Showing posts with label Ekonomi. Show all posts
Showing posts with label Ekonomi. Show all posts

Sunday, December 29, 2013

Si Kaya Bertambah Kaya; Si Miskin Semakin Menderita

Jika kita menyelusuri sirah Nabi Muhammad s.a.w. sebelum baginda diangkat menjadi Rasul, kehidupannya bukanlah indah seperti kebanyakan manusia. Ayahnya meninggal ketika di dalam kandungan dan ibunya pula meninggal ketika baginda masih kecil. Apabila dibesarkan oleh datuk dan bapa saudaranya, baginda menjadi pengembala kambing dan mengikut bapa saudaranya berniaga ke merata tempat. Sehinggalah beliau bertemu dgn Saidatina Khadijah dan bernikah dengannya serta turut dikenali oleh masyarakat sekitar sebagai al-Amin berdasarkan peribadi baginda.

Maknanya, kehidupan baginda bukannya mudah tetapi dipenuhi pelbagai ranjau. Dan, apabila baginda diangkat menjadi Rasul dan pemimpin umat Islam, qudwah yang ditunjukkan baginda sangat hebat. Di saat umat Islam dikenakan sekatan ekonomi, Rasulullah turut mengikat perut dalam menghadapinya. Di saat para sahabat bertempur di medan perang, Rasulullah juga turut bersama dan turut mengalami kecederaan. Di dalam gigih melaksanakan dakwah, Rasulullah lah yang paling teruk diuji dan diserang hingga luka teruk. Rasulullah tidak meletakkan diri baginda eksklusif dalam sesuatu perkara dan inilah nilai-nilai yang ada pada baginda sebagai pemimpin.

Maka, atas faktor inilah kita sering melihat kualiti pemimpin pada zaman sekarang. Kita sebagai rakyat marhaen mungkin pelik atas kualiti yang dilihat secara kasar bukanlah kualiti pemimpin yang diidam-idamkan. Berikut adalah di antara kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin negara kita:

"Jika tak suka dengan undang-undang di negara, boleh keluar ke negara lain."

"Jika harga ayam naik, boleh makan ikan."

"Harga minyak di negara kita masih murah berbanding negara lain (sambil membandingkan dengan negara bukan pengeksport minyak)."

"Jika tak setuju harga tol naik, boleh ikut jalan biasa."

Apa komen anda?
Jika lembu boleh memahami, pasti lembu tersebut akan tertawa ;)

Untuk memohon jawatan kosong di sebuah syarikat atau firma kejuruteraan sama ada sebagai jurutera dan sebagainya, pasti memerlukan kelayakan minima untuk memohon kerja tersebut sama ada dari segi akademik atau pengalaman. Jawatan mufti atau pegawai agama juga memerlukan kelayakan minima untuk menjawat jawatan tersebut. Justeru itu, bagi saya, sangat penting jawatan menteri juga memerlukan kelayakan minima supaya tidak binasa negara ini dan agar rakyat tidak mentertawakan mereka.

Itu sebabnya penting apabila kita menselusuri jalan dakwah Rasulullah kerana baginda adalah contoh terbaik menjadi pemimpin. Para Sahabat sangat menghormati baginda dan begitu juga sebaliknya. Justeru itu, jawatan sebagai menteri bukanlah bererti mereka boleh buat sesuka hati, tetapi yang penting sebagai ruang untuk beribadah. Jika kualitinya seperti sekarang, mustahil mereka sedang beribadah. Bahkan, dijadikan jawatan itu sebagai keseronokan dunia, ruang untuk menambah kekayaan peribadi dan keluarga dan sekaligus menambah kangkuhan diri mereka. Disuruhnya rakyat berjimat sedangkan mereka sendiri boros berbelanja. Disarankan supaya rakyat berbelanja berhemah sedangkan mereka menggunakan pelbagai aset kerajaan untuk kepentingan peribadi. Justeru itu, tidak mustahil apabila mereka diangkat menjadi menteri, keluarga serta anak pinak tiba-tiba turut menjadi kaya raya. Jika begini caranya, adakah rakyat akan menghormati mereka?

Secara peribadi, saya tidak risau dengan keadaan ini sekarang (meskipun sedikit sebanyak akan terjejas). Tetapi, saya sangat khuatir akan masalah sosial dan ekonomi pada masa akan datang. Kita berdepan dengan cabaran yang paling getir dalam tempoh 5 - 10 tahun akan datang. Bagaimana kita atau anak-anak kita akan berdepan dengan situasi tersebut? Masalah ekonomi, jenayah dan sebagainya...

Memang tepat kenyataan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Abas, apabila mengulas tentang masalah ekonomi Malaysia - "Now Everyone Can Cry."

Wallahua'lam...

Friday, September 6, 2013

Harga Minyak Naik - Rasionalisasi Subsidi?

Kenaikan harga Petrol 95 dan 97 serta Diesel sedikit sebanyak membebankan rakyat. Pelbagai respon diterima terutama dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang amat merasai kenaikan tersebut. Berikut adalah beberapa kesan akibat kenaikan harga minyak ini:

1) Rakyat harus faham kenaikan 20 sen adalah 20 sen/liter. Sebagai contoh, saya biasanya mengisi Petrol Ron95 full tank sebanyak 35 liter x RM 1.90 = RM 66.50. Maka, selepas harga minyak naik, pengiraannya sudah berubah: 35 liter x RM 2.10 = RM 73.50. Iaitu, untuk 35 liter, penambahan sebanyak RM 7. Kesimpulannya, penggunaan bahan bakar meningkat sebanyak 10%.

2) Kenaikan harga Petrol dan Diesel ini pasti akan memberi kesan kepada pengangkutan awam serta peningkatan harga barang keperluan harian. Pengangkutan awam serta pengangkutan barang-barang keperluan harian akan melibatkan penggunaan petrol atau diesel, jadi, mana mungkin harga barang tersebut tidak naik.

3) Beberapa tahun lepas, penggunaan utama bagi kenderaan ialah Ron97 namun ditukar ke Ron95 yang lebih murah dan kurang kualitinya. Namun, sekarang Ron95 makin mahal harganya dan ada ura-ura untuk penggunaan Ron92 yang lebih teruk kualitinya. Maknanya, semakin membangun dan maju negara dan teknologi kita, kita semakin ke belakang dari segi penggunaannya. Kita berundur ke arah produk yang tidak berkualiti untuk kenderaan dan alam sekitar.

4) Alasan kenaikan ini disebabkan untuk merasionalisasikan subsidi adalah tidak wajar. Ini kerana, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak, kelapa sawit, getah dan sebagainya. Agak pelik, Malaysia yang merupakan pengeksport petroleum tetapi harga petrol di Malaysia antara yang laing mahal dibandingkan dengan pengeksport yang lain. Apabila menjadi pengeksport minyak, pastinya banyak hasil untuk negara ini. Apabila dijadikan alasan kenaikan harga minyak dunia, sepatutnya hasil Malaysia sendiri bertambah. Persoalannya, bagaimana pengurusan kewangan negara kita? Ada 2 Menteri Kewangan tapi pengurusan masih di takuk lama.

5) Selain isu ini, rakyat dihimpit dengan pelbagai masalah. Harga rumah tinggi, harga kenderaan meningkat dan kos pendidikan bertambah terus menghantui masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Dengan kenaikan harga minyak dan barang keperluan harian, menjadikan rakyat terus dibelenggu masalah. Belum ditambah lagi isu pengangguran dan isu keselamatan yang berada di tahap kritikal yang masih belum diselesaikan.

6) Pemberian BR1M bukan langkah penyelesaian kerana hanya diberikan kepada kelompok tertentu. Kesusahan yang dialami bukan dirasai oleh golongan berpendapatan RM 3000 ke bawah saja tapi, golongan yang berpendapatan lebih dari itu, turut merasai kesusahan. Masalah no. 4 yang dinyatakan tidak menjamin golongan yang berpendapatan lebih RM 3000 untuk survive, apatah lagi jika ahli keluarganya ramai.

7) Ubah Gaya Hidup – Saya setuju dengan slogan ini dalam menghadapi suasana sekarang. Cuma, bodohlah jika yang nak diubah gaya hidup tu pada golongan bawahan sedangkan golongan atasan terus bersikap boros, mengamalkan rasuah, tidak mengamalkan penjimatan dan tidak langsung prihatin nasib golongan bawahan. Golongan atasan dan pemerintah dikekalkan subsidi 100% untuk petrol, tol dan lain-lain sedangkan untuk rakyat, dikurangkan subsidi atas alasan rasionalisasikan subsidi. Kita harus ingat, Rasulullah, apabila umat Islam mengalami zaman pemboikotan ekonomi, Rasulullah sendiri ikat perut bersama-sama para sahabat.


Kesimpulan, rakyat terus diperbodohkan.. lagi dan lagi... Adakah kita hanya diam membisu atau hanya kutuk dari belakang? Itulah akibatnya apabila membiarkan si penipu, si perasuah dan si penyamun berkuasa. Maka, mereka akan terus bermaharajalela.....

Ini bukan soal politik, bukan soal parti yang kita sokong sebelum ini. Ini bukan soal hak individu tapi ini adalah hak rakyat. Saya mungkin masih boleh survive akibat kenaikan harga minyak ini, tapi saya tetap memikirkan masalah rakyat yang lain. Usah hanya mementingkan diri sendiri akibat kemewahan diri sendiri hingga melupakan kesusahan dan kepayahan orang lain.

Wallahua'lam

Wednesday, October 10, 2012

Bajet 2013

Buat pertama kali, Belanjawan Negara dibentang oleh dua pihak iaitu Kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.  Jadi, rakyat masih proses menilai, Bajet 2013 yang mana harus dipilih dan seterusnya menjadi pilihan untuk PRU-13 kali ini.

Bajet 2013 – Barisan Nasional:
Diskaun PTPTN, Rebat RM200 untuk pembelian Smart Phone bagi golongan muda, Pemberian BR1M bernilai RM500 untuk kali ke-2 (keluarga), Pemberian BR1M bernilai RM250 (bujang), Bantuan Pendidikan untuk sekolah-sekolah, PR1MA untuk perumahan bagi golongan berpendapatan rendah dan lain-lain lagi.

Bajet 2013 – Pakatan Rakyat:
Pendidikan Percuma, Tol dihapuskan, Harga Kenderaan diturunkan, Harga Petrol diturunkan, Cukai GST dimansuhkan, Bantuan kepada Warga Emas dan lain-lain lagi.

Bajet 2013 Versi Mana Pilihan Anda?
Banyak sebenarnya unsur-unsur dalam Bajet 2013 bagi kedua-dua belah pihak, cuma tidak dapat dirungkaikan dalam tulisan ini dan bukan itulah matlamat saya. Saya melihat Bajet 2013 mana-mana versi, ada yang memberikan manfaat dan ada juga yang sebaliknya. Pada dasarnya, kedua-dua versi Bajet 2013 menjanjikan habuan materialistik kepada rakyat dan berlumba-lumba menjanjikan siapa yang lebih popular. Jadi, Bajet 2013 versi mana pilihan anda?

Isu-Isu Dalam Belanjawan
Mengenai Bajet 2013 ini, saya banyak juga mendapatkan pandangan dan komentar ahli ekonomi dan input dari kenalan-kenalan yang berbeza latar belakang sama ada ahli perniagaan, pekerja sektor awam, pekerja sektor swasta, pelajar dan lain-lain. Pada pendapat saya, banyak perkara yang harus diteliti terlebih dahulu dalam setiap belanjawan:

       1)      Kemampuan Ekonomi Negara
       2)      Penggunaan Dana sendiri dan tidak melibatkan Hutang Luar
       3)      Pengurusan Ekonomi - Bersih, Cekap, Amanah
       4)      Perkara-Perkara yang perlu diselesaikan segera:
a)      Isu Pengangguran
b)      Isu Kemiskinan Tegar di seluruh negara
c)      Isu Keselamatan dan Jenayah yang kian meruncing
             5)      Perkara-Perkara yang menekan golongan berpendapatan rendah dan sederhana:
 a)      Gaji Minima
 b)      Kos Kehidupan Tinggi - Harga Petrol, Diesel, Tol, Rumah dan Kenderaan
 c)      Isu Pendidikan - Bantuan Pinjaman dan Biasiswa
             6)            Perkara-Perkara lain:
 a)            Pelaburan syarikat luar di dalam negara - sektor swasta
 b)            Isu Peniaga Kecil
 c)            Isu Pertanian dan Perladangan
 d)            Isu Pengangkutan Awam
 e)            Bantuan Dana Pendidikan – Sekolah (Pelbagai Aliran) dan IPT
 f)              Peningkatan warga asing di dalam negara yang membimbangkan

Kembali Kepada Tarbiyyah Islam
Berbeza kehidupan kita di Malaysia dengan kehidupan rakyat Palestin yang menyokong perjuangan Hamas. Hamas tidak dapat menjanjikan habuan materialistik kepada rakyat yang menyokong perjuangan mereka dan rakyat Palestin sedar bahawa sokongan mereka terhadap Hamas sebenarnya mendedahkan mereka terhadap ancaman yang lebih terhadap Zionis. Mengapa majoriti rakyat Palestin bertindak sebegitu? Andainya kita berada di tempat rakyat Palestin, secara jujurnya, siapakah pilihan kita?

Kita pasti tahu cerita tentang Zaman Pemboikotan Ekonomi yang dilakukan oleh puak Musyrikin Mekah terhadap Rasulullah dan Para Sahabat di mana tujuannya untuk menggugat dakwah Rasulullah. Lihatlah reaksi Rasulullah dan Para Sahabat yang tetap utuh mempertahankan Islam dan akidah.

Itulah hasil daripada Tarbiyyah kepada Rabb. Sememangnya, habuan materialistik tidak bisa menggugat keimanan kita. Jika Parti A (Menjanjikan Tarbiyyah Islam tetapi TIDAK Menjanjikan Habuan Materialistik) vs Parti B (TIDAK Menjanjikan Tarbiyyah Islam tetapi Menjanjikan Habuan Materialistik), mana satu pilihan anda? Fikir-fikirkanlah.. Jika sekarang, kita masih sempat mempertimbangkan habuan dari pelbagai pihak, mungkin pada masa akan datang, kita hanya perlu satu perkara saja – Tarbiyyah Islam.

Thursday, November 24, 2011

Monopoli

Dalam ekonomi, istilah Monopoli merupakan penguasaan sepenuhnya terhadap sesuatu barangan perdagangan atau perkhidmatan dalam pasaran tertentu oleh seseorang atau sesebuah syarikat. Sebagai contoh, di sebuah daerah, hanya terdapat sebuah kedai runcit. Kedai tersebut berpotensi menaikkan harga sesuka hati atau tidak melaksanakan layanan pelanggan dengan baik tanpa risaukan persaingan. Jika kedai tersebut menaikkan harga barang sesuka hati pun, kedai tersebut akan terus dikunjungi pelanggan. Ini disebabkan tiada persaingan ataupun monopoli. Bagaimana keadaannya sekiranya banyak kedai runcit di daerah yang sama? Maka tidak timbullah isu monopoli kerana setiap kedai akan menawarkan harga yang terendah dan servis yang terbaik untuk menarik pelanggan.

Justeru itu, penggabungan Malaysian Airline System (MAS) dengan Air Asia seharusnya mengundang kegelisahan kepada pengguna kapal terbang. Ini kerana, jika sebelum ini, kedua-dua syarikat tersebut sering bersaing untuk meraih keuntungan dengan cara tersendiri. Jika MAS yang merupakan syarikat penerbangan terulung dan senior di Malaysia manakala Air Asia pula yang terkenal dengan penerbangan tambang murah yang sinonim dengan motto "Now Everyone Can Fly". Persaingan di antara kedua-dua syarikat sebelum ini sebenarnya memberi keuntungan kepada pengguna kapal terbang disebabkan persaingan untuk mendapatkan pelanggan. Namun, persoalan yang timbul sekarang, adakah penggabungan kedua-dua syarikat tersebut turut menggalakkan keuntungan kepada pengguna atau sebaliknya? Ataupun, penggabungan ini akan menyebabkan berlakunya monopoli yang akan membebankan pengguna?




Oleh itu, monopoli ini akan mengakibatkan suasana yang tidak sihat dalam bidang ekonomi. Jika berlakunya monopoli oleh sesebuah syarikat, nak tak nak, khidmat syarikat tersebut terpaksa digunakan walaupun servisnya teruk, harganya meningkat dan sebagainya.

Betapa indahnya Islam, yang dipenuhi dengan perbezaan pendapat. Pelbagai aliran mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafi'e dan Hambali menunjukkan kekayaan ilmu, hujah dan pendapat di kalangan mazhab. Para imam mazhab sendiri menunjukkan rasa hormat dan berlapang dada apabila berhadapan dengan pengikut mazhab yang lain. Perbezaan ini menunjukkan kekayaan bagi orang Islam dan tidak sepatutnya berlakunya gejala taksub mazhab dan bergaduh akibat hal ini. Sama juga halnya dengan kepelbagaian aliran jama'ah yang wujud di serata dunia dan tidak terkecuali di Malaysia. Wujudnya Ikhwanul Muslimin, Hizbut Tahrir dan Tabligh yang cukup terkenal dengan corak dakwah di serata dunia. Jika di Malaysia pula, wujud pula Pas, Ikram, Isma, Haluan, Tabligh dan sebagainya yang masing-masing mempunyai matlamat yang sama, cuma prinsip dan gerak kerja yang berbeza. Sama juga dengan kepelbagaian mazhab, tidak sepatutnya berlaku taksub pada jama'ah dan bergaduh akibat ini.

Cuma bayangkan jika di dunia ini hanya ada satu aliran mazhab? Cuba juga bayangkan jika hanya ada satu aliran jama'ah? Atau, cuba bayangkan jika di Malaysia hanya ada satu aliran mazhab (orang dari luar negara dilarang sama sekali melaksanakan mazhab lain) dan hanya ada satu aliran jama'ah sahaja? Adakah menarik? Bagi saya, inilah dia monopoli!! Tidak ada persaingan dan tidak ada pilihan untuk orang Islam melakukan kebaikan dengan corak yang berbeza.

Firman Allah: "Kemudian, Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah Yang demikian itu adalah karunia yang besar." (Fatir, 35: 32)

Maka, beruntunglah orang Islam dengan tiadanya sistem monopoli untuk melakukan kebaikan. Banyak pilihan dan bergantung kepada setiap individu untuk memilih jalan masing-masing. Jika seseorang itu sesuai untuk berjuang dengan sesuatu aliran jemaah untuk menegakkan Islam, ayuh, teruskanlah perjuangan. Laksanakanlah gerak kerja sebaik mungkin dan di samping itu, peliharalah hubungan yang harmoni dengan sahabat-sahabat di dalam aliran yang lain. Inilah ukhwah yang diidam-idamkan, bukan hanya berkata-kata, tetapi turut melaksanakan. Ayuh, fastabiqul khairat....

Tuesday, October 11, 2011

Kebanjiran Pasar Raya, Peniaga Kecil Sengsara

Dalam meniti kemajuan negara, ada kalanya kita dihidangkan dengan pembangunan yang cukup pesat. Maka, muncullah pusat-pusat perniagaan dan pusat-pusat akademik untuk memastikan masyarakat merasai kenikmatan pembangunan ini. Cuma, agak malang sekiranya pembangunan dan kemajuan tersebut tidak seimbang di antara input pusat-pusat perniagaan dan output pusat-pusat akademik.

Rata-rata, di setiap bandar besar di Malaysia ini akan wujud lambakan jenis Pasar Raya termasuklah di tempat saya iaitu di Seremban. Rasanya, masyarakat sudah mengenali Giant, Tesco, Carefour, Econsave, Mydin, The Store, Jaya Jusco dan Family Store. Masakan tidak, kerana kerap dikunjungi dan dihidangkan dengan harga yang cukup hebat seperti harga borong. Kebanjiran Pasar Raya ini menyebabkan peniaga-peniaga kecil sengsara dan merana. Mana mungkin peniaga kecil atau kedai runcit mampu menandingi harga-harga seperti yang ditawarkan oleh Pasar Raya. Mustahil! Usah kata menandingi, menghampiri pun belum pasti. Di Seremban sendiri yang tidaklah sebesar mana pun dipenuhi oleh kesemua Pasar Raya yang disebutkan tadi. Macam mana peniaga kecil nak hidup?

Saya cuma terfikir, mengapa dasar-dasar ekonomi kita tidak menjurus menggalakkan belia dan beliawanis untuk menjadi pengurus perniagaan ataupun menjadi taukeh (bahasa kampung)? Sedangkan di IKM, Politeknik, Giat Mara dan Universiti ditawarkan kursus perniagaan yang sepatutnya menggalakkan dan melahirkan graduan yang berniaga. Bukan hanya kerja makan gaji di Pasar Raya entah sampai bila. Sepatutnya golongan ini dan juga golongan yang berminat untuk berniaga digalakkan dan diberi bantuan untuk berniaga sama ada dari segi kewangan, tempat, tunjuk ajar dan sebagainya. Sampai bila kita nak bergantung harap kepada Pasar Raya import kerana kebanyakannya adalah pelaburan asing. Pelaburan asing memang menguntungkan tetapi jangan sampai menjejaskan ekonomi rakyat kita sendiri. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sendiri pun masih belum mampu menandingi produk-produk luar, inikan pula peniaga kecil sudah pasti kelemasan apabila Pasar Raya membanjiri sesebuah kawasan.

Sekiranya graduan-graduan dari IKM, Politeknik, Giat Mara dan Universiti ditumpukan dalam membangunkan produk IKS dan perniagaan seperti peruncitan, fesyen, restoran, katering, bakeri, servis kenderaan dan telekomunikasi, Insya Allah kita mampu membangunkan ekonomi kita sendiri dan tidak mustahil mampu mengeksport perniagaan kita ke luar negara.

Saya mencadangkan agar perlu dibuat dasar keperluan sesebuah Pasar Raya beroperasi di sesebuah kawasan atau bandar sama ada melalui keluasan bandar atau jumlah penduduk. Juga perlu dasar untuk memanfaatkan graduan dalam bidang perniagaan ini untuk mewujudkan momentum IKS dan perniagaan sendiri dalam keadaan dunia sebenar.

Wallahua'lam...


*Artikel ini telah dihantar ke editor akhbar iaitu Utusan Malaysia, Berita Harian, Sinar Harian dan Harakah pada 10 Ogos 2011.