Tuesday, October 11, 2011

Kebanjiran Pasar Raya, Peniaga Kecil Sengsara

Dalam meniti kemajuan negara, ada kalanya kita dihidangkan dengan pembangunan yang cukup pesat. Maka, muncullah pusat-pusat perniagaan dan pusat-pusat akademik untuk memastikan masyarakat merasai kenikmatan pembangunan ini. Cuma, agak malang sekiranya pembangunan dan kemajuan tersebut tidak seimbang di antara input pusat-pusat perniagaan dan output pusat-pusat akademik.

Rata-rata, di setiap bandar besar di Malaysia ini akan wujud lambakan jenis Pasar Raya termasuklah di tempat saya iaitu di Seremban. Rasanya, masyarakat sudah mengenali Giant, Tesco, Carefour, Econsave, Mydin, The Store, Jaya Jusco dan Family Store. Masakan tidak, kerana kerap dikunjungi dan dihidangkan dengan harga yang cukup hebat seperti harga borong. Kebanjiran Pasar Raya ini menyebabkan peniaga-peniaga kecil sengsara dan merana. Mana mungkin peniaga kecil atau kedai runcit mampu menandingi harga-harga seperti yang ditawarkan oleh Pasar Raya. Mustahil! Usah kata menandingi, menghampiri pun belum pasti. Di Seremban sendiri yang tidaklah sebesar mana pun dipenuhi oleh kesemua Pasar Raya yang disebutkan tadi. Macam mana peniaga kecil nak hidup?

Saya cuma terfikir, mengapa dasar-dasar ekonomi kita tidak menjurus menggalakkan belia dan beliawanis untuk menjadi pengurus perniagaan ataupun menjadi taukeh (bahasa kampung)? Sedangkan di IKM, Politeknik, Giat Mara dan Universiti ditawarkan kursus perniagaan yang sepatutnya menggalakkan dan melahirkan graduan yang berniaga. Bukan hanya kerja makan gaji di Pasar Raya entah sampai bila. Sepatutnya golongan ini dan juga golongan yang berminat untuk berniaga digalakkan dan diberi bantuan untuk berniaga sama ada dari segi kewangan, tempat, tunjuk ajar dan sebagainya. Sampai bila kita nak bergantung harap kepada Pasar Raya import kerana kebanyakannya adalah pelaburan asing. Pelaburan asing memang menguntungkan tetapi jangan sampai menjejaskan ekonomi rakyat kita sendiri. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sendiri pun masih belum mampu menandingi produk-produk luar, inikan pula peniaga kecil sudah pasti kelemasan apabila Pasar Raya membanjiri sesebuah kawasan.

Sekiranya graduan-graduan dari IKM, Politeknik, Giat Mara dan Universiti ditumpukan dalam membangunkan produk IKS dan perniagaan seperti peruncitan, fesyen, restoran, katering, bakeri, servis kenderaan dan telekomunikasi, Insya Allah kita mampu membangunkan ekonomi kita sendiri dan tidak mustahil mampu mengeksport perniagaan kita ke luar negara.

Saya mencadangkan agar perlu dibuat dasar keperluan sesebuah Pasar Raya beroperasi di sesebuah kawasan atau bandar sama ada melalui keluasan bandar atau jumlah penduduk. Juga perlu dasar untuk memanfaatkan graduan dalam bidang perniagaan ini untuk mewujudkan momentum IKS dan perniagaan sendiri dalam keadaan dunia sebenar.

Wallahua'lam...


*Artikel ini telah dihantar ke editor akhbar iaitu Utusan Malaysia, Berita Harian, Sinar Harian dan Harakah pada 10 Ogos 2011.

Monday, October 10, 2011

Allah Di Mana-Mana

Pada suatu hari, saat di penjara Mesir, seorang pengawal penjara membawa Sheikh Mustafa Masyhur bersama seorang anggota usrahnya yang tidak hilang-hilang gementar dan kengerian melihat penyiksaan yang luar biasa di luar batas manusia. Lantas, si anak usrah itu melontarkan persoalan kepada sheikh "Ya Naqib, bagaimana nasib kita bila mereka melemparkan kita ke sarang serigala lapar atau lubang busuk tanpa kehidupan?" Sheikh Mustafa Masyhur menjawab "Mereka dapat membuang kita ke tempat manapun yang kita takuti, namun ketahuilah mereka tak akan mampu membuang kita ke tempat yang tidak ada Allah."

Nah. Demikianlah jawapan sang murrabi yang jernih fikrahnya. Syu'ur (perasaan) yang sentiasa merasai maiyyatullah. Yakni kebersamaan Allah 'azzawajalla pada setiap saat dan ketika, dalam apa jua kondisi. Apa sahaja si musuh lakukan pada jasadnya tidak ada guna. Kerana syurganya. Kebahagiaan dan hartanya yang paling bernilai berada di dalam hati. Ghayah (tujuan) nya hanyalah redha Allah. Dan hanya dengan redha ini dia akan mendapat keberuntungan yang besar. "Dan keridhaan Allah lebih besar, itu adalah keberuntungan yang besar." (At-Taubah, 9: 72 )

Namun demikian perasaan maiyyatullah ini tidaklah hadir secara spontan. Ianya hanya wujud pada mereka yang beriman kepada Allah. Hasil dari ma'rifatullah (mengenal Allah). Ya. Mana mungkin bagi seseorang itu merasai kehadiran sesuatu tanpa mengenalnya terlebih dahulu. Teringat kata-kata seorang ulamak, "Awwaluddin Ma'rifatullah." Awal agama itu adalah mengenal Allah.

Wallahua'lam..


Sumber: Fiqh Dakwah, Sheikh Mustafa Masyhur (Kata pengantar oleh K.H. Rahmat Abdullah)

Saturday, October 8, 2011

Optimis Dalam Dakwah

Beberapa minggu lepas, rasanya jiwa ini terlalu kusut berikutan macam-macam masalah yang timbul. Tragedi September yang tidak dirancang dan tidak dijangka, turut menambah kekusutan sedia ada yang turut menuntut pelbagai solusi dan pertimbangan untuk plan dakwah pada masa hadapan.

Firman Allah: "Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah, 2: 216) 

"Apa yang berlaku adalah normal dalam melakukan kerja dakwah." pesan seorang ikhwah kepada saya.

"Barangkali, semua itu ada hikmahnya." bisik hati kecil saya. 

"Barangkali, semua itu untuk mematangkan diri dalam dakwah." bisik hati kecil saya lagi.

Kini, emosi sudah kembali pulih dan Insya Allah lebih baik daripada sebelum-sebelum ini. Sudah boleh tersenyum indah dan jiwa ini rasa bebas, sebebas-bebasnya. Itulah pentingnya ukhwah. Ukhwah yang memantapkan diri dan menjamin keistiqamahan dalam dakwah. Sebagai seorang dai'e, kita perlu sentiasa optimis dengan peluang yang terhidang di depan mata dan kemampuan ikhwah/akhwat di sekeliling kita.

Firman Allah: "Allah telah menjanjikan kepada orang-oang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka dengan agama yang telah Dia redhai. Dan Dia benar-benar mengubah (keadaan) mereka, setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka (tetap) menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu pun. Tetapi barang siapa (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik." (An-Nur, 24: 55)

Bola kini di kaki. Perlu disepak, disambut, digelecek dan dijaringkan ke arah sasaran. Dalam dakwah, sasaran kita adalah masyarakat sekeliling kita. Usah peduli hal-hal remeh yang tiada kesudahan yang merencatkan dakwah kita. Membiarkan masalah tanpa perubahan tidak akan menyelesaikan masalah, malah masalah akan datang bertimpa-timpa.

Yakinlah dengan janji-janji Allah. Insya Allah, Allah bersama-sama kita dan Allah tidak akan sia-siakan usaha kita.

Tuesday, October 4, 2011

Hadith 40 Al-Aqsa: Hadith 2



English Version:

Hadith 2: The Importance of Visiting Masjid Al-Aqsa
Abu Hurairah (r.a.) relates that the Prophet (s.a.w.) said, "You should not undertake a special journey to visit any place other than the following three Masjids with the expectations of getting greater reward: the Sacred Masjid of Makkah (Ka'bah), this Masjid of mine (the Prophet's Masjid in Madinah) and Masjid Al-Aqsa (of Jerusalem)." In another narration the words are, "For three Masjids a special journey may be undertaken: The Sacred Masjid (Ka'bah), my Masjid and Masjid of Jerusalem (Al-Aqsa). (Muslim, Bukhari and Abu Dawud)


Versi Melayu:

Hadith 2: Kepentingan Menziarahi Masjid Al-Aqsa
Abu Hurairah (r.a.) berkata, Nabi Muhammad (s.a.w.) bersabda, "Kamu tidak seharusnya mengambil mudah berkaitan perjalanan yang istimewa untuk menziarahi mana-mana tempat selain dari tiga masjid dengan harapan mendapat ganjaran yang besar: Masjidil Haram (Kaabah), Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa." Dalam penceritaan yang lain, "Untuk tiga masjid ini, dijanjikan perjalanan yang istimewa: Masjidil Haram (Kaabah), Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. (Riwayat Muslim, Bukhari dan Abu Dawud)



* Versi Melayu diterjemah oleh penulis. Mohon pembaikan jika berlaku kesilapan

Tuesday, September 27, 2011

Peribadi Rasulullah: Makan Cara Rasulullah



Hadith 1: Abu Ayub al-Ansari r.a. berkata: "Suatu hari, kami sedang duduk bersama-sama Rasulullah s.a.w. Baginda pun menyuakan makanan kepada kami. Tidak pernah kulihat makanan yang lebih besar berkatnya daripada makanan itu pada awal kami memakannya. Namun tidak pernah pula ku lihat makanan yang lebih sedikit berkatnya daripada makanan itu pada saat terakhir kami memakannya. Kami bertanya, 'Wahai Rasulullah, bagaimana hal ini boleh terjadi?' Baginda menjawab, 'Kita menyebut nama Allah ketika kita mulai makan. Tetapi, kemudian ada orang yang duduk lalu makan tanpa menyebut nama Allah. Maka syaitan pun makan bersamanya.'" (Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Bagawi)

Hadith 2: A'isyah r.ha berkata: "Rasulullah s.a.w. pernah makan bersama enam orang sahabat Baginda. Tiba-tiba seorang Badwi datang dan ikut makan bersama mereka sebanyak dua suapan. Melihat hal itu, Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Seandainya dia menyebut nama Allah, nescaya makanan ini cukup untuk maku semua.'" (Riwayat Tirmizi, Darimi, Ahmad dan Bagawi)

Hadith 3: Jabir r.a. berkata: "Suatu hari, aku  menemui Rasulullah s.a.w. dan melihat buah labu dipotong-potong. Aku bertanya, 'Kenapa buah ini dipotong-potong?' Baginda menjawab, 'Untuk memperbanyak makanan kita.'" (Riwayat Ibnu Majah dan Nasa'i)

Hadith 4: Anas bin Malik r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang menyukai buah labu. Maka, setiap kali disuakan makanan atau diundang dalam jamuan, aku selalu mengikuti dan menyuakan buah labu di hadapan Baginda kerana aku tahu Baginda menyukainya." (Riwayat Ahmad, Darimi, Nasa'i dan Abu Dawud)


Sumber: Majalah Gen-Q (Isu 02)

Sunday, September 25, 2011

Sabar

"Bersabarlah!" Itulah ungkapan yang sesuai untuk diungkapkan ketika seseorang menghadapi musibah. Bahkan itulah yang diajarkan oleh Islam pada setiap kali menghadapi dugaan dan menerima musibah. Mungkin sesetengah orang berkata, "Cakap memang senang, cuba kalau kau yang kene!" Justeru itu, apa lagi nasihat yang paling sesuai selain bersabar?

Rasulullah sendiri pernah diherdik oleh seorang wanita yang meratap di atas perkuburan apabila baginda menasihati wanita tersebut bersabar. Namun akhirnya, wanita tersebut memohon ampun setelah mengetahui bahawa lelaki tersebut ialah Rasulullah.

Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung." (Ali-Imran, 3: 200)

Dalam firman Allah tersebut, Allah Taala bukan sahaja suruh kita bersabar bahkan memperkuatkan kesabaran. Ternyata ayat ini ditujukan khas kepada orang-orang beriman dan pejuang-pejuang kebenaran. Bukan mudah untuk kita menyampaikan kebenaran dan isitqamah di jalannya tanpa kesabaran yang utuh.


MENGAPA PERLU BERSABAR?

1) Amalan Paling Baik dan Mulia

Firman Allah: "Tetapi barang siapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (Asy-Syura, 42: 43)


2) Taat & Menjauhi Maksiat

Sikap sabar menjadikan seseorang itu taat kepada dan tidak mudah mendekati maksiat. Terselamatlah golongan yang banyak bersabar ini daripada sifat-sifat mazmumah seperti sikap marah, merajuk dan bergaduh.


3) Diuji Semua Segi

Bagi pejuang-pejuang kebenaran ataupun pendakwah, perlu diingat bahawa keberadaan kita dalam jalan dakwah bukanlah dalam keadaan yang selesa ataupun disambut dengan karpet merah dan sebagainya. Keberadaan kita dalam dakwah semestinya berhadapan dengan ujian yang cukup hebat dari semua segi, di mana yang mampu meneguhkan kedudukan kita adalah dengan memperbanyakkan sikap sabar.

Firman Allah: "Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, 2: 155)


4) Pahala Tanpa Batas

Firman Allah: "Katakanlah (Muhammad), 'Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhanmu!' Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas." (Az-Zumar, 39: 10)


5) Nyata & Terbukti Berjuang

Orang-orang yang sabar adalah golongan yang terbukti berjuang di jalan-Nya. Maka, Allah akan terus menguji golongan tersebut sehinggalah mereka tetap sabar dan thabat pada jalan Allah. Inilah yang ditunjukkan oleh Rasul Ulul Azmi seperti Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Ibrahim.

Firman Allah: "Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar berjihad dan bersabar di antara kamu dan akan Kami uji perihal kamu." (Muhammad, 47: 31)


6) Bantuan Allah

Pernah tidak kita terfikir mengapa doa kita tidak atau lambat dimakbulkan oleh Allah? Barangkali kerana dosa-dosa yang kita lakukan atau tidak sabarnya kita dalam memohon pertolongan Allah. Maka, sifat sabar adalah di antara syarat-syarat untuk kita mendapat bantuan dari Allah.

Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, 2: 153)


Wallahua'lam

Monday, August 29, 2011

'Eid Mubarak

Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
La Ilaha Illallahu Wallahu Akbar
Allahu Akbar Walillah Ilham

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya 'Eidul Fitri kepada semua pengunjung blog http://imam-abuhanifah.blogspot.com/. Taqabbalallaahu Minna wa Minkum.


Ikhlas daripada:
Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Norashidah bt Samsudin
Amirul Mukminin Hanifah bin Abu Hanifah