Showing posts with label Hari Kiamat. Show all posts
Showing posts with label Hari Kiamat. Show all posts

Sunday, September 5, 2010

Tazkirah Sempena Lailatul Qadar

Firman Allah: "Dan kamu menjadi tiga golongan. Iaitu golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri, alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang paling dahulu (beriman), merekalah yang paling dahulu (masuk syurga)." (Al-Waqi'ah, 56: 7 - 10)

Ayat yang dibacakan menunjukkan bahawa terdapat tiga golongan di hari kiamat kelak iaitu golongan kanan (ashabul maimanah / yamin), golongan kiri (ashabus masy'amah / syimal) dan golongan paling dahulu (assabiqun assabiqun). Justeru itu, golongan kanan adalah golongan yang melakukan kebaikan dan golongan kiri pula adalah puak yang melakukan kejahatan. Manakala golongan paling dahulu adalah golongan yang lebih awal dan cepat melakukan kebaikan atau beriman. Siapakah golongan paling dahulu ini? Antaranya ialah para sahabat, para tabi'in dan para wali. Persoalannya, adakah kita umat akhir zaman ini mampu menjadi golongan ini? Saya pernah berbincang dengan seorang sahabat. Kesimpulannya agak menarik iaitu, ayat al-Quran ini menjadi motivasi kepada kita agar terus mendekatkan diri kepada Allah supaya mampu atau boleh menjadi golongan paling dahulu ini.

Apabila kita relatekan dengan kondisi sekarang di mana Ramadhan semakin ke penghujungnya dan Syawal hampir menjelma. Seharusnya, kita memanfaatkan segala ruang yang ada agar kita memperolehi ganjaran yang Allah tawarkan pada malam Lailatul Qadar supaya amalan yang kita lakukan dapat menjadikan kita golongan yang paling dahulu.

Dalam keadaan dunia sekarang, jika kita melihat pada kejohanan-kejohanan sukan yang dipertandingkan di mana pada setiap kejohanan, sudah pasti hanya akan mempunyai satu pemenang tidak kiralah pertandingan bola sepak, badminton dsb. Sebagai contoh, World Cup 2010 yang telah selesai di mana Sepanyol dimartabatkan sebagai juara dunia. Berbeza pula dengan kejohanan Lailatul Qadar di mana bukan hanya seorang muslim sahaja yang akan mendapat ganjaran dari Allah tetapi seramai mungkin umat Islam boleh mendapatkannya. Bahkan, bukan hanya umat Islam di Mekah dan Madinah sahaja yang berpeluang meraihnya tetapi juga mampu dimenangi atau diperolehi oleh umat Islam seluruh dunia termasuklah Malaysia. Itulah bezanya, ganjaran dari Allah dengan ganjaran dari manusia. Justeru itu, dalam waktu yang sesingkat ini, marilah sama-sama kita terus beramal untuk mendapat ganjaran dari Allah dan seterusnya menjadi golongan paling dahulu (assabiqun assabiqun).

Wallahua'lam...


*Tazkirah ini disampaikan ketika menjadi imam solat sunat tarawikh di Surau Darul Jannah, Accasia Park pada 4 September 2010 bersamaan malam 26 Ramadhan 1431. 

Thursday, May 13, 2010

Mengapa Bumi Mengalami Gegaran (Vibration Concept)?

Firman Allah: "Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung yang kokoh supaya bumi itu (tidak) goncang bersama mereka, dan telah Kami jadikan (pula) di bumi itu jalan-jalan yang luas, agar mereka mendapat petunjuk." (Al-Anbiyaa', 21: 31)

Betapa pentingnya peranan gunung-gunung di muka bumi ini untuk mengukuhkan bumi ini. Cuba bayangkan, andainya tiada gunung-gunung atau bukit-bukit di muka bumi ini? Apa yang berlaku pada bumi ini? Dan apa kesannya pada diri kita?

Kita juga sedia maklum bahawa, kekayaan Allah s.w.t. disalurkan kepada hamba-hambanya untuk dimanfaatkan. Tidak perlu dilihat ke seluruh dunia, cukuplah sekadar Malaysia yang cukup kaya dengan pelbagai hasil galian seperti Petroleum, Gas Asli, Bijih Timah, Emas dan sebagainya. Dulu, pernah ditujukan persoalan, berapa tahun lagikah kewujudan hasil-hasil galian tersebut? Adakah 50 tahun lagi? Atau 100 tahun lagi? Atau 200 tahun lagi?

Saya hendak mengaitkan kedua-dua persoalan tersebut dengan satu konsep engineering atau kejuruteraan iaitu vibration atau getaran. Dalam mengetahui atau mengukur vibration sesuatu sistem, perkara yang penting adalah mengetahui nilai frekuensi asli (wn) sesuatu sistem.

Frekuensi asli / Natural frequency, wn = √(k/m)

Semakin tinggi nilai frekuensi asli sesuatu sistem, semakin tinggi vibration atau getaran sesuatu sistem. Justeru itu, berdasarkan rumus di atas, jisim (m) sesuatu sistem adalah berkadar songsang dengan frekuensi asli (wn). Ini bermakna, jisim juga berkadar songsang dengan vibration sesuatu sistem.

Saya teringat ketika saya berada di Darjah 6 (lebih kurang 15 tahun dahulu), guru saya mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bebas dari ancaman gempa bumi dan kenyataan guru saya memang benar ketika itu. Tetapi, keadaan sekarang, kenyataan tersebut sudah tidak beberapa tepat kerana kerap kali, negara kita mengalami gegaran atau ancaman akibat gempa bumi di negara jiran yang merupakan tanda-tanda kecil Hari Kiamat.

Adakah logik jika saya mengatakan, semakin berkurangnya galian-galian di muka bumi dan semakin kurang tinggi bukit-bukit dan gunung-gunung akibat ditarah adalah menjadi punca negara kita sudah mula menerima gegaran akibat gempa bumi di negara lain? Berdasarkan konsep vibration ini, kebarangkaliannya benar bahawa dunia sekarang semakin dekat dengan Hari Kiamat, dengan jisim-jisim bumi makin lama makin berkurangan disebabkan hasil-hasil bumi semakin kehabisan. Jika ia benar, kita memang berada di landasan yang tepat menuju ke Hari Pembalasan. Bersediakah kita?

Wednesday, February 17, 2010

Mahkamah Dunia VS Mahkamah Akhirat

Apabila membacakan novel ‘Ayat-Ayat Cinta’, saya cukup terkesan pada adegan heronya difitnah sehebat-hebatnya. Bahkan, seorang pekerja di kilang saya menceritakan kepada saya bahawa dia menangis-nangis apabila menonton filemnya. Seolah-olah tidak terdapat kecacatan pada heronya yang membolehkan dia difitnah sebegitu rupa. Itulah fenomena ‘Ayat-Ayat Cinta’.

Apabila kita kaitkan kisah tersebut dengan realiti hidup kita di Malaysia, justeru itu, kadang-kadang saya hendak tergelak dengan pelbagai kes yang dibicarakan seperti pertuduhan yang tidak logik, saksi palsu dan jalan cerita yang seolah-olah dirancangkan. Seperti cerita kartun Popeye (kartun yang saya cukup minat ketika masih kecil), seteruk-teruk dia dibelasah, dapat jua dia bangkit mengalahkan lawannya hanya dengan memakan bayam. Justeru itu, begitu banyak cerita Popeye ketika ini hinggakan seorang yang tua, uzur dan sakit tulang belakang sebagainya boleh saja dituduh melakukan perbuatan yang cukup luar biasa kepada seorang muda yang tegap tetapi bodoh dan tidak tahu melawan. Adakah si tua itu mempunyai kekuatan yang luar biasa seperti Popeye (disebabkan terlebih makan bayam) atau si muda itu terlalu lemah (tidak pernah memakan bayam)?

Pengajarannya, sebaik mana pun seorang itu, tidak dijamin dia terlepas dari sebarang fitnah. Begitu juga kita yang sentiasa hendakkan kebaikan. Hatta, Rasul-Rasul terdahulu, difitnah bermacam-macam seperti tukang sihir, gila dan sebagainya. Tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin baik Ikhwah dan Akhwatnya juga difitnah dan diperlakukan seteruk-teruk dan seaib-aibnya.

Sebagai contoh, kisah Zainab al-Ghazali al-Jubaili yang merupakan Ketua Jama’ah Muslimat yang menjadi sayap kepada Ikhwan muslimin di Mesir. Beliau diperintahkan oleh pemerintah Mesir supaya diseksa seperti seksaan ke atas seorang lelaki. Beliau dipukul dengan tongkat, cemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang ganas, direndam seharian dalam penjara air, dipenjara dengan tikus dan pelbagai lagi seksaan yang berlaku ke atas dirinya. Namun, beliau tabah menghadapinya dengan penuh yakin janji Allah: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.”

Membacakan kisah hidupnya, saya terasa seperti hendak menitiskan air mata. Bukan apa, sekiranya saya diperlakukan seperti beliau, adakah saya mampu bertahan seperti beliau walaupun saya seorang lelaki? Begitu zalim sekali seksaan yang dilakukan ke atasnya tetapi bagi para pejuang Islam, ini adalah hanya sedikit ujian atau dugaan kepada mereka.

Firman Allah: “Dan janganlah kamu (merasa) lemah dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman.” (Ali – Imran, 3: 139)

Semoga kisah-kisah ini menjadi motivasi kepada diri kita. Mana mungkin untuk menggapai syurga Allah dengan laluan yang cukup mudah tanpa sebarang ujian melanda.

Firman Allah: “Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang diaalami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, ‘Kapankah datang pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” (Al-Baqarah, 2 : 214)

Justeru itu, betapa ramai pejuang yang tetap mendaulatkan agama Islam meskipun difitnah sedasyat-dasyatnya. Hukuman penjara bertahun-tahun, dibunuh, ditembak dan digantung sampai mati adalah antara perkara normal yang sering dihadapai. Mereka begitu yakin, hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Dunia tidaklah sedahsyat Mahkamah Akhirat. Ternyata, Mahkamah Akhirat adalah seadil-adil perbicaraan yang tiada keraguannya, seadil-adil hakim yang mengadilinya dan 100% kebenaran saksinya.

Firman Allah: “Dan takutlah pada hari (ketika) kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang telah dilakukannya dan mereka tidak dizalimi (dirugikan).” (Al-Baqarah, 2: 281)

Firman Allah: “Bukankah Allah hakim yang paling adil.” (At-Tin, 95: 8)

Firman Allah: “Pada hari, (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” (An-Nur, 24: 24)

Firman Allah: “Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka; tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Yasin, 36: 65)

Kesimpulannya, kita harus berfikir semasak-masaknya dalam segala amal perbuatan kita. Mampukah kita berdepan Mahkamah Akhirat atau pun sediakah kita didakwa di Padang Mahsyar kelak tanpa sebarang pembelaan untuk membela kita. Di saat itu, kekayaan berjuta-juta, pangkat setinggi mana pun dan berbuih-buih sumpah dilafazkan tidak ada gunanya dan tidak mampu mengeksploitasi sebarang pendakwaan. Seharusnya, siap sediakanlah persiapan kita menuju ke Mahkamah Akhirat dan Pendakwaan di Padang Mahsyar. Moga-moga pendakwaan kita di Padang Mahsyar kelak memberi kebahagiaan kekal abadi sebagai orang beriman.

Wednesday, November 25, 2009

Perbezaan Hari Kiamat dan Hari Dunia - Ayat Mutasyabihaat

Firman Allah Taala: “Para malaikat dan jibril naik (menghadap) kepada Tuhan, dalam hari yang kadarnya lima puluh ribu tahun.” (Al-Ma’arij, 70: 4)

Para malaikat dan Jibril a.s. naik mengadap Allah s.w.t. melalui al-ma’arij (tangga-tangga tempat naik) dalam lingkungan masa sehari yang menyamai lima puluh ribu tahun dunia, seandainya manusia ingin naik ke sana. Tetapi para malaikat yang bercirikan unsur roh itu dapat naik ke sana hanya dalam masa yang sangat singkat. Penjelasan angka lima puluh ribu tahun di sini bukan untuk menentukan tempoh tertentu. Sebaliknya menerangkan tentang jangka masa yang agak lama dan pemergian para malaikat itu sebenarnya adalah ke satu tempat yang sangat jauh. Firman Allah: “naik (kepadaNya)...” (Al-Ma’arij, 70: 4), yakni naik ke atas ‘ArasyNya atau Dewan PemerintahanNya atau ke tempat di mana kemuliaanNya. Firman Allah: “dalam hari...” (Al-Ma’arij, 70: 4). Menurut pendapat kebanyakan ulama, perkataan tersebut merujuk kepada firman Allah: “para malaikat dan Jibril naik...” (Al-Ma’arij, 70: 4) yakni para malaikat naik pada hari seperti itu. Tujuan kenyataan ini adalah untuk memaparkan gambaran tempoh hari yang kadarnya mutlak panjang.

Menurut pendapat yang lain iaitu pendapat Ibnu Abbas dan Hasan al-Basri, hari yang dimaksudkan itu ialah hari kiamat. Ia bertujuan untuk menggerunkan dan menakutkan orang-orang kafir. Ertinya ialah saat-saat penantian orang-orang kafir untuk dihisab dan ditentukan agihan hukuman Allah kepada manusia adalah selama lima puluh ribu tahun mengikut perkiraan tahun dunia. Kemudian, penduduk neraka akan terus menetap di dasar neraka. Manakala sebab dikenakan azab dengan kenyataan mengenai para malaikat naik, dalam ayat di atas ialah untuk membandingkan perbezaan tempoh antara sehari pada perhitungan mereka dengan sehari pada sisi Allah. Pada tanggapan mereka, perhitungan masa di dunia ini sangat panjang, sedangkan di sisi Allah ia amatlah singkat.

Penyesuaian antara ayat tadi dengan ayat dari surah al-Sajdah iaitu firman Allah:

Dia mengatur segala urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepadaNya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu.” (As-Sajdah, 32: 5)

Iaitu hari kiamat itu mempunyai lima puluh sesi atau episod. Tiap sesi tempohnya ialah seribu tahun.

Hal ini terjadi kepada orang-orang kafir, sementara orang-orang mukmin tidak demikian. Ini berdasarkan firman Allah:

“Penghuni syurga pada hari itu lebih baik tempat tinggalnya dan lebih indah tempat istirehatnya.” (Al-Furqan, 25: 24)

Para ulama bersependapat bahawa tempat beristirehat dan tempat tinggal itu adalah syurga.

Kesimpulannya, ayat (Al-Ma’arij, 70: 4) dan (As-Sajdah, 32: 5) adalah contoh ayat mutasyabihaat yang terdapat perbezaan maksud di antara kedua-duanya. Justeru itu, boleh saja merujuk pendapat ulama’ mufassirin tentang perbahasannya. Andai kata, tidak memuaskan hati, teruskanlah beriman kepada ayat-ayat tersebut seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian para ulama’.



Rujukan:

1) Prof. Dr. Wahbah Mustaffa al-Zuhaily, “Tafsir al-Munir (Juz 29),” Persatuan Ulama Malaysia & Intel Multimedia and Publication, 2007.