, fesyen, restoran, katering, bakeri, servis kenderaan dan telekomunikasi, Insya Allah kita mampu membangunkan ekonomi kita sendiri dan tidak mustahil mampu mengeksport perniagaan kita ke luar negara.

Saya mencadangkan agar perlu dibuat dasar keperluan sesebuah Pasar Raya beroperasi di sesebuah kawasan atau bandar sama ada melalui keluasan bandar atau jumlah penduduk. Juga perlu dasar untuk memanfaatkan graduan dalam bidang perniagaan ini untuk mewujudkan momentum IKS dan perniagaan sendiri dalam keadaan dunia sebenar.

Wallahua'lam...


*Artikel ini telah dihantar ke editor akhbar iaitu Utusan Malaysia, Berita Harian, Sinar Harian dan Harakah pada 10 Ogos 2011.

Saturday, October 8, 2011

Optimis Dalam Dakwah

Beberapa minggu lepas, rasanya jiwa ini terlalu kusut berikutan macam-macam masalah yang timbul. Tragedi September yang tidak dirancang dan tidak dijangka, turut menambah kekusutan sedia ada yang turut menuntut pelbagai solusi dan pertimbangan untuk plan dakwah pada masa hadapan.

Firman Allah: "Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah, 2: 216) 

"Apa yang berlaku adalah normal dalam melakukan kerja dakwah." pesan seorang ikhwah kepada saya.

"Barangkali, semua itu ada hikmahnya." bisik hati kecil saya. 

"Barangkali, semua itu untuk mematangkan diri dalam dakwah." bisik hati kecil saya lagi.

Kini, emosi sudah kembali pulih dan Insya Allah lebih baik daripada sebelum-sebelum ini. Sudah boleh tersenyum indah dan jiwa ini rasa bebas, sebebas-bebasnya. Itulah pentingnya ukhwah. Ukhwah yang memantapkan diri dan menjamin keistiqamahan dalam dakwah. Sebagai seorang dai'e, kita perlu sentiasa optimis dengan peluang yang terhidang di depan mata dan kemampuan ikhwah/akhwat di sekeliling kita.

Firman Allah: "Allah telah menjanjikan kepada orang-oang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka dengan agama yang telah Dia redhai. Dan Dia benar-benar mengubah (keadaan) mereka, setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka (tetap) menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu pun. Tetapi barang siapa (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik." (An-Nur, 24: 55)

Bola kini di kaki. Perlu disepak, disambut, digelecek dan dijaringkan ke arah sasaran. Dalam dakwah, sasaran kita adalah masyarakat sekeliling kita. Usah peduli hal-hal remeh yang tiada kesudahan yang merencatkan dakwah kita. Membiarkan masalah tanpa perubahan tidak akan menyelesaikan masalah, malah masalah akan datang bertimpa-timpa.

Yakinlah dengan janji-janji Allah. Insya Allah, Allah bersama-sama kita dan Allah tidak akan sia-siakan usaha kita.