Thursday, December 30, 2010

Harimau Malaya: Potensi Pemuda Terserlah

Subhanallah... Alhamdulillah... Astaghfirullahalazhim...
Syabas kepada Pasukan Bola Sepak Malaysia ataupun Harimau Malaya setelah merangkul kejuaraan Piala Suzuki AFF dengan menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2. Sudah lama rakyat Malaysia tidak bergembira dengan kejayaan bola sepak negara dan inilah saat-saat yang cukup dinantikan.

Meskipun kebanyakan pemain rata-rata berumur 23 tahun ke bawah, kecuali 3 pemain yang berumur 25 tahun ke atas, Harimau Malaya mampu menjinakkan pasukan Indonesia yang jauh lebih berpengalaman. Tanpa pemain yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa, tanpa pemain import dan hanya menggunakan potensi pemuda (syabab), kejuaraan masih boleh didakap.

Kebanyakan dari mereka dibentuk potensi sebagai pemain bola sepak sejak awal lagi; dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, seterusnya diserap ke pasukan Harimau Muda dan inilah hasilnya! Pembentukan yang cukup lama dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Bahkan, jika hendak menakluk Asia dan Dunia, maka usaha perlu digandakan dan kesabaran perlu lebih kuat dan pembentukan generasi pelapis sejak sekolah perlu diteruskan.

Begitulah contoh yang terbaik di depan mata. Hendak mentarbiyah dan menanam fikrah yang baik kepada seluruh masyarakat perlulah mengambil masa dan tiada salahnya dan tidak perlu dimalukan jika bermula di peringkat sekolah menengah. Bahkan, jika ia bermula lebih awal dari itu, adalah lebih baik. Namun, proses akan memakan masa yang cukup lama namun hasilnya, Insya Allah cukup manis untuk dinikmati oleh kesuluruhan masyarakat.

Tuesday, December 28, 2010

Nasionalisme Seorang Muslim

Nasionalisme dan Kegemilangan Silam
Jika nasionalisme yang dimaksudkan oleh mereka yang berbangga dengan semangat nasionalisme ialah generasi muktahir perlu menurut jejak generasi silam dalam membina hidup gemilang, dihormati, cemerlang, berkeyakinan tinggi dan menjadikan mereka sebagai contoh yang baik; Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kegemilangan seorang bapa menjadi kebanggaan seorang anak lantaran itu menjadi pembakar semangat dan perangsang. Jika kedua-dua ini yang dimaksudkan, ia adalah satu tujuan yang baik. Bukankah usaha kita membangkitkan hemah generasi masa kini bertujuan supaya mereka mencontohi kehebatan generasi silam.

Rasulullah bersabda: "Manusia ini seperti logam, orang yang terbaik di zaman jahiliyyah adalah orang yang terbaik di zaman Islam, jika mereka memahami."

Nasionalisme dan Ummah
Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah keluarga dan ummah adalah orang yang paling utama untuk menerima layanan baik dan orang yang paling utama dilimpahkan segala sumbangan dan jihad, maksud ini adalah benar. Siapakah yang tidak merasakan bahawa orang yang paling utama untuk menerima sumbangannya ialah bangsanya sendiri yang telah membesarkannya.

Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kita semua dituntut supaya berusaha dan berjihad, maka menjadi kewajipan setiap pihak untuk berusaha mencapai matlamat ini sehingga dengan izin Allah masing-masing mencapai kejayaan. Inilah pengagihan tugas yang terbaik. Siapa lagi kalau bukan kita yang membekalkan kepada umat Timur dengan pelbagai pasukan dan ketumbukan jihad dalam setiap lapangan sehingga kita bertemu semuanya dalam kemerdekaan dan kebebasan.

Nasionalisme Jahiliyyah
Menghidupkan kembali budaya jahiliyyah yang telah pupus; Mewujudkan semula sejarah yang telah lenyap dengan mengenepikan tamadun baik yang telah bertapak kukuh; Membuang semua yang ada kaitan dengan Islam semata-mata kerana semangat nasionalisme dan semangat kebangsaan seperti mana yang dilakukan oleh sesetengah mereka yang fanatik sehingga tahap menghancurkan semua imej Islam termasuk mengubah nama, huruf dan istilah yang digunakan dan menghidupkan semula budaya jahiliyyah yang telah sekian lama pupus. Jika inilah nasionalisme yang dimaksudkan, maka nasionalisme seperti ini tidak betul dan membawa kesan yang sangat buruk. Ia hanya membawa kerugian teruk kepada negara tersebut. Selain kehilangan segala warisannya dan merendahkan kedudukannya, negara tersebut akan kehilangan segala keistimewaan dan kesuciannya yang paling berharga. Namun, ia tidak sedikit pun akan mencemar agama Allah.

Firman Allah: "Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma), Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu." (Muhammad, 47: 38)

Nasionalisme dan Pencabulan
Jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah berbangga dengan bangsa sendiri hingga ke tahap merendahkan bangsa lain, memusuhi dan memanipulasi bangsa lain demi memartabatkan bangsa sendiri seperti yang dilakukan oleh jerman dan Itali atau mana-mana bangsa yang mendakwa mereka lebih istimewa berbanding bangsa lain, maka, maksud seperti ini adalah suatu yang keji malah bercanggah sama sekali dengan nilai peri kemanusiaan. Tindakan ini sebenarnya membawa maksud memanipulasi semua bangsa manusia demi mencapai suatu yang tidak pasti, suatu yang bukan hakiki dan tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa.

Dua Teras
Seseorang Muslim tidak perlu melaungkan semangat Firaun atau Phoenix atau Arab atau Syria atau ketuanan bangsa ataupun apa sahaja nama atau gelaran yang menjadi kebanggaan ramai manusia. Namun, kita patut menerima apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang merupakan seorang manusia yang sempurna  malah manusia terbaik yang mengajar perkara yang baik kepada manusia, sabda Baginda, maksudnya:

"Allah telah membersihkan kamu daripada nilai jahiliyyah dan budaya berbanggan dengan nenek moyang. Seluruh manusia berasal dari Adam dan Adam daripada tanah. Tiada kemuliaan bagi orang Arab berbanding bukan Arab kecuali dengan ketaqwaan"

Alangkah indah dan adilnya ungkapan ini. Semua manusia daripada Adam dan kerana itu mereka semua setaraf. Manusia hanya berbeza berdasarkan amalan mereka. jadi, sepatutnya mereka bersaing dalam melakukan kebaikan. Sekiranya dua teras ini menjadi landasan kepada bangsa manusia, sudah tentu martabat manusia akan meningkat hingga ke puncak langit.

Pertama: Semua manusia daripada Adam, jadi mereka semua adalah saudara. Oleh itu, mereka perlu saling bekerjasama, bahu membahu, berkasih sayang dan saling memimpin ke arah kebaikan.

Kedua: Perbezaan antara manusia hanyalah berdasarkan amalan mereka. Jadi, masing-masing perlu berusaha supaya dapat mengangkat martabat seluruh manusia.

Apakah ada perkara yang dapat mengangkat martabat seluruh manusia ke tahap ini? Apakah ada didikan yang lebih baik daripada didikan daripada Rasulullah s.a.w. ini?


*Dipetik dari Majmu' Rasa'il Imam Syahid Hasan al-Banna

Monday, December 20, 2010

Patriotisme Seorang Muslim

Cintakan Negara
Apa yang boleh kita huraikan tentang ideologi Patriotisme? Macam-macam jawapan boleh diberi seperti cintakan negara, taat kepada pemimpin, perjuangan menentang penjajah dan lain-lain lagi. Jika patriotisme yang dimaksudkan oleh para pejuang patriotisme ialah cintakan negara, rasa kasih dan rasa rindu atau seumpamanya, perasaan ini sememangnya tertanam dalam fitrah manusia dan bertepatan dengan perintah Islam. Bilal bin Rabah, walaupun beliau telah mengorbankan segala-galanya demi aqidah dan agamanya, beliau juga telah meluahkan rasa rindunya terhadap Mekah ketika di Madinah, melalui rangkap-rangkap syair yang amat indah dan sayu:

Alangkah indahnya jika aku dapat bermalam,
Di sebuah lembah dikelilingi oleh rumput rampai dan tumbuhan,
Dapatkah suatu hari nanti aku akan merasai kembali air kolam Majannah,
Dapatkah aku kembali menyaksikan gunung Shammah dan Tufail.

Suatu ketika Rasulullah s.a.w. terdengar kata-kata Usail yang cuba mengungkapkan keindaha Mekah. Air mata baginda mengalir kerana rindukan Mekah. Baginda bersabda: Usail, biarkanlah hati-hati in tenang.

Negara Yang Merdeka
Jika yang dimaksudkan ialah kewajipan berusaha sedaya upaya untuk membebaskan negara daripada penjajahan kolonialisme atau melakukan sesuatu ke arah mencapai kemerdekaan negara atau menanamkan harga diri atau semangat kemedekaan di dalam jiwa anak bangsa, maka, Islam amat-amat menegaskan perkara ini.

Firman Allah: "Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafiq itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenar)." (Al-Munafiqun, 63: 8)

Masyarakat Yang Bersatu
Jika yang dimaksudkan dengan patriotisme ialah mengukuhkan hubungan antara masyarakat dalam rantau yang sama dan memimpin mereka menggunakan hubungan ini untuk kepentingan mereka, maka, Islam melihat perkara ini sebenarnya satu kewajipan.

Rasulullah bersabda: "Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang saling bersaudara."

Penaklukan Negara
Jika yang dimaksudkan ialah menakluk negara lain dan menguasai bumi ini, ia merupakan suatu yang diwajibkan oleh Islam. Malah, Islam mengarahkan agar para penakluk supaya melakukan penaklukan dengan cara yang terbaik dan diberkati.

Firman Allah: "Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata." (Al-Anfal, 8: 39)

Budaya Berpuak dan Berparti
Jika patriotisme yang dimaksudkan ialah memecah belahkan ummah ini kepada beberapa puak yang saling bertelagah, saling berhasad dengki, saling caci-mencaci, saling tuduh-menuduh dan saling dendam-mendendam, bersatu dan berpecah berlandaskan fahaman ciptaan manusia yang didorong oleh hawa nafsu, diatur oleh matlamat yang berbeza, digerakkan oleh fahaman yang berlandaskan kepentingan peribadi. Dalam masa yang sama, pihak musuh mengambil kesempatan dengan menyemarakkan lagi api permusuhan. Musuh memecah belahkan mereka dalam perkara yang sepatutnya mereka bersatu dan menyatu padukan mereka dalam perkara yang tidak benar. Patriotisme seperti ini adalah karut dan tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada para pendokong dan juga orang ramai.

Matlamat Patriotisme Sebagai Seorang Muslim
Pertama: Apa yang membezakan ialah kita meletakkan sempadan patriotisme kita ialah aqidah. Sementara mereka meletakkan sempadan patriotisme mereka ialah sempadan geografi. Sebenarnya, setiap ceruk bumi yang terdapat seorang Muslim yang menyatakan, "Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah" ia adalah bumi dan tanah air yang kita hormati, hargai, cintai dan kita serahkan keikhlasan serta jihad kita demi kebaikannya. Sementara setiap orang Islam yang berada dalam kawasan geografi ini adalah keluarga dan saudara kita yang kita berikan perhatian dan berkongsi segala masalah mereka. Ini berbeza dengan pejuang patriotisme. Mereka hanya mengambil perhatian kepada sebidang tanah yang kecil dan sempit. Perbezaan ini lebih ketara apabila mereka berusaha memperkukuhkan kekuatan mereka dengan menindas bangsa lain. Kita tidak rela melakukannya jika ia menyebabkan penindasan kepada mana-mana bumi Islam. Kita hanya menuntut perkara yang membawa kekuatan kepada semua. Bagi pejuang patriotisme, mereka tidak melihat ini sebagai satu masalah. Maka, berlakulah keretakan dalam hubungan antara negara Islam, kekuatan negara Islam semakin lemah dan peperangan tercetus sesama sendiri akibat percaturan pihak musuh.

Kedua: Majoriti pejuang patriotisme meletakkan kemerdekaan negara mereka sebagai matlamat utama mereka. Malangnya, apabila mereka berusaha memajukan negara ini, mereka arahkan tumpuan mereka hanya kepada aspek kebendaan seperti yang dilakukan oleh Barat. Berbeza dengan kita, kerana kita meyakini sebagai seorang Muslim, kita memikul suatu amanah dan untuk itu, kita perlu mengorbankan nyawa, darah dan harta dalam usaha melaksanakan amanah itu iaitu memimpin manusia dengan cahaya Islam dan mengibarkan panji Islam ke seluruh pelusuk bumi. Ini dilakukan tanpa mengharapkan harta atau pangkat atau kuasa dan bukan berhasrat untuk menguasai mana-mana bangsa. Seorang Muslim hanya mahu mencari keredhaan Allah. Dengan agamanya, dia mahu membawa kesejahteraan untuk dunia ini dan mahu menegakkan suara agamanya. Atas dasar ini, para salafussoleh yang diredhai Allah telah melancarkan penaklukan suci yang pernah mengkagumkan dunia dan menampilkan contoh keadilan dan nilai mulia yang tidak pernah disaksikan oleh sejarah manusia. Begitulah keadaannya ketika Salahudin al-Ayyubi membebaskan Palestin dan Sultan Muhammad al-Fateh menawan Konstantinopel.

Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa Islam tidak menolak prinsip patriotisme, apatah lagi memecah belahkan perpaduan bangsa yang hidup berlatar belakangkan pelbagai agama. Islam sebagai agama perpaduan dan kesaksamaan sudah cukup untuk menjamin keharmonian antara semua anggota masyarakat sebagaimana mereka saling bekerjasama untuk kebaikan. Peranan pejuang patriotisme hanya setakat membebaskan dan mengembalikan kegemilangan negara sedangkan bagi pejuang Islam, usaha ini baru separuh jalan atau baru satu peringkat sahaja. Masih ada lagi usaha yang perlu dilakukan untuk memartabatkan panji negara Islam di seluruh muka bumi dan mengibarkan panji Islam di segenap tempat.

Firman Allah: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (Mumtahanah, 60: 8)


* Dipetik dari Majmu' Rasa'il Imam Syahid Hasan al-Banna

Sunday, December 19, 2010

Islam Agama Rahmat

Firman Allah: "Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam." (Al-Anbiya', 21: 107)

Sungguh bertuahnya kita apabila lahir-lahir saja, sudah menerima hidayah Islam. Nikmat yang tidak terkira hebatnya. Nikmat inilah yang memandu kita ke arah kebaikan, ke arah syurga dan juga ke arah kesempurnaan hidup kita. Seharusnya, Islamnya kita harus menjadikan diri kita tidak putus-putus berbangga dan bersyukur akan rahmat yang Allah kurniakan.

Bila berbicara "Islam menjadi rahmat seluruh alam", maka Islam itu membawa rahmat dan nikmat ke seluruh pelusuk bumi ini; merentasi kesemua benua, antara Timur dan Barat dan kepada seluruh kehidupan dan penciptaan dari sekecil-kecil zarah hinggalah ke sebesar-besar gunung-ganang. Maka, siapa saja, sama ada orang Islam, orang bukan Islam, orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Arab, pembesar kerajaan, peniaga kecil-kecilan, pesawah dan petani, Islam itu adalah milik semua yang tiada hak eksklusif kepada sebahagian golongan. Begitu juga, apa saja bentuk penciptaan seperti batu, pokok, besi, bangunan, sungai dan jalan raya, Islam juga membawa rahmat kepada golongan ini. Alangkah indahnya, sekiranya Islam itu dikaitkan dengan seluruh kehidupan.

Maka, tidak tepatlah, jika sebelum ini, ramai orang terutama orang Melayu berpendapat bahawa Islam itu hanyalah milik orang Islam, maka, tidak boleh orang bukan Islam membaca al-Quran dan sebagainya. Sepatutnya, berasa bangga jika Islam itu sudah mula menjadi rujukan kepada semua, seperti matlamat kita supaya Islam itu menjadi "World Order" ataupun "Ustaziyatul Alam".

Jadi, dengan mengetahui kehebatan dan kesyumulan Islam, maka mengapa harus malu-malu untuk declare keislaman kita dan mengapa masih lagi berpeluk tubuh dan tidak mahu berdakwah. Jadilah seperti Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat Baginda serta pendakwah-pendakwah Islam yang terdahulu yang mana nikmat yang mereka perolehi terlalu banyak dan tidak putus-putus hingga sekarang hasil usaha kerja dakwah mereka.

Bagaimana pula dengan kita?

Wednesday, December 8, 2010

Surah al-Nasr

Nama Surah:
Surah ini dinamakan surah al-Nasr kerana surah ini dibuka dan dimulakan dengan firman Allah (bermaksud): “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan.” Surah ini juga dinamakan dinamakan dengan pembukaan dan kemenangan (al-Futuh) sempena kota Makkah berjaya dibuka dan dikuasai. Ia juga dianamakan dengan surah al-Tawdi’ atau selamat tinggal.

Asbabun Nuzul:
Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan para imam yang lain daripada Ibnu Abbas berkata: Sesungguhnya Umar al-Khattab telah mengkategorikan aku bersama dengan tokoh-tokoh yang menyertai peperangan Badar. Pada suatu hari, Umar memanggil mereka termasuklah diriku (Ibnu Abbas). Ibnu Abbas berkata: “Pada hari tersebut, aku beranggapan bahawa Umar memanggil aku bersama mereka tidak lain hanya untuk membuktikan sesuatu yang penting kepada mereka.” Umar berkata: “Apa pandangan kaliansemua mengenai ayat Allah swt, (Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan)? Sebahagian daripada mereka menjawab: “Allah memerintahkan kita supaya bertasbih kepadaNya dan beristighfar apabila kita menang dan beroleh kejayaan.” Tetapi sebahagian daripada mereka hanya berdiam diri dan tidak berkata apa-apa. Lalu Umar pun bertanya kepadaku: “Apakah pandangan kamu sama dengan pandangan mereka, wahai Ibnu Abbas.” Maka aku pun menjawab: “Tidak.” Maka Umar pun bertanya lagi: “Kalau begitu, apa pandanganmu?” Aku menjawab: “Surah ini diturunkan sebagai tanda ajal Rasulullah saw telah hampir dan Allah memaklumkan hal tersebut kepada Baginda.” Lalu Umar berkata: “Aku pun faham seperti mana pemahaman engkau.”

Waktu Turun Surah:
Terdapat dua pandangan berhubung dengan persoalan ini:

Pertama: Pandangan yang menyatakan bahawa kota Makkah telah dibuka pada bulan Ramadhan tahun ke-8 Hijrah. Manakala surah ini diturunkan pada tahun ke-10 Hijrah. Diriwayatkan bahawa Baginda saw hidup selepas penurunan surah ini selama 70 hari. Oleh yang demikian, surah ini dinamakan sebagai surah pamitan atau al-Tawdi’ (selamat tinggal).

Kedua: Pandangan yang menyatakan bahawa surah ini diturunkan sebelum pembukaan Kota Makkah. Ini adalah janji Allah kepada Nabi untuk membantu Baginda mengalahkan penduduk Makkah, serta menakluki atau membuka kota Makkah dengan era Islam. Ayat yang seumpama ini ialah firman Allah swt (bermaksud): “Sesungguhnya yang mewajibkan atasmu (melaksanakan hokum-hukum) al-Quran, benar-benar akan mengembalikan kamu ke tempat kembali.” (al-Qasas, 28: 65). Ini menunjukkan keadaan yang akan berlaku di masa hadapan dan bukannya keadaan yang telah berlaku. Pemberitahuan berhubung dengan pembukaan kota Makkah adalah sebelum peristiwa tersebut berlaku. Perkhabaran ini menunjukkan mukjizat Nabi saw dan tanda nubuwwah Baginda sebagai seorang Rasul.

Perbahasan:
Firman Allah: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan.” (Al-Nasr, 110: 1)
Ayat ini membawa pengertian iaitu apabila engkau (wahai Muhammad saw) memperolehi pertolongan Allah dan bantuan-Nya untuk mengalahkan musuh Allah iaitu kafir Quraisy dan berjaya membuka kota Makkah, memantapkan kedudukanmu serta menguatkan perintahmu; maka bertasbihlah ke hadrat Allah iaitu dengan cara mengucapkan tahmid, menambah ibadah dan pujian kepada Allah atas limpahan nikmat-Nya kepadamu.

Signifikan (maksud) firman Allah swt: “Nasrullah”
Bahawa sesungguhnya kemenangan tidak akan berlaku kecuali daripada Allah swt. Malah pertolongan dan kemenangan tersebut tidak layak tiba selain daripada Allah swt. Tiada yang layak memberi pertolongan tersebut melainkan Allah swt. Ataupun tidak layak pertolongan tersebut melainkan dengan hikmah-Nya.

Firman Allah: “Dan engkau melihat manusia masuk agama Allah berbondong-bondong.” (al-Nasr, 110: 2)
Ertinya, bahawa engkau (Muhammad) melihat ramai dari kalangan bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain menganut agama Islam yang engkau bawa secara beramai-ramai. Sedangka sebelum ini, di peringkat awal Islam yang masuk memeluk agama Islam hanya individu; seorang ataupun berdua. Namun, akhirnya satu kabilah semuanya memeluk agama Islam.

Firman Allah: “Maka bertasbihlah memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat (hamba-Nya).” (al-Nasr, 110: 3)
Ayat ini bermaksud iaitu apabila kota Makkah berjaya dibuka dan Islam tersebar luas, maka hendaklah engkau bersyukur ke hadrat Allah swt di atas nikmat kurnian-Nya dengan mendirikan solat dan membersihkan nama-Nya daripada segala perkara yang tidak layak bagi Allah swt. Jauhkan diri dari segala sangka buruk bahawa tidak akan menunaikan janji-Nya memberi kemenangan kepadamu (melawan orang kafir). Gandingkan tahmid dengantasbih, justeru pertolongan dan kemenangan yang engkau perolehi adalah kurniaan Allah jua. Oleh itu, banyakkanlah puji-pujian bagi-Nya.

Pohonlah juga kepada Allah swt keampunan untuk dirimu dengan penih rasa tawadhuk dan rasa sesal kerana kecuaian diri juga sebagai pengajaran untuk umatmu. Mohonlah kempunan untuk pengikutmu yang sebahagian mereka runsing dan takut kerana lambatnya pertolongan daripada Allah swt. Sesungguhnya Allah sentiasa menerima taubat bagi orang yang memohon taubat kepada-Nya.

Saturday, November 27, 2010

26 Nov 2010: Hari Terakhir dan Hari Pertama

26 November 2010 adalah hari terakhir saya di syarikat pertama saya bekerja iaitu Taitsu Electronics (M) Sdn Bhd. Mula bekerja sejak 18 September 2006 dan pelbagai pengalaman yang diperolehi di sini dari segi pengalaman bekerja di kilang, disiplin kerja orang Jepun, politik di tempat kerja dan lain-lain. Bertugas di dalam Jabatan R&D selama 4 tahun lebih (assabiqun awwalun R&D) dan berperanan dalam pembangunan produk-produk baru untuk pelanggan seperti Matsushita, Toshiba, Panasonic, Samsung, LG, Fujitsu, Hitachi dan yang terbaru adalah Denso. Moga-moga, pengalaman ini akan terus mematangkan diri untuk bekerja di tempat baru bermula 1 Disember ini. Selalu juga berdoa agar dikurniakan kerjaya yang sesuai untuk diri, keluarga, agama dan kerjaya, dan harapnya inilah yang terbaik dikurniakan oleh Allah.

26 November 2010 juga adalah hari pertama saya bergelar seorang abah atau ayah. Alhamdulillah, isteri saya selamatkan melahirkan seorang mujahid lelaki (baby boy) seberat 3.3kg pada 4:30pm. Berpeluang menemani isteri dalam labour room dan barulah sedar betapa sakit dan peritnya emak melahirkan saya 27 tahun yang lepas. Begitu besar pengorbanan seorang ibu. Semoga kelahiran mujahid kecil ini menjadi perancak dalam dakwah yang saya dan isteri pikul dan memberi 1001 kebahagian dan kekuatan dalam mengharungi kehidupan mendatang. Semoga diberi kekuatan, kecerdikan dan kesabaran yang lebih kuat dalam menjadi seorang suami, seorang bapa, seorang anak, seorang hamba Allah dan seorang kuli dakwah.

Amin Ya Rabbal Alamin.... 

Sunday, November 14, 2010

10 Ciri Kader Handalan

Ada ungkapan yang mengatakan, “yang tidak memiliki tak kan bisa memberi”. Bagi seorang kader dakwah, ungkapan itu menggambarkan perlunya membentuk karakter yang memungkinkannya menjadi salah satu motor penggerak dakwah. Ini pula yang akan membedakannya dengan orang kebanyakan. Agar ia selalu bisa ’memberi’ di tengah kekacauan umat.

1. Salimul Aqidah (Aqidahnya Bersih)
Akidah adalah asas dari amal. Amal-amal yang baik dan diridhai Allah lahir dari aqidah yang bersih. Dari sini akan lahir pribadi-pribadi yang memiliki jiwa merdeka, keberanian yang tinggi, dan ketenangan. Sebab, tak ada ikatan dunia yang mampu membelenggunya, kecuali ikatan kepada Allah swt. Seorang kader dakwah yang baik akan selalu menjaga kemurnian aqidahnya dengan memperhatikan amalan-amalan yang bisa mencederai keimanan dan mendatangkan kemusyrikan. Sebaliknya, selalu berusaha melakukan amalan-amalan yang senantiasa meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah swt.
Aplikasi: Senantiasa bertaqorrub (menjalin hubungan) dengan Allah, ikhlas dalam setiap amal, mengingat hari akhir dan bersiap diri menghadapinya, melaksanakan ibadah wajib dan sunnah, dzikrullah di setiap waktu dan keadaan, menjauhi praktik yang membawa pada kemusyrikan.

2. Shahihul Ibadah (Ibadahnya Benar)
Ibadah, wajib dan sunnah, merupakan sarana komunikasi seorang hamba dengan Allah swt. Kedekatan seorang hamba ditentukan oleh intensitas ibadahnya. Ibadah menjadi salah satu pintu masuk kemenangan dakwah. Sebab, ibadah yang dilakukan dengan ihsan akan mendatangkan kecintaan Allah swt. Dan kecintaan Allah akan mendatangkan pertolongan.
Aplikasi: Menjaga kesucian jiwa, berada dalam keadaan berwudhu di setiap keadaan, khusyu dalam shalat, menjaga waktu-waktu shalat, biasakan shalat berjamaah di masjid, laksanakan shalat sunnah, tilawah al-Qur’an dengan bacaan yang baik, puasa Ramadhan, laksanakan haji jika ada kesempatan.

3. Matinul Khuluq (Akhlaqnya Tegar)
Seorang kader dakwah harus ber-iltizam dengan akhlaq islam. Sekaligus memberikan gambaran yang benar dan menjadi qudwah (teladan) dalam berperilaku. Kesalahan khuliqiyah pada seorang kader dakwah akan berdampak terhadap keberhasilan dakwah.
Aplikasi: Tidak takabur, tidak dusta, tidak mencibir dengan isyarat apapun, tidak menghina dan meremehkan orang lain, memenuhi janji menghindari hal yang sia-sia, pemberani, memuliakan tetangga. Bersungguh-sungguh dalam bekerja, menjenguk orang sakit, sedkit bercanda, tawadhu tanpa merendahkan diri.

4. Qadirul’alal Kasb (Kemampuan Berpenghasilan)
Kita mengenal prinsip dakwah yang berbunyi ”shunduquna juyubuna (sumber kewangan kita dari kantong kita sendiri)”. Yang bererti setiap kader harus menyadari bahwa dakwah membutuhkan pengorbanan harta. Oleh karena itu setiap kader dakwah harus senantiasa bekerja dan berpenghasilan dengan cara yang halal. Tidak menjadikan dakwah sebagai sumber kehidupan.
Aplikasi: Menjauhi sumber penghasilan haram, menjauhi riba, membayar riba, membayar zakat, menabung meski sedikit, tidak menunda hak dalam melaksanakan hak orang lain, bekerja dan berpenghasilan, tidak berambisi menjadi pegawai negeri. Mengutamakan produk umat Islam, tidak membelanjakan harta kepada non-muslim.

5. Mutsaqaful Fiqr (Fikirannya Intelek)
Intelektualitas seorang kader dakwah menjadi salah satu faktor penentu keberhasilan dakwah. Sejarah para nabi juga memperlihatkan hal itu. Kita melihat bagaimana ketinggian intelektualitas Nabi Ibrahim, dengan bimbingan wahyu, mampu mematahkan argumentasi Namrud. Begitu pula kecerdasan Rasul dalam mengemban amanah dakwahnya, sehingga ia digelari fathonah (orang yang cerdas).
Aplikasi: Baik dalam membaca dan menulis. Upayakan mampu berbahasa Arab, menguasai hal-hal tertentu dalam masalah fiqih seperti shalat, thaharah dan puasa, memahami syumuliatul Islam, memahami ghazwul fikri, mengetahui problematika kaum nasional dan internasional, menghafal al-Qur’an dan hadits, memiliki perpustakaan pribadi sekecil apapun.

6. Qawiyul Jism (Fizikalnya Kuat)
Beban dakwah yang diemban para kader dakwah sangat berat. Kekuatan ruhiyah dan fikriyah saja tidak cukup untuk mengemban amanah itu. Harus ditopang oleh kekuatan fizik yang prima. Sejumlah keterangan al-Qur’an dan Hadits menjelaskan betapa pentingnya aspek ini.
Aplikasi: Bersih pakaian, badan dan tempat tinggal, menjaga adab makan dan minum sesuai dengan sunnah, berolahraga, bangun sebelum fajar, tidak merokok, selektif dalam memilih produk makanan, hindari makanan/minuman yang menimbulkan ketagihan, puasa sunnah dan memeriksakan kesihatan.

7. Mujahidu Linafsihi (Bersungguh-sungguh)
Bersungguh-sungguh adalah salah satu ciri orang mukmin. Tak ada keberhasilan yang diperoleh tanpa kesungguhan. Kesedaran bahwa kehidupan manusia di dunia ini sangat singkat, dan kehidupan abadi adalah kehidupan akhirat, akan melahirkan kesungguhan dalam menjalani kehidupan.
Aplikasi: Menjauhi segala yang haram, menjauhi tempet-tempat maksiat, memerangi dorongan nafsu, selalu menyertakan niat jihad, hindari mengkonsumsi yang mubah, menyumbangkan harta untuk amal islami, menyesuaikan perkataan dengan perbuatan, memenuhi janji, sabar, berani menegakkan amar ma’ruf nahi munkar.

8. Munazham Fi Syu’unihi (Teratur Dalam Semua Urusannya)
Seorang kader dakwah harus mampu membangun keteraturan dalam kehidupan pribadi dan keluarganya agar bisa menghadapi persoalan umat yang rumit dan kompleks.
Apalikasi: Memperbaiki penampilan, jadikan shalat sebagai penata waktu, teratur di dalam rumah dan tempat kerjanya, disiplin dalam bekerja, memprogram semua urusan, berpikir secara ilmiah untuk memecahkan persoalan, tepat waktu dan teratur.

9. Haritsun ’Ala Waqtihi (Efisyen Menjaga Waktu)
Untuk menggambarkan betapa pentingnya waktu, ada pepatah mengatakan ”waktu ibarat pedang”. Bila tak mampu dimanfaatkan maka pedang waktu akan menebas leher kita sendiri. Seorang kader harus mampu seefektif mungkin memanfaatkan waktu yang terus bergerak. Tak boleh ada yang terbuang percuma.
Aplikasi: Bangun pagi, menghabiskan waktu untuk belajar, mempersingkat semua urusan (tidak bertele-tele). Mengisi waktu dengan hal-hal yang bermanfaat, tidak tidur setelah fajar.

10. Nafi’un Lighairihi (Berguna Bagi Orang Lain)
Rasul menggambarkan kehidupan seorang mukmin itu seperti lebah yang akan memberi manfaat pada lingkungan sekitarnya. Kader dakwah memberi manfaat karena setiap ucapan dan gerakannya akan menjadi teladan bagi sekitarnya.
Aplikasi: Melaksanakan hak orang tua, ikut berpartisipasi dalam kegembiraan, membantu yang membutuhkan, menikah dengan pasangan yang sesuai, komitmen dengan adab Islam di dalam rumah, melaksanakan hak-hak pasangannya (suami-istri), melaksanakan hak-hak anak, memberi hadiah pada tetangga, mendo’akan yang bersin.