Showing posts with label Kajian Manhaj. Show all posts
Showing posts with label Kajian Manhaj. Show all posts

Tuesday, January 14, 2014

Ghazwul Fikri



Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.' Maka salah seorang sahabat bertanya, 'Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?' Nabi s.a.w. menjawab, 'Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'.' Seorang sahabat bertanya: 'Apakah wahan itu wahai Rasulullah?' Nabi menjawab: 'Cinta pada dunia dan takut pada mati.' (Riwayat Abu Daud)

Hadith di atas telah terbukti hari ini. Umat yang dilahirkan sebagai umat terbaik bagi seluruh umat manusia itu telah mencapai puncak kemundurannya.

Ketika Islam berada pada landasan yang unggul pada suatu masa dahulu, lantas musuh-musuh Islam mencari ruang untuk menghancurkan umat Islam. Ketika mereka sedar betapa sukarnya Islam itu ditumbangkan dengan peperangan senjata disebabkan kualiti dan kuantiti umat Islam pada masa itu sangat hebat, maka Ghazwul Fikri atau Perang Pemikiran dilaksanakan. Maka, runtuhlah khalifah dan umat Islam jatuh sehina-hinanya.

Kebiasaannya, apabila menghuraikan apa itu Ghazwul Fikri, ramai akan bercerita unsur-unsurnya iaitu 5S dan 4F.
5S : Sport, Sex, Smoke, Song, Screen
4F : Fun, Fashion, Food, Faith

Maka, jika diperhatikan tentang ghazwul fikri ini, ianya lebih dari itu. Ia merupakan suatu sistem yang amat teratur dan terorganisasi untuk melumpuhkan kekuatan umat Islam. Umat Islam diracuni pemikiran dan diserang secara halus atau secara tidak sedar hingga mengakibatkan kehidupan menjadi songsang. Perkara yang baik dianggap tidak baik manakala perkara yang tidak baik dilihat baik. Tidak perlu musuh-musuh Islam menghantar batalion tentera untuk menyerang umat Islam dan cukup sekadar 'mengirim' hiburan-hiburan berbentuk filem dan lagu yang melalaikan dan menggairahkan sehinggakan mereka hanyut dalam dunia mereka sendiri.

Firman Allah: ".....Mereka tidak akan berhenti memerangi kamu sehingga kamu murtad (keluar) dari agamamu, jika mereka sanggup. Barang siapa murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itu sia-sia amalnya di dunia dan akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." (Al-Baqarah, 2: 217)


Kaedah-Kaedah Ghazwul Fikri

1) Ifsadul Akhlak (Merosakkan Akhlak)

Jika ditanya kepada golongan yang baru memeluk Islam, adakah mereka tertarik dengan orang Islam atau Islam itu sendiri? Majoritinya adalah disebabkan Islam itu sendiri, bukannya di atas peribadi orang Islam itu. Maknanya, akhlak yang ditunjukkan oleh umat Islam kini tidak menggambarkannya sebagai seorang Muslim. Tiada bezanya akhlak seorang Muslim dengan moral yang Non-Muslim. Ghazwul Fikri itu menyebabkan seseorang itu mengabaikan perintah Allah dan mengerjakan perkara yang haram serta meninggalkan perkara yang halal.

Kata-kata Saidatina A'isyah: 'Akhlak Nabi ialah Al-Quran. Menggambarkan majoriti umat Islam tidak meletakkan al-Quran itu sebagai rujukan atau piawai dalam menjadi Muslim yang baik. Musuh Islam berusaha menjauhkan Al-Quran dari kehidupan orang Islam yang akhirnya merosakkan akhlak sedikit demi sedikit.

2) Tahthiim Al-Fikrah (Menghancurkan Fikrah)

Menghancukran fikrah hingga tak melambangkan peribadi seperti seorang Muslim. Tidak berpegang pada Islam yang syumul dan Islam itu dilihat berpecah-pecah. Maka, ada yang cenderung pada pelbagai aliran yang dilihat benar seperti Nasionalisme, Sosialisme dan lain-lain. Islam tu dilihat hanya pada aspek tertentu saja seperti ibadah. Manakala aspek-aspek lain seperti Ekonomi, Pendidikan dan lain-lain, Islam dilihat tidak dominan. Justeru itu, tidak pelik apabila melihat orang Islam semakin konfius dengan keadaan sekarang, seolah-olah tidak memahami ajaran Islam sebenar yang akhirnya memberikan ketaatan kepada taghut dan menjadikan syaitan sebagai pemimpin.

Firman Allah: "Tidakkan engkau (Muhammad) memperhatikan orang-orang yang mengaku bahawa mereka telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelummu? Tetapi mereka masih menginginkan ketetapan hukum kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari Taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) kesesatan yang sejauh-jauhnya." (An-Nisa', 4: 60)

3) Izabah Asy-Syahsiyyah (Melarutkan Sahsiah)

Melarutkan sahsiah atau keperibadian hinggakan umat Islam menjadi kufur dengan tidak mengerjakan perintah Allah. Mereka cenderung ke arah keburukan dan tidak mustahil ada yang murtad menjadi kafir. Tiada lagi ciri-ciri Islam pada peribadinya. Cara berinteraksi, bersosial, bermuamalat dan lain-lain bertukar 180 darjah ke arah kekafiran.

Firman Allah: "Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaiman mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka). Maka, janganlah kamu mengambil (seorangpun) di antara mereka menjadi penolong-penolongmu, hingga mereka berhijrah di jalan Allah. Jika mereka berpaling ingkar, tawanlah dan bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya, dan janganlah kamu ambil (seorangpun) di antara mereka menjadi pelindung atau penolong." (An-Nisa', 4: 89)

4) Ar-Riddah (Memurtadkan)

Musuh-musuh Islam berusaha untuk merosakkan akidah umat Islam yang merupakan kejayaan yang paling utama bagi mereka. Mereka melakukan pelbagai cara termasuk menipu dan cara halus untuk memastikan orang Islam jauh dan keluar dari Islam secara total. Gerakan Pemurtadan dan Orientalis bertungkus-lumus dalam memastikan orang Islam keluar seleuruhnya dari Islam. 

Firman Allah: "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang kafir, nescaya mereka akan mengembalikan kamu pada kekufuran, lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi." (Ali-Imran, 3: 149)


Kesan-Kesan Ghazwul Fikri
 
Al-Walaa' Lil Kaafiriin (Memberikan Ketaatan Kepada Orang Kafir)

Kaedah-kaedah Ghazwul Fikri dengan merosakkan akhlak, menghancurkan fikrah, melarutkan sahsiah dan memurtadkan akan menyebabkan sesorang muslim memberikan ketaatan kepada orang kafir dengan segala bentuk. Ketaatan ini akan menyebabkan kebergantungan segala-galanya kepada orang kafir seperti menjadikan mereka sebagai idola, rujukan, panduan dan nasihat.

Firman Allah: "Hai orang-orang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu), kerana sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu yang menjadikan mereka sebagai pemimpin, maka sesungguhnya ia termasuk golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (Al-Ma'idah, 5: 51)

Friday, April 12, 2013

Robbaniyah Ar-Rijal



Robbaniyatur Rijal adalah salah satu komponen di dalam Robbaniyatud Dakwah. Sebagai seorang dai'e, dakwah yang kita bawa haruslah bersifat robbani ataupun yang bercirikan ketuhanan. Justeru itu, kita menyeru mad'u kita ataupun manusia kepada Allah. Maka, apabila dakwah itu bersifat robbani, semestinya Rijal atau si pelaku dakwah juga harus bersifat Robbani. Sang Rijal juga perlu mempunyai ciri-ciri yang bercirikan ketuhanan. Maka, apakah ciri-ciri Robbaniyatur Rijal itu?

1) Mengajarkan Kitab
Rasulullah merupakan contoh terbaik dalam melaksanakan proses tarbiyah ini apabila diutus menjadi Rasul dan begitu juga yang dilakukan para Sahabat. Baginda mengajarkan Al-Kitab kepada para Sahabat sebaik sahaja diangkat menjadi Rasul. Sinonimnya, dakwah dan tarbiyah ini memerlukan para dai'e mengajarkan Al-Kitab atau menyampaikan Islam walau sedikit kepada manusia yang lain.

Abu Dzar al-Ghifari terus saja menyampaikan seruan dakwah walau sekejap berjumpa dengan Rasulullah. Mush'ab bin Umair, ketika berhijrah ke Madinah, diriwayatkan bahawa tiada satu pun rumah yang tidak diziarahi dalam menyampaikan dakwah Islam. Bahkan, ketika pemerintahan Khulafa' Ar-Rosyidin, para Sahabat mengembara ke seluruh pelusuk dunia untuk menyampaikan dakwah dan itulah sebabnya dakwah itu terus berkembang.

Justeru itu, para Rijal Dakwah harus komited dalam menyebarkan dakwah dan mengajarkan Islam kepada orang lain. Tiada alasan seperti tidak sedia atau tidak cukup ilmu, bahkan mindset seperti ini harus wujud pada seseorang Rijal Dakwah.

2) Mempelajari Kitab
Jika tidak mempunyai, maka tidak boleh memberi. Justeru itu, perlunya seorang Rijal Dakwah atau dai'e itu mempunyai atau mencari ilmu dengan mempelajari Al-Kitab iaitu Al-Quran. Mempelajari Al-Kitab ini adalah sikap yang semestinya ada bahkan merupakan kewajipan seorang Muslim. Dengan wahyu pertama yang diturunkan iaitu "Iqra'" adalah arahan kepada seluruh umat supaya mempelajari agama ini.

Firman Allah: " ..... Jadilah kamu pengabdi-pengabdi Allah, kerana kamu mengajarkan kitab dan kerana kamu mempelajarinya." (Ali-Imran, 3: 79)

Justeru itu, proses tarbiyah ini merupakan proses dua hala. Tidak cukup sekadar mempelajari Al-Kitab tanpa berusaha untuk menyampaikan. Dan, tidak juga boleh mengajarkan Al-Kitab tanpa mempelajarinya. Proses mengajar dan belajar ini juga adalah rangkuman dalam tarbiyah dan proses ini akan berterusan sampai bila-bila.

3) Tidak Hina
Sikap inilah yang menyebabkan diri seseorang tidak sanggup berkorban untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah. Sikap ini juga lah yang membantutkan kekuatan tentera apabila hendak berperang dengan musuh. Sikap ini juga dikenali juga dengan penyakit Wahan iaitu cinta dunia dan takut mati.

Terdapat golongan yang meletakkan keyakinan bahawa usaha yang dilakukan adalah kunci kejayaan dakwah. Padahal, kita semua harus sedar bahawa yang memberikan kemenangan dan yang mengalahkan kita adalah Allah. Seseorang dai'e juga harus faham bahawa hubungan dengan Allah sangatlah penting dalam kita mahu membina jambatan hubungan dengan manusia. Mana mungkin kita mahu berdakwah kepada manusia sekiranya hubungan kita dengan Allah sangat teruk?

Lihat saja contoh yang dipamerkan oleh para Sahabat yang digelarkan oleh As-Syahid Syed Qutub sebagai Generasi Al-Quran. Betapa hebatnya hubungan dan dekatnya mereka kepada Allah. Apa rahsia Sultan Muhammad Al-Fateh di atas kejayaan beliau dan tenteranya menawan Konstantinople dan kejayaan Salahuddin Al-Ayubi dan tenteranya menawan Baitul Muqaddis? Semuanya disandarkan betapa dekatnya mereka kepada Allah.

Tidak akan hina manusia itu, jika sentiasa dekat kepada Allah. Dan, seseorang itu akan menempah kehinaan andai dia cuba menjauhkan diri dari Allah. Mulia dan Izzahnya seorang Muslim itu jika dia berpegang teguh pada agama Allah tetapi dia akan menjadi hina jika tidak mempedulikan atau memperlekehkan agamanya.

4) Tidak Lemah
Jasad yang lemah bukanlah ciri-ciri yang sepatutnya ada pada para Rijal. Seseorang Rijal seharusnya seorang yang tegar dan tidak lemah dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah kerana dia faham, betapa banyak kerja yang harus dilakukan dan pengorbanan yang luar biasa diperlukan.

Rasulullah sendiri meletakkan kepentingan pada Tarbiyah Jasadiyyah apabila terdapat keperluan Baginda bersama para Sahabat ke medan perang. Penyebaran dakwah ke seluruh pelusuk dunia oleh para Sahabat, Tabi'in dan dai'e yang terdahulu membuktikan bahawa dakwah dan tarbiyah ini tidak hanya perlu kepada kefahaman dan semangat semata-mata, tetapi jasad yang kuat juga merupakan di antara ciri-cirinya.

Di dalam Kisah Thalut dan Jalut, Allah berfirman, ".....'Allah telah memilihnya (menjadi raja) kamu dan memberikan kelebihan ilmu dan fizikal.'" (Al-Baqarah, 2: 247)

5) Tidak Menyerah (Tidak Statik)
Ciri yang terakhir ialah bahawa seorang Rijal tidak akan mudah menyerah kepada musuh. Di dalam Tafsir Ibnu Kathir, Ibnu Abbas mengatakan bahawa tidak menyerah ini bererti tidak berdiam diri ataupun tidak statik. Seorang Rijal tidak patut menunggu dan terus menunggu. Seorang Rijal seharusnya bergerak dan terus bergerak untuk melaksanakan dakwah ibarat air terjun yang tidak henti-henti bergerak pada aliran yang ditetapkan.

Firman Allah: "Dan betapa banyak nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak lemah kerana bencana yang menimpanya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak menyerah (kepada musuh). Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar." (Ali-Imran, 3: 146)

Sifat dakwah ini memerlukan kita bergerak dan bersikap offensive ataupun menyerang di sebalik hanya bersikap defensive ataupun bertahan. Seseorang Rijal Dakwah tidak boleh tunggu dan lihat, sebaliknya terus mencari mad'u dan mentarbiyah mereka sebaik-baiknya dan seramai mungkin supaya dakwah Islam ini terus berkembang luas.


Kesemua ciri-ciri di atas adalah saling melengkapi dan perlu ada kesemuanya pada seorang Rijal Dakwah. Robbaniyatur Rijal adalah untuk membangunkan diri sendiri dan juga membangunkan orang lain. Begitu mulianya menjadi seorang Rijal Dakwah yang Robbani di mana hidupnya bukan untuk diri sendiri tapi juga untuk orang lain.

Monday, December 12, 2011

Marhalah Dakwah


Marhalah Dakwah ataupun Tahapan Dakwah sememangnya cukup-cukup penting dalam proses kita mentarbiyah seseorang. Bahkan, kita juga perlu memastikan bahawa kita juga ditarbiyah sebegitu rupa berdasarkan tahapan tersebut. Marhalah Dakwah terbahagi kepada tiga:

Tahapan yang pertama ialah Pengenalan (Ta'rif). Ta'rif merangkumi proses Tabligh dan Taklim. Pada tahapan ini adalah proses di mana merubah kejahilan kepada pengetahun. Inilah tahapan di mana seseorang itu disentuh dengan nilai-nilai murni Islam sehinggakan dia cenderung untuk lebih dekat dengan Islam. Wasilah yang digunakan adakalanya dalam bentuk nasihat dan tunjuk ajar, adakalanya dalam bentuk membina prasarana yang berguna untuk masyarakat dan pelbagai lagi wasilah yang praktikal. Pada tahapan inilah, dianjurkan program umum seperti ceramah, kuliah, tazkirah, menyampaikan risalah, ziarah dan penulisan blog dakwah yang bertujuan untuk menarik minat mad'u (orang yang didakwahi) kepada Islam dan dakwah. Penubuhan sekolah, pusat tuisyen dan rumah kebajikan juga merupakan antara wasilah untuk mendekatkan Islam kepada masyarakat. Ianya bukan sekadar membuat program umum yang habis begitu sahaja tetapi haruslah disusuli dengan follow up untuk memastikan penyampaian Islam itu dapat diteruskan. 

Tahapan yang kedua pula ialah Pembentukan (Takwin). Takwin adalah proses di mana merubah pengetahuan kepada fikrah dan seterusnya kepada harakah. Hasil pada tahapan pertama itu, maka perlu ditakwinkan mad'u-mad'u tersebut dalam usrah, halaqah, daurah dan mukhayyam. Pada tahapan inilah, mad'u-mad'u ini dibentuk untuk menjadi seorang muslim dan muslimah yang baik dan menjadi seorang pendakwah atau dai'e. Untuk itu, proses takwin ini perlulah konsisten dilaksanakan dan diutamakan dari segala-galanya. Justeru itu, kehadiran dalam usrah adalah wajib dan perlu diadakan secara berkala seperti setiap minggu. Jika bertembung usrah dengan program umum atau aktivisme, maka usrah itulah yang perlu diuatamakan. Sekiranya usrah tidak dilaksanakan secara konsisten dan mengalami masalah dari segi kehadiran, maka penyakit ini haruslah diubati secepat mungkin untuk mengelak ianya terus merebak dan merosakkan komitmen ahli yang lain. Kata-kata Mustafa Mashyur yang cukup melekat dalam hati: “Tarbiyyah itu bukanlah segala-galanya tetapi tanpa tarbiyyah segala-galanya sia-sia.” 

Menurut Hasan al-Banna, melalui tahapan ini, individu-individu yang sesuai dipilih untuk memikul tanggungjawab jihad dan mereka kemudiannya digabungkan dalam saf. Dalam tahapan ini, dakwah disusun menggunakan kaedah sufi sepenuhnya dalam sudut rohani dan menggunakan kaedah ketenteraan sepenuhnya dalam sudut amali. Slogan bagi kedua-dua sudut ini ialah "Perintah dan Taat" tanpa ada rasa teragak-agak, bersoal jawab, ragu-ragu dan keberatan. Orang yang berhubung dengan dakwah hanyalah orang yang sudah benar-benar sedia memikul tanggungjawab jihad yang akan berlangsung dalam tempoh yang lama dan menuntut pelbagai tanggungjawab. Tanda pertama kesediaan ini ialah "Ketaatan Mutlak." 

Tahapan yang terakhir ialah Pelaksanaan (Tanfiz). Tanfiz adalah proses pelaksanaan untuk memperolehi hasil dan matlamat iaitu keredhaan Allah. Dalam tahapan ini, dakwah adalah jihad tanpa kompromi, kerja yang berterusan ke arah mencapai matlamat, ujian dan cubaan yang akan hanya ditempuh dengan sabar oleh mereka jujur. Kejayaan dalam tahapan ini hanya akan diperolehi melalui "Ketaatan Mutlak." Sebagai contoh, penentangan secara berterusan oleh HAMAS di Palestin seperti melaksanakan bom syahid sehinggalah berjaya membentuk negara Palestin yang bebas dan membebaskan Masjid al-Aqsa sekaligus menyahkan kaum Zionis dari bumi Palestin.

Firman Allah: "Dan di antara manusia ada orang yang mengirbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya." (Al-Baqarah, 2: 207)

Firman Allah: "Katakanlah (Muhammad), 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam'" (Al-An'am, 6: 162)

Persoalan kini, adakah kita mentarbiyah atau ditarbiyah dengan mengikut tahapan yang benar? Justeru itu, nilailah tanggungjawab yang kita laksanakan. Siapkanlah diri kita untuk memenuhi tanggungjawab ini. 

Saturday, May 21, 2011

Peranan Rasul



Firman Allah: "Dialah yang mengutus seorang Rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah), meskipun sebelumnya, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata." (Al-Jumu'ah, 62: 2)

Dalam kita menyingkapi tugas Rasulullah dalam berdakwah, perlunya seorang dai'e mengetahui cara-cara atau langkah-langkah baginda berdakwah dan isi-isinya supaya benarlah kita berdakwah mengikut cara Rasul dan bukannya mengikut cara sendiri ataupun hentam keromo.

Pertama sekali adalah Tilawah iaitu membacakan. Bertepatan dengan wahyu pertama dalam Surah al-Alaq iaitu Iqra' menunjukkan betapa penting dan perlunya kita membaca al-Quran. Bahkan tidak cukup membaca sahaja, perlunya mentadabbur, memahami isi kandungan al-Quran dan menghafal surah semampu yang mungkin. Al-Quran adalah ayat-ayat cinta dari Allah dan membacanya adalah seolah-olah Allah s.w.t. sedang melafazkan ayat-ayat cinta-Nya kepada kita.

Yang kedua adalah Tazkiyyah iaitu menyucikan. Itulah sebabnya qiamullail adalah wajib bagi Rasulullah dan bagaimana jiwanya amat dipelihara oleh Allah s.w.t. Itu sebabnya, sebagai seorang dai'e, pemantapan ibadah ataupun mutabaah cukup penting untuk memastikan hubungan dengan Allah amat dipelihara. Tazkiyyah ini jugalah yang memastikan seorang dai'e itu cukup berakhlak, tidak sombong, tidak mudah menyesatkan orang, tidak cepat menganggap dirinya yang terbaik dan lain-lain.

Yang terakhir adalah Ta'lim iaitu mengajarkan. Tidak cukup bagi seorang murobbi jika hanya dia saja yang alim dan tidak berkongsi ilmu dengan mad'u-mad'u yang lain. Perlunya di sini, seseorang itu berharakah untuk berdakwah kepada orang lain dan mengajarkan ilmu-ilmu agama kepada mereka tentang Islam.

Dalam ketiga-tiga method ini, ianya bersifat berterusan. Sesetengah orang yang diajak untuk berdakwah, sering menolak dengan memberi alasan bahawa dirinya tidak cukup baik lagi. Maknanya proses tazkiyyah itu tidak mantap lagi dan setelah betul-betul mantap, barulah dia akan berdakwah atau melakukan ta'lim. Sebenarnya, ini adalah proses yang berterusan dan mana ada manusia di muka bumi ini yang betul-betul mantap melakukan tazkiyyah kecuali para Nabi dan Rasul. Jika alasan ini diberikan, maka 'nobody' akan melakukan kerja-kerja dakwah. Yang sebenar-benarnya, setelah melakukan ta'lim, proses tilawah dan tazkiyyah itu perlu terus berjalan hinggalah matlamat dalam menlakukan kerja-kerja dakwah tercapai.


*Ini adalah tazkirah pertama yang diberikan setelah menemui tarbiyyah dan disampaikan di Surau SH3, Desasiwa Lembaran pada pertengahan tahun 2004