Showing posts with label Tadabbur Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Tadabbur Al-Quran. Show all posts

Sunday, October 13, 2013

Islam & Harapan

Firman Allah: "Dan kamu menjadi tiga golongan. Iaitu golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri, alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dahulu (masuk syurga)." (Al-Waqiah, 56: 7 - 10)

Jika dibaca lanjutan dalam surah ini dan ditadabbur atau dikaji serba sedikit beberapa tafsir, kita akan lebih tertumpu terhadap perbezaan golongan kanan (Ash-haabul Yamin) dan orang yang paling dahulu (As-sabiquun). Lanjutan dari ayat di atas, diceritakan ciri-ciri ketiga-tiga golongan tersebut. Semestinya, golongan kanan (Ash-haabul Yamiin) adalah lawan kepada golongan kiri (Ash-haabus Syimal). Tetapi, apa pula kelebihan orang yang paling dahulu (As-sabiquun)? 

Menurut Tafsir Ibnu Kathir - 'Adapun golongan yang paling dulu sampai di hadapan Allah, mereka inilah yang paling khusus, lebih terhormat dan lebih dekat daripada orang-orang yang berada di sebelah kanan yang merupakan pemuka mereka semua, di antara mereka adalah para Rasul, para Nabi, orang-orang yang benar (asshiddiiquun), dan para Syuhada' yang jumlahnya lebih sedikit dari Ash-haabul Yamiin.'

Pernah dalam halaqah saya beberapa tahun lepas, apabila saya tadaburkan ayat-ayat ini dan ajukan persoalan kepada mutarobbi, kebanyakan mereka sepakat menjawab bahawa, wahyu Allah Taala ini memberikan kita motivasi dan harapan untuk menjadi golongan As-sabiquun dan menjadi pendamping para Nabi dan para Sahabat. Meskipun diukur dari segi amal dan segala-segalanya, ibarat langit dan bumi, namun tidak salah kita mengimpikan begitu, sesuai dengan Islam yang sentiasa memberikan harapan kepada umatnya.

Sahabat-sahabat sekalian,
Harapan yang diberikan kepada umat adalah ibarat air hujan yang turun ketika musim kemarau. Iaitu ketika tanam-tanaman kering dan amat memerlukan air untuk terus hidup. Maka, hujan yang turun membuang segala permasalahan dan memberi pengharapan kepada tanam-tanaman untuk terus hidup. Kita pernah mendengar hadith nabi mengenai kisah seorang pelacur yang memberikan makanan kepada anjing yang akhirnya ditempatkan ke dalam syurga. Harapan yang Islam berikan tidak terbatas kepada golongan tertentu seperti golongan agamawan dan elit sahaja, tetapi menyeluruh kepada seluruh manusia dan sekalian alam.



Islam itu hadir bukanlah untuk menghukum, membid'ahkan dan mensesatkan kaum tertentu akibat kesilapan mereka. Tetapi, Islam itu hadir dengan memberikan harapan kepada manusia agar mereka boleh berubah menjadi lebih baik, mereka boleh memperbaiki diri dan kembali ke landasan yang benar. Peluang dan ruang terbuka luas untuk kita kembali ke jalan Allah dan mengejar syurga Allah. Usah disia-siakan ruang yang terhidang, dan yakin dan optimislah bahawa masih ada harapan untuk kita menjadi golongan As-sabiquun.

Wallahua'lam...

Sunday, February 17, 2013

Kisah Thalut dan Jalut - Bahagian 2

Dalam mentadabbur Surah Al-Baqarah, ayat 246 - 251, beberapa perkara penting boleh dijadikan pengajaran berdasarkan kisah Thalut dan Jalut.


A) IBRAH DARI SIRAH
Sirah yang diceritakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah semestinya ada ibrah di sebalik peristiwa tersebut. Seperti sirah yang menggambarkan tentang dakwah Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan lain-lain, semestinya mengandungi ibrah untuk kita. Bukanlah saja-saja Allah mengungkapkan sirah di dalam Al-Quran melainkan untuk dijadikan pengajaran untuk kita yang membacanya. Ibrah kisah Thalut dan Jalut ini, secara keseluruhnnya, boleh digambarkan dalam ayat yang sebelumnya.

Firman Allah: "Barang siapa meminjami Allah dengan pinjaman yang baik maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan." (Al-Baqarah, 2: 245)


B) CIRI - CIRI PEMIMPIN
Allah menggariskan ciri-ciri pemimpin adalah mempunyai ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa iaitu bertetapan dengan dua ciri muwasofat tarbiyah iaitu Qawiyyul Jism dan Muthaqaful Fikr. 

Firman Allah: "....Mereka menjawab, 'Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, dan dia tidak diberi kekayaan yang banyak.'..." (Al-Baqarah, 2: 247). 

Berdasarkan ayat ini, pemuka Bani Israil mempertikaikan pilihan Allah terhadap Thalut kerana merasakan mereka lebih berhak dari Thalut dan juga kerana mereka lebih kaya dan merupakan tokoh masyarakat, yang tiada cirinya pada Thalut. 

Syeikh Muhammad Mutawally Sya'rawi di dalam Tafsir Sya'rawi (Jilid 1) mengungkapkan bahawa ungkapan "padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya...", dapat difahami bahawa Thalut bukanlah tokoh masyarakat. Biasanya pemimpin dipilih dari tokoh masyarakat terkenal, makanya mereka menduga bahawa salah seorang di antara mereka akan terpilih. Tapi, Thalut yang berasal dari golongan biasa, bukan keturunan raja dan bukan pula tokoh masyarakat terpilih sebagai pemimpin.

Justeru itu, pemilihan Thalut sebagai pemimpin adalah dari Allah, bukannya hasil lantikan manusia. Maka sangat tepatlah pilihan Allah mengikut kemaslahatan mereka pada ketika itu apabila Thalut dilantik sekaligus ditokohkan sebagai  tokoh dakwah dan tokoh masyarakat.


C) PERLAKSANAAN DAKWAH
Dalam kisah ini, perlaksanaan dakwah memerlukan 4 unsur iaitu:- 

Pertama - Modul
Modul dakwahnya ialah Thalut mengamalkan ajaran Taurat sebelum Zabur dikurniakan kepada Nabi Daud. 

Firman Allah: "...'Sesungguhnya tanda kerajaannya ialah datangnya Tabut kepadamu....'" (Al-Baqarah, 2: 248). Tabut ialah peti tempat menyimpan Taurat. 

Maka, kondisi untuk berdakwah kini adalah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah yang tiada keraguan padanya. Maka, apa jua hujah atau ikutan yang kita laksanakan harus berpandukan ini.

Kedua - Murobbi
Murobbi dalam kisah ini ialah Thalut. Thalut yang dilantik sebagai pemimpin merupakan murobbi kepada kepada semua pengikutnya.

Ketiga - Mutarobbi
Mutarobbi dalam kisah ini ialah pengikut Thalut yang perlu mematuhi apa saja arahan murobbi mereka iaitu Thalut. Maka, dalam kondisi dakwah dan tarbiyah kita sekarang juga memerlukan seorang murobbi untuk melaksanakan gerak kerja dakwah dan mutarobbi sebagai pengikut dalam dakwah ini.

Keempat - Kaedah
Kaedah dakwah yang dilaksanakan ialah Thalut menguji tenteranya ketika kehausan di kawasan sungai. 

Firman Allah: "Maka ketika Thalut membawa bala tenteranya, dia berkata, 'Allah akan menguji kamu dengan sebuah sungai. Maka, barang siapa meminum (airnya), dia bukanlah pengikutku. Dan barang siapa tidak meminumnya, maka dia adalah pengikutku kecuali menceduk seceduk dengan tangan.' ...." (Al-Baqarah, 2: 249).

Kaedah inilah yang digunakan oleh Thalut untuk menguji kesetiaan, ketaatan dan kekuatan pengikutnya dalam menghadapi ujian. Seorang murobbi berhak melaksanakan pelbagai kaedah dakwah terhadap mutarobbinya dengan bertujuan untuk memperkuatkan dakwah itu.


D) TAPISAN DAKWAH
Di dalam dakwah ini, gugur atau hanyutnya seorang dai'e di dalam dakwah ini adalah perkara biasa. Boleh disimpulkan, itulah tapisan dalam dakwah yang akan menapis golongan yang tidak sanggup bersama dalam dakwah ini. Di dalam kisah ini juga menggambarkan beberapa tapisan dakwah terhadap kaum Bani Israil iaitu mereka berpaling dari kewajipan berperang (Dalil - 2: 246), mereka mempertikaikan perlantikan Thalut sebagai raja (Dalil - 2: 247), mereka melanggar arahan dengan meminum air sungai dengan banyak (Dalil - 2: 249) dan mereka berpaling apabila berhadapan dengan tentera Jalut (Dalil - 2: 249). Tapisan-tapisan ini meninggalkan golongan yang sedikit tapi sangat-sangat kuat dan berkualiti apabila berhadapan dengan musuh. Sebagai dai'e, kita harus yakin bahawa, tapisan ini tidaklah meruntuhkan dakwah tapi sebenarnya memperkuatkan dakwah.


E) SIKAP DALAM DAKWAH
Beberapa sikap yang positif boleh dijadikan ibrah untuk kita dalam berdakwah ini.

Pertama - Ketaatan:
Firman Allah: "... Tetapi mereka meminumnya kecuali sebahagian kecil di antara mereka..." (Al-Baqarah, 2: 249).

Kaedah yang dilaksanakan oleh Thalut sebenarnya sangat-sangat membantu dalam menilai ketaatan pengikut atau mutarobbinya. Jumlah yang sedikit ini lah yang biasa kita ungkapkan dengan golongan yang berkualiti.

Kedua - Yakin, Semangat dan Sabar:
Firman Allah: "... Mereka yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata, 'Betapa banyak kelompok kecil mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah.' Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, 2: 249)

Golongan yang taat dan sedikit inilah yang yakin akan pertolongan Allah yang mereka mampu mengalahkan jumlah lawan yang ramai. Apa jua cabaran dan apa jua halangan yang datang, perlulah bersemangat, sabar dan yakin akan kemenangan seperti yang dibuktikan oleh 313 orang Tentera Badar.

Ketiga - Hubungan Dengan Allah:
Firman Allah: "Dan ketika mereka maju melawan Jalut dan tenteranya, mereka berdoa, 'Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, kukuhkanlah langkah kami dan tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir." (Al-Baqarah, 2: 250)

Dengan kuasa manusia yang sangat terbatas, siapa lagi yang menjadi kekuatan atau tempat mengadunya seorang dai'e selain dari Allah. Allah saja yang mampu memenangkan dan mengalahkan sesuatu kelompok. Jika Allah dekat dengan kita, apa lagi yang perlu ditakutkan.


F) POTENSI DAKWAH
Firman Allah: "Maka, mereka mengalahkannya dengan izin Allah, dan Daud membunuh Jalut...." (Al-Baqarah, 2: 251)

Syeikh Muhammad Mutawally Sya'rawi mensyarahkan bahawa seorang tentera harus memiliki keberanian dan ketika harus lari ke belakang, tidak lebih dari sekadar siasat perang untuk menyerang musuh dari sisi lain, kalau bukan demikian maka ia tergolong penakut. Jalut adalah pemimpin pasukan tentera kafir yang lari dan Daud mengejarnya lalu membunuhnya. Dalam kisah yang panjang ini, untuk pertama kali nama Daud muncul. Daud merupakan anak bongsu dari 10 bersaudara. Sebelum perang, nabi mereka berkata: "Barang siapa yang melawan Jalut harus menggunakan baju besi yang sesuai dengan ukurannya." Ayah Daud mencuba memakaikan baju itu kepada anak-anaknya dan tidak ada yang sesuai kecuali Daud. Merupakan takdir Allah di mana, orang yang paling muda dari orang mukmin membunuh pembesar musyrikin. Pertempuran ini merupakan lembaran baru bagi sejarah kehidupan Daud. Allah memberinya kerajaan dan hikmah, membuatnya ahli dalam merancang dan mahir membuat baju besi. Allah menjadikan besi lunak di hadapannya hingga beliau mampu merekabentuk besi sesuka hatinya (Dalil - 21: 80 dan 34: 10-11).

Seseorang itu ada potensinya dalam dakwah. Cuma, bagaimana harus digilap supaya ianya sangat-sangat bermanfaat dalam dakwah. Daud, dalam usia muda iaitu dalam lingkungan remaja, menyerlahkan potensinya dalam peperangan dengan Jalut, hinggakan tiba-tiba dirinya diangkat sebagai wira dalam peristiwa ini. Ungkapan seperti "From Zero To Hero" sangat-sangat tepat di mana dakwah ini sebenarnya mampu menggilap potensi seseorang ikhwah dan akhwat menjadi hero, meskipun dalam usia remaja. Usah kita memandang enteng potensi seseorang itu meskipun usianya sangat muda dan sangat remaja kerana itulah potensi tarbiyah yang sangat-sangat bernilai untuk dakwah pada masa kini dan masa hadapan. 


Moga-moga kisah Thalut dan Jalut ini dapat memberikan kita ibrah dan perlu dimanfaatkan dalam kita menelusuri dakwah ini. Kisahnya pendek tapi sangat padat dengan pengajaran di dalam dakwah. Wallahua'lam.


*Hasil Perbincangan oleh Mohd Saiful Iman, Mohd Izuan, Azhar, Muhammad Ridhwan, Marwan, Muhammad Afif dan Abu Hanifah. 

Saturday, February 16, 2013

Kisah Thalut dan Jalut - Bahagian 1

Dalam mentadabbur surah Al-Baqarah, ayat 246 - 251, sebuah kisah mengenai Thalut dan Lajut dirakamkan dan ibrah dari kisah ini sangat-sangat bernilai jika dihayati dan diterjemahkan di dalam kehidupan umumnya bagi seorang Muslim dan khususnya bagi seorang dai'e. Mari kita tadabbur sejenak....

Firman Allah: "Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Israel sesudah Nabi Musa, iaitu ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) di jalan Allah". Nabi mereka menjawab: "Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang." Mereka menjawab: "Mengapa kami tidak mau berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dari anak-anak kami?" Maka tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, mereka pun berpaling, kecuali beberapa orang saja di antara mereka. Dan Allah Maha mengetahui orang-orang yang alim." (Al-Baqarah, 2: 246)

Firman Allah: "Nabi mereka mengatakan kepada mereka: "Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi rajamu". Mereka menjawab: "Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang banyak?" (Nabi mereka) berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa." Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah, 2: 247)

Firman Allah: "Dan Nabi mereka mengatakan kepada mereka: "Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja, ialah kembalinya tabut kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangan dari Tuhanmu dan sisa dari peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun; tabut itu dibawa oleh Malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu, jika kamu orang yang beriman." (Al-Baqarah, 2: 248)

Firman Allah: "Maka tatkala Thalut keluar membawa tentaranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, bukanlah ia pengikutku. Dan barang siapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka ia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentaranya." Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."" (Al-Baqarah, 2: 249)

Firman Allah: "Tatkala mereka nampak oleh Jalut dan tentaranya, mereka pun (Thalut dan tentaranya) berdo`a: "Ya Tuhan kami, tuangkanlah kesabaran atas diri kami, dan kokohkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir."" (Al-Baqarah, 2: 250)

Firman Allah: "Mereka (tentara Thalut) mengalahkan tentara Jalut dengan izin Allah dan (dalam peperangan itu) Daud membunuh Jalut, kemudian Allah memberikan kepadanya (Daud) pemerintahan dan hikmah, (sesudah meninggalnya Thalut) dan mengajarkan kepadanya apa yang dikehendaki-Nya. Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rusaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai karunia (yang dicurahkan) atas semesta alam." (Al-Baqarah, 2: 251)

Sunday, December 2, 2012

Hasil Yang Ranum

Firman Allah: "Dan bersabarlah (Muhammad) menunggu ketetapan Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau berada dalam pengawasan Kami, dan bertasbihlah  dengan memuji Tuhanmu ketika engkau bangun." (At-Tur, 52: 48)

Dalam firman Allah di atas, Allah menyarankan agar kita istiqamah bersabar menunggu ketetapan Allah. Hasil yang kita impikan dalam dakwah sememangnya tidak akan tiba serta merta dan pantas, dan dari situlah kita harus belajar untuk terus bersabar dan tidak gopoh dalam menuai hasilnya. Kegopohan dalam dakwah seringkali menyebabkan seorang dai'e hilang fokus mengenai keutamaan dakwah. Mereka yang gopoh pastinya tidak sabar-sabar melihat hasil padahal dakwah dan tarbiyah yang dijalankan masih belum cukup masak dan ranum. Tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah adalah bukti bagaimana hasil yang diperolehi untuk Islam menjadi Ustaziatul Alam memakan masa hingga beratus tahun.

Ikhwah dan Akhwat,
Teruskanlah bekerja dalam dakwah dan tarbiyah ini dan teruskanlah berdoa dan mengharap dari Allah. Usah bimbang jika hasil dakwah masih belum terbit kerana Insya Allah hasil yang ditunggu masih dalam proses untuk masak dan ranum, yang pastinya akan ranum-seranumnya apabila tiba waktunya.

Wallahua'lam.