Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Thursday, September 10, 2015

Bai'ah Talak Tiga: Pencerobohan Institusi Keluarga

Tidak salah saya, isu bai'ah talak tiga ini pernah kedengaran pada tahun 2009, tetapi terhenti apabila dinafikan oleh pemimpin utama PAS. Namun, kini, ianya kembali berkumandang apabila berlaku krisis dalaman PAS. 

Isu bai'ah talak tiga ini adalah isu dalaman parti ataupun boleh dikatakan sebagai isu dalam kelambu, yang tak perlu didedahkan pada umum. Mengapa ianya didedahkan sekarang? Wujudnya Gerakan Harapan Baru (GHB) dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai pengganti PAS di dalam Pakatan Rakyat, dilihat sebagai ancaman lebih-lebih lagi apabila ramai wakil rakyat PAS telah dan akan berhijrah ke Amanah. Kemungkinan besar, atas faktor ini lah, isu ini gagal dibendung dari pengetahuan umum sebagai amaran bagi mereka yang ingin keluar parti.

Saya tak berani nak ulas berkaitan isu ini dan saya bukan ahlinya untuk mengulas isu ini. Banyak pandangan telah dikeluarkan oleh para ahllinya seperti Mufti Perlis, Mufti Pulau Pinang, Dr. Ust. Zaharudin dan sebagainya. Cuma, agak pelik apabila kita melihat dan menilai sebuah parti atau organisasi seperti sebuah agama. Sebuah Parti Islam atau Pertubuhan NGO Islam bukanlah sebuah agama. Ia hanya sebuah organisasi yang membawa agenda Islam. Apabila disebut organisasi, ianya dipimpin oleh manusia yang tidak lepas dari kesalahan. Selepas wafatnya Rasulullah, kesemua organisasi adalah tidak semestinya 100% benar walaupun membawa panji Islam. Ini kerana pimpinan selepas Rasulullah adalah bukan maksum. Justeru itu, mengapa tergamaknya institusi keluarga dicagarkan atas sebuah organisasi? Sedangkan ramai yang maklum atas ketidakmaksuman manusia yang memimpin organisasi. Islam atau Ad-Deen itu bersifat unggul dan benar, tetapi organisasi yang membawa Islam tidak selalunya unggul dan benar. Hatta, sebuah organisasi, walaupun dipimpin seorang yang bergelar Syeikh atau Tok Guru, tetap saja tidak terlepas dari kesilapan.

Dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Perbuatan halal yang paling dibenci Allah ialah cerai." Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah. Hadith Sahih menurut Hakim. Abu Hatim lebih menilainya Hadith Mursal.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Cara keganasan dan militan bukanlah kaedahnya untuk menubuhkan negara Islam. Mengkafirkan individu atau organisasi atau budaya takfiri, bukanlah caranya untuk berdepan dengan golongan sekular dan golongan yang berlainan aliran. Begitu juga dengan isu bai'ah ini. Tidak sepatutnya bai'ah talak tiga yang mencagarkan institusi keluarga dan merendahkan martabat wanita dilakukan hanya semata-mata untuk memastikan survival parti politik tertentu atau untuk mengelak wakil rakyat melompat parti. Apatah lagi, umat Islam keseluruhannya maklum tentang hukum talak ini dan tidak sepatutnya dijadikan bahan mainan atau bahan cagaran bagi sesuatu isu. Harapnya, ianya tidak dijadikan ikutan oleh kelompok lain dalam membuat janji atau sumpah seperti jatuhnya talak tiga jika tidak bayar hutang atau jatuhnya talak tiga jika bocor sesuatu rahsia.

Berpolitiklah dengan matang dan berbaiklah dengan semua orang. Apabila berpolitik dengan membina banyak permusuhan, apa yang diharapkan kebaikan pada negara ini? Usah disemai kebencian pada pihak tertentu dan elakkanlah rasa tidak hormat dan dendam kesumat supaya disenangi oleh semua orang. Politik yang disemai dengan kebencian dan dendam kesumat hanya membawa kehancuran kepada sesebuah negara.

Sebuah unit keluarga merupakan subset di dalam masyarakat, dan hancurlah masyarakat itu jika institusi keluarga dicerobohi hanya akibat daripada sifat dendam dan survival pihak tertentu. Binalah negara ini dengan masyarakat yang unggul, dan binalah masyarakat dengan keluarga yang sakinah dan unggul. Usah dicerobohi sistem kekeluargaan ini dan perkukuhkanlah sistem ini demi keberlangsungan masyarakat dan negara yang unggul.

Wallahua'lam...

Wednesday, June 17, 2015

Gagasan Politik Baru dan Progresif

Barisan Nasional Era 90-an
Pada pertengahan tahun 90-an, saya merasakan Malaysia ini diperintah oleh pemimpin yang sangat hebat. Ketika itu, Perdana Menteri ialah Dato' Sri Dr Mahathir Mohammad (Dr M) dan Timbalan Perdana Menteri ialah Dato' Sri Anwar Ibrahim (DSAI). Politik Pembangkang yang agak kuat mencabar kerajaan pusat ialah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan. Namun segalanya berubah pada 2 September 1998 apabila DSAI dipecat daripada kerajaan dan UMNO. Bagi saya, itulah tarikh permulaan kejatuhan UMNO dan bermulanya era kebangkitan Parti Pembangkang.

Dr M terus memerintah dan diganti oleh Pak Lah dan kini, Dato' Sri Najib. Prestasi UMNO semakin teruk, begitu juga Barisan Nasional (BN). Paling muktahir pada PRU-13 pada 2013 di mana sokongan rakyat pada BN hanya sekadar 48% dan diselamatkan oleh kawasan Borneo, FELDA dan luar bandar. Seolah-olah tiada jalan keluar atau selamat untuk BN bangkit seperti zaman Dr M.

Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat
Parti Pembangkang pula mula mendapat perhatian selepas pemecatan DSAI. Apabila DSAI dipenjarakan, Barisan Alternatif diwujudkan hasil gabungan PAS, DAP, PRM dan PKN (Parti Keadilan Nasional) dan diketuai oleh Ustaz Fadzil Noor. Akhirnya pada 1999, PAS menang besar dan dapat menawan Terengganu. Sayangnya DAP kalah teruk dan menarik diri dari Barisan Alternatif. Ianya lebih kepada punca fobia pada masyarakat Cina. Setelah pemergian Ustaz Fadzil Noor, Barisan Alternatif seolah-olah tiada 'umph' dan tak dapat pergi jauh dan akhirnya PAS tumbang di Terengganu dan nyaris kalah di Kelantan pada PRU-11 pada 2004.

Apabila DSAI dibebaskan sekitar pertengahan 2000-an, parti pembangkang akhirnya disatukan kembali di bawah Pakatan Rakyat (PR) dengan PAS, PKR (PKN + PRM) dan DAP. Kesannya ialah apabila PR dapat menafikan majoriti 2/3 dan menawan 5 negeri pada PRU-12 pada 2008. Seterusnya, pada PRU-13 pada 2013, di samping menafikan majoriti 2/3, PR juga berjaya meraih undi majoriti keseluruhan sebanyak 52%.

Pakatan Rakyat Berkubur
Begitulah serba sedikit fenomena politik Malaysia dalam masa 20 tahun. Politik Malaysia sememangnya begitu menarik dengan pelbagai isu, watak dan pergolakan. Isu muktahir apabila PAS mengusulkan untuk memutuskan hubungan dengan DAP pada Muktamar ke-61, tambah menghangatkan lagi pergolakan di dalam PR. Hingga menyebabkan DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat berkubur pada 16 Jun 2015 disebabkan isu tersebut. Apabila melihat pergolakan ini, mungkin ada di kalangan rakyat yang bersyukur apabila PR masih belum memerintah Malaysia lagi. Jika tidak, makin celarulah pentadbiran negara, bahkan lebih celaru dari keadaan sedia ada.

Merujuk pada artikel saya sebelum ini - http://imam-abuhanifah.blogspot.com/2015/02/gagasan-politik-baru.html, sebenarnya artikel yang ditulis ini adalah lanjutan daripada krisis yang dialami oleh PAS. Saya secara peribadi melihat hasil Muktamar PAS ke-61 seolah-olah menjadikan parti tersebut terkebelakang dan semakin menjauhi citarasa rakyat yang mahukan pembaharuan. Dalam keadaan rakyat yang berbilang kaum, kerosakan umat yang semakin tak terbendung, penderitaan rakyat akibat penindasan pihak berkuasa dan isu-isu lain seperti kewangan, sosial dan sebagainya, memerlukan sebuah parti politik yang ke hadapan untuk menyantuninya. Ternyata, PAS yang sebelum ini bangga dengan slogan "PAS For All" gagal menghadapinya. Makin memilukan ahli-ahli yang ditarbiyah dari segi berlapang dada dalam menerima pendapat, seolah-olah tidak mengotakan apa yang dikatakan. Bukankah Islam mengajar "Walk The Talk"?

Apabila mengenangkan nasib Pakatan Rakyat kini, pasti ramai yang merindui kelibat DSAI di dalam arena politik Malaysia. Bagi saya, DSAI adalah di antara pemimpin politik negara yang mampu menyatukan kekuatan parti politik. Lihat saja dengan wujudnya Pakatan Perpaduan Sabah (PPS) dan Angkatan Perpaduan Sabah (APS) di bawah pimpinan Lajim Ukin dan Wilfred Bumburing. Dengan wujudnya APS dan PPS ini, PR mampu menembusi kekuatan BN di Sabah.

Gagasan Politik Baru dan Progresif
Sememangnya, kita perlu merentasi sebuah politik yang "smart". Bukan saja parti politik yang "smart", tetapi politik juga mesti "smart". Dan parti politik yang mahu terjun ke dalam politik yang "smart", semestinya mesti "smart"!! Justeru itu, melihat kepada keperluan rakyat kini, kita sememangnya memerlukan sebuah Gagasan Politik Baru dan Progresif yang semestinya ditunjangi oleh sebuah Parti Progresif Islam yang membawa kepada keadilan sejagat dan membawa keharmonian negara. Bukan sahaja PKR dan DAP, bahkan Gagasan Politik ini perlu disertai oleh parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak dengan bertujuan meluaskan empayar kekuasaan kepada semua. Tiada masalah dengan parti kecil, kerana apabila sudah berpakat pasti akan membesar dan lebih kuat.

Inilah yang kita mahukan - Gagasan Politik Baru dan Progresif. Baru dan Progresif di sini membawa maksud ke arah kemajuan politik semasa, idea-idea baru, cakna dan memperjuangkan isu rakyat dan negara secara keseluruhan, menguruskan perbezaan pendapat dalam pentadbiran, menolak isu perkauman yang sempit dan membawa kepada corak pemerintahan Islam yang syumul.

Kini, rakyat sudah muak dengan politik sempit yang tidak membawa kepada kebaikan, melainkan perseteruan yang berpanjangan. Wajah Politik Baru perlu dihidangkan dan dibentangkan seluas-luasnya. Kita harus bergerak ke hadapan dengan membina Malaysia Baru melalui Gagasan Politik Baru dan Progresif.

Wallahua'lam...

Friday, February 13, 2015

Hidupkan Obor Perjuangan Itu

Syurga Allah itu  bukannya murah. Perjuangan untuk mengejarnya bukannya mudah dan dipenuhi dengan air mata, ranjau dan kekecewaan. Perjuangan itu akan diteruskan walaupun ada yang pergi mengadap Rabb terlebih dahulu atau ada yang terhumban di jeriji besi.
 
'Penjara bukanlah tembok tebal dan jeriji besi. Sebenarnya penjara adalah keadaan dalam perasaan dan fikiran kalian.' - Hasan Hudhaibi
 
Pejuang silih berganti tetapi obor perjuangan akan terus hidup dan tidak akan pernah padam. Teruskanlah berjuang menuju redha Allah dan semoga berkumpul para pejuang di syurga kelak bersama para Anbiya' dan para syuhada'.
 
 
Amin Ya Rabb...
 

 
 
 

Thursday, February 5, 2015

Gagasan Politik Baru

Sudah lebih 57 tahun Malaysia Merdeka. Kepimpinan negara silih berganti, namun adakah negara kita makin maju atau mundur ke belakang? Kita sentiasa melihat gagasan politik yang dibawa oleh parti politik sama ada pemerintah atau pembangkang, sama ada mampu menjadi anjakan dalam halatuju negara kita.
 
Kita harus mengerti hakikat politik yang hendak diperjuangkan dan perlulah berada di landasan yang tepat. Melaungkan slogan Negara Islam atau pelaksanaan Hukum Hudud tidak semudah yang disangka. Banyak ranjau-ranjau yang perlu diatasi dan disantuni. Bagaimana kita hendak mengharapkan penubuhan sebuah negara Islam dengan keadaan orang Islam sendiri jauh daripada Islam dan orang bukan Islam langsung tidak didekatkan dengan Islam? Dan dengan mudah kita mengharapkan perubahan itu berlaku hanya ketika pilihan raya. Berpeganglah pada realiti di mana ianya tidak akan berjaya. Allah Taala sendiri menurunkan perintah pengharaman arak dengan berperingkat dan Rasulullah sendiri membawa perlaksanaan hukuman Hudud dengan berperingkat. Penerimaan masyarakat terutama orang Islam dan waqi' pada ketika itu amat diambil kira sebelum sesuatu hukuman dilaksanakan.
 
Ijtihad Politik bagi ahli politik dan parti politik tidak akan sentiasa kekal. Ianya bergantung pada keadaan masyarakat dan waqi' pada masa itu. Ijtihad Politik pada waktu sekarang berbeza dengan pada 10 tahun akan datang. Ijtihad Politik di Terengganu juga berbeza dengan Selangor dan semestinya berbeza dengan Sabah. Juga tidak boleh disamakan waqi' di Malaysia dengan Mesir, mahupun Turki. Kerana ianya pasti berbeza. Maka, ianya bergantung pada kebijaksanaan dalam menghadapinya.
 
Gagasan Politik di Malaysia memerlukan nafas baru, sama ada di peringkat parti politik atau individu. Kita tidak mahu terus ditadbir dengan idea-idea lapok dan ketinggalan zaman. Pertembungan seteru-seteru politik lama tidak wajar diteruskan kerana tidak lagi dilihat memberi manfaat. Rakyat sudah muak dengan politik fitnah - menfitnah dan caci maki yang dibawa sebelum ini.
 
Berpolitik dari erti kata membawa dakwah kepada masyarakat dan terus membina keharmonian kaum. Bukan hanya mementingkan aspek pembangunan material semata-mata tetapi juga pembangunan sahsiah demi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Binalah sesuatu kebaikan untuk diwarisi oleh generasi akan datang supaya kebaikan itu dapat memberi manfaat keseluruhannya.
 
Seperti yang dipelajari dalam sirah, Islam adalah rahmat kepada semua. Justeru itu, gagasan yang hendak dibawa perlu mengambil kira pelbagai aspek seperti keadilan kepada semua makhluk Allah, ketelusan undang-undang, kebajikan rakyat, keharmonian kaum dan kegiatan dakwah dan tarbiyah yang berterusan supaya manusia ini mengenal siapa Allah. Banyak lagi kerja yang perlu kita lakukan supaya Islam itu bertebaran di muka bumi ini dalam memastikan gagasan Islam terus gah dan memberikan rahmah kepada seluruh alam.

Wednesday, December 18, 2013

Nelson Mandela - Siri 2

Nelson Mandela merupakan ikon perjuangan antarabangsa. Kehilangan beliau memberi kesan kepada dunia terutama kepada pejuang pembebasan masyarakat. Perjuangan beliau yang menentang kezaliman, penjajahan, perkauman dan penindasan di atas nama etnik, kelas dan strata pasti diingati dan dijadikan inspirasi kepada seluruh masyarakat. Penentangan beliau terhadap dasar arpatheid sehinggakan beliau dipenjara 27 tahun. Saya tidak melihat beliau dari segi aspek bangsa, agama dan warna kulit tetapi prinsip perjuangan yang dibawa.

Perjuangan Mandela selaras dengan Maqasid Islam yang memperjuangkan kesaksamaan dan keadilan sejagat. Perjuangan menentang kezaliman dan memperjuangkan hak asasi manusia adalah tanggungjawab setiap individu di atas muka bumi ini. Perjuangan beliau mengingatkan kita tentang kehebatan perjuangan tokoh-tokoh Islam seperti Umar Mukhtar, Syeikh Ahmad Yassin, Abd Aziz Rantisi dan Dr Mohammad Morsi.

Perjuangan yang telah meletus harus disambung dan diperhebatkan oleh generasi kini. Isu-isu semasa yang amat mencabar seharusnya menuntut para dai'e memperhebatkan ilmu serta melipatgandakan gerak kerja amal untuk memastikan Islam itu menaungi masyarakat dunia ini.

Wallahua'lam..

Saturday, December 14, 2013

Wednesday, June 5, 2013

Biarlah Gambar Berbicara...


Jika permusuhan lampau dijadikan ukuran, pasti kedua-dua wanita ini tidak semesra begini. Perkara yang lampau bukannya asbab untuk terus bermusuh dan diwarisi permusuhan itu. Jika mereka mampu begini, bagaimana pula dengan Gerakan Islam?

Sunday, June 2, 2013

Nyah Kau Taghut!!

Taghut adalah benda yang melampaui batas (mengingkari Allah) dan masyarakat akan mengikutinya sama ada terpaksa atau rela.

Begitu juga apabila sesebuah masyarakat berdepan dengan sebuah kerajaan taghut. Meskipun terlalu banyak kerosakan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh taghut ini, mereka masih lagi cenderung untuk mengekalkan taghut yang sedia ada. Mereka sedar akan segala kerosakan yang telah dilakukan, tetapi si taghut berjaya menundukkan dan menakutkan mereka. Maka, di antara sebabnya ialah bimbang bantuan akan disekat, takut kehilangan kerja, takut kemewahan ditarik balik dan sebagainya. Maka, berjayalah usaha taghut selama ini.

Bagi golongan yang masih takut untuk berdepan dengan kerajaan taghut ini, kembalilah kita semua kepada Al-Quran.

Firman Allah: “Katakanlah (Muhammad), ‘Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Mahakuasa atas segala sesuatu. Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Dari Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau berikan rezeki kepada siapa yang Engkau kehendaki tanpa perhitungan.’” (Ali-Imran, 3: 26- 27)

Firman Allah: “Milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Jika kamu nyatakan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu sembunyikan, nescaya Allah memperhitungkannya bagimu. Dia mengampuni siapa yang Dia kehendaki dan mengazab siapa yang Dia kehendaki. Allah Mahakuasa atas segala sesuatu.” (Al-Baqarah, 2: 284)

Bukan manusia yang menciptakan kamu dan seluruh alam ini, tetapi ALLAH!

Bukan manusia yang menaburkan rezeki kepada kamu, tetapi ALLAH!

Bukan manusia yang menghidupkan dan mematikan kamu, tetapi ALLAH!

Bukan manusia yang kamu taati dan sembah, tetapi ALLAH!

Maka, buangkanlah perasaan takut kepada taghut. Buanglah atau nyahkanlah si taghut itu seperti apa yang dilakukan oleh Nabi Musa apabila menumbangkan raja segala taghut iaitu Firaun.

Friday, May 24, 2013

Pasca PRU-13

Pasca PRU-13, banyak perkara yang berlegar-legar di fikiran. Akhirnya, BN mengekalkan kuasanya di Malaysia walaupun tidak dinafikan sokongan kepada PR lebih meningkat dari yang sebelumnya. Apa yang diharapkan oleh majoriti rakyat Malaysia tidak kesampaian - Pendidikan Percuma, Harga Kereta Turun, Harga Petrol Turun dan Tol Dihapuskan, hanya tinggal sejarah. Cuma, disebalik PRU-13 ni, banyak perkara yang perlu kita teliti dan fikirkan, di manakah halatuju kita sekarang?

Peranan Pemuda Di Dalam Politik
Penglibatan beberapa tokoh pemuda di dalam PRU-13 ini, memberikan impak yang baik dalam negara kita. Khairy Jamaludin, Rafizi Ramli, Nurul Izzah, Nasarudin Hassan, Anthony Loke adalah antara nama-nama yang meningkat naik. Kita perlu lihat dalam tempoh 5 tahun ini, di mana potensi dan kemampuan mereka dalam dunia politik.

"Jika mahu melihat kemahsyuran sesebuah negara itu, lihatlah pada pemudanya." Ke mana halatuju pemuda di Malaysia? Di Malaysia, kita akan melihat, pemuda di bandar, ada yang ke arah positif dan ada juga di sebaliknya. Peranan IPTA dan IPTS banyak memberi impak kepada pemuda. Mengenai pemuda di kawasan luar bandar, ke mana pula mereka? Adakah mereka ini akan tergolong pada golongan yang terpinggir yang hanya dipergunakan oleh sesetengah pihak. Jika hanya dipergunakan sekadar untuk melakukan provokasi, mengganggu kempen pihak lawan atau mencetuskan pergaduhan dengan hanya sedikit upah, maka, tiadalah kelihatan potensi pemuda itu.

Mentaliti yang tidak berubah hanya menjadikan mereka ini tidak lebih dari menjadi orang suruhan saja. Orang suruhan adalah berbeza dengan orang yang taat. Orang suruhan hanya melakukan apa saja yang disuruh tanpa menilai kebaikan atau keburukan. Berlainan pula dengan ketaatan yang melakukan sesuatu perkara berdasarkan penilaian terlebih dahulu.

Potensi pada pemuda adalah sebagai agen perubahan kepada masyarakat. Sekiranya masyarakat berada dalam kekalutan dan dilema, maka, pemuda inilah yang akan melaksanakan perubahan dan pembaikan. Justeru itu, harga diri bagi seseorang pemuda amat bernilai pada masyarakat dan potensi inilah yang amat dinanti-nantikan oleh masyarakat.

Isu Perkauman Paca PRU-13
Saya pernah ke beberapa negara luar, di kawasan Asia dan Timur Tengah. Apa yang membezakan dengan Malaysia ialah, Malaysia mempunyai penduduk pelbagai agama dan bangsa. Perbandingan di antara Malaysia dan Indonesia saja, amat terserlah. Di Indonesia, ada pelbagai kaum dan agama, tapi mereka ini boleh disatukan dengan dengan Bahasa Indonesia. Saya tertarik mendengar rakyatnya yang berbangsa Cina amat fasih berbahasa Indonesia. Jika kita bandingkan dengan orang Cina dan orang India di Malaysia yang hanya segelintir saja yang begitu.

Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang tetapi bagi saya, semua rakyat di Malaysia ini ada hak masing-masing baik Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya. Tidak wajar mengatakan bahawa hanya satu bangsa saja yang berhak pada sesuatu negara dengan mengabaikan bangsa-bangsa yang lain. Tidak wajar juga mempertikaikan suara-suara dari orang lain walaupun tidak sama dengan pendapat kita. Tidak wajar juga apabila segolongan pihak yang membakar sentimen perkauman yang akhirnya menjadikan hubungan antara kaum bertambah keruh. Ketegangan antara kaum adalah berpunca dari penindasan dan ketidakadilan yang telah lama wujud. Itulah kelemahan perjuangan kebangsaan sebab ianya tidak mampu memberikan keadilan kepada semua bangsa.

Kita perlu yakin hanya Islam saja yang mampu memberikan keadilan kepada semua orang tanpa mengira bangsa dan agama. Seperti dalam artikel saya yang terdahulu, kita perlu terus berubah ke arah kebaikan. Usah ragu-ragu sekiranya perubahan itu memang perlu dilakukan. Tetarpi, perubahan itu perlu berteraskan Islam kerana hanya Islam yang memberikan keadilan kepada semua orang.

Wallahua'lam..

Thursday, May 2, 2013

Winnable Candidate

Firman Allah: "Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata, 'Wahai kaumku! Bukankah kerajaan Mesir itu milikku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; apakah kamu tidak melihat? Bukankah aku lebih baik dari orang (Musa) yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)? Maka mengapa dia (Musa) tidak dipakaikan gelang dari emas, atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringkannya?' Maka (Firaun) dengan perkataan itu telah mempengaruhi kaumnya, sehingga mereka patu kepadanya. Sungguh, mereka adalah kaum yang fasik." (Az-Zukhruf, 43: 51 - 54)

Winnable Candidate atau Calon Boleh Menang boleh saja terdiri di kalangan orang yang mukmin dan orang yang kufur. Bahkan di dalam sesuatu pertarungan, perkara ini kerap berlaku. Cuma, apa yang membezakan di antara orang yang mukmin dan orang yang kufur? Winnable Candidate di kalangan orang mukmin, pastinya melihat perkara yang lebih penting iaitu keredhaan Allah. Sama ada dia menang atau tumpas, redha Allah menjadi keutamaan. Dan, itulah ciri yang paling utama perlu ada bagi seorang Winnable Candidate.

Justeru itu, apabila dilihat kemampuan Nabi Musa dan Firaun, pastinya kelebihan berganda-ganda oleh Firaun disebabkan kekuasaan dan pengaruhnya. Tetapi, malang bagi Firaun, walaupun dia berkuasa, tetap saja redha Allah jauh darinya. Berbeza pula dengan Nabi Musa, yang pada awalnya bukanlah dalam keadaan terbaik untuk bertarung dengan Firaun, tetapi Allah yang memberikan kemenangan dan dialah Winnable Candidate yang sebenarnya.

Bagi seorang mukmin dan seorang dai'e, teruslah berjuang dan bertarung untuk mencapai kejayaan. Usah bimbang sama ada menang atau kalah, sebab Insya Allah kita akan menjadi Winnable Candidate di sisi Allah.

Monday, April 29, 2013

Teruskan Berubah

Menjelang PRU-13 ini, banyak slogan parti politik yang mencuit hati saya. 'Ini Kalilah', 'Jom Ubah' dan 'Tukar' adalah di antaranya. Apa signifikannya slogan ini dengan PRU-13 kali ini? Adakah lebih menunjukkan ketidakpuasan hati kepada kerajaan sedia ada atau rakyat Malaysia kini lebih cerdik berpolitik?

Barisan Nasional telah memerintah selama 56 tahun dan masih kuat dokongan di kalangan rakyat. Penyokongnya pastilah yang rasa selesa dengan pemerintahan sedia ada dan yang mempunyai kepentingan. Bagi Pakatan Rakyat pula, yang baru saja bergabung dan telah memerintah beberapa buah negeri, pula didokong oleh rakyat biasa yang menuntut perubahan dan merasakan Malaysia perlu dilonjak ke arah yang lebih baik dan kebaikan kepada rakyat.

Bagi saya, amat bagus menuntut perubahan. Bahkan dalam diri kita sendiri, kita perlu berubah ke arah lebih baik. Jika mampu, dapatkanlah kehidupan yang lebih baik. Jika mahu, dapatkanlah pekerjaan yang lebih menjamin masa depan. Sampai bila kita hendak terus berasa selesa tanpa sebarang penambahbaikan pada diri kita?

Bagi saya, saya mengimpikan sebuah kerajaan yang diberkati oleh Allah, yang menjamin keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan bagi rakyat dan negara. Mungkin sangat simple tapi jika dihuraikan impian saya, pasti berjela-jela panjangnya, seperti kefahaman Syahadatain bagi seorang Muslim.

Jadi teruslah berubah ke arah kebaikan hingga mendapat yang apa yang diidam-idamkan. Jika mahu BN terus memerintah, undilah BN jika rasa boleh diperolehi kebaikan dan dapat dilakukan perubahan. Jika mahu PR, undilah PR jika perubahan dapat dilakukan lebih baik dari kerajaan sedia ada. Sekiranya, kerajaan baru yang dibentuk tidak dapat melakukan perubahan sebaik-baiknya, maka teruslah lakukan perubahan. Teruskanlah berubah sehingga perubahan total untuk negara, agama dan masyarakat dapat dilaksanakan.

Maka, teruskanlah berubah hingga dapat membentuk KERAJAAN YANG DIBERKATI ALLAH dan perubahan tidak akan berhenti sampai di sini saja. Tidak mahukah kalian mempunyai kerajaan seperti yang diperintah oleh Khulafa Al-Rasyidin atau Khalifah Umar Abdul Aziz?

Sunday, April 28, 2013

BANGKIT!!

Indahnya Warna-Warni Pelangi



Jadilah seperti pelangi, walaupun berbeza warna tetapi perbezaan itulah yang menunjukkan keindahannya. Walaupun berbeza pendapat tetapi perbezaan itu umpama indahnya pelangi kerana berbeza warnanya.  Biarlah hendaknya perbezaan pandangan dan pendapat itu diraikan, bukan dijadikan sebab untuk perbalahan. Sudah tentu, itulah yang paling penting buat kita yang bernama Mukmin dalam menonjolkan imej Islam agama yang indah dan memelihara kedamaian.

Wednesday, April 24, 2013

Misi Mustahil

Dalam Sirah Nabawiyah, Mush'ab bin Umair dan Abdullah bin Ibnu Maktum boleh dikatakan sebagai arkitek dalam kejayaan dakwah Rasulullah untuk bertapak di Madinah. Misi yang boleh dianggap sebagai mustahil, untuk mendakwahi penduduk di Yathrib atau Madinah untuk menerima Islam dan mempersediakan tempat yang lebih baik untuk dakwah Rasulullah. Misi sebegini atau lebih mudah dikatakan sebagai Mission Impossible bukanlah hanya menggambarkan tentang sebuah filem, bahkan di dalam dakwah sendiri, ianya benar-benar wujud.

Berdepan dengan lawan yang ramai, mempunyai kekuatan yang terhad dan perlu bertempur dengan musuh-musuh yang mempunyai kekuatan yang luar biasa, secara manusiawinya, kita akan terfikir akan kekalahan dan kemusnahan. Tetapi, apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah, para Nabi terdahulu dan para Sahabat, adalah sebaliknya. Ketika mereka berdepan dengan masalah ini, maka kekuatan mereka adalah lebih kuat dan bertambah optimis dengan kejayaan. Itu sebabnya, di dalam Al-Quran, misi-misi mustahil sebegini diakhiri dengan kemenangan oleh pihak yang benar.

Justeru itu, ketika Malaysia memasuki musim PRU-13 pada waktu ini, saya amat tertarik dengan misi-misi parti politik dan juga calon dalam mencapai kemenangan. 





Saya bukanlah ahli PAS, apatah lagi bukanlah penyokong fanatik PAS. Tapi, saya amat mengagumi YB Salahuddin Ayub dan YB Datuk Paduka Husam Musa. Kesediaan mereka untuk meninggalkan kawasan selamat untuk berdepan lawan yang cukup-cukup hebat, berdepan dengan jentera lawan yang cukup-cukup kuat, berdepan penyokong lawan yang sangat-sangat ramai, dengan hanya berbekalkan kekuatan yang kerdil, menjadikan mereka begitu berani untuk menggalas Misi Mustahil ini. 

Bagi seorang dai'e atau pejuang Islam, kita perlu bersedia menggalas Misi Mustahil ini dalam apa jua keadaan pun. Bukan kemahsyuran dan kemenangan di dunia yang kita cari, tapi redha Allah yang kita dambakan. 

Firman Allah: "....'Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki.....'" (Ali-Imran, 3: 26)

Jika kita yakin, akan janji kemenangan dari Allah, maka, apa yang harus kita takutkan dalam menggalas Misi Mustahil ini? Dan semestinya, dakwah ini pasti dipenuhi dengan Misi Mustahil.......

Tuesday, May 1, 2012

BERSIH 3.0: Benar atau Salah?


Terasa teringin pula nak bagi komentar tentang isu BERSIH 3.0 yang masih hangat diperkatakan. Dalam laman sosial, banyak sungguh komentar yang diberikan oleh rakan-rakan. Ada yang menyokong dan ada juga yang menentang. Ada juga yang ekstrem mengeluarkan pendapat sama ada menyokong atau menentang, dan ada juga yang bersifat berkecuali. Terpulanglah pendapat masing-masing. Cuma, cadangan saya, bukankah lebih baik kita meneliti elemen khabar (sama ada individu atau media massa) yang kita terima sebelum kita memberi komentar? 

Janganlah disebabkan elemen khabar itu bertepatan dengan kehendak kita, lantas kita menyokong 100% dan terus menyebarkan khabar tersebut. Dan, janganlah pula, disebabkan elemen khabar itu tidak menepati citarasa kita, lantas ditolak mentah-mentah tanpa memeriksa. Janganlah sewenang-wenangnya mengambil sesuatu berita tanpa periksa, sedangkan insiden tersebut kita sendiri tidak melihatnya secara 'live'.

Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya seseorang fasiq datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan sesuatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu." (Al-Hujurat: 6) 


Memetik Puisi "Itulah Politik Namanya" (karya Dr. MAZA):

Jika kamu kesukaanku, semuanya baik belaka,
Jika kamu kebencianku, semuanya dinilai celaka,
Jika kamu pilihanku, semuanya akan setuju,
Jika kamu seteruku, semua tindakanmu aku palu.

Musuhku, semuanya haram,
Pilihanku, semuanya harum.

Ajaran Tuhan:
Jangan hukum ikut perasaan dan sangkaan,
Jangan hukum ikut kumpulan dan pasukan,
Hukumlah ikut firman dan alasan.

Ajaran Syaitan:
Hukumlah ikut perasaan dan kebencian,
Lihat dulu kawan atau lawan,
Bukan kata Tuhan atau sabda junjungan. 

Sunday, August 7, 2011

Demokrasi: Siri 3

Sesetengah golongan mengatakan bahawa sistem demokrasi merupakan sistem kuffar dan tidak boleh digunakan oleh golongan Muslim. Tetapi yang hairannya, mereka mengambil elemen-elemen demokrasi seperti berhimpun, menyuarakan pendapat dan mengedarkan risalah dalam menyampaikan pendirian mereka.

Sebahagian golongan yang lain pula, mengatakan bahawa mereka lah juara demokrasi tetapi melaksanakan sikap yang bertentangan dengan demokrasi. Mereka mencantas golongan yang berhimpun secara aman dan mencantas golongan yang mengkritik untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Apakah salahnya berhimpun secara aman? Lebih kurang 10 tahun lepas, ketika Palestin teruk diserang oleh golongan Yahudi laknatullah, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir bersama-sama dengan Ketua Pembangkang, Dato' Hj Fadzil Noor mengadakan pidato umum menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Palestin. Ketika itu, saya melihat kedua-dua pemimpin menolak kepentingan dan perseteruan politik demi memperjuangkan kesengsaraan rakyat Palestin. Mereka menggunakan saluran demokrasi iaitu mengadakan pidato umum, dihimpunkan rakyat jelata sama ada dalam dewan ataupun menonton melalui kaca televisyen untuk meluahkan apa yang terpendam dalam hati nurani mereka dan mengajak rakyat bersama-sama dengan mereka.

Pada tahun lepas, isu Palestin juga menyebabkan masyarakat serata dunia turun ke jalanan membantah serangan dan pencerobohan Israel ke atas Palestin. Rakyat di Malaysia juga tidak ketinggalan untuk berdemonstrasi. Meskipun demonstrasi tersebut tidak mendapat premit atau diistilahkan sebagai perhimpunan haram, masih lagi rakyat yang sayangkan perjuangan Palestin turun dan yang paling uniknya, perhimpunan tersebut tidak diganggu malah dikawal oleh pihak berkuasa sebaik-baiknya.

Berlainan pula dengan isu Perhimpunan Bersih 2.0 bulan lepas. Setelah penganjur mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong untuk berhimpun di stadium, namun, rupa-rupanya ada golongan yang lebih berkuasa dari YDP Agong yang tidak membenarkan perhimpunan tersebut. Siapa yang derhaka sebenarnya ni? Maka, berlangsunglah perhimpunan tersebut dan sedia maklum bahawa elemen-elemen demokrasi telah punah dan kotor akibat kuasa-kuasa yang rakus. Berhimpun dan berarak secara aman namun dibalas dengan semburan pemedih mata dan sepak terajang sehingga ada yang cedera dan mati. Astaghfirullah hal azim...

Salahkah rakyat menuntut Pilihan Raya yang Adil dan Telus?
Salahkah rakyat membuat tuntutan dalam menghidupkan sistem demokrasi?
Bukankah itu satu tuntutan normal dalam sesebuah negara demokrasi?

Saya berbicara sebagai seorang rakyat yang cinta kepada kedamaian dan keharmonian seperti yang dianjurkan oleh Islam. Dalam post saya yang terdahulu iaitu Demokrasi: Siri 2, http://imam-abuhanifah.blogspot.com/2011/07/demokrasi-siri-2.html yang memaparkan kisah-kisah di zaman para Sahabat Nabi apabila berhadapan dengan protes dari rakyat ketika pemerintahan mereka. Mereka tidak menggunakan kekerasan untuk menyuraikan suara rakyat tetapi dengan meneliti permintaan mereka dan bertindak dengan penuh hikmah. Adakah tindakan pihak berkuasa dengan memukul, menyepak dan menerajang orang yang berhimpun merupakan tindakan yang penuh berhikmah? Ataupun mahu menjadi pengikut Abdullah bin Saba' (pengasas Syiah yang sesat lagi menyesatkan) dengan melakukan provokasi agar demonstrasi aman menjadi kacau bilau.


Hidup kita di dunia ini tidak kekal abadi. Semua bernyawa pasti akan mati mahupun yang berkuasa ataupun yang dikuasai. Hidup ini pun ibarat roda. Kadang-kadang kita berada di atas dan kadang-kadang kita berada di bawah. Jika kerja kita hari ini adalah sebagai seorang Pemimpin, laksanakanlah pimpinan itu sebaik-baiknya. Tunaikanlah amanah dan tanggungjawab itu seadil-adilnya agar kita tidak didakwa oleh rakyat di akhirat kelak. Jika kerja kita hari ini adalah sebagai Pihak Berkuasa, laksanakanlah kerja kita dalam mengawal keselamatan rakyat dan negara dengan adil tanpa mengira batasan agama, bangsa dan ideologi politik.

Jika hari ini kita tidak adil kepada orang yang kita kuasai, akan datang, pasti akan ada orang yang tidak berlaku adil dengan kita. Jika hari ini, kita tersenyum lebar menindas, memfitnah, memukul, menyepak dan menerajang orang lain tanpa belas kasihan seolah-olah kita akan berkuasa selama-lamanya, maka tidak mustahil, kita ataupun keluarga kita yang akan diperlakukan sedemikian.



Firman Allah: "Dan mereka membuat tipu daya, maka Allah pun membalas tipu daya. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya." (Ali-Imran, 3: 54) 

Buka kembali lembaran sejarah. Mengapa orang dari dulu hingga sekarang tidak kira orang Islam atau bukan Islam amat menyanjungi pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz? Ini disebabkan keadilan dalam pemerintahannya. Mengapa rakyat amat membenci sehingga menggulingkan pemerintahan Suharto di Indonesia, Hosni Mubarak di Mesir dan Ben Ali di Tunisia? Tidak lain dan tidak bukan, ini disebabkan kezaliman dan penindasan dalam pemerintahannya.

Wallahua'lam.

Sunday, July 17, 2011

Demokrasi: Siri 2

Dalam salah satu elemen dalam demokrasi, tercatat "Kebebasan Bersuara." Sebenarnya, itu bukan hanya diamalkan dalam demokrasi sahaja tetapi turut diamalkan oleh pemerintahan Khalifah Islam yang terdahulu. Berikut adalah contoh "Kebebasan Bersuara" yang diamalkan:

1) Perlantikan Saidina Abu Bakar menjadi Khalifah
Apabila Abu Bakar As-Siddiq diangkat menjadi Khalifah setelah wafatnya Rasulullah, dalam pidato pertamanya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik di kalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan maka bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang yang kuat di sisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah di sisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan rasulNya dan jika aku mengengkari Allah dan rasulNya maka janganlah kamu mentaatiku."

Ucapan ini menyatakan kepada kita bagaimana pimpinan mestilah telus dan terikat dengan perundangan sebagaimana yang dikenakan terhadap rakyat jelata bukannya pemimpin kebal daripada sebarang perundangan yang menyebabkan kezaliman berleluasa. Ini juga menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakar As-Siddiq sedia ditegur oleh rakyat jelata meskipun beliau berada di jawatan tertinggi.

2) Isu Mas Kahwin
Apabila Saidina Umar mahu menggunakan kuasa untuk mengehadkan mas kahwin bagi memudahkan urusan perkahwinan, beliau ditegur oleh seorang perempuan rakyat jelata yang mengatakan: "Mas kahwin itu hak perempuan." Beliau terima dan akur dengan teguran tersebut. Bagaikan tidak percaya mendengar kisah ini kerana bagi saya seperti tiada lagi pemimpin seperti ini pada zaman sekarang.

3) Pemberontakan Zaman Saidina Ali bin Abi Talib
Ketika zaman Saidina Ali menjadi Khalifah, kondisi umat dan sosio-politik masyarakat tidak begitu stabil. Pemberontakan bermula apabila fitnah melanda pemerintahan Saidina Uthman bin Affan hingga mengakibatkan pembunuhan beliau. Fitnah ini dirancang oleh pengasas Syiah iaitu Abdullah bin Saba'. Setelah kewafatan Saidina Uthman, masyarakat Islam terbahagi kepada dua iaitu kumpulan Saidina Ali (Khalifah) dan kumpulan Muawiyah bin Abi Sufian yang turut disokong oleh Saidatina A'isyah, Talhah bun Ubaidillah dan Zubair bin Awwam. Muawiyah mendesak agar pembunuh Uthman diburu dan dihukum dengan segera manakala Saidina Ali berpendapat perkara itu tidak dapat dilakukan dengan segera disebabkan kekacauan dalam masyarakat. Saidina Ali lebih fokus kepada meredakan pemberontakan dan kekacauan tersebut. Hukuman akan dilaksanakan ketika kondisi masyarakat kembali aman. Dalam menangani pemberontakan ini, para sahabat juga berselisih pendapat dalam menjatuhkan hukuman kepada pembunuh Saidina Uthman. Saidina Ali juga tidak terus menghukum para sahabat yang berselisih pendapat dan mendesak beliau yang sekaligus menunjukkan sifat keterbukaan beliau.

4) Perang Jamal
Perang ini berlaku lanjutan kisah pemberontakan pada zaman Saidina Ali. Sebenarnya, perang ini berlaku akibat provokasi pihak ketiga iaitu oleh pengasas Syiah iaitu Abdullah bin Saba'. Sebenarnya, dua kumpulan tersebut iaitu Kumpulan Saidina Ali dan Kumpulan Ummul Mukminin Saidatina A'isyah berhimpun bukanlah untuk berperang tetapi berdamai. Namun, golongan yang dikepalai Abdullah bin Saba' telah melancarkan serangan terhadap tentera A'isyah dan Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka pihak yang satu lagi telah mungkir janji dan mengkhianati mereka. Tentera A'isyah mengatakan: "Tentera Ali telah menyerang kita." Sementara tentera Ali mengatakan: "Tentera A'isyah telah menyerang kita." Maka tercetuslah Perang Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak (termasuklah kematian Zubair dan Talhah) dan berakhir dengan kemenangan di pihak Ali. Jelaslah bahawa peperangan ini berlaku di laur kehendak dan perancangan para sahabat. Pencetusnya yang sebenar ialah para pemberontak yang dikepalai oleh Abdullah bin Saba', pengasas ajaran Syiah. Namun hingga hari ini, Syiah yang ingin menutupi jenayah pengasas mereka telah menuduh A'isyah yang memulakan peperangan ini. Sebenarnya, golongan sahabat berhimpun atau berdemonstrasi dengan cara yang baik dan ingin berdamai tetapi provokasi yang menyebabkan terjadinya perang. Provokasi dalam peristiwa ini masih lagi tidak diketahui orang dan akibatnya para sahabat difitnah atau disalah anggap dengan perbuatan yang keji seolah-olah terdapat para sahabat yang melakukan kekerasan hingga berlakunya perang.

Saya mengambil contoh kisah-kisah para sahabat kerana bagi saya, inilah golongan yang terbaik untuk dijadikan teladan. Para sahabat Nabi sendiri, apabila diangkat menjadi Khalifah, masih tawadhuk dalam mendengar rintihan rakyat, teguran rakyat dan demonstrasi akibat ketidakpuasan hati. Bahkan ini tidak langsung menjatuhkan thiqah beliau di mata kita tetapi sikap ketawadhukan yang tinggi dan berhati terbuka menjadi mereka contoh-contoh pemimpin berjiwa rakyat. 

Sunday, July 10, 2011

Demokrasi: Siri 1

PENGERTIAN DEMOKRASI


Demokrasi adalah pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat. Begitulah pemahaman yang paling sederhana tentang demokrasi, yang diketahui oleh hampir semua orang. Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan di mana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal sama ada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi adalah dipanggil negara atau kerajaaan yang demokratik.

Demokrasi merupakan bentuk pemerintahan politik yang kekuasaan pemerintahannya berasal dari rakyat, baik secara langsung (demokrasi langsung) atau melalui perwakilan (demokrasi perwakilan). Istilah ini berasal dari bahasa Yunani δημοκρατία – (dēmokratía) "kekuasaan rakyat", yang dibentuk dari kata δῆμος (dêmos) "rakyat" dan κράτος (Kratos) "kekuasaan", merujuk pada sistem politik yang muncul pada pertengahan abad ke-5 dan ke-4 SM di negara kota Yunani Kuno, khususnya Athena, menyusul revolusi rakyat pada tahun 508 SM. Demokrasi secara ekstrem boleh dilihat dalam sistem kerajaan seperti anarkisme dan komunisme (menurut teori Karl Marx ia merupakan peringkat terakhir pembangunan sosial dimana demokrasi adalah diamalkan secara langsung, dan tiada kerajaan yang bebas dari kehendak rakyat).

SEJARAH (ZAMAN KUNO)
The term democracy is first appeared in ancient Greek political and philosophical thought. The philosopher Plato contrasted democracy, the system of "rule by the governed", with the alternative systems of monarchy (rule by one individual), oligarchy (rule by a small élite class) and timocracy (ruling class of property owners). Although Athenian democracy is today considered by many to have been a form of direct democracy, originally it had two distinguishing features: Firstly the allotment (selection by lot) of ordinary citizens to government offices and courts, and secondarily the assembly of all the citizens.

All citizens were eligible to speak and vote in the Assembly, which set the laws of the city-state. However, the Athenian citizenship was only for males born from a father who was citizen and who had been doing their "military service" between 18 and 20 years old; this excluded women, slaves, foreigners (μέτοικοι / metoikoi) and males under 20 years old. Of the 250,000 inhabitants only some 30,000 on average were citizens. Of those 30,000 perhaps 5,000 might regularly attend any one or more meetings of the popular Assembly. Most of the officers and magistrates of Athenian government were allotted; only the generals (strategoi) and a few other officers were elected.

A possible example of primitive democracy may have been the early Sumerian city-states. A similar proto-democracy or oligarchy existed temporarily among the Medes (ancient Iranian people) in the 6th century BC, but which came to an end after the Achaemenid (Persian) Emperor Darius the Great declared that the best monarchy was better than the best oligarchy or best democracy.

A serious claim for early democratic institutions comes from the independent "republics" of India, sanghas and ganas, which existed as early as the sixth century BC and persisted in some areas until the fourth century AD. The evidence is scattered and no pure historical source exists for that period. In addition, Diodorus (a Greek historian at the time of Alexander the Great's excursion of India), without offering any detail, mentions that independent and democratic states existed in India. However, modern scholars note that the word democracy at the third century BC and later had been degraded and could mean any autonomous state no matter how oligarchic it was. The lack of the concept of citizen equality across caste system boundaries lead many scholars to believe that the true nature of ganas and sanghas would not be comparable to that of truly democratic institutions.

Even though the Roman Republic contributed significantly into certain aspects of democracy, only a minority of Romans were citizens. As such, having votes in elections for choosing representatives and then the votes of the powerful were given more weight through a system of Gerrymandering. For that reason, almost all high officials, including members of the Senate, came from a few wealthy and noble families. However, many notable exceptions did occur.

ELEMEN DALAM DEMOKRASI
Demokrasi moden mempunyai sifat-sifat dengan institusi-institusi berikut:


1) Perlembagaan yang menghadkan kuasa dan kawalan operasi formal kerajaan, sama ada secara tulisan, secara norma atau gabungan kedua-duanya. Lazimnya Perlembagaan akan memasuki doktrin pembahagian kuasa untuk memastikan seseorang itu tidak diberi lebih dari satu kuasa.

2) Pilihan raya untuk memilih pegawai-pegawai awam, yang dikelolakan secara bebas dan adil

3) Rakyat diberi hak mengundi

4) Kebebasan bersuara (berceramah, berhimpun dan sebagainya)

5) Kebebasan akhbar dan akses kepada media lain

6) Kebebasan persatuan

7) Semua orang dalam masyarakat menikmati hak yang sama dari segi undang-undang. Salah satu pra-syarat demokrasi ialah wujudnya Aturan Undang-Undang Rule of Law

8) Rakyat yang berpendidikan dan berpengetahuan tentang hak asasi manusia dan tanggungjawab sivik.


Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Demokrasi dan http://id.wikipedia.org/wiki/Demokrasi

Wednesday, May 4, 2011

Kematian Osama bin Laden

Hari Isnin lepas, seluruh mendapat berita kematian Osama bin Laden dan tentera US mendakwa berjaya membunuhnya. Mendengar berita tersebut, macam-macam reaksi ditampilkan. Ada yang bersorak gembira kerana menganggap keganasan telah hilang dan keamanan kembali. Ini kerana, Osama ditampilkan oleh US sebagai pengganas No. 1 yang dikehendaki dunia. Ada yang bersedih kerana menganggap perjuangan menentang kuasa Amerika dan paksi kejahatan akan terbantut. Bahkan, ada juga yang tidak percaya akan berita ini, seolah-olah direka-reka.

Bagi saya, saya masih keliru dan tertanya-tanya tentang watak Osama itu sendiri. Adakah watak Osama itu benar-benar wujud? Benarkah Osama seperti yang digambarkan oleh Amerika sebagai pengganas dan yang terlibat dalam serangan WTC pada 11 September iaitu hampir sedekad yang lalu? Sedangkan dalam kenyataan video Osama, beliau sendiri tidak pernah mengaku terlibat dengan serangan tersebut. Ketika serangan WTC, tiba-tiba Presiden US dahulu, George Bush mengeluarkan watak Osama yang dilabel sebagai perancang serangan tersebut. Lantas, diserangnya seluruh Afghanistan dengan alasan negara tersebut menyembunyikan Osama. Osama dijadikan alasan untuk US bertapak di Afghanistan. Bijak sungguh si koboi US, serangan WTC seolah-olah rahmat dan peluang kepadanya untuk menawan Afghanistan, Iraq dan menghancurkan Saddam Hussein. Setelah sedekad memburu Osama, akhirnya US mendakwa berjaya membunuh Osama. Banyak keraguan dari segi gambar, lokasi dan cara beliau dibunuh. Mungkin ini cara terbaik yang boleh dilakukan oleh Presiden US, Barrack Obama melunaskan janji-janjinya untuk mengundurkan tentera dari Afghanistan. Jika Osama mati, Obama boleh mengisytiharkan misi di Afghanistan berjaya dan US boleh mengundurkan tenteranya. Lagipun, watak Osama masih boleh diragui. Wataknya diwujudkan oleh US dan boleh dimatikan oleh US sendiri.

Inilah Perang Saraf yang dilakukan oleh musuh Islam hingga menyebarkan fitnah ke atas seluruh umat Islam di dunia ini.

Tuesday, May 3, 2011

Iraq dan Libya

Konflik di Libya semakin parah. Pada mulanya, pemberontakan rakyat terhadap pemimpin utama Libya iaitu Muammar Gaddafi. Kini, sudah melibatkan kuasa luar yang pasti mempunyai agenda tertentu untuk campur tangan. Berita terbaru, hasil serangan NATO mengakibatkan kematian anak bongsu dan cucu Muammar Gaddafi. Lantas berita ini, menggembirakan sesetengah rakyat yang menentang pimpinan Muammar Gaddafi. Seolah-olah kehadiran NATO dan kuasa luar memberikan rahmat kepada penentang Muammar Gaddafi dan kejayaan NATO adalah kejayaan mereka. Apa akan jadi jika NATO berjaya menghancurkan kekuasaan Muammar? Adakah rakyat bersorak gembira atau sebaliknya?

Teringat ketika era kejatuhan Saddam Hussein di tangan US. Dia, anak-anaknya, orang kanannya dan segala kekuasaanya mati dan hancur musnah angkara US. Ketika kejatuhannya, begitu ramai rakyat Iraq yang bersorak gembira khususnya mereka yang berdendam dengan pimpinan diktator itu. Bagi mereka, kematian Saddam merupakan satu rahmat dan Iraq akan kembali aman. Benarkah? Bagaimana keadaan Iraq sekarang? Sebenarnya yang betul-betul gembira dan berjaya adalah US bukan rakyat Iraq. Hingga sekarang, Iraq masih huru-hara bahkan keadaannya lebih teruk berbanding ketika pemerintahan Saddam Hussein. Mungkin dahulu, kebencian sebahagian rakyat Iraq menyebabkan mereka tidak berfikir panjang hingga rela kuasa luar buat kacau di negara mereka sendiri asalkan Saddam hancur. Kini, majoriti mereka menyesal atas tindakan mereka.

Bagi saya, konflik di Iraq tiada bezanya dengan Libya. Sepatutnya, bila melihat hasil di Iraq, patutnya orang Islam lebih cerdik dan mengambil pengajaran supaya tidak berulang di Libya dan di negara lain. Kita harus tahu, siapa sebenar musuh kita sama ada orang Islam sendiri ataupun Taghut di luar sana. Wallahua'lam.