Monday, December 5, 2016

Konvokesyen

Setiap penghujung tahun, kebiasaannya adalah masa berlangsungnya Konvokesyen bagi Universiti dan Kolej untuk pengiktirafan para graduan yang telah selesai pembelajarannya sama ada Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah.

Maka, Konvokesyen ini adalah antara kenangan yang paling indah dan paling diingati bagi seseorang yang pernah bergelar graduan. Kita akan lihat sebuah perhimpunan yang begitu harmoni dan nostalgia yang penuh dengan protokol, penganugerahan skrol ijazah dari VVIP, hadirin semua bergembira, bergambar dengan ahli keluarga dan sesama graduan serta menerima ucapan tahniah dan hadiah tanda kegembiraan.

Maka, boleh dikatakan, ianya sebuah simbol kejayaan bagi para graduan setelah berhempas pulas dalam pelajaran demi kejayaan dan kegembiraan diri dan keluarga.

Justeru itu, adakah kita mampu membayangi keadaan kita pada Konvokesyen di akhirat kelak? Bagaimana pula dengan pengiktirafan Allah Taala di atas segala amal kita di dunia ini, sama ada diterima atau tidak?

Firman Allah: "Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban - beban berat (yang dikandungnya). Dan manusia bertanya, 'Mengapa bumi jadi begini?'. Pada hari itu bumi menceritakan beritanya. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang demikian itu) kepadanya. Pada hari itu, manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka." (Al-Zalzalah, 1 - 6)

Begitulah lumrah kehidupan kita di dunia. Kovokesyen Universiti adalah seumpama kejayaan yang sementara di dunia. Ianya terhenti di situ saja. Bagi yang berjaya, akan menjadi batu loncatan pada masa hadapan. Namun, bagi yang gagal, peluang tidak tertutup di situ saja. Masih ada ruang lain untuk kita perbaiki dan mencapai kejayaan. Berbeza dengan Konvokesyen di Akhirat pula. Pada saat itu, terhenti segala kegembiraan kerana risau akan perhitungan amal masing-masing. Bagi yang lepas perhitungannya, Syurga menanti. Bagi yang gagal pula, tiada lagi peluang kedua dan akan dicampakkan ke Neraka Jahannam.

Maka, di kala ada yang berseronok dengan Konvokesyen Universiti, hitungilah amal kita dalam menuju Konvokesyen di Akhirat nanti. Jika kita sanggup berhempas pulas untuk mendapat pengiktirafan di Konvokesyen Universiti, pastikan diri kita tidak lalai dalam menghadapi Sang Pencipta di Konvokesyen di Akhirat kelak.

Wallahua'lam

Saturday, October 29, 2016

Graduan Sarjana

Alhamdulillah dengan segala rahmat dan pertolongan yang Allah berikan untuk saya menyelesaikan pelajaran saya di peringkat Sarjana. Akhirnya, berjaya juga saya menggapai Ijazah Master Sains Kejuruteraan Aerongkasa dari Universiti Putra Malaysia.

Bukan sesuatu yang mudah apabila membuat keputusan belajar secara sambilan (Part Time) di samping kerjaya sebagai Jurutera, terlibat aktif di dalam NGO dan menguruskan keluarga dan anak-anak. Apatah lagi apabila saya menyambung di dalam mod Penyelidikan (Research), sedangkan kebanyakan orang yang bekerja hanya berani untuk sambung belajar di dalam mod Kelas (Course Work).

Sebenarnya, tiada apa yang layak digapai melainkan kesemua ini adalah kurniaan dari Allah. Saya masih ingat ketika mengerah keringat menyiapkan tesis pada semester akhir; dan ketika bulan terakhir semester, sibuk pula membantu isteri menguruskan kelahiran anak kedua. Juga di dalam kegentingan bertarung di dalam Viva selama hampir 3 jam! Rezeki anak barangkali...

Pesan saya bagi ahli usrah dan sahabat di dalam Dakwah dan Tarbiyah, jangan jadikan alasan kerja dan sambung belajar itu untuk kita bermalas-malasan atau berlengah-lengah di dalam dakwah. Dakwah dan Tarbiyah itu lah denyut nadi kita. Saya sendiri menganggap kejayaan yang saya capai ini adalah bantuan dari Allah sepenuhnya yang berpunca dari kerja-kerja Dakwah dan Tarbiyah yang dilakukan selama ini. Allah tidak akan pernah menghampakan Hamba-Nya.

Di saat ini, saya sedang membuat pertimbangan untuk menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan moga Allah membuka jalan yang seluas-luasnya untuk perjalanan hidup saya pada masa hadapan.

Amiin...



Tuesday, October 4, 2016

Pentaksir Ruang


Link di atas menghuraikan berkaitan taktikal di dalam bola sepak, dan sekaligus menarik minat saya untuk menulis artikel kali ini. Rupa-rupanya, taktikal bola sepak ini sangat luas, dan bergantung bagaimana fungsi jurulatih atau pengurus pasukan dalam memposisikan mengikut kekuatan dan kemampuan anak buahnya. Sedikit sebanyak, ada kaitan dengan artikel saya sebelum ini - Murobbi Itu Juga Seorang Jurulatih

Raumdeuter bermaksud pentaksir ruang atau space investigator. Perkataan ini diilhamkan daripada perkataan traumdeuter yang bermaksud 'pentafsir mimpi' dalam bahasa Jerman. 

Apabila kita menyebut tentang taktikal, boleh dikatakan ianya wujud hasil dari ilham atau cetusan idea baru bagi mempelbagaikan aspek ini. Inilah hasil dari 'bacaan' orang-orang yang berpengalaman. Bagi mengatasi musuh dan lawan yang pelbagai, banyak inovasi yang wujud untuk digunakan. 

Maka, taktikal pentaksir ruang ini merupakan antara kaedah yang digunakan oleh Louis Van Gaal ketika membimbing Bayern Munich. Dan, bukannya mudah untuk dilaksanakannya kerana hanya Thomas Muller saja yang setakat ini mampu berperanan penuh dalam menjayakannya. Tidak semestinya pantas dan handal mengawal bola, tetapi beliau bebas dan bijak menghidu dan mentaksir ruang untuk menjaringkan gol. 

Maksud mentaksir ruang adalah "Muller akan membaca serangan pasukannya sambil mencari ruang untuk menjaringkan gol dari mana-mana arah! Kedengarannya mudah tetapi memerlukan kebijaksanaan yang tinggi. Muller diibaratkan boleh masuk ke dalam kawasan yang sebesar lubang jarum sekalipun untuk menjaringkan gol."


(Analisis Lokasi Jaringan Thomas Muller)


Mentaksir Ruang Dakwah

Justeru itu, di dalam dunia dakwah dan tarbiyah, alangkah indahnya jika seorang dai'e mampu menjadi seperti seorang Thomas Muller. Dia mampu membuat bacaan medan, mampu melihat ruang dakwah di sesuatu tempat, dan bijak mengambil ruang untuk pertumbuhan dakwah. Letak saja di mana-mana medan, dia mampu menggerakkan gerak kerja dakwah dengan baik.

Ramai orang memberikan alasan bahawa dakwah itu sukar namun sebenarnya bagi orang yang bijak mentaksir ruang, dia akan melaksanakan pelbagai kaedah untuk menarik mad'unya. Menyapa, memberi salam, senyum, bersembang, ajak bersukan dan belanja makan hingga hati seseorang mad'u itu tertarik pada Islam.

Firman Allah: "Lalu sesungguhnya aku menyeru mereka dengan cara terang-terangan. Kemudian, aku menyeru mereka secara terbuka dan dengan diam-diam." (Nuh, 71: 8 - 9) 

Nah, Nabi Nuh sendiri mempelbagaikan kaedah dakwah dalam menyantuni umatnya! Berdakwah pada masyarakat dengan pelbagai lapisan umur memberikan petunjuk bahawa pelbagai kaedah perlu dilaksanakan. Remaja, Siswa, Belia, Pekerja Kilang, Mat Motor, Veteran, Wanita dan Orang Kampung memerlukan kaedah yang berbeza untuk menyantuninya. Dari segi percakapan, penampilan dan tingkah laku, kesemuanya memerlukan cara yang berbeza. Kedengarannya mudah tetapi semestinya memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran yang tinggi.

"Berucaplah kepada manusia mengikut kadar kemampuan akal fikiran mereka." (HR Muslim)

Jika seorang Thomas Muller dan Loius Van Gaal mempunyai 90 minit untuk merancang pentaksiran ruang, para dai'e juga perlu sentiasa berfikir dan terus berfikir untuk menyelamatkan ummat ini. Berfikir, merancang dan sentiasa mencari dan mentaksir ruang yang ada untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah ini. 

Usah ditunggu peluang terhidang terlepas begitu saja, maka sambarlah peluang dengan cepat dan tepat. Dan, usah ditunggu saja peluang itu tiba, sebaliknya perlu berfikir dan mencipta ruang untuk diperolehi manfaatnya.

Wallahua'lam...


*Kredit kepada web Semuanyabola.com di atas artikel Raumdeuter - Pentaksir Ruang

Sunday, October 2, 2016

Maruah



Di kala ini, orang selalu bercakap berkaitan integriti tetapi bukannya mudah untuk memeliharanya. Saya agak kagum melihat beberapa individu yang mempertahankan maruahnya apabila melakukan kesilapan demi memelihara integriti dirinya atau organisasi. 

Seorang Pengurus Pasukan Bola Sepak England juga mempunyai maruah dan sanggup melepaskan jawatan atau dilucut jawatannya apabila melakukan salah guna kuasa. Walaupun dari segi kedudukan, beliau masih mampu mempertahankan dirinya (kerana diperdaya oleh wartawan), tetapi tetap tidak melakukannya demi maruah.

Sayang seribu kali sayang, orang Islam sendiri gagal menunjukkan contoh seperti ini. Salah guna kuasa, ambil hak rakyat dan mengkhianati amanah, tetapi masih merasakan dirinya benar dan bersih.

Apa lagi yang tinggal pada seseorang itu jika SUDAH HILANG MARUAH DIRI???

Monday, September 26, 2016

Murobbi Itu Juga Seorang Jurulatih

Kisah - kisah di sebalik kejayaan seseorang sama ada atlet, usahawan dan ahli politik, sering memberikan inspirasi pada orang lain, termasuklah diri saya. Bagi seorang atlet yang berjaya, sudah tentu ada rahsia di sebalik kejayaan itu. Rahsia ini lah yang sering menjadi buah mulut orang luar atau menjadi inspirasi kepada orang lain yang ingin menjejaki kejayaan tersebut.

Kisah kejayaan Azizulhasni Awang setelah memenangi Pingat Gangsa Sukan Olimpik yang lepas, sedikit sebanyak menyentuh tentang jurulatih yang bertanggungjawab menggilap bakatnya dan seterusnya dikembangkan oleh jurulatih professionalnya, John Beasly. Kejayaan beliau bukan hanya di Olimpik, tetapi juga di kebanyakan pertandingan di peringkat Asia dan Dunia. Begitu juga dengan Lee Chong Wei, yang kita sedia maklum, digilap dan dikembangkan bakatnya oleh ramai jurulatih termasuklah Misbun Sidek dan Hendrawan. Merangkul 3 Pingat Perak Sukan Olimpik adalah suatu kejayaan yang luar biasa di samping kejohanan - kejohanan dunia yang lain.

Bagi seorang atlet yang hebat, pasti teguh di belakangnya seorang mentor atau jurulatih yang hebat. Dan, kita sedia maklum bahawa bukan semua ahli sukan berbakat atau berpotensi menjadi jurulatih yang hebat. Jurulatih inilah yang berperanan mencungkil bakat baru dan menggilap bakat seseorang menjadi hebat. Bukan sekadar melatih atau mengajar, atlet ini digilap bakatnya, dibina potensinya, diperbaiki kesilapannya dan dimajukan kekuatannya. Begitulah hebatnya peranan seorang jurulatih. Apabila cemerlang seorang atlet, maka dijulang peranan jurulatih itu. Jika jatuh prestasinya,selalunya, jurulatih ini lah yang akan menerima padah!

Sebagai contoh, bagi seorang jurulatih bola sepak, akan dibina potensi kesemua pemainnya, dibina kekuatan skill dan stamina, diposisikan mereka mengikut kekuatan, mengsinergikan keseluruhan pasukan dan mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan lawan mereka. Maka, tidak akan boleh duduk senang seorang jurulatih itu jika prestasi pasukan atau atlet di bawahnya terumbang-ambing atau gagal mencapai target kejayaan.

Maka, di dalam dakwah dan tarbiyah, tugas dan peranan seorang Jurulatih itu adalah sama seperti seorang Murobbi!

Menjadi murobbi bukan hanya terletak pada bakat, tetapi juga pada usaha dan kerja yang berterusan. Murobbi bukan saja hanya memberi pengisian mingguan saja, tetapi perlu membina potensi mutarobbi itu. Murobbi perlu mengkaji pengisiannya, memperbaiki pengisiannya, memikirkan potensi setiap mutarobbi, mengkaji potensi setiap medan amal, menggerakkan mutarobbi dalam medan amal dan memberi panduan atau semangat jika tersungkur. Kejayaan atau peningkatan mutarobbi adalah simbolik atau hasil gerak kerja murobbi yang baik.

(Gambar Hiasan)


Jurulatih yang hebat dan bagus akan memberi tempias yang baik kepada atlet dan pasukan di bawahnya. Begitu jugalah dengan seorang murobbi itu, di mana, seorang mutarobbi yang bagus adalah hasil usaha keras dari pengorbanan seorang murobbi.

Peranan jurulatih sering dipandang sepi sama ada berjaya atau gagal, terpulang kepada sasaran yang diletakkan kepadanya. Begitu juga peranan murobbi. Peranan murobbi itu mungkin hanya dilihat jika ada hasil yang dituainya. Namun, bukan hasil itu yang dikejarkan sebenarnya, kerana kesanggupan menjadi murobbi itu amat besar nilainya.

Firman Allah: "Tidak mungkin bagi seseorang yang telah diberi kitab oleh Allah, serta hikmah dan kenabian, kemudian dia berkata, 'Jadilah kamu penyembahku, bukan penyembah Allah,' tetapi (dia berkata), 'Jadilah kamu pengabdi-pengabdi Allah keana kamu mengajarkan Kitab dan kerana kamu mempelajarinya.'" (Ali-Imran, 3: 79)

Bukan sesuatu perkara yang mudah untuk menjadi seorang murobbi atau murobbiah. Seorang murobbi pastinya memiliki ciri-ciri Generasi Rabbani iaitu berterusan belajar dan mengajar. Pengorbanannya mengerah tenaga, masa, idea, wang dan segala-galanya adalah bagi memastikan mutarobbinya itu menjadi orang yang hebat. Bahkan, kadang-kala pengorbannya itu melebihi apa yang diperuntukkan untuk keluarganya sendiri!

Firman Allah: "Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung." (At-Taubah, 9: 111)

Maka, bertabahlah wahai murobbi! Engkaulah simbol kekuatan dan kejayaan jamaah dan ummah ini. Jika seorang jurulatih sukan itu dijanjikan gaji dan habuan yang sangat lumayan, pastinya kau dijanjikan tempat yang indah di akhirat nanti. Ikhlaskanlah niat dikau dalam membimbing ummah ini walau apa jua keadaannya.

Wallahua'lam


*Ketika artikel ini ditulis, Penulis amat merindui gerak kerja tarbiyah pada zaman kampus dan sedang mengumpul semangat tersebut untuk berdepan di alam realiti.

Friday, September 16, 2016

Statistik Anak Tidak Sah Taraf Meningkat Lagi!



Merujuk artikel saya pada 2010 - http://imam-abuhanifah.blogspot.my/2010/03/masyarakat-jahiliyyah.html , statistik seperti ini pernah keluar berkaitan anak tak sah taraf pada 2009. Berdasarkan Berita Harian bertarikh 13/09/2016, statistik terbaru untuk 2013 sehingga 2015 menunjukkan kondisi menjadi lebih parah! Secara purata, seramai 145 orang didaftarkan atau dilahirkan dalam sehari atau 6 orang dalam 1 jam! Ini tidak termasuk angka kes anak luar nikah yang tidak didaftarkan atau dibuang merata-rata.

Secara peribadi, saya tidak menyangka peningkatan angka yang begitu mendadak seperti ini dalam tempoh 5 - 6 tahun. Ternyata masyarakat kita semakin mundur dan menuju ke arah kehancuran jika tidak diselamatkan.

Apabila pembangunan hanya tertumpu pada aspek fizikal dan material dan mengabaikan aspek kerohanian, masyarakat seolah-olah tidak kisah atau tidak peduli dengan apa yang berlaku. Remaja dan Belia yang merupakan tonggak Negara pada masa hadapan, dilihat rapuh dan kendur meniti jalan tersebut. Semestinya, banyak yang 'tidak kena' pada sistem pendidikan, pentadbiran, politik dan media massa yang menjadi punca masalah ini semakin merebak dan memerlukan "MAJOR OVERHAUL" bagi penyelesaian keseluruhan masalah ini.

Adakah kita masih boleh berpeluk tubuh lagi??? 

Wednesday, August 17, 2016

This Is Korea!



Ini bukannya isu Korea Utara atau Korea Selatan. Di sebalik perseteruan di antara kedua-dua negara ini, rakyatnya menjadikan pertarungan di Sukan Olimpik ini sebagai medan persahabatan. Tiada yang pelik pada gambar ini kerana naluri Manusia sememangnya ke arah kebaikan.

This is KOREA!

Tuesday, August 16, 2016

Revolusi Sang Peminat Kepada Sang Juara



Ketika Joseph Isaac Schooling masih kecil, beliau sangat mengagumi Michael Phelps sebagai Jagoan Renang Dunia. Beliau menjadikan Phelps sebagai Idola di dalam sukan renang yang diceburi. Akhirnya, pada Olimpik 2016, mereka berentap dan Schooling menewaskan idolanya itu di dalam acara 100 meter Gaya Kupu - Kupu.

Phelps boleh dikatakan Lagenda Dunia di dalam Renang. Merangkul 23 Pingat Emas sepanjang penglibatan dalam Sukan Olimpik merupakan pencapaian terunggul yang sukar untuk diatasi. Namun, kejayaan Schooling sebagai 'bintang baru' dengan menewaskan Phelps lebih istimewa, apatah lagi ini merupakan Pingat Emas Pertama Singapura dalam sejarah Sukan Olimpik. Mungkin ramai yang tak terfikir pun kemampuan Singapura dalam acara Renang ini di peringkat dunia.

Begitulah dalam kehidupan kita, ramai rakyat menjadikan pemimpin sebagai idola, anak menjadikan ibu bapa sebagai idola dan mutarobbi menjadikan murobbi sebagai idola. Mempunyai idola bukan sekadar meminatinya, tetapi berusaha mendekati dan mengatasi kebaikan dan kehebatan yang ada pada idolanya. Itulah yang ditunjukkan oleh para Sahabat dalam menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai idola mereka. Menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai idola mengikatkan umatnya di dalam sunnah baginda yang mendekatkan kecintaan terhadap Rasulullah. Melaksanakan sunnah Baginda adalah satu satu cara menunjukkan kecintaan kita kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dan bukannya melafazkan cinta semata-mata.

Maka, siapa pun idola kita, dekatilah dan capailah kehebatannya. Jadilah seperti Schooling dalam menjejaki idolanya. Apa pun, Jejak Idola oleh Schooling sangat bermakna pada diri beliau. Beliau bukan saja mengagumi, tetapi mendekati dan mengatasi Idolanya itu. Inilah dikatakan 'Revolusi Sang Peminat Kepada Sang Juara.'

Wednesday, August 3, 2016

Aktivis Politik Juga Perlukan Tarbiyah?

Melihat kondisi Politik tanah air sekarang ini, pemikiran saya jauh melayang. Jauh melayang seperti tiada noktah. Pertembungan dan perseteruan yang tidak berkesudahan, skandal yang memualkan dan kebajikan rakyat yang dianak tirikan, menjadikan politik ini mewarisi tabiat buruk yang berakar umbi. Laungan Reformasi, Politik Nilai dan Gerakan Pembaharuan hanya sekadar penyedap telinga yang ditenggelamkan oleh perilaku dan sikap sebenar ahli politik.

Politik juga merupakan suatu kerjaya, seperti kerjaya yang lain. Setiap orang pasti mempunyai pandangan yang berbeza berkaitan politik. Cuma, apabila kita melihat dari segi kebaikan, politik adalah saluran yang terbaik untuk meyebarkan kebaikan pada masyarakat.

Namun, persepsi di Malaysia ketika ini adalah berbeza. Seorang politikus itu ibarat 'tikus' dalam kerjayanya yang tidak memberi impak yang baik kepada diri dan masyarakat. Dipenuhi dengan skandal, penyalahgunaan kuasa, fitnah, mencerca lawan, provokasi dan sebagainya, seperti sudah sebati dengan kehidupan seorang politikus. Saya masih mencari pejuang tulen di dalam politik ini yang membawa politik baru dan matang untuk masyarakat.

Bagaimana seorang ahli politik mendepani lawannya dengan pelbagai ragam dan akhlak yang buruk? Bagaimana  ahli politik berdepan dengan fitnah dan cercaan yang berterusan dari lawannya? Bagaimana pula mendepani provokasi yang memualkan? Jangan pula, ahli politik yang membawa imej Islam yang berlebih-lebih dengan cercaan dan provokasi terhadap lawannya pula!

Justeru itu, mencari pejuang tulen di dalam politik semestinya membawa kita kembali kepada perjuangan Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimana hendak mengislahkan hubungan di kalangan manusia jika hubungan dengan Pencipta lebur? Bagaimana hendak berdepan dengan pelbagai godaan dunia jika benteng amal soleh tidak dijaga? Maka, tidak hairanlah kebanyakan ahli politik Muslim hanyut dengan godaan dunia jika hubungan dengan Allah tidak dijaga.

Bukan semua orang atau bukan semua pejuang Islam mampu menjadi ahli Politik yang baik. Semestinya, yang menjadi seseorang itu hebat hanyalah Allah Taala. Maka, proses Tarbiyah itu perlu diteruskan seiring dengan komitmen di dalam politik, bukannya diringankan. Teringat kata-kata seorang syeikh kepada seorang ukhti yang berjinak-jinak di dalam politik, "Ini adalah contoh yang terbaik di mana anti menyediakan bekalan di dalam mehwar politik dengan memberikan komitmen di dalam program tarbiyah."

Begitu juga perkongsian dari seorang Ahli Parlimen Parti Islam di Indonesia yang mengatakan bahawa beliau perlu menghabiskan 2 juzuk bacaan Al-Quran dalam sehari semenjak menjadi Ahli Parlimen, berbanding 1 juzuk ketika belum menjadi Ahli Parlimen. Itulah Tarbiyah Dzatiyah yang perlu dijaga di dalam dakwah ini.

Justeru itu, menjadi seorang aktivis Politik bukannya menjadikan diri kita mencari rukhsah atau keringanan di dalam tarbiyah. Jiwa dan diri perlu dilengkapi dengan bekalan yang secukupnya sebelum terjun ke arena politik.

Menjadi Ahli Politik bukan saja perlu cerdik dan pintar, tetapi juga tunduk kepada Allah. Menjadi Ahli Politik bukannya mahu membina empayar kuasa dan kekayaan, tetapi mahu meluaskan ruang kebaikan kepada seluruh manusia. Barulah Politik itu sendiri memberi manfaat kepada semua.

Wallahua'lam...

Tuesday, August 2, 2016

Manusia Semakin Pantas

Agak lama kisah berkaitan acara Larian Pecut 100 meter tidak dibualkan oleh rakyat Malaysia. Nama-nama seperti Watson Nyambek, Azmi Ibrahim dan Nazmizan Muhammad serta kisah perseteruannya hanya tinggal sejarah. Tenggelam seolah-olah tidak akan wujud lagi nama-nama besar seperti itu.

Jika rekod 10.42 saat oleh Dr Jega saja, mengambil masa berpuluh tahun untuk dipecahkan, apatah lagi rekod 10.30 saat yang dicipta oleh Watson. Akhirnya, sejarah tercipta selepas 18 tahun, rekod 100 meter Malaysia dipecahkan oleh Khairul Hafiz Jantan dengan catatan baru 10.18 saat. Secara tiba-tiba, ada sedikit sinar di dalam sukan olahraga negara.

Begitu juga dengan rekod 100 meter Dunia yang sangat lama pada catatan 9.80 ~ 9.90 saat pada penghujung tahun 90an dengan nama-nama besar seperti Carl Lewis, Donovan Bailey dan lain-lain lagi. Akhirnya, Usain Bolt mencipta sejarah dengan rekod 9.58 saat! 

Adakah rekod itu akan terhenti di situ saja? Pastinya TIDAK kerana Manusia Semakin Pantas! Setiap rekod itu pasti akan diperbaharui tetapi masa yang menentukan. Dunia sukan akan lebih menarik apabila banyak jagoan baru muncul dan apabila banyak rekod baru dicipta. Sukan pada zaman sekarang bukan hanya di padang dan gelanggang semata-mata, tetapi turut merangkumi pengajaran di kuliah, teknologi dan R&D bagi memastikan Sukan turut mempunyai nilainya yang tersendiri.

Kini, Manusia Semakin Pantas kerana Kepantasan Manusia berkadar langsung dengan Kemajuan Teknologi Manusia.



Tahniah diucapkan kepada Khairul Hafiz Jantan di atas kejayaan di SUKMA Malaysia. Di sebalik kejayaan dan rekod baru 100 meter, kini, Malaysia menantikan rekod baru 200 meter pula yang masih bertahan lebih 40 tahun.

Sunday, June 5, 2016

Selamat Hari Lahir Ibu & Abah

Tiada perkara yang menggembirakan selain melihat anak-anak dan isteri saya menyediakan Kek Hari Lahir untuk Ibu dan Abah saya dan menyambut Hari Lahir bersama-sama. 

Berbudilah pada Ibu Bapa dan Keluarga serta raikanlah mereka kerana itulah aset kita yang paling bernilai untuk dibawa ke akhirat nanti.

Wednesday, June 1, 2016

Leicester City

Liga Perdana Inggeris (EPL) telah melabuhkan tirainya dengan kejuaraan dirangkul buat julung kali oleh Leicester City, iaitu sebuah pasukan kerdil dalam EPL yang pastinya mengejutkan majoriti peminat dan lawan mereka. Nama besar seperti Manchester United, Chelsea, Arsenal dan Manchester City terkedu apabila melihat piala idaman mereka terlepas begitu sahaja.

Leicester City bukanlah nama besar di EPL dan Eropah dan tidak mempunyai pemain berstatus bintang. Bahkan, pasukan ini diramal akan bergelut dari tersingkir ke liga bawahan pada awal musim. Namun, pemain berstatus bintang atau berkelas Dunia bukanlah syarat utama kejayaan sebuah pasukan. Ini pernah dibuktikan oleh Greece yang menjuarai Euro 2004 walaupun tanpa pemain berstatus bintang.

Justeru itu, di manakah letaknya kekuatan Leicester City? 

Kejayaan sebuah pasukan lebih terserlah dengan semangat berpasukan dan bukannya bergantung kepada "pemain bintang" semata - mata. Nama-nama besar seperti Wayne Rooney, Fabregas, Sergio Aguero dan Diego Costa, jelas tidak mampu melonjakkan pasukan mereka menjadi juara. Sebaliknya, semangat berpasukan mampu terus membawa seluruh pasukan terus maju ke hadapan meskipun siapa saja pemainnya.

Dalam membina sebuah pasukan yang mantap, pembangunan akar umbi sangat penting bagi sebuah pasukan bola sepak. Sebuah pasukan boleh dibina sejak dari akar umbi hingga menjadi sebuah pasukan yang kuat. Secara tidak langsung, nama-nama besar juga akan dilahirkan. Sebuah pasukan tidak perlu berbelanja besar untuk membeli nama - nama besar, sebaliknya perlu fokus pada pembangunan akar umbi. Artikel saya terdahulu - http://imam-abuhanifah.blogspot.my/2015/09/pembangunan-akar-umbi.html.

Begitu juga dalam dakwah. "Nama Besar" di dalam dakwah merupakan satu kelebihan tetapi bukanlah syarat utama kejayaan dakwah. Dakwah masih terus dan laju berjalan jika kader-kader bekerjasama dalam sebuah organisasi. Justeru itu, amal jamaie sangat penting dalam menggembeleng keseluruhan tenaga di dalam dakwah. Pastinya dakwah tidak akan hidup lama jika diletakkan di atas bahu seorang individu. Siapa pun kita dan apa pun latar belakang kita, bukannya isu besar. Yang penting, sumbangan kita di dalam dakwah ini. Di dalam dakwah dan tarbiyah juga, kita akan terus membina manusia "from zero to hero", hinggalah dakwah ini begitu unggul pada peribadi dan organisasi.

Jauhilah rasa rendah diri jika kita bukanlah "nama besar" di dalam dakwah ini. Sifat dalam dakwah dan tarbiyah ini adalah membina manusia menjadi peribadi yang unggul. Jika Leicester City mampu melonjak dengan semangat berpasukannya, mengapa tidak kita?

Sunday, May 15, 2016

PRN Sarawak: Sedikit Coretan

PRN Sarawak akhirnya melabuh tirai dengan Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan dan meningkatkan kekuasaan di Bumi Kenyalang itu. BN memenangi 72 daripada 82 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) hanya mampu memenangi 10 kerusi DUN dengan DAP - 7 dan PKR - 3. Prestasi PAS tidaklah membanggakan manakala Amanah boleh diagak prestasinya sebagai parti baru di dunia politik.

Ternyata Sarawak kekal sebagai Deposit Tetap bagi Barisan Nasional. 10 kerusi DUN yang mereka tewas adalah di kawasan Bandar yang majoritinya berbangsa Cina. Namun, ada sedikit perbezaan di antara politik Cina Semenanjung dan Cina Sarawak. Dilihat, orang Cina Sarawak lebih dekat dengan BN, di mana majoriti kerusi DAP menurun berbanding PRN yang lepas dan terdapat 5 kerusi DUN yang dahulunya milik DAP, telah beralih ke BN.

Maka, dalam keghairahan PH untuk menumbangkan BN dalam PRU-14, beberapa perkara perlu diambil kira:

1. Sabah dan Sarawak
Kedua-dua negeri ini boleh dianggap Deposit Tetap kepada BN. PH perlu melakukan sesuatu supaya rakyat  di Sabah dan Sarawak boleh menerima PH. Boleh dikatakan, kondisi kedua-dua negeri ini adalah seperti awal 90-an di Semenanjung, di mana sangat kuat bergantung pada BN. Isu Nasional tidak memberi impak yang besar. Sebaliknya, permuafakatan sesebuah pakatan dan isu tempatan banyak memberikan peranan dalam penerimaan mereka pada parti yang bertanding.

Senang cerita, dakwah dan penerangan akar umbi adalah perlu dilakukan dengan lebih kerap, sebelum menyentuh isu besar. Melihat keputusan PRN Sarawak, rakyat Sarawak seolah-olah tiada alternatif atau langsung tidak mengenali parti politik selain BN. Jangan pandang remeh dengan isu Sabah dan Sarawak ini kerana bilangan kerusi Parlimen di negeri inilah yang menyelamatkan nyawa BN pada PRU-13.

2. Rakyat Luar Bandar
Tidak dinafikan bahawa majoriti masyarakat Bandar telah beralih kepada PH. Faktornya ialah pendedahan kepada isu Nasional dan kesempitan kos hidup. Namun, ianya tidak berlaku pada masyarakat Luar Bandar, Kampung atau Pendalaman. Di Selangor sendiri, BN masih menang di DUN dan Parlimen di kawasan Luar Bandar meskipun diperintah oleh PH.

Realitinya, penduduk Luar Bandar sangat senang dengan kehidupan mereka sekarang. Tiada kesan ketara pada mereka seperti mana yang dirasai oleh penduduk Bandar.

Jadi, persoalan dari mereka, mahu berubah untuk apa?

3. Permuafakatan Pakatan Harapan
Pada PRU-13, Pakatan Rakyat (PKR-DAP-PAS) telah memenangi 89 kerusi Parlimen iaitu kurang 23 kerusi lagi untuk majoriti mudah. Kini tugas Pakatan Harapan (PKR-DAP-Amanah) mengambil cabaran ini untuk memerintah Malaysia.

Jika PAS menyertai PH, ianya lebih molek lagi untuk mengelak bertembung 3 penjuru yang semestinya memberi laluan mudah kepada BN. Berpijaklah di bumi yang nyata kerana tiada nilainya jika bersendirian atau berada di dalam Blok Ketiga kerana hanya BN dan PH saja yang berkemampuan untuk membentuk kerajaan.

Permufakatan perlu jelas. Tiada lagi pertembungan sesama sendiri seperti yang berlaku di Dun P.Pinang dan Terengganu pada PRU-13 dan PRN Sarawak. Tiada parti yang lebih berkuasa berbanding parti yang lain. Rendahkanlah ego dan fikirkanlah nasib rakyat.

Jika permuafakatan ini gagal, tiada apa lagi yang tinggal untuk memenangi PRU-14 dan harus tunggu 5 tahun lagi untuk perubahan.


Justeru itu, masih ada masa sekitar 2 tahun lagi sebelum PRU-14. Majoriti Rakyat Malaysia mahukan perubahan dan inilah masa yang sesuai untuk menterjemahkannya. Ibaratnya, di dalam perlawanan bola sepak, PH berada dalam keadaan menyerang dan BN berada dalam kucar-kacir dan hanya tinggal benteng pertahanan dan penjaga gol saja. Ini adalah serangan terakhir pada masa kecederaan dan kedudukannya seri. Jika PH berjaya menjaringkan gol, kemenangan diperolehi. Jika tidak, BN terselamat lagi buat kali ke-14 dan PH perlu menunggu 5 tahun lagi untuk PRU-15.

Thursday, April 14, 2016

Sepintas Lalu Isu Dr Zakir Naik

Saya teringat semasa saya berada di Tahun 1 di Universiti dahulu, iaitu sekitar tahun 2002. Semasa melalui minggu orientasi, ada jemputan dari beberapa senior untuk menjadi Urusetia Program Perbandingan Agama. Kagumnya saya dengan program ini apabila merancang untuk menjemput Syeikh Ahmad Deedat sebagai tetamu istimewa!

Ketika itu lah, saya mula mengenali nama-nama orang yang hebat di dalam perbandingan agama seperti Ahmad Deedat dan Dr Zakir Naik. Ketika itu, saya baru tahu adanya Program Perbandingan Agama di dunia ini yang sedikit demi sedikit menarik minat diri saya untuk menonton video debat Ahmad Deedat dan Paderi Kristian dan lain-lain.

Berbalik kisah Program Perbandingan Agama di Universiti dahulu, ketika sedang mesyuarat urusetia, muncul soalan yang sangat menarik, "Kita nak anjurkan Program Perbandingan Agama ni, tiada masalah ke dengan agama lain? Apa respon penganut agama lain nanti."

Justeru itu, ketika kecoh satu negara berkaitan Jelajah Dr Zakir Naik di Malaysia, fikiran saya melayang jauh kepada soalan di atas. Saya tidak ambil kisah sangat dengan halangan atau cercaan dari Non-Muslim, kerana bagi saya itu adalah normal bagi orang bukan Islam. Bagi orang Non-Muslim yang masih tidak faham atau keliru, inilah ruang yang terbaik bagi orang Muslim untuk jelaskan sejelas-jelasnya kepada mereka. 'Mungkin' ada kontroversi pada tajuk atau tokoh pada 'pemikiran mereka'.

Tetapi, yang mengecewakan adalah apabila halangan itu dari orang Islam sendiri dan pertubuhan Islam sendiri. Seolah-olah mereka ini lebih keliru berbanding orang bukan Islam sendiri @ lebih non-Muslim dari non-Muslim.

Orang Islam di Malaysia ini terlalu bersifat defensif hingga terlalu memikirkan 'apa agama lain kata' sehinggakan dakwah Islam ini tidak bernilai dan diinjak-injak ke paras yang paling rendah. Jangan kata nak buat dakwah, mempertahankan dakwah juga jauh sekali. Sedangkan dakwah Islam di negara luar menampilkan imej luar biasa dengan bersifat ofensif yang terus-menerus mengajak manusia kepada Islam. Tidak mustahil perkembangan dakwah meningkat dan terus meningkat.

Ali bin Abi Talib r.a. berkata, "Berbicaralah kalian kepada mereka sesuai dengan kadar pemikiran mereka." (Riwayat Bukhari)

Firman Allah: "Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan-mu, Dialah Yang Maha Mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah Yang Lebih Mengetahui orang-orang yang mendapat pentunjuk." (An-Nahl, 16: 125)

Mengapa kita terus senyap, terus bersikap defensif dan terus membantutkan kerja-kerja dakwah ini? Berdialog, berdebat dan berdiskusi adalah wadah terbaik dalam merungkai segala kesulitan ini. Menjadi Muslim yang baik dan membawa mesej agama rahmah tidak sepatutnya menjadikan orang Islam menjadi pasif, sebaliknya, terus bersikap Izzah dengan segala kerja yang dibawa.

Wallahua'lam...

Wednesday, April 13, 2016

Ibrah Pelumba Motor


Tiba-tiba pandangan rakyat Malaysia tertumpu kepada kejayaan Khairul Idham pada Moto3 di GP Argentina. Julung-julung kali anak Malaysia menjuarai kejohanan tersebut. Bukan itu saja, sikap berani beliau mengelak dari siraman arak di atas podium haruslah dipuji. Bukannya mudah untuk berpendirian sedemikian lebih-lebih lagi itu adalah tradisi perlumbaan motor.

Namun, kekaguman saya lebih tertumpu kepada Adam yang terjatuh di pusingan terakhir, di mana kedudukan beliau ketika itu adalah di tempat kedua di belakang Khairul. Beliau bangun dan terus menolak motor hingga ke garisan penamat. Tiada istilah putus asa walaupun beliau sendiri menyedari yang beliau pasti tidak akan menaiki podium. Alang-alang berjuang, biarlah hingga habis walau apa pun kedudukannya.

Begitulah selalunya. Kita mudah kecewa apabila hendak melakukan kebaikan. Kecewa apabila dikritik, diperli dan diperlekehkan atas usaha yang dilakukan. Dan, apabila telah jatuh, sukar untuk kita bangkit kembali. Kita mudah kecewa dengan sikap manusia, sedangkan kita harus tahu bahawa Allah sama sekali tidak akan mengecewakan kita.

Firman Allah: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman' dan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta." (Al-Ankabut, 29: 2 - 3)

Justeru itu, bangkitlah wahai saudaraku. Bangunlah dan marilah bersama-sama kita menuju syurga. Buanglah sikap putus asa itu. Itu hanyalah cubaan dari Allah bagi memastikan kita menjadi Muslim yang tulen. Jika seorang pelumba motor mampu bangkit untuk berjuang hingga ke saat-saat akhir, mengapa tidak kita?