Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

Wednesday, September 23, 2015

Pembangunan Akar Umbi



Tidak dinafikan bahawa sukan Bola Sepak adalah antara sukan utama yang diminati di Malaysia. Tetapi, sayangnya, minat saja tidak mencukupi untuk diterjemahkan dengan kejayaan di peringkat antarabangsa. Liga yang berprestij tinggi dan status pasukan dan kelab professional tidak menjamin kualiti dan kejayaan di peringkat antarabangsa. Sehingga kini, ranking dan kedudukan terkini pasukan bola sepak Malaysia jatuh kepada tangga ke-169. 
 
Di mana silapnya?

Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) ataupun NFPD yang dirangka untuk pembangunan akar umbi bola sepak, dilihat sebagai perancangan terbaik bagi jangka masa panjang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara. Ianya merupakan pembangunan akar umbi dalam arena bola sepak yang bermula seawal umur 7 tahun. Bahkan, pada tahun 2015, sedikit sebanyak kita dapat melihat prestasi semasa Pasukan NFPD Malaysia (Bawah 13 Tahun) yang menonjol dan bersaing dengan akademi kelab luar negara di pentas antarabangsa.

Pembangunan akar umbi bagi sesuatu elemen sangat penting bagi menjamin keberlangsungan untuk jangka masa panjang. Mungkin, buat masa sekarang, kita boleh lupakan seketika atau mengharapkan kejayaan bola sepak negara buat masa ini. Ini kerana, kita perlu merancang pembangunan jangka masa panjang dan berterusan. Kita tidak akan nampak hasilnya pada waktu sekarang, tetapi hasilnya sedikit demi sedikit akan terserlah dalam 10 - 20 tahun akan datang. Bakat dan potensinya dibentuk sejak usia remaja dan kanak-kanak, di mana usia yang lebih mudah untuk dilentur. Lihat saja akademi kelab luar negara yang disertai oleh kanak-kanak seawal usia 7 tahun! Bahkan, pembangunan akar umbi ini bukan saja dibangunkan di peringkat kebangsaan, bahkan patut diwujudkan di dalam akademi bola sepak di peringkat kelab dan negeri. Jika ini berhasil, sukan bola sepak pastinya menjadi kerjaya professional yang menjadi rebutan di Malaysia. 

Memang benar peribahasa - "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya." Maka, begitu juga halnya dengan dakwah dan tarbiyah. Organisasi dakwah tidak patut hanya merangka pelan pembangunan pada waktu sekarang sahaja. Ianya perlu dimasukkan juga pelan pembangunan untuk jangka masa panjang. Ini penting supaya tiada ketandusan dalam pelapis dakwah pada masa akan datang.

Sejak zaman dahulu lagi, bahkan jauh sebelum Islam muncul di muka bumi, para Nabi dan Rasul yang diutus untuk menyampaikan wahyu Allah s.w.t dan syariat-Nya kepada umat manusia, semuanya adalah orang-orang yang terpilih dari kalangan pemuda yang berusia sekitar empat puluhan. Bahkan, ada di antaranya yang diberi kemampuan untuk berdebat dan berdialog sebelum umurnya genap 18 tahun. Berkata Ibnu Abbas r.a., "Tidak ada seorang Nabi pun yang diutus oleh Allah, melainkan ia (dipilih) dari kalangan pemuda sahaja (iaitu antara 30 - 40 tahun). Begitu pula tidak seorang 'Alim pun yang diberi ilmu melainkan ia (hanya) dari kalangan pemuda sahaja." 

Justeru itu, dakwah juga perlu melihat pembangunan pada kanak-kanak, remaja dan belia. Ianya bukanlah sesuatu yang baru, kerana ketika awal dakwah Rasulullah, kebanyakan yang mendokong dakwah Rasulullah ialah anak-anak muda dan remaja! Tahap pengkaderan pada tarbiyah pertama di Darul Arqam merangkumi Ali bin Abu Talib (8 tahun), Zubair bin Awwam (8 tahun), Talhah bin Ubaidillah (11 tahun), Saad bin Abi Waqas (17 tahun) dan Mushab bin Umair (24 tahun).

Maka, demi keberlangsungan dakwah di arus perdana, perancangan dakwah tidak harus ketinggalan dengan perancangan pembangunan akar umbi bola sepak. Dakwah juga harus dibangunkan pembangunan akar umbi sama ada kanak-kanak, remaja dan belia supaya akan lahir generasi muda yang akan menjadi generasi utama dan generasi pengganti pimpinan pada masa akan datang.
 
Wallahua'lam...

Sunday, October 6, 2013

Buangkanlah Keegoan Demi Sebuah Kejayaan


Ozil tenang bersama Arsenal


LONDON - Perancang kreatif Jerman, Mesut Ozil mengakui berasa lebih tenang berada dalam bilik persalinan Arsenal berbanding di Real Madrid.

Ozil mendedahkan bahawa barisan pemain Arsenal memiliki hubungan rapat antara satu sama lain dan tidak seperti bintang Real yang penuh dengan keegoan.

Kehadiran bekas bintang Real itu berjaya membantu Arsenal mengharungi pencapaian cemerlang pada awal saingan kempen Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara musim.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1005&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz2gw0VHZ1d 

********************************************************************

Dikelilingi pemain-pemain bintang, bukanlah suatu jaminan seseorang pemain itu seronok berada dalam sebuah pasukan. Apatah lagi, jika keegoan itu menjadikan pasukan itu rapuh dalamannya yang akhirnya gah hanya pada nama tapi matlamatnya tersasar jauh. Itulah yang dirasai oleh Mesut Ozil, bintang Arsenal. Sebenarnya, apa jua kerjaya kita termasuklah atlet sukan sekalipun, keseronokan dan kepuasan itulah yang paling dicari.

Begitu juga dengan dakwah. Andainya sesebuah jemaah itu dipenuhi oleh orang-orang yang tinggi egonya, hanya menganggap dirinya saja betul dan sering mencari kesalahan orang lain, apa lagi yang diharapkan dengan terbelanya dakwah di tangan orang sebegini? Maka, dakwah itu akan hilang rasa keseronokan. Tiada lagi nilai ukhwah dan kasih sayang dan berdakwah itu seolah-olah dilakukan secara terpaksa.

Jika seorang bintang iaitu si Ozil ingin mencari ketenangan dalam memburu kegemilangan, mengapa tidak kita wahai para dai'e? Justeru itu, buangkanlah keegoan dalam diri ini demi sebuah kegemilangan dan kejayaan abadi.

Thursday, January 24, 2013

Rakit Survival


Rakit Survival - Sesuai dengan nama aktivitinya, bagaimana kita survive untuk membina rakit dan memanfaatkannya. Semestinya aktiviti rakit sangat-sangat berbeza dengan kayak. Aktiviti berkayak mungkin dilihat kemampuan mengendalikannya dan keadaan air manakala bagi aktiviti rakit, perlu dilihat juga dari segi pembinaannya. Mungkin sebab itu dinamakan survival dengan melihat kepada keupayaan manusia menghasilkan rakit yang terbaik dan selamat untuk digunakan.

Dari segi teori, pembinaan sebuah rakit sangatlah mudah, tapi, dalam melaksanakannya, barulah tahu, pembinaan apa jua pun perlulah ketelitian yang sangat-sangat persis. Barulah tahu, ciri-ciri penting seperti bagaimana pengapungan rakit itu, rekabentuk yang sepatutnya, cara ikatan yang terbaik, bebanan yang mampu dipikul, kebolehupayaan rakit tersebut dan lain-lain lagi. Maka, tidak boleh sama sekali kita mengambil mudah soal tersebut kerana jika salah caranya, pasti akan tenggelam rakit itu bersama-sama pemain-pemainnya. Sepatutnya, bukan soal cepat atau lambat pembinaan rakit itu, tapi bagaimana kita nak menghasilkan produk yang terbaik.



Begitu juga dengan dakwah, kita tidak harus terburu-buru untuk melihat hasil dakwah kita. Kita harus bersabar dalam membina binaan dakwah dan mempersediakan dakwah kita untuk medan yang lebih besar. Dakwah itu secara normalnya bersifat sangat lama dan sangat panjang, maka seharusnya para dai'e memahami konsep itu. Maka, secara bertahap, perlu berhadapan segala ancaman dan tribulasi sepanjang dakwah itu. Bukanlah hasil, keutamaan yang diinginkan tapi pengisian sepanjang pembinaan dakwah itu demi mencapai matlamat. Hasil atau output yang terbaik adalah lanjutan daripada input yang terbaik dan masa yang tepat. Jika kita tergesa-gesa untuk melihat hasil dari waktu yang sepatutnya, maka pembinaan yang kita bina pasti akan musnah.

Kemusnahan rakit akibat kesilapan kita tidak seharusnya menggusarkan tetapi yang sangat menggusarkan adalah kemusnahan dakwah akibat tangan-tangan dai'e itu sendiri. Moga-moga Allah mengampunkan saya bersama ikhwah/akhwat seperjuangan.


p/s - Pengalaman bersama-sama ikhwah dalam menghasilkan rakit dalam Program Perkhemahan Remaja di D'Kok Eco Camp mencetuskan idea untuk artikel ini.

Sunday, December 16, 2012

Muslim Soccer


Sebuah filem berunsur komedi bertajuk “Shaolin Soccer” yang ditayangkan pada tahun 2001 tiba-tiba menggamit ingatan saya. Filem yang mengisahkan bagaimana usaha watak utama lakonan Stephen Chow ini hendak menyebarkan fikrah kungfu shaolin ini kepada masyarakat, maka diusahakanlah pelbagai cara seperti membuat persembahan nyanyian dan sebagainya. Tidak berjaya lagi, maka diteruskan usaha sehinggalah ketemu idea untuk membentuk satu pasukan bola sepak untuk menyebarkan fikrah kungfu shaolin itu. Untuk merealisasikan usaha itu, maka dikumpulkan rakan-rakannya yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam kungfu seperti tangan besi, kepala besi dan sebagainya.




Meskipun tanpa pemain berstatus bintang yang ramai (seperti Barcelona), tidak mempunyai dana yang besar (seperti Manchester City dan Real Madrid) dan tidak mempunyai pengurus dan jurulatih yang hebat (seperti Manchester United), tetap saja mereka mampu membentuk satu pasukan mantap yang dikenali sebagai Shaolin Soccer. Dengan serba kekurangan pemain dan kelengkapan, pasukan ini mampu saja terus berusaha untuk membentuk sebuah pasukan yang baik dan disegani hingga bukan sahaja dapat menyebarkan fikrah kungfu shaolin, bahkan menjadi juara mengenepikan pasukan-pasukan yang lebih hebat. Apakah resepi mereka? Mereka istiqamah, kreatif dan berjuang habis-habisan untuk mencapai kejayaan itu.

Ikhwah & Akhwat sekalian,
Seorang Shaolin, boleh saja istiqamah, kreatif dan berjuang habis-habisan untuk menyebarkan fikrah kungfu shaolin itu. Mengapa tidak kita sebagai seorang Muslim? Bukanlah yang dikehendaki dalam dakwah ini, orang-orang yang hebat, dana yang banyak dan orang yang mempunyai pengaruh yang kuat, tapi cukup sekadar dai’e-dai’e yang ikhlas berjuang di jalan-Nya. Mudah sekali kita berasa down ketika tidak ramai yang bersama kita. Mudah sekali kita berasa down ketika ramai yang meninggalkan kita. Mudah juga kita berasa down ketika usaha-usaha kita dicantas dan tidak membuahkan hasil. Sentiasalah kita berdoa agar kita menjadi dai’e yang sentiasa istiqamah di jalan-Nya, kreatif untuk menyebarkan dakwah dan berjuang habis-habisan untuk mencapai matlamat kita.

Firman Allah: “Dan katakanlah, ‘Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.’” (At-Taubah, 9: 105)

Barangkali, kita perlu mewujudkan Muslim Soccer sebagai sarana untuk menyebarkan nilai-nilai Islam kepada masyarakat dan mengajak masyarakat ke arah kebaikan seperti apa yang dibuktikan oleh Stephen Chow dan rakan-rakan.


p/s – Teringat akan ibrah filem Shaolin Soccer setelah mendengar cadangan seorang ikhwah untuk mewujudkan Team Futsal Remaja. Moga menjadi kenyataan, Amiin..

Monday, October 31, 2011

Hai-O: Fenomena Berjiwa Pemuda



“Makin tua kelapa, makin banyak santannya. Hairuddin masih antara penyerang terbaik. Kami sudah kemuka tawaran, terpulang kepadanya. Kami profesional, tapi harap dia akan kekal.” itulah ulasan Azraai Khor Abdullah, jurulatih pasukan Negeri Sembilan mengenai masa depan ayam tambatan pasukan Negeri Sembilan iaitu Hairuddin Omar atau lebih dikenali dengan gelaran Hai-O. Hai-O merupakan tonggak yang mencorakkan kejayaan Negeri Sembilan menundukkan Terengganu 2-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia dan sekaligus dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Berusia 32 tahun dan boleh dianggap sebagai veteran dalam dunia bola sepak, namun ketangkasannya sebagai pemain di posisi penyerang mengatasi pemain-pemain yang jauh lebih muda darinya. Tua dari segi umur tidaklah menyebabkan permainan dan ketangkasannya menjadi tua, sebaliknya beliau menjadi lebih hebat dan sekaligus memberi cabaran kepada pemain-pemain muda untuk mengatasinya. Bukan saja kaya dengan pengalaman namun turut kaya dengan semangat.

Begitu jualah dalam dakwah. Semakin meningkat usia tidaklah bererti para dai'e mengendurkan usaha dakwah dan tarbiyah, bahkan sepatutnya dilaksanakan dengan lebih giat lagi. Jika sewaktu muda, halaqah yang diuruskannya mencapai 4-5 buah halaqah seminggu, sibuk mentajmi' mad'u-mad'u baru dan sibuk merancang untuk program tarbiyah di medan baru. Namun ketika semakin berusia, hanya mampu menguruskan 1 halaqah seminggu dan hanya sibuk merancang program-program umum. Yang paling ditakuti sekiranya sang syabab (pemuda) dituakan terlalu awal akibat mengambil contoh usaha-usaha dakwah yang telah kendur tersebut yang mengakibatkan prestasi dakwah terus menjunam.

Justeru itu, berikutan fenomena Hai-O pada ketika ini, marilah kita sama-sama berusaha untuk memudakan para dai'e tidak kira latar belakang usia kerana itulah rahsia kekuatan dakwah kembali rancak di tanah air kita. Iktibar dari kisah sahabat bernama Abu Ayub Al-Ansar yang terus berjihad di jalan Allah meskipun usia telah lanjut, sepatutnya memalukan diri kita di atas usaha yang tidak seberapa yang telah kita lakukan untuk dakwah ini.


* Penulis: Optimis bahawa kesungguhan dan kecekalan sang syabab dan sang syuyukh yang berjiwa pemuda akan merancakkan dakwah di seluruh dunia dan mencetuskan fenomena yang akan mengubah ummat secara total!

Wednesday, June 1, 2011

No Way I'm Leaving


"No way I'm leaving!" Itulah kata-kata bintang bola sepak Barcelona kelahiran Argentina, Lionel Messi selepas membantu kelabnya meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah dengan menumpaskan Manchester United 3-1. Kata-kata itu memberi gambaran bahawa dia akan setia bersama Barcelona dan tidak akan berhijrah ke mana-mana. Mungkin masih belum puas dengan kejayaan yang dicapai atau berada di kelab Barcelona adalah jaminan bahawa dia akan terus meraih kejayaan yang berterusan. Segala-galanya telah dikecapi dengan Barcelona kecuali bersama Argentina, yang masih sedang diburu olehnya. Itulah kenikmatan seorang pemain bola sepak professional; Kejuaraan, Kemahsyuran, Kekayaan dan Populariti. Dengan meraih kesemua itu, tiada apa lagi yang diingini lagi di dunia ini. Bagi Lionel Messi, pada usia semuda 23 tahun, semuanya sudah diraih kecuali kejuaraan Piala Dunia bersama Argentina yang tidak mustahil dapat dicapai.

Begitu juga seorang dai'e, bukan kemahsyuran, kekayaan ataupun populariti yang berada di dalam niat dan fikirannya. Namun nikmat tarbiyyah adalah segala-galanya. Nikmat yang mendorong seseorang itu kepada syurga Allah dan redha Allah. Apa lagi yang hendak dicari jika nikmat yang tidak terhitung nilainya dari Allah yang bakal dikecapai jika segala kerja dakwah dan tarbiyyah adalah kerana Allah. Alangkah ruginya jika seseorang yang mendapat nikmat tarbiyyah, tiba-tiba membuat "U-Turn" meninggalkannya kerana mengejar nikmat dunia.

Kata-kata salah seorang Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin (tidak salah saya, Imam As-Syahid Hasan al-Banna) selalu bermain di dalam fikiran saya; "Apabila mendapat nikmat tarbiyyah, pegang dan jangan dilepaskan. Jika dilepaskan, nikmatnya akan diambil oleh orang lain."

Ayuh ikhwah-ikhwah, akhwat-akhwat dan sahabat-sahabat sekalian, ayuh terapkan dalam diri kita, "No Way I'm Leaving Dakwah!!"

Sunday, May 29, 2011

Layang - Layang


Permainan layang-layang ataupun wau mempunyai keunikan yang tersendiri. Dalam permainan ini, ketinggian sesebuah layang-layang ataupun tempoh masa layang-layang itu terbang adalah penunjuk aras gahnya sesebuah layang-layang itu dan semakin menariknya permainan tersebut. Permainan ini berfungsi jika mempunyai dua unsur iaitu kehadiran angin dan tali layang-layang itu sendiri. Fungsi angin adalah untuk menerbangkan layang-layang itu setinggi yang mungkin. Jika tiada angin, mana mungkin layang-layang dapat terbang gah di pangkuan langit. Tali layang-layang pula adalah sebagai 'guidance' atau pengawal layang-layang itu. Pemain layang-layang akan menggunakan tali tersebut untuk mengawal kedudukan layang-layang. Sekiranya tanpa tali, layang-layang akan hilang kawalan atau pedoman dan akan terbang merata-rata mengikut angin tanpa kawalan.

Begitulah diri kita sebagai seorang Muslim. Iman seseorang itu adalah umpama tali layang-layang. Dengan iman, kita akan bertindak atau melakukan sesuatu berdasarkan iman sebagai pedoman, bukan hanya mengikut akal semata-mata ataupun nafsu.

Firman Allah: "Dan bagaimana kamu (sampai) menjadi kafir, padahal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu, dan Rasul-Nya (Muhammad) pun berada di tengah-tengah kamu? Barang siapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sungguh, dia diberi petunjuk kepada jalan yang lurus." (Ali-Imran, 3: 101)

Maka, beruntunglah kita menjadi seorang Muslim dan beruntunglah kerana kita masih mempunyai nikmat Iman dan Islam yang menjadi pedoman sepanjang hayat kita. Tanpa iman sebagai pedoman, hancur binasalah seseorang itu.

Monday, February 21, 2011

Tahniah Azizulhasni Awang!

Dipetik dari Berita Harian: Azizulhasni wira tulen, habis pecutan dalam kesakitan


AZIZULHASNI Awang sudah lama ada ‘sifat pahlawan’ dalam dirinya - mahu menang dengan apa cara sekali pun - jika ada ruang memecut dan awal pagi semalam gelagat itu hampir membawa padah pada diri jaguh trek negara itu. Anak muda dari Terengganu itu terbabit dengan pelanggaran teruk membabitkan tiga pelumba lain dalam final acara keirin di Kejohanan Trek Siri Piala Dunia di Manchester yang berakhir dengan serpihan kayu tujuh inci daripada trek tertusuk di betis kirinya, semalam. Sekalipun terjatuh, dia tetap bangun mengayuh ke garisan penamat dan hanya sedar kesakitan itu selepas menamatkan perlumbaan sebelum dibawa ke hospital dan tidak dapat naik ke podium untuk menerima pingat gangsa.

Emas dimenangi juara Olimpik dan pencabar sengitnya dari Britain, Chris Hoy yang tidak terbabit dalam pelanggaran itu. Apapun, penawar duka adalah Azizulhasni muncul juara keseluruhan siri Piala Dunia acara berkenaan kali ini.

Semalam, jaguh pecut trek negara itu selamat menjalani pembedahan dan menurut Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) tiada kecederaan serius melanda ikon sukan negara itu.

“Dia bernasib baik kerana serpihan kayu itu tidak terkena salur darah utama, tisu dan otot betisnya,” katanya.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bila membaca akhbar tentang sifat pahlawan Azizulhasni Awang ini, terimbas kembali kisah-kisah dongeng atau cerita dalam komik. Meskipun berdepan dengan kesulitan atau kecederaan, masih mampu bangkit memecut untuk mendapatkan kemenangan atau kejayaan. Jika kisah ini sungguh membakar semangat, apatah lagi kisah-kisah para sahabat yang ternyata lagi hebat semangat pahlawannya.

Dalam sirah, dihidangkan kisah-kisah sahabat yang syahid dalam medan pertempuran. Terdapat sahabat yang yang dipenggal kedua-dua tangannya ketika membawa panji Islam. Ada yang dibunuh satu keluarga. Banyak lagi kisah yang biasa kita baca. Pokoknya, nyawa dan kaluarga menjadi taruhan. Apa matlamat itu semua? Jawapannya: Mardhatillah. Keredhaan Allah adalah segala-galanya, bukan hanya kejayaan yang bersifat sementara.

Semoga sang daie membuka mata bila membaca akhbar hari ini. Malulah jika sang daie tewas atau kalah dengan sifat pahlawan Azizulhasni Awang. Sepatutnya, tidak akan tewas sang daie itu jika kecekalan Rasulullah dan para sahabat menjadi ikutan.

Tuesday, February 1, 2011

Checkmate!


Checkmate adalah satu situasi dalam permainan catur di mana raja atau king sebelah pihak terancam untuk dikalahkan dan tiada cara lain untuk menangani serangan tersebut. Ataupun dalam bahasa mudah, raja atau king itu menghadapi serangan terus dari pihak lawan dan dia tidak mampu mengelak dari serangan tersebut. Meskipun dalam permainan catur, kedua-dua belah pihak diberikan jumlah kekuatan yang sama, pasti di sebelah pihak akan menghadapi checkmate.

Jendela 2011 dibuka dengan pelbagai isu di seluruh dunia. Di Tunisia, runtuhnya kekuasaan diktator Ben Ali, hasil checkmate rakyat Tunisia. Mengapa ini berlaku? Rakyat hidup susah, kenaikan harga barang yang melampau dan pengangguran meningkat. Sebaliknya, pemimpin negara dan ahli keluarga hidup bermewah-mewah tanpa mempedulikan masalah rakyat. Setelah 23 tahun memerintah, percaturan si diktator tidak lagi mengena. Kini, checkmate rakyat Tunisia mengena dan diktator Ben Ali tersungkur akibat kesilapan sendiri.

Antara berita dunia yang lain ialah isu yang melanda Mesir. Jutaan rakyat Mesir berterusan berdemonstrasi hingga kini mendesak Hosni Mubarak meletak jawatan. Apa salahnya Hosni Mubarak? Sama saja kesnya dengan Ben Ali malah lebih teruk lagi. Orang Islam seluruh dunia tidak akan lupa dan tidak akan maafkannya atas bantuannya kepada Israel untuk menyerang Palestin. Setelah 30 tahun memerintah secara diktator, nasibnya kini di hujung tanduk. Tiada lagi belas kasihan dari rakyat terhadap pemimpin yang zalim. Rakyat Mesir akan terus menyerang sehinggalah checkmate dihasilkan.

Kini pemimpin di seluruh dunia sudah mula sedar akan kepentingan kebajikan rakyat. Mungkin takutkan checkmate rakyat, maka mulalah pemimpin di Yaman, Jordan dan lain-lain mula membantu rakyat-rakyat yang susah. Perlu diingat, checkmate dalam permainan catur tidaklah seperti checkmate yang telah diaalami oleh diktator-diktator sebelum ini yang pastinya akan meragut kemewahan, maruah dan keangkuhan mereka.

Thursday, December 30, 2010

Harimau Malaya: Potensi Pemuda Terserlah

Subhanallah... Alhamdulillah... Astaghfirullahalazhim...
Syabas kepada Pasukan Bola Sepak Malaysia ataupun Harimau Malaya setelah merangkul kejuaraan Piala Suzuki AFF dengan menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2. Sudah lama rakyat Malaysia tidak bergembira dengan kejayaan bola sepak negara dan inilah saat-saat yang cukup dinantikan.

Meskipun kebanyakan pemain rata-rata berumur 23 tahun ke bawah, kecuali 3 pemain yang berumur 25 tahun ke atas, Harimau Malaya mampu menjinakkan pasukan Indonesia yang jauh lebih berpengalaman. Tanpa pemain yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa, tanpa pemain import dan hanya menggunakan potensi pemuda (syabab), kejuaraan masih boleh didakap.

Kebanyakan dari mereka dibentuk potensi sebagai pemain bola sepak sejak awal lagi; dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, seterusnya diserap ke pasukan Harimau Muda dan inilah hasilnya! Pembentukan yang cukup lama dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Bahkan, jika hendak menakluk Asia dan Dunia, maka usaha perlu digandakan dan kesabaran perlu lebih kuat dan pembentukan generasi pelapis sejak sekolah perlu diteruskan.

Begitulah contoh yang terbaik di depan mata. Hendak mentarbiyah dan menanam fikrah yang baik kepada seluruh masyarakat perlulah mengambil masa dan tiada salahnya dan tidak perlu dimalukan jika bermula di peringkat sekolah menengah. Bahkan, jika ia bermula lebih awal dari itu, adalah lebih baik. Namun, proses akan memakan masa yang cukup lama namun hasilnya, Insya Allah cukup manis untuk dinikmati oleh kesuluruhan masyarakat.

Monday, September 27, 2010

Menjadi Dai'e Yang Berstatus Bintang

Dalam suatu pertandingan bola sepak, sudah pasti ada pemain yang akan bermain sebaik mungkin untuk membantu pasukannya mencapai kemenangan termasuklah pemain simpanan. Apabila wujudnya segelintir pemain yang sebegini, menjadikan mereka ini pemain tumpuan dalam setiap perlawanan hinggakan menjadikan diri mereka bintang dalam pasukan mereka. Untuk menjadi pemain bola sepak berstatus bintang adalah harapan bagi setiap pemain sama ada pemain utama ataupun pemain simpanan. Itu sebabnya, kebanyakan pemain-pemain yang hebat tidak suka apabila terlalu lama memanaskan bangku simpanan. Lihat saja apa yang terjadi kepada pemain-pemain utama Manchester City. Akibat terlalu banyak membeli pemain-pemain baru yang berstatus bintang, maka, pemain-pemain asal mereka yang juga berstatus bintang mengugut untuk mencari pasukan baru apabila terlalu lama berada di bangku simpanan. Dalam mindset mereka, apalah maknanya jika dibayar dengan gaji yang lumayan tetapi hanya berada di bangku simpanan. Jelas, mereka tidak dapat menyumbangkan kehandalan dan kehebatan mereka untuk pasukan mereka apabila hanya menjadi pemain simpanan.

Begitu juga kepada sesiapa yang pernah terjebak dalam permainan Football Manager. Dalam permainan ini, bagaimana tugas seorang pengurus untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak. Jika terlebih membeli pemain handalan, akan berlakunya ketidakpuasan hati di kalangan pemain dan permintaan untuk meninggalkan pasukan yang lebih memberi peluang untuk bermain. Itulah realiti yang berlaku dalam senario bola sepak. Tidak akan wujud pemain yang lebih suka memanaskan bangku simapan dan berpeluk tubuh sahaja berbanding mengerah keringat bertarung di pentas perlawanan.

Maka, bagaimana pula untuk menjadi dai'e yang berstatus bintang? Adakah cukup hanya dengan menghadiri halaqah, daurah dan program untuk dirinya sahaja? Atau adakah cukup dengan berpeluk tubuh dan hanya menunggu perintah dakwah tanpa mempunyai inisiatif sendiri? Sepatutnya, realiti ini tidak harus wujud di kalangan para dai'e di mana tidak hanya menunggu arahan ataupun hanya melihat rakan-rakan sehalaqah bekerja habis-habisan untuk berdakwah. Jika pemain bola sepak ditawarkan dengan pendapatan yang lumayan sehingga ada pendapatan yang mencecah 1 juta US Dollar seminggu, bahkan para dai'e ditawarkan dengan nikmat yang tiada tolok bandingnya jika mereka bersungguh-sungguh melakukan kerja dakwah ini seperti yang dilakukan oleh para Nabi dan para Sahabat.

Firman Allah: "Dan orang-orang yang paling dahulu (beriman), merekalah yang paling dahulu (masuk syurga). Mereka itulah orang yang dekat (kepada Allah). Berada dalam syurga kenikmatan. Segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu. Dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian. Mereka berada di atas dipan-dipan yang bertakhtakan emas dan permata. Mereka bersandar di atasnya berhadap-hadapan. Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap muda. Dengan membawa gelas, cerek dan dan sloki (piala) berisi minuman yang diambil dari air yang mengalir. Mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk. Dan buah-buahan apa pun yang mereka pilih. Dan daging burung apa pun yang mereka inginkan. Dan ada bidadari-bidadari yang bermata indah. Laksana mutiara yang tersimpan baik. Sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan. Di sana, mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun yang menimbulkan dosa. Tetapi, mereka mendengar ucapan salam." (Al-Waqi'ah, 56: 10 - 26)

Firman Allah: "Dan katakanlah, 'Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan'." (At-Taubah, 9: 105)

Sebagai golongan yang beriman kepada kitabullah, lihat sahajalah tawaran yang Allah beri dan jamin kepada golongan yang berdakwah. Jika seorang pemain bola sepak sangat boring dan menyampah hanya dengan memanaskan bangku simpanan, mengapa tidak kita sebagai dai'e menjadi begitu? Merasa boring dan menyampah apabila tidak melakukan kerja dakwah dan giat mencari medan-medan dan kader-kader baru untuk kita bina generasi baru yang dahagakan dakwah Islam ini. Ayuh para dai'e sekalian, tinggalkanlah bangku simpanan yang telah begitu lama kita panaskan dan marilah bersama-sama menjadi dai'e yang berstatus bintang yang menyinari alam ini dengan kerja-kerja dakwah para Nabi.

Sunday, July 11, 2010

Manusia Semakin Tidak Sabar

Kemungkinan pengaruh akibat pertaruhan bola sepak, minda manusia termasuklah orang Melayu masih terus dibelenggu atau dijajah. Sehinggakan, manusia yang diciptakan Allah sebaik-baik kejadian masih dan terus mempercayai kepada perkara-perkara tahyul.

Firman Allah: "Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." (At-Tin, 95: 4)

Jika dulu, kepercayaan kepada bomoh dan dukun amat menular dalam masyarakat kita bahkan hingga ke hari ini, pengaruhnya masih ada. Cuma yang lucunya, sempena Piala Dunia 2010 kali ini, tiba-tiba manusia beralih arah kepada kepercayaan kepada binatang-binatang yang jelas kejadiannya tidak sehebat manusia. Kononnya, si sotong kurita 'Paul' dan burung nuri 'Mani' mampu membuat ramalan tepat siapakah pemenang sesuatu perlawanan dan pasukan manakah akan menjulang Piala Dunia kali ini. Adakah anda percaya? Tak habis-habis sindrom Piala Dunia ini mengganggu pemikiran masyarakat kita.





Andai tepat sekalipun ramalannya, mungkin itu adalah kebetulan. Usahlah kita mendewa-dewakan si 'Paul' dan si 'Mani' tu seperti makhluk yang hebat. Janganlah kita percaya dan membawa amalan-amalan khurafat dan tahyul dalam masyarakat kita. Boleh jadi, ini juga adalah amalan sihir yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mendapatkan keuntungan.

Firman Allah: "Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka, jauhilah itu agar kamu beruntung." (Al-Ma'idah, 5: 90)

Bagi saya, mereka manjadikan kepercayaan tahyul ini supaya menang dalam pertaruhan bola sepak. Itu sebabnya, manusia menjadi tidak sabar untuk mengetahui siapakah pemenang sesuatu perlawanan hatta perlawanan belum lagi berlangsung. Janganlah kerana ketidaksabaran tersebut menjadikan manusia mensyirikkan Allah dan mempertuhankan amalan-amalan tahyul.

Thursday, July 8, 2010

Piala Dunia 2010




Piala Dunia 2010 sudah menghampiri kemuncaknya. Meskipun Malaysia tidak layak ke Piala Dunia, rata-rata masyarakat kita cukup menghayati suasana Piala Dunia seperti mana kejohanan sebelum ini. Lihat saja di kedai-kedai mamak, penuh dengan peminat bola. Kesian dengan pemilik restoran, pengunjung duduk hingga 2-3 jam semata-mata untuk menonton perlawanan sedangkan hanya minum teh tarik dan roti canai.

Kejohanan Piala Dunia kali ni, rasanya, tidak saya hayati secukupnya, mungkin itu yang dilemparkan kepada saya oleh peminat fanatik bola disebabkan tiada satu pun perlawanan yang saya tonton keseluruhannya. Jika dulu, saya adalah antara orang cukup minat menonton Piala Dunia atau Kejohanan Euro tidak kira masa, tetapi tidak lagi sekarang. Seorang kerani wanita di kilang saya bercerita, dia sanggup bersengkang mata untuk melihat pasukan pilihannya Brazil beraksi. Meskipun, dia adalah seorang isteri kepada seorang lelaki dan seorang ibu kepada beberapa orang anak, namun pengorbanannya kepada bola sepak tidak dapat disangkal lagi.

Meskipun saya tidak menonton perlawanan yang disiarkan tetapi sempat mengambil tahu tentang keputusan dan perkembangan yang berlaku dalam Piala Dunia kali ini. Seperti kebiasaan pada sesuatu kejohanan besar, sudah pasti ada pasukan dan nama-nama besar yang menjadi sebutan dan sanjungan. Tidak kurang juga, pasukan dan nama-nama besar yang kecundang dan menjadi cacian penyokongnya. Sebagai contoh, runtuhnya Perancis dan Itali yang merupakan finalis 2006 pada peringkat kumpulan. Itulah sunnah atau kebiasaan dalam sesebuah kejohanan besar.

Mengikuti perlawanan Piala Dunia tidak hanya menimbulkan keseronokan menontonnya tetapi jika dilihat dari segi hak asasi manusia, ianya jelas meruntuhkan moral masyarakat sehingga ada yang terlibat dengan pertaruhan dan perjudian bola sepak. Bukannya sedikit jumlahnya, bahkan mencecah jutaan dan berbillion ringgit. Lebih parah lagi, ada golongan yang menghalalkan aktiviti perjudian tersebut dengan alasan untuk mendapatkan keuntungan daripada aktiviti tersebut. Kalau begitu, lebih baik dihalalkan sahaja perzinaan untuk menambah bilangan penduduk di Malaysia ini dengan cepat tanpa perlu akad nikah, kenduri kahwin dan kursus kahwin. Bagaimana, setuju?? Bukan itu sahaja, Piala Dunia ini juga berjaya melenyapkan isu Palestin dari bualan masyarakat. Baru sahaja, dalam sebulan atau dua bulan lepas kita berdemo membantah serangan Israel laknatullah ke atas kapal pengaman LL4G, kini isu tersebut hanya kembali asing dalam masyarakat disebabkan keseronokan Piala Dunia. Inilah salah satu sarana Ghazwul Fikri yang berjaya manjauhkan orang Islam dari mengingati Allah dan ikhwah dan akhwat di Palestin.

Sama-samalah kita muhasabah diri....

Sunday, May 16, 2010

Berakhirnya "SMASH" Piala Thomas



Seusai melihat Perlawanan Akhir Piala Thomas 2010, saya semacam hendak menulis artikel tentang ini. Tidak kisah, siapa pemenangnya, tetapi saya cukup tertarik dengan permainan badminton dari dulu hingga sekarang. Walaupun Malaysia gagal menamatkan kemarau 18 tahun kejuaraan, itu tidaklah mematikan minat saya untuk mengikuti perkembangan Piala Thomas kali ini. Adakah sokongan kita hanya ketika negara kita muncul juara saja? Adakah pujian kita terhadap pemain-pemain hanya ketika mereka membawa pulang kejuaraan sahaja?

Mengenang kembali lagenda-lagenda Piala Thomas 1992 seperti Rashid Sidek dan Razif & Jalani Sidek,  agak sukar untuk mengembalikan jagoan-jagoan seperti itu sekarang ini. Pada masa sekarang, nama-nama jagoan dari China dan Indonesia lebih banyak meniti di bibir peminat badminton. Dengan permainan cantik yang mereka pamerkan seperti jumping smash, drop shot, backhand, rally and great defence menjadikan permainan badminton makin menarik untuk disaksikan. Bagi saya, corak permainan beginilah yang menyebabkan minat kepada sukan badminton tidak pernah luntur. Agak sukar, untuk melihat hatta seorang pemain mempunyai pakej lengkap skill-skill tersebut ataupun dalam bahasa kampung saya complete packages.

Kondisi di Malaysia sekarang sebenarnya, tidak menjamin berjayanya seseorang atlet sukan tidak seperti di luar negara. Apabila seseorang itu menjadi atlet professional, selalunya mereka ini akan ketinggalan dari segi pelajaran, dan seseorang Muslim pula ternyata hilang pula personaliti sebagai seorang Muslim. Ada yang membuka aurat dan mula memakai rantai (bagi atlet lelaki). Teringat saya pada Sukan Asia 2006, di mana seorang atlet Muslimah dari Bahrain, Ruqayyah menggemparkan dunia olahraga dengan memenangi pingat emas dan perak dalam acara 100m dan 200m walaupun mengenakan pakaian yang menutup aurat dan bertudung. Nah, ini buktinya bagi orang-orang yang jahil yang tetap mempertahankan kenyataan bahawa hendak bersukan perlulah berseluar pendek dan tidak bertudung!

Seharusnya, dalam dunia yang semakin mencabar di mana manusia sudah mula kembali kepada Islam, kita perlu mencetak nama-nama besar dalam bidang sukan sama ada dalam badminton, bola sepak, hoki, renang dan olahraga. Di saat-saat gerhananya sukan di Malaysia, perlunya dilahirkan atlet-atlet professional yang tidak hanya kental dalam gelanggang bahkan turut menjadi cendekiawan dalam bidang pelajaran yang mempunyai Ijazah, Master dan PhD serta turut mempunyai akhlak peribadi Muslim yang unggul.

Atlet Muslimah dari Bahrain sudah buktikan. Atlet Muslim dan Muslimah Malaysia bila lagi??

Monday, November 9, 2009

Syabas Pasukan Bola Sepak Negeri Sembilan

Syabas diucapkan kepada Pasukan Bola Sepak Negeri Sembilan selepas menjadi juara Piala Malaysia 2009 dengan mengalahkan Kelantan 3-1. Lebih manis lagi, Negeri Sembilan berjaya mengekalkan rentak 11 kemenangan berturut-turut pada Piala Malaysia kali ini. Ini bermakna berakhirnya sebuah penantian selama 61 tahun untuk mendakap piala tersebut. Sebelum ini, pada tahun 2000 dan 2006, Negeri Sembilan juga telah layak ke perlawanan akhir tetapi hanya berpuas hati menjadi naib juara. Kredit harus diberikan kepada pemain-pemain terutamanya Shukor Adan dan Zaquan Adha yang bermain dengan baik serta penyokong-penyokong yang memberikan sokongan dan berdisiplin. Cuma, ternyata kualiti permainan bola sepak Malaysia masih lagi jauh ketinggalan berbanding dengan pasukan luar negara. Diharapkan, pembaharuan perlu dilakukan untuk memastikan bola sepak negara kembali gemilang.