Sunday, May 1, 2011

Sumpah

"Woi,, siapa yang conteng buku aku ni? Rahim, kau ke yang conteng?" marah dan sergah Saiful.
"Eh, tak lah. Aku tak usik pun buku kau," jawab Rahim.
"Ah, sudahlah, aku tak percaya. Aku tahu, kau yang conteng buku aku. Kau memang suka cari gaduh dengan aku kan?" gesa Saiful.
"Betul lah, aku tak buat. Janganlah asyik tuduh aku je," balas Rahim.
"Kalau betul kau tak buat, kau kene bersumpah depan aku yang kau tak buat," paksa Saiful.
"Sumpah! Demi Allah, aku tak conteng buku kau," sumpah Rahim
"OK. Kalau kau tipu, nanti kau dimakan sumpah!" balas Saiful

Itulah kisah-kisah ketika bersekolah dahulu. Nak kan kepastian, sumpah digunakan atau dimainkan untuk menyelesaikan suatu masalah. Entah boleh percaya atau tidak pada sumpahan itu. Ye la, budak sekolah, mana tahu sangat dosa pahala, syurga neraka dan laknat dari Allah. Yang penting, terlepas dari tuduhan.

Rupa-rupanya, si tua bangka pun suka bersumpah sekarang ini. Ingatkan budak-budak je. Nak kata tak tahu dosa pahala, syurga neraka dan hukum Allah, dah akil baligh dan beranak pinak dah pun. Mungkin terlalu jahil hinggakan tak pernah mentadabbur al-Quran ataupun belajar dan mendengar pendapat ulama'.

Islam itu sangatlah indah. Cuma penganut Islam saja yang tidak menghayatinya, lantas Islam itu digelakkan. Al-Quran dan As-Sunnah ada untuk dijadikan rujukan, bukannya kepala otak yang jahil. Harap-harap peristiwa ini tidaklah menjadi trend dan biarlah sedikit sahaja yang jahil dan bodoh dalam agama, bukan semua umat Islam. Wallahua'lam.

Tuesday, April 26, 2011

Program Motivasi Sains & Al-Quran SMA Nilai

NILAI, 24 April 2011 - Pada 23 dan 24 April 2011, telah berlangsungnya Program Motivasi Sains & Al-Quran di Sek. Men. Agama (SMA) Nilai, hasil kerjasama dengan Futuwwah Training & Consultancy. Program ini dihadiri oleh seramai 48 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 manakala dari pihak Futuwwah dihadiri oleh seramai 12 orang fasilitator.

Program bermula dengan Majlis Perasmian oleh Puan Aisyah, wakil guru SMA Nilai di samping ucapan guru kaunselor, Puan Siti Suria dan wakil Futuwwah iaitu Pengurus Besar, En. Abu Hanifah bin Mohd Kamal. Dalam majlis perasmian ini, pihak sekolah mengalu-alukan usaha Futuwwah dalam membantu memperbaiki akademik dan sahsiah para pelajar.

Sejurus majlis perasmian, program bermula dengan Ceramah 1 yang bertajuk "Sains & Al-Quran" yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Shahman bin Md Azmi, Senior Consultant Futuwwah. Dalam slot ini, dihidangkan aplikasi Sains menurut acuan Al-Quran dan sekaligus menarik minat para pelajar dalam mempelajari Sains dan Pengajian Al-Quran. Sesudah itu, para pelajar dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk slot LDK 1 iaitu "Menuju Puncak IPT" di mana slot ini, para fasilitator yang terdiri dari pelajar IPT dan golongan professional memberi gambaran tentang cabaran dalam mengharungi cabaran akademik ke IPT dan sekaligus memberi motivasi supaya memajukan diri dalam bidang akademik di samping menjaga imej sebagai seorang pelajar Muslim. Selepas solat Zuhur, para peserta terlibat dengan LDK 2 iaitu "Explorace Sains Solat" yang merupakan aktiviti luar di mana setiap kumpulan akan berlumba-lumba untuk menyelesaikan setiap check point. Pada setiap check point, setiap fasilitator akan menjelaskan tentang Sains Solat iaitu hikmah-hikmah yang terselindung sekiranya melakukan ibadah Solat. Pada malam hari, selepas Solat Isyak, berlangsung LDK 3 iaitu "Serangan Pemikiran" yang menerangkan usaha-usaha golongan musuh Islam yang sentiasa berlumba-lumba merosakkan pemikiran umat Islam tanpa disedari. Inilah antara slot yang perlu diberi penekanan untuk memastikan setiap peserta sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi cabaran di luar sana.

Pada keesokan harinya, seawal pukul 5.15 pagi, semua peserta dan fasilitator bangun pagi dan menunaikan ibadah Qiamullail secara berjemaah yang bertujuan mendekatkan hubungan diri dengan Allah. Selesai sarapan pagi, berlangsungnya slot Ceramah 2 iaitu "Kepentingan Tarbiyyah Kepada Pelajar" yang disampaikan oleh En. Abu Hanifah bin Mohd Kamal, Pengurus Besar Futuwwah. Dalam ceramah ini, diberinya penekanan tentang kerosakan ummat yang cukup hebat melanda manusia dan perlunya umat Islam bertindak agresif dengan melaksanakan program tarbiyyah secara konsisten dan berterusan. Tarbiyyah ini lah yang menjamin seseorang atau sesuatu terselamat dari kehancuran dan azab Allah. Selepas itu, slot yang terakhir berlangsung iaitu LDK 4 yang bertajuk "Peranan Pemuda". Dalam slot ini, setiap peserta diberikan gambaran tentang amanah yang perlu dipikul iaitu amanah kepada agama, Allah, ibu bapa, adik beradik, sekolah, guru-guru, rakan-rakan dan masyarakat. Ini kerana, hanya pemuda yang mampu bertindak dan mencorak masyarakat menjadi lebih baik.

Pada akhir program, berlangsungnya Majlis Penutup oleh Puan Rashidah, GPK SMA Nilai. Beliau secara terbuka menyatakan kerisauan sekiranya para pelajar keluar ke masyarakat kerana cabaran yang cukup hebat menanti mereka di luar sana. Beliau juga berharap agar program yang berlangsung ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar. Dalam majlis ini, turut disampaikan sijil dan cenderahari kepada semua fasilitator yang terlibat.


* Untuk gambar-gambar sepanjang program, sila layari 


ABU HANIFAH BIN MOHD KAMAL
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy

Tuesday, April 19, 2011

Audit

Bermula semalam hingga ke esok hari, berlangsungnya Audit Kualiti di syarikat saya, manakala di cawangan-cawangan lain, telah dilaksanakan pada minggu lepas. Bahagian saya sendiri diaudit pada hari semalam dan alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Melalui perlaksanaan audit kali ini, dapat dilakukan penambahbaikan di atas segala kekurangan dan kepincangan dalam sistem sesuatu bahagian.

Peranan setiap pekerja adalah: "Buat apa yang didokumenkan dan dokumenkan apa yang dibuat." Jika ini dilakukan, maka tiada sebarang masalah setiap kali menjelangnya audit.

Bahkan, dalam firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan" (As-Saff, 61: 2-3)

Dalam ayat di atas, sebenarnya, ditonjolkan kepentingan audit di dalam Islam ke atas setiap orang mukmin. Justeru, bagi setiap orang mukmin, perlaksanaan mestilah selaras dengan ucapan yang kita lafazkan. Jika tidak, bukan sahaja gagal audit yang dijalankan oleh Allah di akhirat kelak bahkan itulah perbuatan yang cukup dibenci oleh Allah.

Dalam sesuatu sistem tarbiyyah, cukup ditekankan tiga aspek iaitu Tilawah, Tazkiyyah dan Ta'lim (rujuk surah Al-Jumu'ah, 62: 2). Aspek Tazkiyyah iaitu penyucian jiwa adalah simbolik dalam menjaga kualiti seorang dai'e dari segi menjaga mutaba'ah ibadah seperti solat berjemaah, qiamullail, tilawah al-Quran dsb. Itulah sebabnya penjagaan ruhi seseorang itu amatlah penting dalam sistem tarbiyyah. Bahkan seseorang dai'e itu perlulah memandang serius aspek ini kerana ianya untuk dipersembahkan kepada Allah. Bukankah itu audit juga?

Jika dalam pekerjaan dunia memerlukan audit kualiti, apatah lagi kerja dakwah yang sepatutnya lebih ketat dan terkawal prosedurnya kerana melibatkan hubungan terus dengan Pencipta kita.

Sunday, April 10, 2011

Kebangkitan Total!

Setelah teruk diserang dan mengalami serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, lantas Jepun mengisytiharkan diri menarik diri dari Perang Dunia Kedua. Dengan kemusnahan teruk yang melanda negara mereka, mereka melakukan gerakan pemulihan supaya mereka bangkit pada suatu masa nanti. Mereka berikrar akan bangkit untuk menjadi kuasa besar dalam menakluk ekonomi dunia. Ianya terbukti apabila Jepun menjadi salah sebuah kuasa besar ekonomi dunia dan merupakan salah sebuah negara maju. Perubahan yang cukup besar dari segi ekonomi iaitu dalam sektor perindustrian dan kejuruteraan yang berdasarkan falsafah kerja yang mereka cipta sendiri.

Sesiapa yang pernah menjejakkan kaki ke Jepun pasti akan setuju dan kagum dengan sistem pengangkutan yang canggih, kemesraan penduduk tempatan, tatacara dalam berinteraksi, etika di jalan raya, kebersihan, ketepatan masa dan falsafah kerja yang terbaik. Semua orang tahu, dari mana asal-usul falsafah 5S yang dipraktikkan di hampir semua sektor perkerjaan. Juga Kiken Yochi Training - KYT (Hazard Prediction Training) yang popular dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) dan lain-lain lagi. Apakah rahsia kebangkitan rakyat Jepun ini?

Mengapa umat Islam khususnya di Malaysia ini, masih belum lagi membuat kebangkitan total seperti di Jepun? Tidak perlulah kita mengorek rahsia rakyat Jepun sedangkan pada Islam itu sendiri wujud rahsianya. Dengan kemusnahan moral dan akhlak seperti rasuah, fitnah, berzina, merompak, membunuh, buang anak dan tidak berdisiplin, tarbiyyah Islam itulah ubat yang paling mujarab yang mesti ditelan oleh setiap umat Islam. Tarbiyyah inilah yang dibawa oleh Rasulullah dalam menyelesaikan kemusnahan moral Arab jahiliyyah. Bahkan, apa yang dilakukan oleh rakyat Jepun sebenarnya terkandung dalam ajaran Islam dan telah lama dipraktikkan olah Rasulullah, para Sahabat, para Tabi'in dan golongan yang seterusnya.

Kita selalu melihat dan meuji kekuatan dan kehebatan sesuatu kaum, namun, kekuatan dan kehebatan itu sebenarnya ada pada diri kita dan agama kita tetapi tidak diaplikasikan atau tidak disedari. Inilah golongan yang jahil pada diri sendiri...

Tuesday, March 29, 2011

Out Station

Hari ini, baru pulang dari Kota Kinabalu, setelah 2 hari melakukan kerja-kerja pemeriksaan pendawaian elektrik bersama Chargeman di cawangan sana. Sesetengah orang amat gemar kerja-kerja yang melibatkan tugasan luar atau out station tapi tidak bagi saya. Tetapi, sebagai Eksekutif Fasiliti (Maintenance) dan Pegawai Aset syarikat, itu seolah-olah tidak dapat dielakkan. Cukup bimbang jika tugasan-tugasan luar ini akan mengganggu kerja-kerja dakwah seperti halaqah, daurah dan sebagainya.

Tetapi, jika dilihat dari sudut positif, out station ini juga boleh dimanfaatkan ke arah dakwah dan kebaikan. Boleh diambil iktibar kisah-kisah pedagang dari Arab, India dan China yang datang berdagang ke Tanah Melayu (out station), namun mampu berdakwah kepada semua masyarakat setempat.

Sama juga kisahnya kepada orang yang bekerja shift yang kononnya boleh mengganggu dakwah dan tarbiyyah. Namun, dulu, seorang sahabat yang bekerja sebagai Assistant Medical Officer (AMO), mampu saja hadir ke halaqah dan program dakwah walaupun bekerja secara shift. Titik tolaknya, bergantung pada kita.

Out station ini barangkali boleh menjadi medan yang cukup baik untuk dakwah fardiyah rakan sekerja yang lain. Tapi, harus diingat, mendakwahi orang yang sudah bekerja amatlah berlainan dan saya juga masih cuba memahami golongan sebegini. Golongan yang tidak solat, kaki perempuan, tidak puasa, pemabuk, kaki judi, kaki video lucah (golongan ini semakin ramai) dan macam-macam lagi. Untuk mengislahkan golongan ini, harus ada sifat mengasihi dan menyayangi mereka agar kita bersama-sama dengan mereka tidak terjerumus ke lembah neraka.

Meskipun cukup berat hati untuk out station, namun jika ia bermanfaat pada dakwah, JUST DO IT!!

Wednesday, March 23, 2011

Tahniah Kepada Semua Calon SPM 2010

Pihak Futuwwah Training & Consultancy merakamkan ucapan "Tahniah" kepada semua calon SPM 2010, terutama yang mendapat keputusan yang cemerlang.

Bagi yang kurang cemerlang, nasihat kami janganlah berputus asa kerana mungkin ada pelangi indah menanti di akhir ribut badai. Hadapilah musibah dan kedukaan dengan sabar dan shalat, seraya bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri. Janganlah ditiru perangainya sebahagian "ahlud dunia" yang menghadapi kegagalan dengan berbuat kemaksiatan.

Dengan keputusan yang diperolehi ini, diharapkan adik-adik redha, berbaik sangka dan terus-menerus mendekatkan diri dengan Allah di samping terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

 

Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy

Sunday, March 20, 2011

Kenyataan Rasmi Berkenaan Serangan Ke Atas Libya

Pihak Futuwwah Training & Consultancy mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak luar yang melakukan campur tangan dan serangan terhadap negara Libya yang mengakibatkan puluhan nyawa terbunuh dan ratusan cedera. Kami percaya bahawa kedaulatan sesebuah negara perlu dihormati dan tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya.

Krisis politik dan kepimpinan yang berlaku di negara Arab termasuk Libya sepatutnya diselesaikan mengikut saluran tertentu dan bukanlah dicampuri ataupun diceroboh oleh pihak luar sehingga mengorbankan rakyat jelata.

Kami turut menggesa agar serangan tersebut dihentikan dengan segera demi menghormati kedaulatan negara Libya. Kami juga turut menyeru agar Presiden Libya, Muammar Ghadafi turut mendengar suara rakyatnya, mengasihi mereka dan berhenti daripada terus bertindak menyerang rakyat yang tidak bersalah untuk mengelak krisis berpanjangan.

 

Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Pengurus Besar,
Futuwwah Training & Consultancy