Showing posts with label Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman. Show all posts

Wednesday, January 2, 2013

Tebalkan Mukamu Wahai Da'i

Sempena Tahun Baru 2013, saya dan beberapa orang ikhwah berpakat untuk melaksanakan Street Dakwah di Dataran Nilai dengan mengedar risalah kepada pengunjung-pengunjung di kawasan tersebut. Melaksanakan pada malam tahun baru, seperti dijangka, kawasan tersebut penuh dengan pengunjung yang mungkin bertujuan untuk berhibur, release tension, berjalan-jalan atau membeli-belah. Sasaran adalah semua lapisan masyarakat sama ada orang muda atau orang yang sudah berkeluarga. Ini adalah peluang kita mengenali masyarakat kita yang pelbagai latar belakang dan peluang terbaik berjumpa dan berinteraksi spontan dengan masyarakat.

Bukannya mudah nak edarkan risalah ni, apatah lagi untuk memberikan tazkirah spontan kepada masyarakat. Ada je yang mesra menjawab salam dan menerima risalah, ada juga mengelak bila nampak kita dan ada juga yang menolak mentah-mentah pemberian risalah. Fuh, memang kene tebal muka bila jadi da'i ni. Tak kan kita nak marah kalau dakwah kita ditolak mentah-mentah? Tak kan kita nak bergaduh kalau kita diherdik ketika menyampaikan dakwah? Semestinya tidak, sebab kita mempromosi produk Islam yang terbaik dan yang menjamin kesejahteraan keseluruhannya. 

Saya pernah dioffer untuk menjadi agen takaful, tapi saya menolak. Ketika saya mencari pekerjaan dulu pun, bahagian sales & marketing adalah pekerjaan yang saya tidak mahu terlibat. Sebabnya, tak sanggup nak tebal muka nak jumpa orang untuk promote produk. Rupa-rupanya, bila menjadi seorang da'i, we will do more than that! Mahu atau tidak, seorang da'i perlu sabar, perlu tebal muka walau apa jua reaksi masyarakat dan terus istiqamah membuat kerja. Hasilnya, kita serah pada Allah.

Wallahua'lam..

Saturday, December 8, 2012

Perkongsian Dakwah: Sharing 1

Dikongsikan bersama perkongsian dakwah dari seorang Ikhwah:

Selesai saja solat Asar, ana duduk di surau menantikan wajah-wajah yang biasa hadir ke usrah mingguan. Dari makluman sms tadi, hanya seorang saja mutarobbi yang akan datang untuk usrah kali ini. Yang lainnya, sibuk dengan aktiviti universiti. Ana dulu pun pernah masuk universiti juga tapi tak lah ligat sangat macam ni. Takpelah, seorang pun seorang lah... Sambil menunggu, tilawah Al-Quran sebentar.

Telefon tak berangkat. SMS tak berbalas. Aduhai, mana pula perginya mutarobbi ana seorang ni. Tadi, kata boleh datang, sekarang tak respond pula. Dah lah jauh perjalanan sekali dengan jammed di pusat bandar, dia pula tak muncul-muncul. Ana ambil sebuah buku untuk pembentangan usrah malam ini. Tajuk – Sabar. Macam sesuai sangat pada waktunya.

Ketika nak pulang, ana letak satu tekad – ana tak akan pulang selagi tidak DF (dakwah fardiah) seorang mad'u. Tiba-tiba, muncul seorang pelajar masuk ke surau dan solat Asar. Selepas dia solat, terus ana jumpa dan ajak tilawah dan tadabbur al-Quran. Alhamdulillah, Good Respond.

Dalam perjalanan pulang, dapat satu SMS dari mutarabbi yang tak muncul-muncul tadi, “Abang, minta maaf, saya tertidur tadi.” Ana teringat kata-kata murobbi ana masa di universiti, “Siapa yang tak nak bersama-sama dan yang beri bermacam-macam alasan dalam tarbiyah ini, tinggalkan dia setelah bermacam-macam layanan kita. Fokus pada yang mahu saja.”

Pada usrah di malam hari, ana mengadu pada murobbi ana yang ana hampir give up dengan medan yang sedia ada setelah bertahun mencuba. “Takpe akhi, anta sabar dulu di medan anta. Mana tahu Allah bagi hasil dengan mad'u baru anta tu.”

Ana terus fokus pada masa hadapan. Alhamdulillah, mad'u yang dijumpai itu rupanya komited dalam dakwah dan banyak lagi rakan-rakannya yang lain yang ditariknya.

Kita mungkin mengharapkan yang terindah dalam dakwah dan tarbiyah ini, tapi mana mungkin itu akan berlaku. Jika Nabi dan Rasul diuji dengan kesusahan, mustahil bagi kita, orang yang banyak melakukan dosa tidak diuji. Memang Down bila di dalam dakwah ni, silap-silap boleh jadi Down Sindrom! Sindrom inilah yang sukar untuk dihadapi dan kadang-kadang tak larat untuk berhadapan dgn keadaan ini. Tapi itulah syarat wajib berada dalam dakwah ini. Mustahil, orang yang banyak menghabiskan masa dengan dakwah tidak pernah berdepan dengan situasi ini. Wallahua'lam.

Sunday, July 15, 2012

Scaffolding


Scaffolding atau Perancah merupakan sebuah struktur sementara yang direkabentuk dan dibina bagi kegunaan tertentu. Ianya amat berguna terutama apabila melibatkan kerja-kerja pembinaan (construction) dan melaksanakan kerja-kerja di tempat tinggi. Dari sudut kejuruteraan, scaffolding ini merupakan ilmu yang cukup bermanfaat bagi kehidupan kita. Tanpa scaffolding, sudah pasti bangunan-bangunan sukar untuk dibangunkan dan kerja-kerja di tempat tinggi juga tidak dapat dilakukan. Mujurlah ketika bekerja, peluang untuk terus belajar dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau OSH (Occupational Safety and Health) mudah diperolehi. Kalau tiada isu keselamatan di dalam bidang pekerjaan, sudah pasti industri pekerjaan menjadi mundur dan menjadi ancaman kepada negara kita.

Memasang scaffolding dan berjalan di atas platform semestinya mendatangkan perasaan gayat pada diri saya. Meskipun baru sahaja mencapai ketinggian beberapa meter, namun memang tidak dinafikan perasaan gayat itu memang wujud. Apatah lagi apabila ramai yang berada bersama di atas platform dan sudah pasti akan bergoyang apabila masing-masing bergerak. Mujur adanya safety harness yang sekurang-kurangnya dapat menjaga diri kita dari sebarang kecelakaan. Sekurang-kurangnya, orang yang cepat gayat macam saya ini, masih lagi berpeluang bekerja di tempat tinggi. Merasa jugalah, susah payah, perasaan gayat dan panas terik yang dialami oleh scaffolder (pemasang scaffolding) dan orang yang bekerja dalam sektor pembinaan untuk membina bangunan dan bekerja di tempat tinggi. Bagaimana pula rasanya jika pemasangan scaffolding untuk pembinaan bangunan yang berpuluh-puluh tingkat?

Barangkali, inilah hikmahnya ilmu kejuruteraan yang Allah berikan pada manusia. Ilmu yang sebenarnya cukup besar sumbangannya dalam kehidupan kita. Meskipun scaffolding hanya merupakan struktur sementara untuk kerja-kerja yang dilakukan, tetapi hasilnya adalah bangunan-banguan yang siap kekal.



Begitu jugalah kehidupan di dunia ini. Andai kata umur kita di dunia ialah 60 tahun, sebenarnya hanya beberapa jam sahaja umur kita di akhirat. Begitulah singkatnya masa kita di dunia. Bermula ketika bayi; menjadi seorang budak kecil dan remaja; menjadi golongan pemuda dan terus menjadi golongan dewasa. Akhir sekali, kita meniti usia manjadi warga emas. Jika sepanjang waktu itu, hanya beberapa jam saja di akhirat... apalah yang hendak kita kejarkan di dunia ini? Kehidupan di dunia ini ibarat scaffolding yang hanya merupakan struktur sementara atau platform untuk membina bangunan yang kekal. Jika scaffolding atau kehidupan di dunia ini runtuh atau goyang, sudah pasti bangunan yang kekal atau akhirat tidak tercapai untuk dibangunkan.






Firman Allah: “Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik. Katakanlah, ‘Maukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?’ Bagi orang-orang yang bertakwa di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan pasangan-pasangan yang suci serta redha Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hamba-Nya.” (Ali-Imran, 3: 14-15)

Ayuh sahabat-sahabat, mari kita jadikan kehidupan kita yang sementara di dunia ini sebagai medan untuk membina kehidupan yang kekal di akhirat.


* Artikel ditulis hasil perasaan teruja penulis apabila mengikuti kursus Basic Scaffolding (Frame / Tubular / Modular)

Saturday, October 8, 2011

Optimis Dalam Dakwah

Beberapa minggu lepas, rasanya jiwa ini terlalu kusut berikutan macam-macam masalah yang timbul. Tragedi September yang tidak dirancang dan tidak dijangka, turut menambah kekusutan sedia ada yang turut menuntut pelbagai solusi dan pertimbangan untuk plan dakwah pada masa hadapan.

Firman Allah: "Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah, 2: 216) 

"Apa yang berlaku adalah normal dalam melakukan kerja dakwah." pesan seorang ikhwah kepada saya.

"Barangkali, semua itu ada hikmahnya." bisik hati kecil saya. 

"Barangkali, semua itu untuk mematangkan diri dalam dakwah." bisik hati kecil saya lagi.

Kini, emosi sudah kembali pulih dan Insya Allah lebih baik daripada sebelum-sebelum ini. Sudah boleh tersenyum indah dan jiwa ini rasa bebas, sebebas-bebasnya. Itulah pentingnya ukhwah. Ukhwah yang memantapkan diri dan menjamin keistiqamahan dalam dakwah. Sebagai seorang dai'e, kita perlu sentiasa optimis dengan peluang yang terhidang di depan mata dan kemampuan ikhwah/akhwat di sekeliling kita.

Firman Allah: "Allah telah menjanjikan kepada orang-oang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka dengan agama yang telah Dia redhai. Dan Dia benar-benar mengubah (keadaan) mereka, setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka (tetap) menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu pun. Tetapi barang siapa (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik." (An-Nur, 24: 55)

Bola kini di kaki. Perlu disepak, disambut, digelecek dan dijaringkan ke arah sasaran. Dalam dakwah, sasaran kita adalah masyarakat sekeliling kita. Usah peduli hal-hal remeh yang tiada kesudahan yang merencatkan dakwah kita. Membiarkan masalah tanpa perubahan tidak akan menyelesaikan masalah, malah masalah akan datang bertimpa-timpa.

Yakinlah dengan janji-janji Allah. Insya Allah, Allah bersama-sama kita dan Allah tidak akan sia-siakan usaha kita.

Sunday, July 3, 2011

Forum Israk Mikraj

Pada 29 Jun 2011 yang lepas, Futuwwah Training & Consultancy diundang untuk menyampaikan Forum bersempena Israk Mikraj di Maahad Tahfiz As-Saidiyah, Seremban. Justeru itu, pihak Futuwwah Training & Consultancy ini menampilkan tiga tokoh muda iaitu Cikgu Mohammad Khalid bin Zainol Abidin sebagai moderator dan dua orang ahli panel iaitu Ir Faridul Farhan bin Abd Wahab dan saya, Abu Hanifah bin Mohd Kamal.

Berikut adalah sedikit perkongsian dari saya mengenai soalan yang ditujukan kepada saya serta ringkasan jawapan dan rumusan yang diberikan.

Soalan 1:
Ustaz Abu, ketika Nabi SAW menceritakan perjalanan Israk Mikrajnya kepada kaum Quraisy, kebanyakan daripada mereka tidak mempercayai cerita Nabi SAW ini. Ini kerana, menurut mereka, perjalanan sebegitu (Mekah ke Baitul Maqdis, kemudian ke langit, “return flight”) menurut mereka adalah tidak logic. Namun anda sebagai seorang engineer, tentu tahu bahawa perjalanan sebegitu, dengan bantuan teknologi terkini, masih ada possibilitynya. Kebetulan, tamadun besar di zaman itu bukanlah bangsa Quraisy, sebaliknya Rom & Parsi. Merekalah yang menguasai tamadun ketika itu. Bahkan ada banyak hal-hal ajaib yang hingga kini manusia tidak dapat jelaskan, misalnya pembinaan Piramid, atau Stonage di U.K, dan sebagainya. Jadi soalan saya, apakah isu penolakan bangsa Quraisy terhadap cerita Israk Nabi SAW ini disebabkan kemunduran teknologi mereka, di mana kalaulah kisah Israk Mikraj ni diceritakan kepada bangsa Rom atau Pasi dan sebagainya, atau pun kita ada time machine di mana saudara sebagai engineer boleh kembali ke masa itu, saudara tidak akan terus menolak, lantaran ada kemungkinan perjalanan sebegitu ajaib masih boleh berlaku. Jadi apa pendapat saudara?

Jawapan: Saya nak bawa perbincangan tentang kemajuan teknologi terlebih dahulu. Di Jepun, semua maklum tentang kewujudan Bullet Train yang mampu mencapai kelajuan sehingga 300km/j berbanding di Malaysia di mana kelajuan Komuter hanya boleh sampai 120km/j. Sebenarnya, Bullet Train dibina pada tahun 1964 iaitu ketika itu Malaysia baru sahaja 7 tahun merdeka manakala Komuter di Malaysia hanya dibina penghujung 1990an. Jika berdasarkan kemajuan teknologi, sepatutnya keret api yang lebih laju lagi boleh dibina pada zaman sekarang. Contoh kedua, salah satu "Seven Wonders of the World" iaitu Giza Pyramid di Mesir yang dibina sekitar 2560 sebelum Masihi yang bermakna lebih 4000 tahun yang lepas. Ianya dibina setinggi 146.5 meter yang mengandungi 1,300,000 blok batu yang seberat 2.5 - 15 tan setiap satu. Percaya atau tidak? Kajian sejarah membuktikan yang ianya adalah benar. Pasti ada kemajuan teknologi yang mampu membina Pyramid segah ini. Contoh yang lain adalah pembinaan Petronas Twin Tower setinggi 451.9 meter dan kini bangunan yang paling tinggi adalah Burj Khalifa yang mempunyai ketinggian 828 meter. Maka, jika kita bercakap tentang teknologi, tidak mustahil akan wujud bangunan yang mempunyai ketinggian lebih dari 1 km suatu hari nanti. Kemajuan teknologi sebenarnya ada berkaitan dengan kemajuan manusia. Sebagai contoh, rekod dunia acara 100 meter pecut lelaki dipegang oleh Usain Bolt iaitu 9.58 saat. Maka, sama juga, tidak mustahil akan wujud "Hussin Bolt" yang akan berlari di bawah 9 saat. Ianya tidak mustahil jika berbicara tentang teknologi. Bagi diri kita yang tinggal di bandar dan terdedah dengan sains dan teknologi, kita mudah percaya tetapi bagaimana pula dengan orang yang tinggal di kawasan pedalaman? Adakah mereka percaya? Berbalik kepada persoalan tadi, kita imbas kembali peristiwa Israk Mikraj. Apabila Rasulullah menceritakan kepada kaum Quraisy, semua pakat gelak dan mengejek Nabi kerana tidak mempercayai cerita Nabi. Hanya Abu Bakar yang membenarkan dan mempercayainya. Memang layaklah digelar dengan gelaran As-Siddiq! Ibrahnya di sini adalah mewujudkan kepercayaan dalam diri seorang Muslim. Jika wujud kepercayaan dalam agama yang teguh dalam diri seorang Muslim, maka teguhlah dia hatta Islam itu dihina dan difitnah sebagai macam. Dan, jika tidak wujud kepercayaan yang kuat, berilah apa pun, tunjukkanlah bukti apa pun, maka dia tetap tidak mempercayainya meskipun buktinya adalah sesuatu yang menunjukkan teknologi yang sangat hebat. Rujuk dalil (55: 33) dan (49: 15).

Soalan 2:
Ustaz Abu, saudara terlibat di NIOSH yang terbabit dengan industri keselamatan di Negara kita. Soalan saya, apakah perjalanan Israk mahu pun Nabi SAW itu “selamat”? atau, apakah pemilihan buraq, tempat berlepas dan sebagainya mempunyai kaitan dengan keselamatan perjalanan Nabi SAW itu sendiri?Bagaimana dengan operation Nabi oleh malaikat Jibril, kalau berdasarkan kajian NIOSH, apakah operation di waktu kerja atau ketika tengah peak hour (sibuk) selamat untuk dilaksanakan?

Jawapan: Bila bercakap tentang "safety" atau selamat, motto yang paling biasa digunakan ialah "Safety First". Baru-baru ini, seorang trainer memberitahu bahawa beberapa pengamal keselamatan di seluruh dunia mencadangkan 1 motto yang lebih sesuai iaitu "Safety Starts From Me". Bagi saya pula, jika kita berbicara soal keselamatan dalam agama, maka lebih sesuai motto itu diubah kepada "Keselamatan Bermula Dari Saya Dengan Keizinan Allah". Keselamatan penting di mana-mana sahaja kerana bahaya menunggu tidak mengira tempat dan masa. Meskipun berada di rumah ataupun di surau, ada unsur-unsur yang boleh mendatangkan bahaya kepada kita, maka perlu mengutamakan keselamatan di mana-mana sahaja. Berbalik kepada soalan, sebenarnya tidak timbul isu selamat atau tidak jika ianya adalah perintah dari Allah. Lihat sahaja, ibadah Haji di Mekah yang menghimpunkan berjuta-juta ummat namun keselamatan tetap terjaga kerana ianya adalah ibadah kepada Allah. Tapi, tidak dapat disangkal ada juga berlakunya kejadian yang tidak diingini semasa musim Haji namun nisbahnya agak kurang. Banyak kisah, di mana, meskipun keselamatan itu diutamakan tetapi tetap juga berlaku kecelakaan. Yang paling penting sekarang ialah kita berdasarkan kepada agama. Keselamatan akan punah jika di sekeliling kita tidak berdasarkan kepada agama. Lihatlah peristiwa stadium baru yang runtuh, siling hospital yang roboh dan lain-lain lagi. Ini berpunca akibat khianat dan tidak amanah. Tetapi jika kita sebagai seorang Muslim melakukan kerja dengan amanah di samping menjaga aspek-aspek keselamatan, insya Allah segala-galanya Allah jaga.

Soalan 3:
Dalam peristiwa Israk Mikraj, terdapat kisah di mana dada Rasulullah dibedah dan hatinya dibersihkan. Adakah itu menunjukkan bahawa hati Rasulullah kotor?

Jawapan: Pada pendapat saya, itu hanyalah simbolik dalam penyucian jiwa. Dalam berdakwah kepada masyarakat (horizontal) perlunya Rasulullah menjaga hubungan dengan Allah (vertical), maka itulah pentingnya penyucian jiwa kerana hanya Allah yang memberi kekuatan untuk Nabi berdakwah. Sama juga lah dengan para daie. Itulah sebabnya perlu dijaga amalan-amalan wajib dan sunah seperti Tilawah Al-Qura, Qiamullail dan Solat Fardhu berjemaah. Nabi Musa apabila hendak berhadapan dengan Firaun yang mempunyai kekuatan dan pengaruh yang kuat di samping seorang pemidato yang hebat, turut meminta pertolongan Allah. Rujuk (Taha, 20: 25 - 28). Hasilnya, Allah memberi kemenangan kepada Nabi Musa dan itulah yang boleh kita ambil pengajaran.

Kesimpulan:
Petikan dari buku bertajuk "Quantum Tarbiyah" karangan Solikhin Abi Izzuddin, "Rasulullah seringkali menceritakan kepada para sahabat mengenai perjalanannya, Mikraj baginda menghadap Allah. Baginda sering pula menceritakan bagaimana keadaan syurga yang dijanjikan Allah kepada sahabat-sahabatnya. Suatu hari ketika Rasulullah dimikrajkan menghadap Allah, malaikat Jibril memperlihatkan kepada baginda taman-taman syurga. Rasulullah melihat ada sekumpula bidadari yang sedang bercengkerama. Ada seorang bidadari yang begitu berbeza dari yang lainnya. Bidadari itu menyendiri dan tampak sangat pemalu. Rasulullah bertanya kepada Jibril, "Wahai Jibril, bidadari siapakah itu?" Jibril menjawab, "Bidadari itu adalah diperuntukkan bagi sahabatmu Umar. Pernah suatu hari, ia membayangkan tentang syurga yang kau ceritakan keindahannya. Ia menginginkan untuknya seorang bidadari yang berbeza dari yang lainnya. Bidadari yang diinginkan itu berkulit hitam manis, dahinya tinggi, bahagian atas matanya berwarna merah dan bahagian bawah matanya berwarna biru serta memiliki sifat yang sangat pemalu. Kerana sahabatmu itu selalu memenuhi kehendak Allah, maka saat itu juga Allah menjadikan seorang bidadari untuknya sesuai dengan apa yang dikehendaki hatinya." Begitulah bidadari istimewa yang diperuntukkan khusus, hanya buat Umar, seorang sahabat yang sangat ditakuti syaitan. Beza sangat dengan kita, tidak ditakuti syaitan, tapi barangkali malah lebih disenangi syaitan, Na'uzubillah."

Wallahua'lam

Sunday, June 12, 2011

Akhlak Seorang Muslim

Sejak kecil lagi, bila diceritakan sirah Rasulullah, kita selalu dihidangkan dengan pelbagai cerita yang cukup menarik dan boleh dijadikan pengajaran. Kisah seperti Rasulullah menziarahi seorang kafir yang sakit, yang sering mencampakkan najis kepada Baginda, yang akhirnya orang kafir tersebut mendapat hidayah Islam. Juga kisah apabila Rasulullah melarang para sahabat daripada menyerang seorang Arab Badwi yang kencing di dalam masjid. Apabila kita dihidangkan kisah ini, sebenarnya, ini menggambarkan akhlak baginda yang cukup terpuji. Pasti ada ibrah di atas setiap tindakan Rasulullah itu apabila kita berbicara dari sudut dakwah.

Dalam Islam, kita tidak akan terlepas membicara soal hukum, dan terlalu banyak jika kita membicarakan. Tetapi bagi seorang dai'e atau pendakwah, bukannya kita bertindak atas dasar hukum semata-mata tetapi juga atas dasar dakwah. Maka, jika bertindak atas dasar dakwah, kita akan melihat dari segi banyak aspek contoh kondisi seseorang, kefahaman seseorang dan juga untuk menarik minat seseorang kepada Islam. Berbalik kepada kisah Nabi, "kencing di dalam masjid, pastinya adalah perbuatan yang dilarang ataupun haram", tetapi Nabi tidak bertindak menghukum kerana melihat dari sudut kefahaman Arab Badwi tersebut dan peluang untuk Baginda berdakwah. Itulah contoh yang ditunjukkan oleh seorang Nabi yang maksum.

Kadang-kadang diri ini rasa pelik, dengan orang yang cepat menghukum di atas sedikit pengetahuan yang ada padanya. Lantas dengan mudah menghukum orang dengan mengatakan bid'ah, tidak sunnah dan sebagainya. Bukannya hendak berdiskusi atau menegur dengan cara yang baik tetapi akhlak yang cukup rendah. Lebih malang lagi jika ianya dibalas pula dengan gelaran seperti Wahabi, sesat dan sebagainya. Adakah ini akhlak seorang muslim? Adakah ini cara dakwah para rasul? Adakah tindakan ini berdasarkan hawa nafsu, seolah hanya diri mereka saja yang baik dan diri mereka saja yang layak masuk syurga? Adakah menghukum dan menggelarkan seseorang itu dengan sebegitu rupa merupakan sunnah?

Hasan al Banna, ketika zaman remaja, pernah menubuhkan sebuah kelab iaitu Asosiasi Anti Haram (Kelab Anti Haram / Kelab Anti Bid'ah) bersama sahabat-sahabat beliau. Cara mereka bertindak adalah mengedarkan teguran secara bertulis kepada si pesalah tanpa si pesalah tersebut mengetahui siapa yang menegurnya. Di antara yang ditegur adalah ustaz kepada Hasan al Banna itu sendiri. Cara yang unik untuk menegur kesalahan seseorang dengan tujuan berdakwah dan memperbaiki amalan. Itulah dakwah!

Apa gunanya seseorang pendakwah itu berilmu tetapi sibuk hendak berdebat untuk membuktikan siapa yang lebih betul, lebih hebat dan lebih sunnah. Bukankah dakwah itu menyeru orang kepada Allah. Dalam menyeru kepada Allah, terdapat proses menegur, memperbaiki, berdiskusi dengan cara yang baik dan harmoni, rendah diri, tawadhuk, berlapang dada dan cuba untuk menghormati pendapat orang lain. Bukannya menggalakkan permusuhan dan menjadi seseorang itu takbur di atas ilmunya. Itulah pentingnya akhlak dalam berukhwah dan berdakwah seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah.

Perbezaan pendapat dalam sesuatu perkara haruslah diselesaikan dengan perbincangan yang baik, harmoni dan bertoleransi, bukannya dengan paksaan dan kekerasan mahupun memberi gelaran yang tidak sepatutnya. Wallahua'lam.

Tuesday, May 17, 2011

Selamat Hari Murobbi

Pagi semalam, saya mendapat dua SMS daripada ikhwah seperjuangan. "Selamat Hari Murobbi!" Tersenyum apabila membaca SMS tersebut. Moga-moga semakin teguh menjadi seorang murobbi atau pendidik dan dapat membentuk lebih ramai murobbi yang lebih hebat dan berkualiti.
Amin Ya Rabbal Alamin...

Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Pendidik

Bersempena dengan tarikh 16 Mei, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pendidik kepada:
- Ayahanda Mohd Kamal bin Mohd Hanifah dan Abd Sattar bin Mohd Hanifah serta Bonda Yatimah binti Sheikh Ahmad dan Zaleha binti Ibrahim
- Seluruh ahli keluarga termasuk adik beradik dan saudara mara
- Guru dan staff Tabika Kemas Kampung Pondok Rasah (Tahun 1989)
- Guru dan staff Sek. Keb. Dato' Bandar Rasah (Tahun 1990 - 1995)
- Guru dan staff SMKA Sheikh Haji Mohd Said (Tahun 1996 - 2000)
- Guru tuisyen saya semasa sekolah rendah dan sekolah menengah
- Pensyarah dan staff Matrikulasi Kolej Chermai (Tahun 2001 - 2002)
- Pensyarah dan staff Universiti Sains Malaysia, Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal (Tahun 2002 - 2006)
- Staff Malaysian Transformer Manufacturing Sdn Bhd (Latihan Industri, Tahun 2005)
- Staff Taitsu Electronics (M) Sdn Bhd (Tahun 2006 - 2010)
- Pensyarah dan staff Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) (Tahun 2008)
- Pensyarah dan staff Universiti Malaya, Akademi Pengajian Islam (Tahun 2009)
- Pensyarah dan staff Universiti Putra Malaysia, Kampus Kejuruteraan (Tahun 2009 - Kini)
- Staff National Institute Occupational Safety and Health (NIOSH) (Tahun 2010 - Kini)
- Ikhwah-Ikhwah dan Akhwat-Akhwat seperjuanganku sejak mengenali dunia Tarviyyah
- Seluruh kenalan yang pernah berdamping dengan diriku

Terima kasih di atas segala tunjuk ajar dan bimbingan kalian yang memberikan diriku dari sekecil-kecil ilmu hingga sebesar-besar ilmu dan membimbing dan mentarbiyyah diriku ke arah jalan yang benar.
Jazakallah khairan kathira....

Tuesday, April 19, 2011

Audit

Bermula semalam hingga ke esok hari, berlangsungnya Audit Kualiti di syarikat saya, manakala di cawangan-cawangan lain, telah dilaksanakan pada minggu lepas. Bahagian saya sendiri diaudit pada hari semalam dan alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Melalui perlaksanaan audit kali ini, dapat dilakukan penambahbaikan di atas segala kekurangan dan kepincangan dalam sistem sesuatu bahagian.

Peranan setiap pekerja adalah: "Buat apa yang didokumenkan dan dokumenkan apa yang dibuat." Jika ini dilakukan, maka tiada sebarang masalah setiap kali menjelangnya audit.

Bahkan, dalam firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan" (As-Saff, 61: 2-3)

Dalam ayat di atas, sebenarnya, ditonjolkan kepentingan audit di dalam Islam ke atas setiap orang mukmin. Justeru, bagi setiap orang mukmin, perlaksanaan mestilah selaras dengan ucapan yang kita lafazkan. Jika tidak, bukan sahaja gagal audit yang dijalankan oleh Allah di akhirat kelak bahkan itulah perbuatan yang cukup dibenci oleh Allah.

Dalam sesuatu sistem tarbiyyah, cukup ditekankan tiga aspek iaitu Tilawah, Tazkiyyah dan Ta'lim (rujuk surah Al-Jumu'ah, 62: 2). Aspek Tazkiyyah iaitu penyucian jiwa adalah simbolik dalam menjaga kualiti seorang dai'e dari segi menjaga mutaba'ah ibadah seperti solat berjemaah, qiamullail, tilawah al-Quran dsb. Itulah sebabnya penjagaan ruhi seseorang itu amatlah penting dalam sistem tarbiyyah. Bahkan seseorang dai'e itu perlulah memandang serius aspek ini kerana ianya untuk dipersembahkan kepada Allah. Bukankah itu audit juga?

Jika dalam pekerjaan dunia memerlukan audit kualiti, apatah lagi kerja dakwah yang sepatutnya lebih ketat dan terkawal prosedurnya kerana melibatkan hubungan terus dengan Pencipta kita.

Tuesday, March 29, 2011

Out Station

Hari ini, baru pulang dari Kota Kinabalu, setelah 2 hari melakukan kerja-kerja pemeriksaan pendawaian elektrik bersama Chargeman di cawangan sana. Sesetengah orang amat gemar kerja-kerja yang melibatkan tugasan luar atau out station tapi tidak bagi saya. Tetapi, sebagai Eksekutif Fasiliti (Maintenance) dan Pegawai Aset syarikat, itu seolah-olah tidak dapat dielakkan. Cukup bimbang jika tugasan-tugasan luar ini akan mengganggu kerja-kerja dakwah seperti halaqah, daurah dan sebagainya.

Tetapi, jika dilihat dari sudut positif, out station ini juga boleh dimanfaatkan ke arah dakwah dan kebaikan. Boleh diambil iktibar kisah-kisah pedagang dari Arab, India dan China yang datang berdagang ke Tanah Melayu (out station), namun mampu berdakwah kepada semua masyarakat setempat.

Sama juga kisahnya kepada orang yang bekerja shift yang kononnya boleh mengganggu dakwah dan tarbiyyah. Namun, dulu, seorang sahabat yang bekerja sebagai Assistant Medical Officer (AMO), mampu saja hadir ke halaqah dan program dakwah walaupun bekerja secara shift. Titik tolaknya, bergantung pada kita.

Out station ini barangkali boleh menjadi medan yang cukup baik untuk dakwah fardiyah rakan sekerja yang lain. Tapi, harus diingat, mendakwahi orang yang sudah bekerja amatlah berlainan dan saya juga masih cuba memahami golongan sebegini. Golongan yang tidak solat, kaki perempuan, tidak puasa, pemabuk, kaki judi, kaki video lucah (golongan ini semakin ramai) dan macam-macam lagi. Untuk mengislahkan golongan ini, harus ada sifat mengasihi dan menyayangi mereka agar kita bersama-sama dengan mereka tidak terjerumus ke lembah neraka.

Meskipun cukup berat hati untuk out station, namun jika ia bermanfaat pada dakwah, JUST DO IT!!

Tuesday, March 15, 2011

Peristiwa Tsunami di Jepun

Pada hari Jumaat, 11 Mac 2011, sesuatu yang tidak pernah dicatat oleh sejarah, Pantai Timur Laut Jepun dilanda gempa bumi paling dahsyat berukuran 8.9 pada skala Ritcher. Gegaran yang begitu dahsyat mengundang bencana yang paling menakutkan iaitu gelombang Tsunami. Peristiwa ini mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa, ribuan yang masih hilang, kemusnahan tempat tinggal, sistem pengangkutan dan harta awam serta terencatnya sistem ekonomi. Tidak cukup dengan itu, loji nuklear meletup yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan nyawa di sekelilingnya dengan bahan radioaktif.

Saya pernah menjejakkan kaki di Jepun pada November 2008 dengan melakukan latihan intensif di syarikat lama saya iaitu Taitsu Electronics di kawasan Hitachi Ohmiya dan Kawasaki di samping berkunjung di beberapa tempat seperti Bandar Mito, Ibaraki dan Oarai Beach. Apabila membaca akhbar, hampir kesemua tempat tersebut berlakunya tragedi yang sangat tragis itu.

Rajah 1: Tragedi di Bandar Mito, Ibaraki

Rajah 2: Oarai Beach


Saya melahirkan rasa cukup simpati kepada seluruh warga Jepun sama ada yang berada di Jepun ataupun di luar Jepun dan juga kepada orang luar yang menetap di Jepun yang terkena tempias tragedi ini. Semoga mereka bangkit dari kemusnahan ini seperti mereka bangkit selepas berlakunya Perang Dunia Kedua yang lepas.

Sehubungan dengan itu, saya memuji langkah-langkah oleh beberapa negara dalam membantu untuk memulihkan dan membangunkan semula negara tersebut. Semoga, dengan berlakunya peristiwa ini, kembali menginsafkan diri kita sebagai hamba Allah yang kerdil dan juga dapat mendidik jiwa kita menjadi lebih insaf dan bertindak di atas landasan kemanusiaan dalam apa jua perkara.

Sunday, February 27, 2011

Setelah Setahun....

Hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan saya yang pertama. Pejam celik, pejam celik, sudah setahun rupanya saya bergelar seorang suami. Cepat sungguh masa berlalu. Meskipun baru setahun, seharusnya terus dipelihara sebaik-baiknya hubungan yang halal ini agar terus menjadi terus romantis dalam perkahwinan ini.

"Banyakkan bersabar!" pesan abang ipar saya setahun yang lalu.

"Semoga kekal hingga ke syurga." pesan Pak Ngah sebelah isteri saya pula.

Itu adalah pesanan yang sering saya ingati, bahkan banyak lagi pesanan yang disampaikan kepada ketika mula-mula menjejakkan kaki ke alam perkahwinan. Semoga ia bukan hanya pesanan tetapi merupakan doa yang terbaik bagi kami dalam mengharungi alam perkahwinan.

Amirul Mukminin Hanifah (kini berusia 3 bulan)

Seronok betul bila melihat gelagat putera sulung sekarang ni yang baru menjangkau usia 3 bulan dan melihat dirinya membesar di hadapan saya dan isteri. Entah macam mana lah nanti bila sudah pandai merangkak, belajar berjalan dan berlari. Mungkin itulah perasaan parents saya bila membesarkan saya.

Semasa belajar dahulu, sama ada di kuliah ataupun ketika berprogram, sering teringat parents (ibu, abah, ayah dan emak) di rumah. Sekarang, apabila sudah bekerja, meskipun di pejabat ataupun ketika berprogram, sering teringat juga kepada mereka termasuk juga isteri, anak dan mertua. Macamlah jauh sangat bunyinya. Itu bukan persoalannya. Seorang sahabat berkongsi prngalaman, "Jika seorang ibu ketika hendak makan, pasti akan teringat pada anaknya." Mengapa tidak seorang anak sentiasa ingat kepada orang tuanya.

Firman Allah: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antaranya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engaku mengatakan kepada keduana perkataan "ah" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, "Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil." (Al-Isra', 17: 23-24)

Saturday, November 27, 2010

26 Nov 2010: Hari Terakhir dan Hari Pertama

26 November 2010 adalah hari terakhir saya di syarikat pertama saya bekerja iaitu Taitsu Electronics (M) Sdn Bhd. Mula bekerja sejak 18 September 2006 dan pelbagai pengalaman yang diperolehi di sini dari segi pengalaman bekerja di kilang, disiplin kerja orang Jepun, politik di tempat kerja dan lain-lain. Bertugas di dalam Jabatan R&D selama 4 tahun lebih (assabiqun awwalun R&D) dan berperanan dalam pembangunan produk-produk baru untuk pelanggan seperti Matsushita, Toshiba, Panasonic, Samsung, LG, Fujitsu, Hitachi dan yang terbaru adalah Denso. Moga-moga, pengalaman ini akan terus mematangkan diri untuk bekerja di tempat baru bermula 1 Disember ini. Selalu juga berdoa agar dikurniakan kerjaya yang sesuai untuk diri, keluarga, agama dan kerjaya, dan harapnya inilah yang terbaik dikurniakan oleh Allah.

26 November 2010 juga adalah hari pertama saya bergelar seorang abah atau ayah. Alhamdulillah, isteri saya selamatkan melahirkan seorang mujahid lelaki (baby boy) seberat 3.3kg pada 4:30pm. Berpeluang menemani isteri dalam labour room dan barulah sedar betapa sakit dan peritnya emak melahirkan saya 27 tahun yang lepas. Begitu besar pengorbanan seorang ibu. Semoga kelahiran mujahid kecil ini menjadi perancak dalam dakwah yang saya dan isteri pikul dan memberi 1001 kebahagian dan kekuatan dalam mengharungi kehidupan mendatang. Semoga diberi kekuatan, kecerdikan dan kesabaran yang lebih kuat dalam menjadi seorang suami, seorang bapa, seorang anak, seorang hamba Allah dan seorang kuli dakwah.

Amin Ya Rabbal Alamin.... 

Saturday, November 6, 2010

Penilaian Tahap Kecekapan (PTK)

"Sekarang ni, ana sedang cepat untuk menghabiskan silibus 02 supaya anak-anak usrah ana boleh dinaikkan ke level 03." ujar seorang akhwat dalam suatu mesyuarat.

Begitulah caranya dalam menentukan tahapan mad'unya di dalam dakwah ini. Cuma, yang harus kita muhasabah kembali, adakah 100% bergantung kepada silibus? Bagaimana jika seorang ikhwah dan akhwat yang kononnya telah habis silibus 02 tetapi belum mampu untuk bergerak dan membentuk halaqah? Itu sebabnya, banyak aspek yang perlu diterokai apabila kita membuat penilaian terhadap seseorang mad'u. Sama seperti apabila seorang Ustaz yang mengajar Al-Quran dan Tajwid kepada anak-anak muridnya. Bagaimana keadaanya jika silibus untuk tahun itu sudah habis diajar tetapi terdapat sebilangan anak muridnya yang masih tidak pandai mengajar Al-Quran? Bagi si Ustaz, tiada masalah bagi dirinya kerana silibus telah habis diajar tetapi bagaimana pula dengan ibu bapa murid tersebut? Sudah tentu ketidak puasan hati berlaku kerana si Ustaz gagal memenuhi hajat mereka supaya anak mereka pandai membaca Al-Quran.

Lain pula kisahnya jika dibandingkan pada zaman para Sahabat. Abu Dzar al-Ghifari, walaupun baru sekali liqa' dengan Rasulullah terus meluru ke tengah kaum musyrikin mengisytiharkan keislamannya. Meskipun dibelasah teruk oleh kaum musyrikin, namun dia tidak serik-serik untuk cuba menyebarkan Islam. Meskipun usia tarbiyah Abu Dzar adalah di level 00, namun usaha dakwahnya adalah lebih tinggi dari level 03. Kesimpulannya, dalam dakwah ini memerlukan penilaian yang tepat terhadap seorang dai'e atau dai'eat. Tetapi, level-level ini bukanlah perkara yang terlalu mustahak untuk kita bincangkan sebaliknya bagaimana gerak kerja serta muwasofat yang perlu dilengkapkan oleh seorang ikhwah dan akhwat itu diambil kira agar melahirkan peribadi seperti Abu Dzar. 

Penilaian pada diri seseorang cukup penting, bukan hanya dalam konteks dakwah, tetapi merangkumi aspek yang lebih luas. Sebagai contoh, dalam sebuah syarikat, sekiranya pengurusan tidak tepat membuat penilaian pada diri pekerja-pekerjanya, kelak akan memberi kesan buruk pada syarikat tersebut. Sebagai contoh, pekerja yang terlibat dalam Sales & Marketing selama berbelas-belas tahun, tiba-tiba dilantik sebagai Manager dalam Engineering Department yang ternyata memerlukan kemahiran dalam bidang teknikal.. Meskipun mempunyai pengalaman bekerja yang banyak, tetapi, ternyata kekosongannya dalam bidang teknikal akan merosakkan potansi diri dia dan juga department yang dia uruskan. Sama juga kesnya, jika seorang yang mempunyai latar pendidikan yang tinggi, Ijazah Sarjana tetapi tiada pengalaman bekerja, tiba-tiba dilantik menjadi Manager dalam R&D Department, di mana anak-anak buahnya jauh lebih berpengalaman dari bosnya. Akhirnya, akan berlakulah konflik di dalam department tersebut apabila pekerja bawahan yang terpaksa mengajar orang atasan. Maka, inilah contoh penilaian yang gila atau tidak berakal yang jelas akan merosakkan institusi syarikat tersebut.

Berdasarkan contoh-contoh ini, sama-sama kita berusaha dan berdoa agar dalam dakwah ini, diri kita bijak dalam membuat Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Ini kerana, PTK dakwah yang bijak dan tepat akan menguatkan institusi dakwah itu sendiri manakala PTK yang gila dan tidak berasas sudah pasti akan menghancurkan dan meruntuhkan institusi tersebut.

Thursday, October 14, 2010

Ayat - Ayat Angkuh (3A)

“Janganlah kacau aku tidur… Kubur aku, kubur aku. Kubur kau, kubur kau.” sergah seorang kawan apabila saya tidak henti-henti menggeraknya bangun solat Subuh ketika zaman matrikulasi lebih kurang 10 tahun lampau.

“Sepatutnya, cakap dengan dia, ‘Kalau kau masuk neraka, aku takut, kau tarik aku sekali ke dalam neraka.’” ajar seorang kawan apabila saya bercerita tentang perihal tadi kepadanya.

“Memanglah kubur lain-lain, tapi aku takut kubur aku sebelah dengan kubur kau. Susah aku nanti.” hujah seorang ustaz yang agak menggelikan hati.

Ayat-ayat angkuh ini, sudah acap kali didengari bahkan sebenarnya apabila disemak dalam lipatan sejarah tamadun manusia, bangsa Melayu bukanlah golongan pertama yang berani mengeluarkan ayat-ayat angkuh sebegini. Ianya pernah tercatit di dalam ayat Al-Quran tentang kisah Bani Israel yang seolah-olah tidak menghiraukan ancaman Allah.

Firman Allah: “Dan mereka berkata, ‘Neraka tidak akan menyentuh kami, kecuali beberapa hari saja.’ Katakanlah, ‘Sudahkah kamu menerima janji dari Allah, sehingga Allah tidak akan mengingkari janji-Nya, ataukah kamu mengatakan tentang Allah, sesuatu yang tidak kamu mengetahui?’” (Al-Baqarah, 2: 80)

Kita sedia maklum dengan golongan Bani Israel. Meskipun banyak nikmat Allah yang dicurahkan kepada mereka dan meskipun Allah selamatkan mereka dari kedurjanaan Firaun, tetapi gagal untuk menundukkan keegoan mereka. Boleh saya katakan golongan inilah yang menjadi perintis ayat-ayat angkuh ini yang kini menjadi tradisi keegoan masyarakat Melayu. Meskipun hanya mulut yang berkata-kata, tapi saya cukup bimbang apa yang dilafazkan itu adalah laknat kepada mereka sendiri.

Pernah seorang ikhwah bertanya kepada saya, dalam keadaan kita berdakwah mendekati mad’u kita, apa jawapan yang sesuai untuk mereka yang sering melafazkan ayat-ayat angkuh ini? Jawapan saya: "Wallahua’lam, hanya pengalaman yang menjadikan kita cerdik untuk berdepan dengan golongan sebegini."

Saturday, September 18, 2010

Segalanya Milik Allah - Kenangan Bersama Pak Andak

Hari ini bersamaan 18 September 2010, saya bersama kaum kerabat berpisah dengan bapa saudara atau biasa dengan panggilan Pak Andak Mohd Abid ataupun Ustaz Abid.

Jasanya kepada adik beradiknya, anak-anak buah, saudara-mara dan anak-anak murid terlalu banyak untuk diabadikan. Meskipun taraf pendidikan beliau tidaklah setinggi tokoh-tokoh agama lain pada zaman sekarang, namun itu bukanlah yang dilihat dari sudut mata hati masyarakat. Teringat lagi, kenangan belajar Pendidikan Agama Islam dengan beliau di sekolah kebangsaan, belajar mengaji Al-Quran dan tajwid di rumahnya dan bertadarus Al-Quran selepas waktu sahur di bulan Ramadhan dan membantu beliau menjual buku di koperasi sewaktu cuti sekolah. Itulah serba sedikit kenangan bersama beliau yang boleh diabadikan.

Apabila kehilangan seseorang, kadang-kadang begitu banyak perkara yang disesalkan. Tapi, apakan daya, segalanya milik Allah. Tiada seseorang pun adalah milik kita walaupun ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak dan ahli keluarga kita.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan semoga beliau tergolong dalam golongan orang yang soleh. Amin Ya Rabbal Alamin....

Monday, August 23, 2010

Ukhwah Bersemi

Semalam, saya dan isteri sempat menziarahi seorang ikhwah @ sahabat yang mengalami kemalangan pada awal Ramadhan. Alhamdulillah, keadaan semakin baik dari ziarah kami yang pertama sebelum ini. Cuma, mukanya dimasukkan besi disebabkan rahang banyak yang patah. Takpelah, sekurang-kurangnya ada peningkatan kesihatan dalam diri beliau memandangkan isterinya masih dalam pantang lagi. Ikhwah ini adalah rakan seperjuangan di USM dulu. Kami bersama dalam kursus yang sama dan sama-sama 'terjebak' dalam tarbiyyah pada tahun 2003 dahulu. Alhamdulillah, sudah 7 tahun berlalu dan kami tetap bersama-sama memegang tali tarbiyyah ini.

Semasa menziarahi beliau, sempat berjumpa 4 orang ikhwah @ sahabat lama yang hampir 4 tahun tidak berjumpa. Teringat jeritan seorang ikhwah apabila saya melangkah keluar dari kereta; "Assalamualaikum Akhi. Lama betul tak jumpa antum!" sambil kami berdua merangkul erat antara satu sama lain. Itulah ukhwah yang tiada nilainya, ukhwah yang diperolehi hasil dari nikmat tarbiyyah.  Ukhwah yang merapatkan dan menyatukan sesiapa sahaja tidak kira status, latar belakang keluarga, umur, asal dan pekerjaan.

Selepas selesai ziarah, hati ini terasa seronok dan hiba apabila bertemu dengan ikhwah-ikhwah lama. Teringat zaman muda-muda dulu (zaman di USM dan sebelum bernikah) di mana, begitu banyak ukhwah bersemi atas jalan tarbiyyah ini.

Ukhwah itu indah... Yang menjadikan ia indah adalah sarana tarbiyyah... Alhamdulillah, Allah masih sayangkan saya untuk terus berada dalam jalan tarbiyyah ini. Semoga, saya, isteri dan bakal mujahid dan mujahidah kami serta ikhwah dan akhwat lain terus berukhwah dan cekal di dalam jalan tarbiyyah ini.

Sunday, August 22, 2010

Letih Tetapi Kuat Bekerja

Minggu lepas adalah minggu yang meletihkan. Bukanlah disebabkan puasa ini meletihkan diri tetapi dengan kerja yang berderet-deret hendak diselesaikan. Sepanjang minggu lepas dipenuhi dengan meeting dengan orang atasan di mana majoriti bahasa perantaranya adalah Nihongo (Bahasa Jepun). Meskipun ada penterjemah, tetapi memang tertekan betul setiap kali meeting sebegini. Paling tertekan, apabila projek yang kita bentang, mereka bincang dengan lebih lanjut dalam Nihongo. Macam tunggul betul dibuatnya. Kebanyakan meeting yang dibuat pula bukanlah untuk menyelesaikan masalah sebaliknya mencari kesalahan-kesalahan kita dan bersiap sedialah menerima serangan bertalu-talu. Hampir 4 tahun bekerja dengan Jepun dan itulah caranya. Adakah sama caranya dengan syarikat-syarikat Jepun yang lain?

Jika disentuh soal kerja, keletihan itu adalah normal. Mana ada kerja yang tidak letih? Cuma, bagaimana kita bertahan dan mampu mengurus dengan baik. Adalah normal sebagai orang bawah bermati-matian dalam sesuatu pojek tetapi orang atasan yang mendapat nama dan dihambur pujian. Bila berlakunya sebegini, kita kembalilah niat kerana Allah. Meskipun orang atasan tidak menghargai kita, kita harus sedar Allah Taala tahu dan pasti akan menghargai usaha kita. Inilah Bos atau MD kita yang paling agung.

Apabila mengeluh tentang kerja ini, saya teringatkan ibu bapa saya. Ayah saya yang menguruskan perniagaan restoran, setiap hari bangun pergi ke pasar pukul 3am kecuali hari Ahad. Di saat saya masih nyenyak tidur, ayah saya yang berumur 64 tahun melakukan rutin yang alah bisa tegal biasa. Beberapa minggu lepas, beliau dimasukkan hospital akibat lemah jantung. Ketika saya menjaga beliau pada malam pertama di hospital, terasa sedih rasanya bila melihat orang yang membesarkan saya dalam kesakitan. Risau sangat dengan perniagaannya hinggakan pukul 4am ~ 5am, beliau minta saya tolong abang saya ke pasar dan sempat memesan kepada abang resepi masakan. Geleng kepala saya, kadang-kadang tindakan ayah ni membuat keluarga risau dan kadang-kadang nak tergelak juga melihat caranya. Sama juga dengan ibu dan abah saya (penjaga saya) yang bekerja keras membangunkan perniagaan runcit yang lebih 30 tahun.

Memang benar pesanan Hasan al-Banna dalam kewajipan akh Muslim di mana digalakkan membuat bisnes daripada makan gaji. Bisnes itu tidak hanya perniagaan kedai dan gerai sahaja sebaliknya perniagaan yang merangkumi aspek yang lebih besar seperti kilang, hotel, insuran, firma kejuruteraan dan syarikat perumahan yang dimajukan oleh orang Islam sendiri. Memang besar betul pahala orang yang menguruskan perniagaan.

Perniagaan apakah yang ku ingin ceburi???

Tuesday, July 20, 2010

Bertemu dan Berpisah

"Ini menantu baru yang kahwin hari tu ye?" tanya seorang pakcik kepada bapa mertua saya sambil bersalam dengan saya. Ketika itu, baru saja selesai kenduri doa selamat dan tahlil saudara bapa mertua saya pada hari Sabtu dua minggu lepas.

"Ya" jawab bapa mertua saya.

"Eh, ini Cikgu Ibrahim kan? Pengetua Sek. Keb. Dato' Bandar Rasah dulu kan?" tanya saya apabila agak mengenali wajah pakcik tersebut.

"Oh, kamu kenal saya. Kamu anak siapa ni? Anak Ustaz Abid?" tanya Cikgu Ibrahim yang merupakan pakcik tadi.

"Tidak. Itu bapa saudara saya.  Ya, cikgu jadi pengetua ketika saya Darjah 6." balas saya.

"Oooo....itu 14 tahun yang lepas. Saya tinggal di sini, di rumah murah Linggi." jawab Cikgu Ibrahim seperti seronok bertemu dengan bekas anak murid dia.

Ketika itu, hati saya agak seronok dan seperti tidak percaya berjumpa dengan beliau. Bahkan bapa mertua saya pun tersenyum mendengar perbualan kami. Saya yakin, beliau sendiri mesti seronok apabila bekas anak murid 14-15 tahun dahulu menegur beliau.

Tetapi, pagi Ahad yang baru ini, bapa mertua telefon mengkhabarkan bahawa Cikgu Ibrahim dan isteri meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Sabtu petang yang turut disiarkan di akhbar. Saya sempat ke rumah dia tetapi tidak sempat menatap wajahnya.

Bagaikan terkejut apa yang berlaku. Baru seminggu bertemu, akhirnya tempoh pertemuan kami tidak panjang. Tidak sempat untuk saya bersilaturrahim dengan beliau, akhirnya beliau pergi dulu mengadap Rabb. Meskipun beliau tidak pernah mengajar saya di kelas, tetapi sedikit sebanyak, banyak perkara yang boleh saya contohi darinya. Bahkan, ibu dan abah saya juga yang mengenali beliau turut mengatakan bahawa beliau seorang guru yang baik.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah Cikgu Ibrahim Bachik dan isteri. Semoga kamu damai di sana, Insya Allah. Al-Fatihah...

Monday, June 14, 2010

Nikmatnya Hidup Memberi

Saya teringat semasa saya masih kecil dahulu, apabila Hari Raya Puasa, banyak menerima duit raya daripada ibu bapa, adik beradik dan saudara mara. Memang sangat gembira ketika itu, apatah lagi saya merupakan anak bongsu. Sama juga jika ibu bapa sering memberikan hadiah sempena hari lahir ataupun jika mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Keseronokan menerima hadiah bukan hanya pada diri saya sahaja tetapi kepada semua orang yang menerima hadiah atau penghargaan. Apabila kita mendapat hadiah, mungkin kita merasakan kita adalah insan yang cukup bahagia. Bagaimana pula perasaan insan yang sering memberi seperti ibu bapa kita?

Seorang anak yang belajar bersungguh-sungguh, pasti akan cukup gembira apabila memperolehi kejayaan. Lihat sahaja ketika konvokesyen, betapa gembiranya anak tersebut apabila dihujani ucapan tahniah dan hadiah dari keluarga, pensyarah dan rakan-rakan. Jauh di sudut hati, bagaimana pula perasaan ibu bapanya? Cukup banyak mereka korbankan dan mereka berikan kepada anaknya sama ada wang ringgit, kata-kata semangat dan makanan yang berkhasiat kepada anaknya agar mereka berjaya. Justeru itu, apabila anak mereka berjaya, mereka juga menangis kegembiraan yang menandakan tidak sia-sialah pemberian dan pengorbanan mereka selama ini. Bahkan, mereka lebih gembira daripada anak-anak mereka.

Seperti juga, seorang ibu yang sedang mengandung. Dijaganya kandungan itu sebaik mungkin dan diberinya pemakanan agar anak di dalam kandungannya tidak terlepas zat-zat yang diperlukan. Dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran seperti surah Luqman, Yusuf ataupun Maryam seperti yang dituntut untuk dibaca oleh ibu mengandung agar beroleh anak-anak yang soleh dan solehah. Apabila kandungan semakin membesar, bertambah perhatinnya sang ibu terhadap kandungannya. Dan apabila tiba waktu bersalin, si ibulah yang paling gembira pada waktu itu meskipun susah atau sakit di saat melahirkan anaknya yang bertuah itu. Ini kerana, si ibu bersusah payah selama 9 bulan dan bertarung dengan nyawa di saat kelahiran anaknya.

Apabila semakin berusia meninggalkan zaman kanak-kanak dan remaja, hati ini sering teringat kisah-kisah dahulu, betapa gembiranya di saat memperolehi sesuatu pemberian. Apabila semakin dewasa, bertukarnya posisi itu 180 darjah dan perlunya kita lebih berada pada proses memberi. Betapa nikmatnya hidup memberi ini kepada keluarga dan ummat kita jika hasil pemberian itu menggembirakan atau memberi manfaat kepada mereka. Justeru itu, tidak rugi seseorang itu jika hidupnya adalah untuk ummat seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan melakukan sebaik mungkin untuk menyelamatkan ummatnya. Jika difikir-fikirkan, hidup memberi ini adalah lebih nikmat berbanding hanya hidup menerima sahaja.