Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts

Monday, October 14, 2013

'Eidul Adha 1434H

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya 'Eidul Adha kepada semua pengunjung web Ijtihad Pengembara (http://imam-abuhanifah.blogspot.com).

Bagi sesiapa yang menjadi tetamu Allah di Tanah Suci dan yang diberikan ruang untuk melaksanakan dan menikmati Ibadah Qurban, semoga hakikat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mengiringi setiap ibadah yang kita lakukan.

Taqabbalahhu Minna Wa Minkum.


Ikhlas daripada:
Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Norashidah bt Samsudin
Amirul Mukminin Hanifah bin Abu Hanifah

14 Oktober 2013 / 9 Zulhijjah 1434H

Wednesday, January 2, 2013

Tebalkan Mukamu Wahai Da'i

Sempena Tahun Baru 2013, saya dan beberapa orang ikhwah berpakat untuk melaksanakan Street Dakwah di Dataran Nilai dengan mengedar risalah kepada pengunjung-pengunjung di kawasan tersebut. Melaksanakan pada malam tahun baru, seperti dijangka, kawasan tersebut penuh dengan pengunjung yang mungkin bertujuan untuk berhibur, release tension, berjalan-jalan atau membeli-belah. Sasaran adalah semua lapisan masyarakat sama ada orang muda atau orang yang sudah berkeluarga. Ini adalah peluang kita mengenali masyarakat kita yang pelbagai latar belakang dan peluang terbaik berjumpa dan berinteraksi spontan dengan masyarakat.

Bukannya mudah nak edarkan risalah ni, apatah lagi untuk memberikan tazkirah spontan kepada masyarakat. Ada je yang mesra menjawab salam dan menerima risalah, ada juga mengelak bila nampak kita dan ada juga yang menolak mentah-mentah pemberian risalah. Fuh, memang kene tebal muka bila jadi da'i ni. Tak kan kita nak marah kalau dakwah kita ditolak mentah-mentah? Tak kan kita nak bergaduh kalau kita diherdik ketika menyampaikan dakwah? Semestinya tidak, sebab kita mempromosi produk Islam yang terbaik dan yang menjamin kesejahteraan keseluruhannya. 

Saya pernah dioffer untuk menjadi agen takaful, tapi saya menolak. Ketika saya mencari pekerjaan dulu pun, bahagian sales & marketing adalah pekerjaan yang saya tidak mahu terlibat. Sebabnya, tak sanggup nak tebal muka nak jumpa orang untuk promote produk. Rupa-rupanya, bila menjadi seorang da'i, we will do more than that! Mahu atau tidak, seorang da'i perlu sabar, perlu tebal muka walau apa jua reaksi masyarakat dan terus istiqamah membuat kerja. Hasilnya, kita serah pada Allah.

Wallahua'lam..

Wednesday, December 21, 2011

Tribute to Faizal Nizam Zakariya

Faizal Nizam Zakariya  (14 Jun 1978 - 21 Disember 2011)

Mula mengenali kau sebagai seorang sahabat dan pekerja yang baik dan di akhir hayat, kau juga dikenali sebagai seorang sahabat yang baik. Banyak sungguh jasa-jasa dan bantuan kau kepada aku dan aku masih mencari-cari sahabat seperti kau. Aku sangat rindu untuk bersilaturrahim, bersembang-sembang dan bergurau senda dengan kau. Apakan daya, Allah lebih menyayangi dirimu. Selamat tinggal sahabatku, semoga damai kamu di sana.

Al-Fatihah...

Monday, October 31, 2011

Hai-O: Fenomena Berjiwa Pemuda



“Makin tua kelapa, makin banyak santannya. Hairuddin masih antara penyerang terbaik. Kami sudah kemuka tawaran, terpulang kepadanya. Kami profesional, tapi harap dia akan kekal.” itulah ulasan Azraai Khor Abdullah, jurulatih pasukan Negeri Sembilan mengenai masa depan ayam tambatan pasukan Negeri Sembilan iaitu Hairuddin Omar atau lebih dikenali dengan gelaran Hai-O. Hai-O merupakan tonggak yang mencorakkan kejayaan Negeri Sembilan menundukkan Terengganu 2-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia dan sekaligus dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Berusia 32 tahun dan boleh dianggap sebagai veteran dalam dunia bola sepak, namun ketangkasannya sebagai pemain di posisi penyerang mengatasi pemain-pemain yang jauh lebih muda darinya. Tua dari segi umur tidaklah menyebabkan permainan dan ketangkasannya menjadi tua, sebaliknya beliau menjadi lebih hebat dan sekaligus memberi cabaran kepada pemain-pemain muda untuk mengatasinya. Bukan saja kaya dengan pengalaman namun turut kaya dengan semangat.

Begitu jualah dalam dakwah. Semakin meningkat usia tidaklah bererti para dai'e mengendurkan usaha dakwah dan tarbiyah, bahkan sepatutnya dilaksanakan dengan lebih giat lagi. Jika sewaktu muda, halaqah yang diuruskannya mencapai 4-5 buah halaqah seminggu, sibuk mentajmi' mad'u-mad'u baru dan sibuk merancang untuk program tarbiyah di medan baru. Namun ketika semakin berusia, hanya mampu menguruskan 1 halaqah seminggu dan hanya sibuk merancang program-program umum. Yang paling ditakuti sekiranya sang syabab (pemuda) dituakan terlalu awal akibat mengambil contoh usaha-usaha dakwah yang telah kendur tersebut yang mengakibatkan prestasi dakwah terus menjunam.

Justeru itu, berikutan fenomena Hai-O pada ketika ini, marilah kita sama-sama berusaha untuk memudakan para dai'e tidak kira latar belakang usia kerana itulah rahsia kekuatan dakwah kembali rancak di tanah air kita. Iktibar dari kisah sahabat bernama Abu Ayub Al-Ansar yang terus berjihad di jalan Allah meskipun usia telah lanjut, sepatutnya memalukan diri kita di atas usaha yang tidak seberapa yang telah kita lakukan untuk dakwah ini.


* Penulis: Optimis bahawa kesungguhan dan kecekalan sang syabab dan sang syuyukh yang berjiwa pemuda akan merancakkan dakwah di seluruh dunia dan mencetuskan fenomena yang akan mengubah ummat secara total!

Monday, August 29, 2011

'Eid Mubarak

Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
La Ilaha Illallahu Wallahu Akbar
Allahu Akbar Walillah Ilham

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya 'Eidul Fitri kepada semua pengunjung blog http://imam-abuhanifah.blogspot.com/. Taqabbalallaahu Minna wa Minkum.


Ikhlas daripada:
Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Norashidah bt Samsudin
Amirul Mukminin Hanifah bin Abu Hanifah

Sunday, July 31, 2011

Salam Ramadhan

Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah, 2: 183)

Marhaban Ya Ramadhan! Selamat menyambut ketibaan Ramadhan Al-Mubarak dan selamat berpuasa kepada pengunjung blog http://imam-abuhanifah.blogspot.com/. Marilah kita sama-sama tekad memperbaharui dan mempertingkatkan iman kita dengan mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhkan diri dari melakukan perkara yang sia-sia yang mengurangkan pahala puasa kita.


Ikhlas daripada:
Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Norashidah binti Samsudin
Amirul Mukminin Hanifah bin Abu Hanifah

Sunday, July 3, 2011

Forum Israk Mikraj

Pada 29 Jun 2011 yang lepas, Futuwwah Training & Consultancy diundang untuk menyampaikan Forum bersempena Israk Mikraj di Maahad Tahfiz As-Saidiyah, Seremban. Justeru itu, pihak Futuwwah Training & Consultancy ini menampilkan tiga tokoh muda iaitu Cikgu Mohammad Khalid bin Zainol Abidin sebagai moderator dan dua orang ahli panel iaitu Ir Faridul Farhan bin Abd Wahab dan saya, Abu Hanifah bin Mohd Kamal.

Berikut adalah sedikit perkongsian dari saya mengenai soalan yang ditujukan kepada saya serta ringkasan jawapan dan rumusan yang diberikan.

Soalan 1:
Ustaz Abu, ketika Nabi SAW menceritakan perjalanan Israk Mikrajnya kepada kaum Quraisy, kebanyakan daripada mereka tidak mempercayai cerita Nabi SAW ini. Ini kerana, menurut mereka, perjalanan sebegitu (Mekah ke Baitul Maqdis, kemudian ke langit, “return flight”) menurut mereka adalah tidak logic. Namun anda sebagai seorang engineer, tentu tahu bahawa perjalanan sebegitu, dengan bantuan teknologi terkini, masih ada possibilitynya. Kebetulan, tamadun besar di zaman itu bukanlah bangsa Quraisy, sebaliknya Rom & Parsi. Merekalah yang menguasai tamadun ketika itu. Bahkan ada banyak hal-hal ajaib yang hingga kini manusia tidak dapat jelaskan, misalnya pembinaan Piramid, atau Stonage di U.K, dan sebagainya. Jadi soalan saya, apakah isu penolakan bangsa Quraisy terhadap cerita Israk Nabi SAW ini disebabkan kemunduran teknologi mereka, di mana kalaulah kisah Israk Mikraj ni diceritakan kepada bangsa Rom atau Pasi dan sebagainya, atau pun kita ada time machine di mana saudara sebagai engineer boleh kembali ke masa itu, saudara tidak akan terus menolak, lantaran ada kemungkinan perjalanan sebegitu ajaib masih boleh berlaku. Jadi apa pendapat saudara?

Jawapan: Saya nak bawa perbincangan tentang kemajuan teknologi terlebih dahulu. Di Jepun, semua maklum tentang kewujudan Bullet Train yang mampu mencapai kelajuan sehingga 300km/j berbanding di Malaysia di mana kelajuan Komuter hanya boleh sampai 120km/j. Sebenarnya, Bullet Train dibina pada tahun 1964 iaitu ketika itu Malaysia baru sahaja 7 tahun merdeka manakala Komuter di Malaysia hanya dibina penghujung 1990an. Jika berdasarkan kemajuan teknologi, sepatutnya keret api yang lebih laju lagi boleh dibina pada zaman sekarang. Contoh kedua, salah satu "Seven Wonders of the World" iaitu Giza Pyramid di Mesir yang dibina sekitar 2560 sebelum Masihi yang bermakna lebih 4000 tahun yang lepas. Ianya dibina setinggi 146.5 meter yang mengandungi 1,300,000 blok batu yang seberat 2.5 - 15 tan setiap satu. Percaya atau tidak? Kajian sejarah membuktikan yang ianya adalah benar. Pasti ada kemajuan teknologi yang mampu membina Pyramid segah ini. Contoh yang lain adalah pembinaan Petronas Twin Tower setinggi 451.9 meter dan kini bangunan yang paling tinggi adalah Burj Khalifa yang mempunyai ketinggian 828 meter. Maka, jika kita bercakap tentang teknologi, tidak mustahil akan wujud bangunan yang mempunyai ketinggian lebih dari 1 km suatu hari nanti. Kemajuan teknologi sebenarnya ada berkaitan dengan kemajuan manusia. Sebagai contoh, rekod dunia acara 100 meter pecut lelaki dipegang oleh Usain Bolt iaitu 9.58 saat. Maka, sama juga, tidak mustahil akan wujud "Hussin Bolt" yang akan berlari di bawah 9 saat. Ianya tidak mustahil jika berbicara tentang teknologi. Bagi diri kita yang tinggal di bandar dan terdedah dengan sains dan teknologi, kita mudah percaya tetapi bagaimana pula dengan orang yang tinggal di kawasan pedalaman? Adakah mereka percaya? Berbalik kepada persoalan tadi, kita imbas kembali peristiwa Israk Mikraj. Apabila Rasulullah menceritakan kepada kaum Quraisy, semua pakat gelak dan mengejek Nabi kerana tidak mempercayai cerita Nabi. Hanya Abu Bakar yang membenarkan dan mempercayainya. Memang layaklah digelar dengan gelaran As-Siddiq! Ibrahnya di sini adalah mewujudkan kepercayaan dalam diri seorang Muslim. Jika wujud kepercayaan dalam agama yang teguh dalam diri seorang Muslim, maka teguhlah dia hatta Islam itu dihina dan difitnah sebagai macam. Dan, jika tidak wujud kepercayaan yang kuat, berilah apa pun, tunjukkanlah bukti apa pun, maka dia tetap tidak mempercayainya meskipun buktinya adalah sesuatu yang menunjukkan teknologi yang sangat hebat. Rujuk dalil (55: 33) dan (49: 15).

Soalan 2:
Ustaz Abu, saudara terlibat di NIOSH yang terbabit dengan industri keselamatan di Negara kita. Soalan saya, apakah perjalanan Israk mahu pun Nabi SAW itu “selamat”? atau, apakah pemilihan buraq, tempat berlepas dan sebagainya mempunyai kaitan dengan keselamatan perjalanan Nabi SAW itu sendiri?Bagaimana dengan operation Nabi oleh malaikat Jibril, kalau berdasarkan kajian NIOSH, apakah operation di waktu kerja atau ketika tengah peak hour (sibuk) selamat untuk dilaksanakan?

Jawapan: Bila bercakap tentang "safety" atau selamat, motto yang paling biasa digunakan ialah "Safety First". Baru-baru ini, seorang trainer memberitahu bahawa beberapa pengamal keselamatan di seluruh dunia mencadangkan 1 motto yang lebih sesuai iaitu "Safety Starts From Me". Bagi saya pula, jika kita berbicara soal keselamatan dalam agama, maka lebih sesuai motto itu diubah kepada "Keselamatan Bermula Dari Saya Dengan Keizinan Allah". Keselamatan penting di mana-mana sahaja kerana bahaya menunggu tidak mengira tempat dan masa. Meskipun berada di rumah ataupun di surau, ada unsur-unsur yang boleh mendatangkan bahaya kepada kita, maka perlu mengutamakan keselamatan di mana-mana sahaja. Berbalik kepada soalan, sebenarnya tidak timbul isu selamat atau tidak jika ianya adalah perintah dari Allah. Lihat sahaja, ibadah Haji di Mekah yang menghimpunkan berjuta-juta ummat namun keselamatan tetap terjaga kerana ianya adalah ibadah kepada Allah. Tapi, tidak dapat disangkal ada juga berlakunya kejadian yang tidak diingini semasa musim Haji namun nisbahnya agak kurang. Banyak kisah, di mana, meskipun keselamatan itu diutamakan tetapi tetap juga berlaku kecelakaan. Yang paling penting sekarang ialah kita berdasarkan kepada agama. Keselamatan akan punah jika di sekeliling kita tidak berdasarkan kepada agama. Lihatlah peristiwa stadium baru yang runtuh, siling hospital yang roboh dan lain-lain lagi. Ini berpunca akibat khianat dan tidak amanah. Tetapi jika kita sebagai seorang Muslim melakukan kerja dengan amanah di samping menjaga aspek-aspek keselamatan, insya Allah segala-galanya Allah jaga.

Soalan 3:
Dalam peristiwa Israk Mikraj, terdapat kisah di mana dada Rasulullah dibedah dan hatinya dibersihkan. Adakah itu menunjukkan bahawa hati Rasulullah kotor?

Jawapan: Pada pendapat saya, itu hanyalah simbolik dalam penyucian jiwa. Dalam berdakwah kepada masyarakat (horizontal) perlunya Rasulullah menjaga hubungan dengan Allah (vertical), maka itulah pentingnya penyucian jiwa kerana hanya Allah yang memberi kekuatan untuk Nabi berdakwah. Sama juga lah dengan para daie. Itulah sebabnya perlu dijaga amalan-amalan wajib dan sunah seperti Tilawah Al-Qura, Qiamullail dan Solat Fardhu berjemaah. Nabi Musa apabila hendak berhadapan dengan Firaun yang mempunyai kekuatan dan pengaruh yang kuat di samping seorang pemidato yang hebat, turut meminta pertolongan Allah. Rujuk (Taha, 20: 25 - 28). Hasilnya, Allah memberi kemenangan kepada Nabi Musa dan itulah yang boleh kita ambil pengajaran.

Kesimpulan:
Petikan dari buku bertajuk "Quantum Tarbiyah" karangan Solikhin Abi Izzuddin, "Rasulullah seringkali menceritakan kepada para sahabat mengenai perjalanannya, Mikraj baginda menghadap Allah. Baginda sering pula menceritakan bagaimana keadaan syurga yang dijanjikan Allah kepada sahabat-sahabatnya. Suatu hari ketika Rasulullah dimikrajkan menghadap Allah, malaikat Jibril memperlihatkan kepada baginda taman-taman syurga. Rasulullah melihat ada sekumpula bidadari yang sedang bercengkerama. Ada seorang bidadari yang begitu berbeza dari yang lainnya. Bidadari itu menyendiri dan tampak sangat pemalu. Rasulullah bertanya kepada Jibril, "Wahai Jibril, bidadari siapakah itu?" Jibril menjawab, "Bidadari itu adalah diperuntukkan bagi sahabatmu Umar. Pernah suatu hari, ia membayangkan tentang syurga yang kau ceritakan keindahannya. Ia menginginkan untuknya seorang bidadari yang berbeza dari yang lainnya. Bidadari yang diinginkan itu berkulit hitam manis, dahinya tinggi, bahagian atas matanya berwarna merah dan bahagian bawah matanya berwarna biru serta memiliki sifat yang sangat pemalu. Kerana sahabatmu itu selalu memenuhi kehendak Allah, maka saat itu juga Allah menjadikan seorang bidadari untuknya sesuai dengan apa yang dikehendaki hatinya." Begitulah bidadari istimewa yang diperuntukkan khusus, hanya buat Umar, seorang sahabat yang sangat ditakuti syaitan. Beza sangat dengan kita, tidak ditakuti syaitan, tapi barangkali malah lebih disenangi syaitan, Na'uzubillah."

Wallahua'lam

Tuesday, May 17, 2011

Selamat Hari Murobbi

Pagi semalam, saya mendapat dua SMS daripada ikhwah seperjuangan. "Selamat Hari Murobbi!" Tersenyum apabila membaca SMS tersebut. Moga-moga semakin teguh menjadi seorang murobbi atau pendidik dan dapat membentuk lebih ramai murobbi yang lebih hebat dan berkualiti.
Amin Ya Rabbal Alamin...

Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Pendidik

Bersempena dengan tarikh 16 Mei, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pendidik kepada:
- Ayahanda Mohd Kamal bin Mohd Hanifah dan Abd Sattar bin Mohd Hanifah serta Bonda Yatimah binti Sheikh Ahmad dan Zaleha binti Ibrahim
- Seluruh ahli keluarga termasuk adik beradik dan saudara mara
- Guru dan staff Tabika Kemas Kampung Pondok Rasah (Tahun 1989)
- Guru dan staff Sek. Keb. Dato' Bandar Rasah (Tahun 1990 - 1995)
- Guru dan staff SMKA Sheikh Haji Mohd Said (Tahun 1996 - 2000)
- Guru tuisyen saya semasa sekolah rendah dan sekolah menengah
- Pensyarah dan staff Matrikulasi Kolej Chermai (Tahun 2001 - 2002)
- Pensyarah dan staff Universiti Sains Malaysia, Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal (Tahun 2002 - 2006)
- Staff Malaysian Transformer Manufacturing Sdn Bhd (Latihan Industri, Tahun 2005)
- Staff Taitsu Electronics (M) Sdn Bhd (Tahun 2006 - 2010)
- Pensyarah dan staff Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) (Tahun 2008)
- Pensyarah dan staff Universiti Malaya, Akademi Pengajian Islam (Tahun 2009)
- Pensyarah dan staff Universiti Putra Malaysia, Kampus Kejuruteraan (Tahun 2009 - Kini)
- Staff National Institute Occupational Safety and Health (NIOSH) (Tahun 2010 - Kini)
- Ikhwah-Ikhwah dan Akhwat-Akhwat seperjuanganku sejak mengenali dunia Tarviyyah
- Seluruh kenalan yang pernah berdamping dengan diriku

Terima kasih di atas segala tunjuk ajar dan bimbingan kalian yang memberikan diriku dari sekecil-kecil ilmu hingga sebesar-besar ilmu dan membimbing dan mentarbiyyah diriku ke arah jalan yang benar.
Jazakallah khairan kathira....

Wednesday, May 4, 2011

Kematian Osama bin Laden

Hari Isnin lepas, seluruh mendapat berita kematian Osama bin Laden dan tentera US mendakwa berjaya membunuhnya. Mendengar berita tersebut, macam-macam reaksi ditampilkan. Ada yang bersorak gembira kerana menganggap keganasan telah hilang dan keamanan kembali. Ini kerana, Osama ditampilkan oleh US sebagai pengganas No. 1 yang dikehendaki dunia. Ada yang bersedih kerana menganggap perjuangan menentang kuasa Amerika dan paksi kejahatan akan terbantut. Bahkan, ada juga yang tidak percaya akan berita ini, seolah-olah direka-reka.

Bagi saya, saya masih keliru dan tertanya-tanya tentang watak Osama itu sendiri. Adakah watak Osama itu benar-benar wujud? Benarkah Osama seperti yang digambarkan oleh Amerika sebagai pengganas dan yang terlibat dalam serangan WTC pada 11 September iaitu hampir sedekad yang lalu? Sedangkan dalam kenyataan video Osama, beliau sendiri tidak pernah mengaku terlibat dengan serangan tersebut. Ketika serangan WTC, tiba-tiba Presiden US dahulu, George Bush mengeluarkan watak Osama yang dilabel sebagai perancang serangan tersebut. Lantas, diserangnya seluruh Afghanistan dengan alasan negara tersebut menyembunyikan Osama. Osama dijadikan alasan untuk US bertapak di Afghanistan. Bijak sungguh si koboi US, serangan WTC seolah-olah rahmat dan peluang kepadanya untuk menawan Afghanistan, Iraq dan menghancurkan Saddam Hussein. Setelah sedekad memburu Osama, akhirnya US mendakwa berjaya membunuh Osama. Banyak keraguan dari segi gambar, lokasi dan cara beliau dibunuh. Mungkin ini cara terbaik yang boleh dilakukan oleh Presiden US, Barrack Obama melunaskan janji-janjinya untuk mengundurkan tentera dari Afghanistan. Jika Osama mati, Obama boleh mengisytiharkan misi di Afghanistan berjaya dan US boleh mengundurkan tenteranya. Lagipun, watak Osama masih boleh diragui. Wataknya diwujudkan oleh US dan boleh dimatikan oleh US sendiri.

Inilah Perang Saraf yang dilakukan oleh musuh Islam hingga menyebarkan fitnah ke atas seluruh umat Islam di dunia ini.

Tuesday, May 3, 2011

Iraq dan Libya

Konflik di Libya semakin parah. Pada mulanya, pemberontakan rakyat terhadap pemimpin utama Libya iaitu Muammar Gaddafi. Kini, sudah melibatkan kuasa luar yang pasti mempunyai agenda tertentu untuk campur tangan. Berita terbaru, hasil serangan NATO mengakibatkan kematian anak bongsu dan cucu Muammar Gaddafi. Lantas berita ini, menggembirakan sesetengah rakyat yang menentang pimpinan Muammar Gaddafi. Seolah-olah kehadiran NATO dan kuasa luar memberikan rahmat kepada penentang Muammar Gaddafi dan kejayaan NATO adalah kejayaan mereka. Apa akan jadi jika NATO berjaya menghancurkan kekuasaan Muammar? Adakah rakyat bersorak gembira atau sebaliknya?

Teringat ketika era kejatuhan Saddam Hussein di tangan US. Dia, anak-anaknya, orang kanannya dan segala kekuasaanya mati dan hancur musnah angkara US. Ketika kejatuhannya, begitu ramai rakyat Iraq yang bersorak gembira khususnya mereka yang berdendam dengan pimpinan diktator itu. Bagi mereka, kematian Saddam merupakan satu rahmat dan Iraq akan kembali aman. Benarkah? Bagaimana keadaan Iraq sekarang? Sebenarnya yang betul-betul gembira dan berjaya adalah US bukan rakyat Iraq. Hingga sekarang, Iraq masih huru-hara bahkan keadaannya lebih teruk berbanding ketika pemerintahan Saddam Hussein. Mungkin dahulu, kebencian sebahagian rakyat Iraq menyebabkan mereka tidak berfikir panjang hingga rela kuasa luar buat kacau di negara mereka sendiri asalkan Saddam hancur. Kini, majoriti mereka menyesal atas tindakan mereka.

Bagi saya, konflik di Iraq tiada bezanya dengan Libya. Sepatutnya, bila melihat hasil di Iraq, patutnya orang Islam lebih cerdik dan mengambil pengajaran supaya tidak berulang di Libya dan di negara lain. Kita harus tahu, siapa sebenar musuh kita sama ada orang Islam sendiri ataupun Taghut di luar sana. Wallahua'lam.

Sunday, May 1, 2011

Sumpah

"Woi,, siapa yang conteng buku aku ni? Rahim, kau ke yang conteng?" marah dan sergah Saiful.
"Eh, tak lah. Aku tak usik pun buku kau," jawab Rahim.
"Ah, sudahlah, aku tak percaya. Aku tahu, kau yang conteng buku aku. Kau memang suka cari gaduh dengan aku kan?" gesa Saiful.
"Betul lah, aku tak buat. Janganlah asyik tuduh aku je," balas Rahim.
"Kalau betul kau tak buat, kau kene bersumpah depan aku yang kau tak buat," paksa Saiful.
"Sumpah! Demi Allah, aku tak conteng buku kau," sumpah Rahim
"OK. Kalau kau tipu, nanti kau dimakan sumpah!" balas Saiful

Itulah kisah-kisah ketika bersekolah dahulu. Nak kan kepastian, sumpah digunakan atau dimainkan untuk menyelesaikan suatu masalah. Entah boleh percaya atau tidak pada sumpahan itu. Ye la, budak sekolah, mana tahu sangat dosa pahala, syurga neraka dan laknat dari Allah. Yang penting, terlepas dari tuduhan.

Rupa-rupanya, si tua bangka pun suka bersumpah sekarang ini. Ingatkan budak-budak je. Nak kata tak tahu dosa pahala, syurga neraka dan hukum Allah, dah akil baligh dan beranak pinak dah pun. Mungkin terlalu jahil hinggakan tak pernah mentadabbur al-Quran ataupun belajar dan mendengar pendapat ulama'.

Islam itu sangatlah indah. Cuma penganut Islam saja yang tidak menghayatinya, lantas Islam itu digelakkan. Al-Quran dan As-Sunnah ada untuk dijadikan rujukan, bukannya kepala otak yang jahil. Harap-harap peristiwa ini tidaklah menjadi trend dan biarlah sedikit sahaja yang jahil dan bodoh dalam agama, bukan semua umat Islam. Wallahua'lam.

Tuesday, March 15, 2011

Peristiwa Tsunami di Jepun

Pada hari Jumaat, 11 Mac 2011, sesuatu yang tidak pernah dicatat oleh sejarah, Pantai Timur Laut Jepun dilanda gempa bumi paling dahsyat berukuran 8.9 pada skala Ritcher. Gegaran yang begitu dahsyat mengundang bencana yang paling menakutkan iaitu gelombang Tsunami. Peristiwa ini mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa, ribuan yang masih hilang, kemusnahan tempat tinggal, sistem pengangkutan dan harta awam serta terencatnya sistem ekonomi. Tidak cukup dengan itu, loji nuklear meletup yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan nyawa di sekelilingnya dengan bahan radioaktif.

Saya pernah menjejakkan kaki di Jepun pada November 2008 dengan melakukan latihan intensif di syarikat lama saya iaitu Taitsu Electronics di kawasan Hitachi Ohmiya dan Kawasaki di samping berkunjung di beberapa tempat seperti Bandar Mito, Ibaraki dan Oarai Beach. Apabila membaca akhbar, hampir kesemua tempat tersebut berlakunya tragedi yang sangat tragis itu.

Rajah 1: Tragedi di Bandar Mito, Ibaraki

Rajah 2: Oarai Beach


Saya melahirkan rasa cukup simpati kepada seluruh warga Jepun sama ada yang berada di Jepun ataupun di luar Jepun dan juga kepada orang luar yang menetap di Jepun yang terkena tempias tragedi ini. Semoga mereka bangkit dari kemusnahan ini seperti mereka bangkit selepas berlakunya Perang Dunia Kedua yang lepas.

Sehubungan dengan itu, saya memuji langkah-langkah oleh beberapa negara dalam membantu untuk memulihkan dan membangunkan semula negara tersebut. Semoga, dengan berlakunya peristiwa ini, kembali menginsafkan diri kita sebagai hamba Allah yang kerdil dan juga dapat mendidik jiwa kita menjadi lebih insaf dan bertindak di atas landasan kemanusiaan dalam apa jua perkara.

Sunday, February 27, 2011

Setelah Setahun....

Hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan saya yang pertama. Pejam celik, pejam celik, sudah setahun rupanya saya bergelar seorang suami. Cepat sungguh masa berlalu. Meskipun baru setahun, seharusnya terus dipelihara sebaik-baiknya hubungan yang halal ini agar terus menjadi terus romantis dalam perkahwinan ini.

"Banyakkan bersabar!" pesan abang ipar saya setahun yang lalu.

"Semoga kekal hingga ke syurga." pesan Pak Ngah sebelah isteri saya pula.

Itu adalah pesanan yang sering saya ingati, bahkan banyak lagi pesanan yang disampaikan kepada ketika mula-mula menjejakkan kaki ke alam perkahwinan. Semoga ia bukan hanya pesanan tetapi merupakan doa yang terbaik bagi kami dalam mengharungi alam perkahwinan.

Amirul Mukminin Hanifah (kini berusia 3 bulan)

Seronok betul bila melihat gelagat putera sulung sekarang ni yang baru menjangkau usia 3 bulan dan melihat dirinya membesar di hadapan saya dan isteri. Entah macam mana lah nanti bila sudah pandai merangkak, belajar berjalan dan berlari. Mungkin itulah perasaan parents saya bila membesarkan saya.

Semasa belajar dahulu, sama ada di kuliah ataupun ketika berprogram, sering teringat parents (ibu, abah, ayah dan emak) di rumah. Sekarang, apabila sudah bekerja, meskipun di pejabat ataupun ketika berprogram, sering teringat juga kepada mereka termasuk juga isteri, anak dan mertua. Macamlah jauh sangat bunyinya. Itu bukan persoalannya. Seorang sahabat berkongsi prngalaman, "Jika seorang ibu ketika hendak makan, pasti akan teringat pada anaknya." Mengapa tidak seorang anak sentiasa ingat kepada orang tuanya.

Firman Allah: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antaranya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engaku mengatakan kepada keduana perkataan "ah" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, "Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil." (Al-Isra', 17: 23-24)

Thursday, December 30, 2010

Harimau Malaya: Potensi Pemuda Terserlah

Subhanallah... Alhamdulillah... Astaghfirullahalazhim...
Syabas kepada Pasukan Bola Sepak Malaysia ataupun Harimau Malaya setelah merangkul kejuaraan Piala Suzuki AFF dengan menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2. Sudah lama rakyat Malaysia tidak bergembira dengan kejayaan bola sepak negara dan inilah saat-saat yang cukup dinantikan.

Meskipun kebanyakan pemain rata-rata berumur 23 tahun ke bawah, kecuali 3 pemain yang berumur 25 tahun ke atas, Harimau Malaya mampu menjinakkan pasukan Indonesia yang jauh lebih berpengalaman. Tanpa pemain yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa, tanpa pemain import dan hanya menggunakan potensi pemuda (syabab), kejuaraan masih boleh didakap.

Kebanyakan dari mereka dibentuk potensi sebagai pemain bola sepak sejak awal lagi; dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, seterusnya diserap ke pasukan Harimau Muda dan inilah hasilnya! Pembentukan yang cukup lama dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Bahkan, jika hendak menakluk Asia dan Dunia, maka usaha perlu digandakan dan kesabaran perlu lebih kuat dan pembentukan generasi pelapis sejak sekolah perlu diteruskan.

Begitulah contoh yang terbaik di depan mata. Hendak mentarbiyah dan menanam fikrah yang baik kepada seluruh masyarakat perlulah mengambil masa dan tiada salahnya dan tidak perlu dimalukan jika bermula di peringkat sekolah menengah. Bahkan, jika ia bermula lebih awal dari itu, adalah lebih baik. Namun, proses akan memakan masa yang cukup lama namun hasilnya, Insya Allah cukup manis untuk dinikmati oleh kesuluruhan masyarakat.

Saturday, November 27, 2010

26 Nov 2010: Hari Terakhir dan Hari Pertama

26 November 2010 adalah hari terakhir saya di syarikat pertama saya bekerja iaitu Taitsu Electronics (M) Sdn Bhd. Mula bekerja sejak 18 September 2006 dan pelbagai pengalaman yang diperolehi di sini dari segi pengalaman bekerja di kilang, disiplin kerja orang Jepun, politik di tempat kerja dan lain-lain. Bertugas di dalam Jabatan R&D selama 4 tahun lebih (assabiqun awwalun R&D) dan berperanan dalam pembangunan produk-produk baru untuk pelanggan seperti Matsushita, Toshiba, Panasonic, Samsung, LG, Fujitsu, Hitachi dan yang terbaru adalah Denso. Moga-moga, pengalaman ini akan terus mematangkan diri untuk bekerja di tempat baru bermula 1 Disember ini. Selalu juga berdoa agar dikurniakan kerjaya yang sesuai untuk diri, keluarga, agama dan kerjaya, dan harapnya inilah yang terbaik dikurniakan oleh Allah.

26 November 2010 juga adalah hari pertama saya bergelar seorang abah atau ayah. Alhamdulillah, isteri saya selamatkan melahirkan seorang mujahid lelaki (baby boy) seberat 3.3kg pada 4:30pm. Berpeluang menemani isteri dalam labour room dan barulah sedar betapa sakit dan peritnya emak melahirkan saya 27 tahun yang lepas. Begitu besar pengorbanan seorang ibu. Semoga kelahiran mujahid kecil ini menjadi perancak dalam dakwah yang saya dan isteri pikul dan memberi 1001 kebahagian dan kekuatan dalam mengharungi kehidupan mendatang. Semoga diberi kekuatan, kecerdikan dan kesabaran yang lebih kuat dalam menjadi seorang suami, seorang bapa, seorang anak, seorang hamba Allah dan seorang kuli dakwah.

Amin Ya Rabbal Alamin.... 

Sunday, September 5, 2010

Tazkirah Sempena Lailatul Qadar

Firman Allah: "Dan kamu menjadi tiga golongan. Iaitu golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri, alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang paling dahulu (beriman), merekalah yang paling dahulu (masuk syurga)." (Al-Waqi'ah, 56: 7 - 10)

Ayat yang dibacakan menunjukkan bahawa terdapat tiga golongan di hari kiamat kelak iaitu golongan kanan (ashabul maimanah / yamin), golongan kiri (ashabus masy'amah / syimal) dan golongan paling dahulu (assabiqun assabiqun). Justeru itu, golongan kanan adalah golongan yang melakukan kebaikan dan golongan kiri pula adalah puak yang melakukan kejahatan. Manakala golongan paling dahulu adalah golongan yang lebih awal dan cepat melakukan kebaikan atau beriman. Siapakah golongan paling dahulu ini? Antaranya ialah para sahabat, para tabi'in dan para wali. Persoalannya, adakah kita umat akhir zaman ini mampu menjadi golongan ini? Saya pernah berbincang dengan seorang sahabat. Kesimpulannya agak menarik iaitu, ayat al-Quran ini menjadi motivasi kepada kita agar terus mendekatkan diri kepada Allah supaya mampu atau boleh menjadi golongan paling dahulu ini.

Apabila kita relatekan dengan kondisi sekarang di mana Ramadhan semakin ke penghujungnya dan Syawal hampir menjelma. Seharusnya, kita memanfaatkan segala ruang yang ada agar kita memperolehi ganjaran yang Allah tawarkan pada malam Lailatul Qadar supaya amalan yang kita lakukan dapat menjadikan kita golongan yang paling dahulu.

Dalam keadaan dunia sekarang, jika kita melihat pada kejohanan-kejohanan sukan yang dipertandingkan di mana pada setiap kejohanan, sudah pasti hanya akan mempunyai satu pemenang tidak kiralah pertandingan bola sepak, badminton dsb. Sebagai contoh, World Cup 2010 yang telah selesai di mana Sepanyol dimartabatkan sebagai juara dunia. Berbeza pula dengan kejohanan Lailatul Qadar di mana bukan hanya seorang muslim sahaja yang akan mendapat ganjaran dari Allah tetapi seramai mungkin umat Islam boleh mendapatkannya. Bahkan, bukan hanya umat Islam di Mekah dan Madinah sahaja yang berpeluang meraihnya tetapi juga mampu dimenangi atau diperolehi oleh umat Islam seluruh dunia termasuklah Malaysia. Itulah bezanya, ganjaran dari Allah dengan ganjaran dari manusia. Justeru itu, dalam waktu yang sesingkat ini, marilah sama-sama kita terus beramal untuk mendapat ganjaran dari Allah dan seterusnya menjadi golongan paling dahulu (assabiqun assabiqun).

Wallahua'lam...


*Tazkirah ini disampaikan ketika menjadi imam solat sunat tarawikh di Surau Darul Jannah, Accasia Park pada 4 September 2010 bersamaan malam 26 Ramadhan 1431. 

Thursday, August 12, 2010

Ramadhan al-Mubarak

Bulan Ramadhan, jika dimanfaatkan sepenuhnya mampu mengasuh diri dan peribadi kita semua, mengangkatnya ke satu tahap yang lebih tinggi dan sempurna, menjadikan kita semua golongan yang hampir kepada Allah s.w.t dan manusia yang mengasihi Allah dan dikasihinya, disayangi manusia dan menyayanginya.

Semoga bulan Ramadhan pada tahun ini akan mengangkat kita semua ke darjat golongan-golongan ummah yang bertakwa, memiliki bekalan perjalanan kehidupan yang terbaik dalam pengembaraan masing-masing merentasi kehidupan sementara di dunia yang fana ini. Dengan itu kita akan mencapai matlamat daripada ibadah berpuasa, memperolehi bekalan taqwa yang merupakan sebaik-baik bekalan disisi Allah s.w.t.

Rasulullah telah berucap di hari-hari terakhir bulan Syaaban kepada sahabat-sahabat baginda:

" أيها الناس : قد أظلكم شهر عظيم مبارك , شهر فيه ليلة خير من ألف شهر, شهر جعل الله صيامه فريضة وقيام ليله تطوعا , من تقرب فيه بخصلة كان كمن أدى فريضة فيما سواه , ومن أدى فريضة فيه كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه , وهو شهر الصبر , والصبر ثوابه الجنة , وشهر المواساة وشهر يزاد فى رزق المؤمن فيه , من فطر فيه صائما كان مغفرة لذنوبه وعتق رقبته من النار , وكان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيء . قالوا : يا رسول الله , ليس كلنا يجد ما يفطر الصائم , فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يعطى الله هذا الثواب من فطر صائما على تمرة أو شربة ماء أو مذقة لبن . وهو شهر أوله رحمة , وأوسطه مغفرة, وآخره عتق من النار, من خفف فيه عن مملوكه غفر الله له وأعتقه من النار, فاستكثروا فيه من أربع خصال: خصلتين ترضون بهما ربكم, وخصلتين لا غناء بكم عنهما, فأما الخصلتان اللتان ترضون بهما ربكم : فشهادة أن لا اله الا الله , وتستغفرونه, وأما الخصلتان اللتان لا غناء بكم عنهما : فتسألون الله الجنة وتعوذون به من النار, ومن سقا صائما سقاه الله من حوضى شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة "

Maksudnya: “Wahai manusia! Kamu akan dinaungi satu bulan yang agung, yang penuh keberkatan. Bulan yang terdapat di dalamnya satu hari yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah telah jadikan berpuasa di dalamnya satu fardhu dan menghidupkan malamnya sebagai amalan sunnah. Sesiapa yang menghampirkan dirinya kepada Allah menerusi amalan sunnah, dia seperti melaksanakan satu amalan fardhu selain amalan sunnah tersebut, dan sesiapa yang menunaikan satu amalan fardhu di dalamnya (bulan Ramadhan), dia seperti menunaikan 70 amalan fardhu selain amalan fardhu tersebut. Ia adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya ialah syurga. Ia juga adalah bulan memberi pertolongan dan bantuan. Ia bulan di mana rezeki orang-orang yang beriman bertambah. Sesiapa yang menyediakan makanan kepada seseorang yang berbuka puasa , tindakan itu akan mengampuni dosa-dosanya dan membebaskan dirinya daripada api neraka, bagi dirinya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa sebarang pengurangan.”

Sahabat-sahabat baginda langsung berkata: “Bukan semua kami memiliki sesuatu untuk dijadikan bahan berbuka seorang yang berpuasa.” Lalu Rasulullah s.a.w menjawab: “Allah akan mengurniakan ganjaran pahala saperti itu kepada seseorang yang menghidangkan untuk seseorang yang berpuasa berbuka walaupun sekadar seulas buah tamar, seteguk air atau seteguk air susu.”

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang awalnya adalah rahmah, pertengahannya adalah pengampunan dan hujungnya adalah pembebasan daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan bebanan daripada hambanya, Allah lagi akan mengampuni dirinya serta membebaskannya daripada api neraka.

Perbanyakkanlah sepanjang (bulan Ramadhan) dengan empat kegiatan; dua kegiatan yang akan menjadikan kamu diredai Allah s.w.t dan dua kegiatan lain pula kamu sendiri amat perlu kepadanya. Adapun dua kegiatan yang akan menjadikan kamu diredai Allah, maka ia adalah ucapan syahadah: “Bahawa tiada tuhan melainkan Allah” dan kamu memohon keampunan daripadanya. Adapun dua kegiatan yang kamu sendiri amat perlu kepadanya, maka ia adalah: “Kamu memohon (balasan) syurga serta kamu meminta perlindungannya daripada api neraka. Sesiapa yang memberi minuman kepada seseorang yang berpuasa maka Allah akan memberinya minuman daripada kolah airku yang menjadikannya sama sekali tidak akan kehausan sehinggalah dia memasuki syurga.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah dalam kitab sahihnya)

Tuesday, August 3, 2010

Menjadi Pahlawan Yang Pahalawan

Adakah aku seorang pahlawan?
Adakah aku mempunyai ciri-ciri seorang pahlawan?
Apakah ciri-ciri supaya aku menjadi seorang pahlawan?

Semasa sekolah rendah dahulu, masih ingat lagi apabila Hari Pahlawan diraikan. Meskipun tidak bercuti, tetapi setiap Hari Pahlawan, pasti akan dibuat kutipan derma untuk perajurit dan bekas-bekas perajurit negara. Jika dahulu, bila disebut tentang Hari Pahlawan, hanya terbayang askar-askar dan angggota beruniform yang memegang senjata. Tetapi, rupa-rupanya, definisi pahlawan cukup besar. Apabila bergelumang dengan dunia tarbiyah, bahkan skopnya turut meluas. Dan seharusnya, daie perlu menjadi seorang pahlawan dan memberi impak yang besar kepada masyarakat.

Setiap negara dan masyarakat sudah pasti ada pahlawan dan tokoh mereka sendiri. Nelson Mandela adalah pahlawan masyarakat Afrika yang menentang dasar arphateid. Mahatma Gandhi pula adalah pahlawan bagi orang India di mana seluruh kaum India di seluruh dunia menyanjungi perjuangan beliau. Tidak ketinggalan pula bagi Tanah Melayu atau Malaysia. Cukup dikenali nama-nama seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbung, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Leftenan Adnan, Dr Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain yang merupakan pencetus titik tolak kebangkitan bangsa untuk menuntut kemerdekaan. Perjuangan yang ikhlas yang tidak menggadaikan agama, bangsa dan negara sebaliknya menggadaikan nyawa mereka sendiri.

Justeru, apabila terjerumus ke lembah tarbiyah ini, sudah pasti lebih banyak pahlawan yang kita temui. Nabi Muhammad s.a.w. adalah pahlawan ulung dalam sejarah Islam dan kerana bagindalah kita berada di atas landasan Islam. Kehebatan baginda mentarbiyah para sahabat menjadi titik tolak Islam pernah menguasai dunia. Di atas kehebatan dan kecekalan pahlawan ulung ini, melahirkan ramai pahlawan dari golongan sahabat, tabi'in dan seterusnya hingga ke saat ini. Nama-nama seperti Hasan al-Banna, Syed Qutb, Hasan Hudaibi, Syeikh Ahmad Yasin, Abd Aziz Rantisi, Yusuf Qardhawi dan lain-lain sering meniti di bibir penggiat-penggiat dakwah di serata dunia. Mereka berdakwah merentasi negara dan benua, mereka berperang lalu membunuh dan terbunuh dan mereka korbankan segala apa yang ada di sisi sama ada jiwa, harta, masa dan keluarga.


Sudah pastinya, kemunculan pahlawan-pahlawan Islam hingga sekarang bermula dari perjuang Rasulullah s.a.w. dan itulah idola utama mereka. Bagaimana pula kita? Adakah kita hanya mampu menyebut-nyebut nama mereka sedangkan usaha kita tidak seberapa? Malulah kita seandainya gagal kita untuk menjadi pahlawan Islam sedangkan masyarakat sekarang menantikan hero-hero atau pahlawan-pahlawan yang akan menyelamatkan mereka dari sebarang gangguan puak kuffar. Jiwa patriotik dalam diri ini bukan hanya untuk negara sahaja bahkan yang lebih penting untuk agama dan Rabb-ku.

Ku ingin menjadi "Pahlawan Yang Pahalawan" yang bercita-cita ingin mentarbiyyah keluarga, masyarakat dan mutarabi yang sentiasa mendambakan diri untuk menjadi pahlawan Islam. Biarlah usrah dan halaqah yang dibentuk dapat menyemai semangat perwira dan pahlawan dalam setiap jiwa yang menghadirinya. Tidak ada lagi sikap main-main yang boleh membantutkan jiwa ini untuk menjadi "Pahlawan Yang Pahalawan".

Tuesday, July 20, 2010

Bertemu dan Berpisah

"Ini menantu baru yang kahwin hari tu ye?" tanya seorang pakcik kepada bapa mertua saya sambil bersalam dengan saya. Ketika itu, baru saja selesai kenduri doa selamat dan tahlil saudara bapa mertua saya pada hari Sabtu dua minggu lepas.

"Ya" jawab bapa mertua saya.

"Eh, ini Cikgu Ibrahim kan? Pengetua Sek. Keb. Dato' Bandar Rasah dulu kan?" tanya saya apabila agak mengenali wajah pakcik tersebut.

"Oh, kamu kenal saya. Kamu anak siapa ni? Anak Ustaz Abid?" tanya Cikgu Ibrahim yang merupakan pakcik tadi.

"Tidak. Itu bapa saudara saya.  Ya, cikgu jadi pengetua ketika saya Darjah 6." balas saya.

"Oooo....itu 14 tahun yang lepas. Saya tinggal di sini, di rumah murah Linggi." jawab Cikgu Ibrahim seperti seronok bertemu dengan bekas anak murid dia.

Ketika itu, hati saya agak seronok dan seperti tidak percaya berjumpa dengan beliau. Bahkan bapa mertua saya pun tersenyum mendengar perbualan kami. Saya yakin, beliau sendiri mesti seronok apabila bekas anak murid 14-15 tahun dahulu menegur beliau.

Tetapi, pagi Ahad yang baru ini, bapa mertua telefon mengkhabarkan bahawa Cikgu Ibrahim dan isteri meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Sabtu petang yang turut disiarkan di akhbar. Saya sempat ke rumah dia tetapi tidak sempat menatap wajahnya.

Bagaikan terkejut apa yang berlaku. Baru seminggu bertemu, akhirnya tempoh pertemuan kami tidak panjang. Tidak sempat untuk saya bersilaturrahim dengan beliau, akhirnya beliau pergi dulu mengadap Rabb. Meskipun beliau tidak pernah mengajar saya di kelas, tetapi sedikit sebanyak, banyak perkara yang boleh saya contohi darinya. Bahkan, ibu dan abah saya juga yang mengenali beliau turut mengatakan bahawa beliau seorang guru yang baik.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah Cikgu Ibrahim Bachik dan isteri. Semoga kamu damai di sana, Insya Allah. Al-Fatihah...