Showing posts with label Ibadah Korban. Show all posts
Showing posts with label Ibadah Korban. Show all posts

Sunday, September 27, 2015

Pengorbanan

Kita selalu mengimbau kenangan semasa kecil dan remaja, tentang bagaimana pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan kita. Duit belanja sekolah, keperluan harian, bercuti dan sebagainya yang semata-mata mahu melihat kita membesar dan gembira. Ketika itu, tiada pun dalam fikiran - Ibu dan abah ini ada duit ke? Mahal ke tidak barang ni? Ada keperluan ke beli barang ni? Begitu juga lah, apabila semakin meningkat usia dan tibanya pula masa kita melayan karenah anak-anak. Apa yang ibu bapa kita rasai dahulu, itu juga lah dirasai oleh kita sekarang.

Sebuah pengorbanan ini tidak akan wujud jika tidak merasai kesusahan dan keperitannya. Kesusahan yang dirasai oleh ibu bapa dalam membesarkan kita, itulah pengorbanan yang mereka berikan kepada kita. Pengorbanan yang tidak dapat diganti oleh seorang anak hatta dengan apa saja balasannya. 

Setiap kali Hari Raya Aidil Adha ataupun Hari Raya Korban, kita selalu bercakap berkaitan pengorbanan. Maka, tiada maknanya, jika kita sendiri tidak memahami istilah pengorbanan itu atau tidak langsung melakukan pengorbanan hatta sedikit. Seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim yang berkorban terhadap anak dan isterinya yang tercinta atas perintah Allah, dan itulah sebesar-besar pengorbanan manusia. 

Justeru itu, pengorbanan adalah pada orang atau sesuatu yang kita cintai. Jika cinta kita pada keluarga kita, apakah pengorbanan yang dilakukan pada mereka? Jika cinta pada agama kita, apakah pengorbanan dalam mengangkat darjat agama kita? Manusia sanggup berkorban demi kerjaya, pangkat dan kemahsyuran, yang akhirnya akan mendapat balasan apa yang dikorbankan. Maka, apakah manusia tidak memburu pengorbanan untuk agama ini? Dan, apakah pengorbanan kita lakukan untuk agama selama ini?

Firman Allah: "Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka, bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung." (At-Taubah, 9: 111)

Pengorbanan oleh ibu bapa adalah semata-mata kerana cintakan anaknya dan untuk mengejar kebahagiaan anaknya. Seperti mana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan Nabi Ibrahim a.s., di mana, pengorbanan yang mereka lakukan adalah kerana cinta pada ummat dan agama-Nya. Justeru itu, di manakah tahap pengorbanan kita? Adakah sekadar mendengar alunan cerita dan sirah yang saban tahun diulang? Atau ianya titik tolak meredam erti pengorbanan tersebut dan mengaplikasikannya dalam kehidupan kita. Syurga itu mahal harganya. Hanya pengorbanan yang ikhlas dan mahal harganya yang membawa ke syurga itu.

Wallahua'lam...

Wednesday, October 16, 2013

Ibrah Ibadah Korban - Hikmatus Syuyukh wa Hammasatus Syabab

Firman Allah: “Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, ‘Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka, fikirkanlah bagaimana pendapatmu.’ Dia (Ismail) menjawab, ‘Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, Insya Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.’ Maka ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya (untuk melaksanakan perintah Allah). Lalu Kami panggil dia, ‘Wahai Ibrahim! Sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu.’ Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Dan Kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian." (As-Saffat, 37: 102 – 108)

Berdasarkan firman Allah di atas, antara perkara yang menarik untuk diperbahaskan ialah hikmatus syuyukh (hikmah para syeikh) dan hammasatus syabab (semangat para pemuda). Perkara ini bukan saja terhad kepada ibadah korban saja tetapi juga di dalam dakwah.

Betapa hikmahnya Nabi Ibrahim menuturkan kata-kata kepada anaknya, Nabi Ismail untuk mentaati arahan Allah untuk mengorbankannya. Dapat dilihat juga ketaatan seorang anak yang ditunjukkan oleh Nabi Ismail dalam menerima arahan dari ayahnya meskipun dari segi manusiawinya agak tidak masuk akal.

Ketaatan Nabi Ismail terhadap arahan ayahnya, Nabi Ibrahim semestinya disebabkan qudwah Nabi Ibrahim itu sendiri. Jika ayahnya seorang yang hebat dan taat, peribadi itu jugalah yang diikuti oleh anaknya. Kethiqohan inilah yang dituntut dalam dakwah, iaitu menunjukkan qudwah yang terbaik dan bukan hanya tahu memberikan arahan semata-mata.

Maka, dalam dakwah, seorang syuyukh perlu menunjukkan qudwah yang terbaik dan para syabab perlu menjadikan ia sebagai contoh terbaik untuk diikuti di samping semangat dakwah yang luar biasa. Kedua-dua unsur dakwah ini perlu wujud seiringan. Tidak boleh di dalam dakwah ini, hanya para syuyukh saja yang berusaha tanpa kehadiran semangat para syabab. Tidak bagus juga semangat syabab yang melonjak-lonjak hadir tanpa kehadiran hikmah dan nasihat para syuyukh.

Maka, ibadah korban ini sepatutnya memberikan ibrah yang terbaik buat para dai'e. Memahami dan menghayati serta perlu menjadikannya realiti di dalam dakwah.

Wallahua'lam.

Monday, October 14, 2013

'Eidul Adha 1434H

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya 'Eidul Adha kepada semua pengunjung web Ijtihad Pengembara (http://imam-abuhanifah.blogspot.com).

Bagi sesiapa yang menjadi tetamu Allah di Tanah Suci dan yang diberikan ruang untuk melaksanakan dan menikmati Ibadah Qurban, semoga hakikat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mengiringi setiap ibadah yang kita lakukan.

Taqabbalahhu Minna Wa Minkum.


Ikhlas daripada:
Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Norashidah bt Samsudin
Amirul Mukminin Hanifah bin Abu Hanifah

14 Oktober 2013 / 9 Zulhijjah 1434H

Sunday, October 28, 2012

Menghayati Ibadah Korban


Firman Allah: “Sungguh, Kami telah memberimu (Muhammad) nikmat yang banyak. Maka, laksanakanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah). Sungguh, orang-orang yang membencimu, dialah yang terputus (dari rahmat Allah).” (Al-Kausar, 108: 1 - 3)

Sambutan Hari Raya Aidil Adha merangkumi banyak ibadah terhadap Allah. Juga dipanggil Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban di mana, pada waktu itu sajalah terdapat pelaksanaan ibadah Haji dan ibadah Korban. Bagi yang berpeluang menunaikan Haji ke Baitullah, inilah peluang keemasan yang dinantikan untuk menyahut seruan Allah. Bagi yang tidak berpeluang, ibadah Korban juga adalah peluang untuk kita menggandakan ibadah kita kepada Allah.

Firman Allah: “Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, ‘Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka, fikirkanlah bagaimana pendapatmu.’ Dia (Ismail) menjawab, ‘Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, Insya Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.’ Maka ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya (untuk melaksanakan perintah Allah).  Lalu Kami panggil dia, ‘Wahai Ibrahim! Sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu.’ Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Dan Kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.” (As-Saffat, 37: 102 – 108)

Firman Allah: “Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua putra Adam, ketika kedua-duanya mempersembahkan korban, maka (korban) salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dan dari yang lain (Qabil) tidak diterima. Dia (Qabil) berkata, ‘Sungguh, aku pasti membunuhmu!’ Dia (Habil) berkata, ‘Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal) dari orang yang bertakwa.” (Al-Ma’idah, 5: 27)

Bagaimana kita menghayati ibadah Korban ini? Dalam kedua-dua firman Allah di atas, kisah yang sering diabadikan mengenai ibadah Korban dan pastinya kisah ini akan kekal hingga akhirat. Keikhlasan dalam menunaikan ibadah termasuklah ibadah Korban menjadi syarat utama bagi memastikan ibadah kita diterima Allah. Nabi Ibrahim mempersembahkan Nabi Ismail (anaknya) untuk dikorbankan atas perintah Allah dan Habil mempersembahkan hasil ternakan yang terbaik bagi Allah.

Apa pula yang ingin dipersembahkan oleh kita di akhirat nanti? Jika komitmen kita pada pasangan, keluarga, pelajaran dan kerjaya menuntut kita melakukan yang yang terbaik, begitu jualah dengan apa yang ingin kita persembahkan kepada Allah. Ibadah Korban ini sebenarnya mendidik manusia menjadi manusia yang berTuhan. Bermula dari keikhlasan niat dalam beribadah sehinggalah hasil yang terbaik untuk diberikan kepada Allah.

Semoga dengan kisah-kisah Nabi Ibrahim dan anaknya beserta kisah putra Nabi Adam menjadi benchmark dalam kita melaksanakan ibadah kepada Allah. Usah menjadi manusia yang ‘cincai’ dalam melaksanakan ibadah kepada Allah tetapi haruslah kita meletakkan standard yang tertinggi dalam mencapai redha Allah.