Sunday, December 29, 2013

Si Kaya Bertambah Kaya; Si Miskin Semakin Menderita

Jika kita menyelusuri sirah Nabi Muhammad s.a.w. sebelum baginda diangkat menjadi Rasul, kehidupannya bukanlah indah seperti kebanyakan manusia. Ayahnya meninggal ketika di dalam kandungan dan ibunya pula meninggal ketika baginda masih kecil. Apabila dibesarkan oleh datuk dan bapa saudaranya, baginda menjadi pengembala kambing dan mengikut bapa saudaranya berniaga ke merata tempat. Sehinggalah beliau bertemu dgn Saidatina Khadijah dan bernikah dengannya serta turut dikenali oleh masyarakat sekitar sebagai al-Amin berdasarkan peribadi baginda.

Maknanya, kehidupan baginda bukannya mudah tetapi dipenuhi pelbagai ranjau. Dan, apabila baginda diangkat menjadi Rasul dan pemimpin umat Islam, qudwah yang ditunjukkan baginda sangat hebat. Di saat umat Islam dikenakan sekatan ekonomi, Rasulullah turut mengikat perut dalam menghadapinya. Di saat para sahabat bertempur di medan perang, Rasulullah juga turut bersama dan turut mengalami kecederaan. Di dalam gigih melaksanakan dakwah, Rasulullah lah yang paling teruk diuji dan diserang hingga luka teruk. Rasulullah tidak meletakkan diri baginda eksklusif dalam sesuatu perkara dan inilah nilai-nilai yang ada pada baginda sebagai pemimpin.

Maka, atas faktor inilah kita sering melihat kualiti pemimpin pada zaman sekarang. Kita sebagai rakyat marhaen mungkin pelik atas kualiti yang dilihat secara kasar bukanlah kualiti pemimpin yang diidam-idamkan. Berikut adalah di antara kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin negara kita:

"Jika tak suka dengan undang-undang di negara, boleh keluar ke negara lain."

"Jika harga ayam naik, boleh makan ikan."

"Harga minyak di negara kita masih murah berbanding negara lain (sambil membandingkan dengan negara bukan pengeksport minyak)."

"Jika tak setuju harga tol naik, boleh ikut jalan biasa."

Apa komen anda?
Jika lembu boleh memahami, pasti lembu tersebut akan tertawa ;)

Untuk memohon jawatan kosong di sebuah syarikat atau firma kejuruteraan sama ada sebagai jurutera dan sebagainya, pasti memerlukan kelayakan minima untuk memohon kerja tersebut sama ada dari segi akademik atau pengalaman. Jawatan mufti atau pegawai agama juga memerlukan kelayakan minima untuk menjawat jawatan tersebut. Justeru itu, bagi saya, sangat penting jawatan menteri juga memerlukan kelayakan minima supaya tidak binasa negara ini dan agar rakyat tidak mentertawakan mereka.

Itu sebabnya penting apabila kita menselusuri jalan dakwah Rasulullah kerana baginda adalah contoh terbaik menjadi pemimpin. Para Sahabat sangat menghormati baginda dan begitu juga sebaliknya. Justeru itu, jawatan sebagai menteri bukanlah bererti mereka boleh buat sesuka hati, tetapi yang penting sebagai ruang untuk beribadah. Jika kualitinya seperti sekarang, mustahil mereka sedang beribadah. Bahkan, dijadikan jawatan itu sebagai keseronokan dunia, ruang untuk menambah kekayaan peribadi dan keluarga dan sekaligus menambah kangkuhan diri mereka. Disuruhnya rakyat berjimat sedangkan mereka sendiri boros berbelanja. Disarankan supaya rakyat berbelanja berhemah sedangkan mereka menggunakan pelbagai aset kerajaan untuk kepentingan peribadi. Justeru itu, tidak mustahil apabila mereka diangkat menjadi menteri, keluarga serta anak pinak tiba-tiba turut menjadi kaya raya. Jika begini caranya, adakah rakyat akan menghormati mereka?

Secara peribadi, saya tidak risau dengan keadaan ini sekarang (meskipun sedikit sebanyak akan terjejas). Tetapi, saya sangat khuatir akan masalah sosial dan ekonomi pada masa akan datang. Kita berdepan dengan cabaran yang paling getir dalam tempoh 5 - 10 tahun akan datang. Bagaimana kita atau anak-anak kita akan berdepan dengan situasi tersebut? Masalah ekonomi, jenayah dan sebagainya...

Memang tepat kenyataan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Abas, apabila mengulas tentang masalah ekonomi Malaysia - "Now Everyone Can Cry."

Wallahua'lam...

Wednesday, December 18, 2013

Nelson Mandela - Siri 2

Nelson Mandela merupakan ikon perjuangan antarabangsa. Kehilangan beliau memberi kesan kepada dunia terutama kepada pejuang pembebasan masyarakat. Perjuangan beliau yang menentang kezaliman, penjajahan, perkauman dan penindasan di atas nama etnik, kelas dan strata pasti diingati dan dijadikan inspirasi kepada seluruh masyarakat. Penentangan beliau terhadap dasar arpatheid sehinggakan beliau dipenjara 27 tahun. Saya tidak melihat beliau dari segi aspek bangsa, agama dan warna kulit tetapi prinsip perjuangan yang dibawa.

Perjuangan Mandela selaras dengan Maqasid Islam yang memperjuangkan kesaksamaan dan keadilan sejagat. Perjuangan menentang kezaliman dan memperjuangkan hak asasi manusia adalah tanggungjawab setiap individu di atas muka bumi ini. Perjuangan beliau mengingatkan kita tentang kehebatan perjuangan tokoh-tokoh Islam seperti Umar Mukhtar, Syeikh Ahmad Yassin, Abd Aziz Rantisi dan Dr Mohammad Morsi.

Perjuangan yang telah meletus harus disambung dan diperhebatkan oleh generasi kini. Isu-isu semasa yang amat mencabar seharusnya menuntut para dai'e memperhebatkan ilmu serta melipatgandakan gerak kerja amal untuk memastikan Islam itu menaungi masyarakat dunia ini.

Wallahua'lam..

Saturday, December 14, 2013

Sunday, November 10, 2013

Fekah Interaksi Dengan Non-Muslim



Saya rasa amat berat apabila mendapat banyak jemputan untuk menghadiri seminar dan perbincangan isu-isu murtad. Walaupun pihak-pihak penganjur mempunyai alasan mereka yang tersendiri, namun saya selalu berkhayal satu seminar besar dibuat tentang ramai bukan Muslim menganut Islam.

Dalam politik pilihan raya, akhbar-akhbar berbagai parti akan menyiarkan cerita ahli-ahli parti lawan keluar parti. Sama ada benar atau tidak, itu merupakan perang psikologi yang akan melemahkan jentera parti musuh dan semangat pengundi.

Demikianlah juga tentang isu murtad, jika kita asyik membicarakan tentang orang keluar agama kita, lemahlah semangat para pendakwah ikhlas yang sedikit itu, dan patahlah hasrat bukan Muslim yang ingin mendekati agama ini. Adakah di sana suatu yang lebih malang dari agama yang bukan sahaja gagal menarik orang luar mendekatinya, bahkan penganut yang ada pun ingin meninggalkannya.

Mereka yang menggembar-gemburkan angka murtad yang bukan-bukan itu - secara langsung atau tidak langsung - memainkan peranan penting melemahkan umat ini dari dalam dan menghalang orang lain dari menghampiri agama yang suci ini.


Kekuatan Kita Ada
Dahulu kita membaca pemimpin agung Islam Umar bin al-Khattab yang berpesan kepada bala tentera Islam yang dikepalai oleh Sa'd bin Abi Waqqas sebelum Peperangan Qadisiyyah menentang Parsi dengan kata-kata mutiara.

Antara katanya: "...yang menyebabkan kaum Muslimin itu menang hanyalah kerana maksiat musuh-musuh mereka. Jika tidak kerana faktor itu, kita tidak memiliki kekuatan untuk menghadapi musuh. Sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka. Jika kita sama dengan mereka dalam hal maksiat, sudah pasti mereka memiliki kelebihan di sudut kekuatan. Jika kita tidak mampu menang dengan kelebihan kita (ketaqwaan) sudah pasti kita tidak dapat menewaskan mereka dengan kekuatan kita." (Dr ‘Ali al-Salabi, ‘Umar bin al-Khattab, ms 420, Kaherah: Dar al-Tauzi' Wa al-Nasyr al-Islamiyyah).

Ucapan Umar sangat bermakna dan menarik. Pengajaran untuk kita umat yang tewas pada hari ini. Namun saya ingin melihat di sudut yang sebaliknya dalam negara kita ini. Jika ‘Umar menyatakan: "..sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka", realiti yang berlaku dalam negara kita sebaliknya. 

Jumlah umat Islam lebih ramai, peruntukan dan bajet kerajaan untuk aktiviti Islam begitu banyak. Bahkan zakat berlebihan saban tahun -walaupun yang miskin terus menderita, pegawai dan pejabat yang berkaitan Islam amatlah banyak. Kita ada jabatan, badan, yayasan, mahkamah, perlembagaan dan berbagai lagi yang berpihak kepada kepentingan Islam. Namun mengapa kita masih kelihatan bagaikan umat yang tewas. Tidakkah jika kita tidak dapat menewaskan orang lain dengan ketakwaan kita, sekurang-kurang kita berjaya disebabkan faktor kekuatan lahiriah kita. Mengapa tidak sedemikian? 

Seorang yang berjalan kaki akan sampai ke destinasinya jika ia terus berjalan dengan arah yang betul. Namun seorang yang mempunyai kenderaan canggih dan mewah tidak akan sampai jika hanya berada dalam kenderaannya sambil membelek-belek kemewahan itu tanpa menggerakkannya ke arah destinasi yang betul. Begitulah halnya kita ini. Kita wajar bertanya sejauh manakah kenderaan mewah kita ini benar-benar digerakkan?


Imej Umat Islam
Aduhai malangnya, sepatutnya dengan Islam yang indah ini, semakin lama bukan Muslim hidup di kalangan masyarakat Muslim semakin harmoni perasaan mereka dan semakin menghormati kita, jika tidak pun mereka menerimanya. Namun realiti yang berlaku, semakin hari nampaknya, unsur-unsur prasangka dan prejudis makin berbuah antara mereka dan kita.

Di sini saya tidak ingin membicarakan tentang masyarakat bukan Muslim dan agenda mereka. Barangkali kita yang gagal menonjolkan wajah Islam yang mengangkat nilai dan penghormatan. Lama-kelamaan gambaran Islam itu begitu tidak indah pada generasi mereka. 

Di sudut ekonomi dan kehidupan dunia, kita gagal menonjolkan nilai yang positif untuk mereka. Jika kita ingin berkempen agar bukan Muslim menghormati Islam dengan kejayaan kita dalam di sudut pembinaan ekonomi dan tamadun, nampaknya harapan itu amat kabur. Jalan untuk sampai kepada kehebatan ekonomi itu juga bukannya singkat. Apa yang tinggal bagi kita ialah menonjolkan kehebatan ajaran Islam yang membentuk peri laku mulia umatnya. Masih ramai manusia di dunia ini yang terpengaruh dengan budi baik melebihi kekayaan harta.


Fekah Dakwah
Malangnya, fekah dakwah kita kepada bukan Muslim terbenam sama sekali. Ada saudara baru mengadu dia ingin menganut Islam dan menghubungi pihak yang berkenaan. Tetapi pegawai agama itu memberitahunya: "Jika awak hendak masuk Islam hendaklah pada waktu pejabat, tunggu saya masuk pejabat dulu.".Saya cadangkan pegawai berkenaan tulis di pintu pejabatnya "waktu masuk Islam 8am sehingga 5pm".

Semangat dakwah kita tidak kukuh. Kemudian hairan orang tidak minat dengan Islam. Jika orang lain bekerja untuk agama mereka tanpa mengira waktu dan berkorban, maka jangan hairanlah jika mereka berjaya memenangi persaingan ini. Ramai orang bukan Islam selalu salah faham tentang sikap Islam terhadap mereka. Mereka menyangka ajaran Islam itu sentiasa membenci dan memusuhi mereka tanpa sebab. Pada hal Allah menyebut dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 (maksudnya):

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."


Fekah Sempit
Namun apa yang hendak dihairankan jika mereka salah faham. Mereka lihat ramai orang Islam yang mendapat bantuan kebajikan dari mereka; seperti ketika tsunami, yang sakit kronik dan seumpamanya. Ada orang kita berulang alik ke tempat ibadat mereka pun untuk mendapat bantuan rawatan percuma. Di pihak kita pula, kurang memberi kepada mereka. Bahkan pegangan mazhab tempatan kita begitu sempit sehingga mengharamkan sesetengah pemberian seperti daging korban dan akikah kepada mereka sekalipun jiran di sebelah rumah. Sehingga apabila kita buat korban atau akikah, kita menjemput orang ramai makan, kita tinggalkan jiran bukan Muslim kita kerana bimbang nanti korban atau akikah kita terbatal. Padahal, tiada nas dari al-Quran atau hadis yang menyatakan sedemikian.

Badan Fatwa Tetap Arab Saudi ketika ditanya tentang hal ini menjawab: "Ya, boleh untuk kita memberikan daging korban kepada bukan Muslim yang tidak memerangi Islam atau tawanan perang (bukan Muslim). Boleh kita berikan kepadanya disebabkan kefakirannya, atau hubungan keluarga atau kejiranan, atau untuk menjinakkan hatinya." (11/424).

Namun disebabkan taksub mazhab, ramai yang sempit dalam hal ini. Lucunya, kita halang daging korban beberapa keping, dalam masa yang sama kita gadaikan lesen, permit, projek dan tanah berkeping-keping. Dalam masalah menjawab salam juga kita sempit. Dulu telah saya terangkan, kita haramkan mereka menjawab salam sedangkan ia merupakan kalimah yang baik. Namun ramai yang tidak pula melenting apabila mendengar perkataan maki hamun atau mencarut atau merapu dari bukan Muslim ataupun Muslim.


Beri Sedekah
Ramai yang susah hati kerana pertubuhan agama-agama tertentu memberikan bantuan kepada orang-orang Islam yang kesusahan. Bimbang nanti akan mempengaruhi orang Islam. Persoalannya, mengapa kita tidak lakukan. Kita ada Baitul Mal, zakat yang ‘berlebihan' dan sumber-sumber lain yang boleh dijadikan penarik Muslim dan bukan Muslim mendekati agama ini. Susahnya, ada pula orang Islam menganggap memberi sedekah kepada bukan Islam tidak dapat pahala. Sedekah atau bantuan yang dapat pahala hanya untuk sesama Islam. Hal ini tidak benar.

Pada zaman Nabi SAW kaum Muslimin juga pada awalnya merasa berat untuk memberikan bantuan harta kepada selain dari kalangan mereka. Mereka seakan merasakan pahala itu hanya diperolehi jika sedekah itu diberikan kepada sesama akidah. Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 272 (maksudnya):

"Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang tidak beriman) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang baik yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang baik, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan."

Dengan turunnya ayat ini bererti pemberian sedekah kepada sesiapa sahaja, sama ada Muslim atau bukan Muslim , orang baik atau tidak, tetap mendapat pahala dari sisi Allah selagi tujuannya mencari keredaan Allah.
(lihat: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/476, Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub).

Bahkan dalam zakat, di kalangan ulama berpendapat peruntukan fakir miskin boleh diberikan kepada bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam. Dr. Yusuf al-Qaradawi antara yang berpegang kepada pendapat ini. (lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/ 707, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan Muslim atas peruntukan mualaf untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam. Sama ada miskin atau tidak, seorang bukan Muslim boleh diberikan zakat jika itu boleh mendekatkan hati mereka dengan Islam. Namun, tafsiran mualaf kita begitu sempit, maka zakat gagal berfungsi sebagai agenda dakwah. Maka tidak hairan jika zakat kita ‘berlebih-lebihan' saban tahun, sedangkan masalah umat terus bertambah.


Hormati Jenazah
Dahulu, sesetengah orang menganggap kurang baik jika lalu di hadapannya kenderaan jenazah bukan Muslim. Pada hal dalam hadis disebut (maksudnya).

"Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi SAW satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: 'Itu jenazah seorang Yahudi'. Baginda bersabda: 'Tidakkah ia juga jiwa (insan)?'"Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nilai ketinggian akhlak ini sepatutnya dijelaskan kepada bukan Muslim agar mereka pandang tinggi kepada nabi kita. Jangan cuba dikaitkan agama ini dengan nilai-nilai keganasan.


Masuk Masjid
Masjid-masjid kita juga sepatutnya seperti masjid pada zaman Nabi SAW Diizinkan bukan Muslim masuk untuk mendengar kuliah atau ceramah agama, atau untuk mengambil bantuan kewangan bagi yang kesusahan. Sepatutnya masjid dibuka untuk bukan Muslim untuk mengenali Islam, hadir melihat amalan orang Islam dan mendapat penerangan yang harmoni mengenai Islam. Inilah yang berlaku pada zaman Nabi SAW. Para perwakilan yang Muslim dan bukan Muslim dari serata ceruk rantau datang menemui Nabi SAW dalam masjid baginda. Namun kita ini, jika bukan Muslim masuk ke masjid atau duduk melihat amalan Islam di masjid, kesempitan pemikiran pun akan berperanan aktif.

Banyak lagi jika hendak dibincangkan di sini. Saya mencadangkan agar kita memasukkan dalam sukatan pengajian agama kita; di masjid dan sekolah secara jelas tajuk fekah atau akhlak Islami dalam berinteraksi dengan bukan Muslim. Dengan harapan akan terpancar di hadapan mereka cahaya keindahan agama ini.
--------------------------------------------------------------------------------
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini ditulis ketika beliau masih berkhidmat dengan kerajaan negeri itu.

Wednesday, October 16, 2013

Ibrah Ibadah Korban - Hikmatus Syuyukh wa Hammasatus Syabab

Firman Allah: “Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, ‘Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka, fikirkanlah bagaimana pendapatmu.’ Dia (Ismail) menjawab, ‘Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, Insya Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.’ Maka ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya (untuk melaksanakan perintah Allah). Lalu Kami panggil dia, ‘Wahai Ibrahim! Sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu.’ Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Dan Kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian." (As-Saffat, 37: 102 – 108)

Berdasarkan firman Allah di atas, antara perkara yang menarik untuk diperbahaskan ialah hikmatus syuyukh (hikmah para syeikh) dan hammasatus syabab (semangat para pemuda). Perkara ini bukan saja terhad kepada ibadah korban saja tetapi juga di dalam dakwah.

Betapa hikmahnya Nabi Ibrahim menuturkan kata-kata kepada anaknya, Nabi Ismail untuk mentaati arahan Allah untuk mengorbankannya. Dapat dilihat juga ketaatan seorang anak yang ditunjukkan oleh Nabi Ismail dalam menerima arahan dari ayahnya meskipun dari segi manusiawinya agak tidak masuk akal.

Ketaatan Nabi Ismail terhadap arahan ayahnya, Nabi Ibrahim semestinya disebabkan qudwah Nabi Ibrahim itu sendiri. Jika ayahnya seorang yang hebat dan taat, peribadi itu jugalah yang diikuti oleh anaknya. Kethiqohan inilah yang dituntut dalam dakwah, iaitu menunjukkan qudwah yang terbaik dan bukan hanya tahu memberikan arahan semata-mata.

Maka, dalam dakwah, seorang syuyukh perlu menunjukkan qudwah yang terbaik dan para syabab perlu menjadikan ia sebagai contoh terbaik untuk diikuti di samping semangat dakwah yang luar biasa. Kedua-dua unsur dakwah ini perlu wujud seiringan. Tidak boleh di dalam dakwah ini, hanya para syuyukh saja yang berusaha tanpa kehadiran semangat para syabab. Tidak bagus juga semangat syabab yang melonjak-lonjak hadir tanpa kehadiran hikmah dan nasihat para syuyukh.

Maka, ibadah korban ini sepatutnya memberikan ibrah yang terbaik buat para dai'e. Memahami dan menghayati serta perlu menjadikannya realiti di dalam dakwah.

Wallahua'lam.

Monday, October 14, 2013

'Eidul Adha 1434H

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya 'Eidul Adha kepada semua pengunjung web Ijtihad Pengembara (http://imam-abuhanifah.blogspot.com).

Bagi sesiapa yang menjadi tetamu Allah di Tanah Suci dan yang diberikan ruang untuk melaksanakan dan menikmati Ibadah Qurban, semoga hakikat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mengiringi setiap ibadah yang kita lakukan.

Taqabbalahhu Minna Wa Minkum.


Ikhlas daripada:
Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Norashidah bt Samsudin
Amirul Mukminin Hanifah bin Abu Hanifah

14 Oktober 2013 / 9 Zulhijjah 1434H

Sunday, October 13, 2013

Islam & Harapan

Firman Allah: "Dan kamu menjadi tiga golongan. Iaitu golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri, alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dahulu (masuk syurga)." (Al-Waqiah, 56: 7 - 10)

Jika dibaca lanjutan dalam surah ini dan ditadabbur atau dikaji serba sedikit beberapa tafsir, kita akan lebih tertumpu terhadap perbezaan golongan kanan (Ash-haabul Yamin) dan orang yang paling dahulu (As-sabiquun). Lanjutan dari ayat di atas, diceritakan ciri-ciri ketiga-tiga golongan tersebut. Semestinya, golongan kanan (Ash-haabul Yamiin) adalah lawan kepada golongan kiri (Ash-haabus Syimal). Tetapi, apa pula kelebihan orang yang paling dahulu (As-sabiquun)? 

Menurut Tafsir Ibnu Kathir - 'Adapun golongan yang paling dulu sampai di hadapan Allah, mereka inilah yang paling khusus, lebih terhormat dan lebih dekat daripada orang-orang yang berada di sebelah kanan yang merupakan pemuka mereka semua, di antara mereka adalah para Rasul, para Nabi, orang-orang yang benar (asshiddiiquun), dan para Syuhada' yang jumlahnya lebih sedikit dari Ash-haabul Yamiin.'

Pernah dalam halaqah saya beberapa tahun lepas, apabila saya tadaburkan ayat-ayat ini dan ajukan persoalan kepada mutarobbi, kebanyakan mereka sepakat menjawab bahawa, wahyu Allah Taala ini memberikan kita motivasi dan harapan untuk menjadi golongan As-sabiquun dan menjadi pendamping para Nabi dan para Sahabat. Meskipun diukur dari segi amal dan segala-segalanya, ibarat langit dan bumi, namun tidak salah kita mengimpikan begitu, sesuai dengan Islam yang sentiasa memberikan harapan kepada umatnya.

Sahabat-sahabat sekalian,
Harapan yang diberikan kepada umat adalah ibarat air hujan yang turun ketika musim kemarau. Iaitu ketika tanam-tanaman kering dan amat memerlukan air untuk terus hidup. Maka, hujan yang turun membuang segala permasalahan dan memberi pengharapan kepada tanam-tanaman untuk terus hidup. Kita pernah mendengar hadith nabi mengenai kisah seorang pelacur yang memberikan makanan kepada anjing yang akhirnya ditempatkan ke dalam syurga. Harapan yang Islam berikan tidak terbatas kepada golongan tertentu seperti golongan agamawan dan elit sahaja, tetapi menyeluruh kepada seluruh manusia dan sekalian alam.



Islam itu hadir bukanlah untuk menghukum, membid'ahkan dan mensesatkan kaum tertentu akibat kesilapan mereka. Tetapi, Islam itu hadir dengan memberikan harapan kepada manusia agar mereka boleh berubah menjadi lebih baik, mereka boleh memperbaiki diri dan kembali ke landasan yang benar. Peluang dan ruang terbuka luas untuk kita kembali ke jalan Allah dan mengejar syurga Allah. Usah disia-siakan ruang yang terhidang, dan yakin dan optimislah bahawa masih ada harapan untuk kita menjadi golongan As-sabiquun.

Wallahua'lam...

Sunday, October 6, 2013

Buangkanlah Keegoan Demi Sebuah Kejayaan


Ozil tenang bersama Arsenal


LONDON - Perancang kreatif Jerman, Mesut Ozil mengakui berasa lebih tenang berada dalam bilik persalinan Arsenal berbanding di Real Madrid.

Ozil mendedahkan bahawa barisan pemain Arsenal memiliki hubungan rapat antara satu sama lain dan tidak seperti bintang Real yang penuh dengan keegoan.

Kehadiran bekas bintang Real itu berjaya membantu Arsenal mengharungi pencapaian cemerlang pada awal saingan kempen Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara musim.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1005&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz2gw0VHZ1d 

********************************************************************

Dikelilingi pemain-pemain bintang, bukanlah suatu jaminan seseorang pemain itu seronok berada dalam sebuah pasukan. Apatah lagi, jika keegoan itu menjadikan pasukan itu rapuh dalamannya yang akhirnya gah hanya pada nama tapi matlamatnya tersasar jauh. Itulah yang dirasai oleh Mesut Ozil, bintang Arsenal. Sebenarnya, apa jua kerjaya kita termasuklah atlet sukan sekalipun, keseronokan dan kepuasan itulah yang paling dicari.

Begitu juga dengan dakwah. Andainya sesebuah jemaah itu dipenuhi oleh orang-orang yang tinggi egonya, hanya menganggap dirinya saja betul dan sering mencari kesalahan orang lain, apa lagi yang diharapkan dengan terbelanya dakwah di tangan orang sebegini? Maka, dakwah itu akan hilang rasa keseronokan. Tiada lagi nilai ukhwah dan kasih sayang dan berdakwah itu seolah-olah dilakukan secara terpaksa.

Jika seorang bintang iaitu si Ozil ingin mencari ketenangan dalam memburu kegemilangan, mengapa tidak kita wahai para dai'e? Justeru itu, buangkanlah keegoan dalam diri ini demi sebuah kegemilangan dan kejayaan abadi.

Saturday, October 5, 2013

Sensor

Apabila kita memasuki sebuah lif di dalam sebuah bangunan, sedar atau tidak, setiap lif dilengkapi dengan 'sensor' pada pintu masuk sebagai langkah keselamatan bagi mengelak penumpang tersepit pada pintu. Maknanya, sekiranya kita mahu melangkah ke dalam lif dan pada waktu yang sama pintu lif hendak ditutup, maka sensor itu akan memberi isyarat supaya pintu dibuka semula. Maka, sekiranya sensor itu rosak, maka peranannya untuk langkah keselamatan tidak dapat dilaksanakan. Justeru itu, dalam sebuah komponen, setiap komponen kecil itu ada peranannya meskipun ianya kecil. Jika hilang komponen tersebut, maka keseluruhan sistem akan terganggu.

Maka, dalam kehidupan seharian kita, adakah masih wujud sensor dalam diri kita? Sensor itulah yang dinamakan hati. Sensor dalam diri manusia ini lah yang akan mengesan sama ada jasad atau ruh kita baik atau tidak. Maka, apabila ditanya khabar diri atau khabar iman diri kita, sepatutnya sensor atau hati kita mampu respon sama ada iman kita baik atau tidak. Itulah pentingnya peranan sensor dalam diri kita. Kita sedar sama ada diri kita sangat sihat imannya atau lemah imannya. Justeru itu, cepat-cepatlah bertindak untuk refreshkan iman kita supaya tidak terus down. Bahkan, Rasulullah sendiri mengajarkan kepada kita bagaimana Baginda sentiasa bermuhasabah dan memeriksa mutabaah amal para Sahabat setiap kali bertemu.

Sabda Rasulullah s.a.w: "Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. ketahuilah bahawa ia adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga peranan sensor dalam mencetuskan sensitiviti diri kita kepada keadaan sekeliling. Apa reaksi kita melihat suasana umat Islam ketika ni? Sensor inilah yang menguji sejauh mana ukhwah kita dengan umat Islam yang lain. Andainya apa yang berlaku di Palestin, Syria, Mesir, Rohingya dan lain-lain tidak langsung menggugat hati kita, adakah sensor dalam diri kita masih baik ataupun sudah rosak?

Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidaklah beriman salah seorang di antara kalian sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka, sensor atau hati itulah yang menjadi penanda aras iman kita. Ayuh, kita ukur balik kesensitivan sensor kita agar sentiasa terjaga iman diri kita. Bangkitlah jiwa-jiwa agar sentiasa hidup, bukan saja untuk diri sendiri bahkan juga untuk umat Islam yang lain.

Thursday, September 12, 2013

Ruang Terkurung @ Confined Space




Ruang terkurung atau 'Confined Space' bermaksud ruang tertutup atau separa tertutup pada tekanan atmosfera semasa dihuni dan tidak disediakan atau direkabentuk untuk digunakan terutamanya sebagai tempat kerja dan boleh pada bila-bila masa mempunyai atmosfera yang mengandungi paras bahan cemar yang mungkin memudaratkan, mengalami kekurangan atau berlebihan oksigen, atau menyebabkan pelingkungan dan mempunyai laluan masuk dan keluar yang terhad.

Maka, aspek keselamatan dalam melaksanakan pekerjaan di ruang terkurung amat dititikberatkan. Seolah-olah ianya keperluan yang paling utama apabila hendak melaksanakan kerja. Masakan tidak, bekerja di ruang terkurung ini sangat meluas perlaksanaannya ketika ini.

Maka, tidak hairanlah, golongan beriman turut memanfaatkan ruang terkurung ini sebagai tempat memperkembangkan dan mempertahankan risalah Islam.

Firman Allah: “Apakah kamu mengira bahawa orang-orang yang mendiami gua dan (yang mempunyai raqim) itu, mereka termasuk tanda-tanda kekuasaan Kami yang menghairankan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: 'Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sis-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini).'” (Al-Kahfi, 18: 9 – 10)

Firman Allah: “Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: 'Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita.' Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi maha Bijaksana.” (At-Taubah, 9: 40)

Dalam kisah Pemuda Kahfi, gua sebagai ruang terkurung adalah medan di mana mereka mempertahankan akidah mereka dari pemimpin yang zalim. Begitu juga Rasulullah dan Abu Bakar as-Siddiq bersembunyi di gua apabila diburu oleh kaum Musyrikin ketika hendak berhijrah. Maka, ruang terkurung inilah yang menjadi saksi akan pengorbanan mereka mempertahankan akidah dengan Allah menjaga keselamatan mereka.

Maka, apa lagi yang kita khuatir dengan ruang terkurung ciptaan Allah ini? Ia bukannya teknologi baru bahkan Rasulullah serta orang-orang beriman telah menempuhinya. Teruskanlah kerja-kerjamu di ruang terkurung agar dapat merasai kenikmatan seperti yang dirasai oleh pendakwah sebelum ini.

Wallahua'lam

Friday, September 6, 2013

Harga Minyak Naik - Rasionalisasi Subsidi?

Kenaikan harga Petrol 95 dan 97 serta Diesel sedikit sebanyak membebankan rakyat. Pelbagai respon diterima terutama dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang amat merasai kenaikan tersebut. Berikut adalah beberapa kesan akibat kenaikan harga minyak ini:

1) Rakyat harus faham kenaikan 20 sen adalah 20 sen/liter. Sebagai contoh, saya biasanya mengisi Petrol Ron95 full tank sebanyak 35 liter x RM 1.90 = RM 66.50. Maka, selepas harga minyak naik, pengiraannya sudah berubah: 35 liter x RM 2.10 = RM 73.50. Iaitu, untuk 35 liter, penambahan sebanyak RM 7. Kesimpulannya, penggunaan bahan bakar meningkat sebanyak 10%.

2) Kenaikan harga Petrol dan Diesel ini pasti akan memberi kesan kepada pengangkutan awam serta peningkatan harga barang keperluan harian. Pengangkutan awam serta pengangkutan barang-barang keperluan harian akan melibatkan penggunaan petrol atau diesel, jadi, mana mungkin harga barang tersebut tidak naik.

3) Beberapa tahun lepas, penggunaan utama bagi kenderaan ialah Ron97 namun ditukar ke Ron95 yang lebih murah dan kurang kualitinya. Namun, sekarang Ron95 makin mahal harganya dan ada ura-ura untuk penggunaan Ron92 yang lebih teruk kualitinya. Maknanya, semakin membangun dan maju negara dan teknologi kita, kita semakin ke belakang dari segi penggunaannya. Kita berundur ke arah produk yang tidak berkualiti untuk kenderaan dan alam sekitar.

4) Alasan kenaikan ini disebabkan untuk merasionalisasikan subsidi adalah tidak wajar. Ini kerana, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak, kelapa sawit, getah dan sebagainya. Agak pelik, Malaysia yang merupakan pengeksport petroleum tetapi harga petrol di Malaysia antara yang laing mahal dibandingkan dengan pengeksport yang lain. Apabila menjadi pengeksport minyak, pastinya banyak hasil untuk negara ini. Apabila dijadikan alasan kenaikan harga minyak dunia, sepatutnya hasil Malaysia sendiri bertambah. Persoalannya, bagaimana pengurusan kewangan negara kita? Ada 2 Menteri Kewangan tapi pengurusan masih di takuk lama.

5) Selain isu ini, rakyat dihimpit dengan pelbagai masalah. Harga rumah tinggi, harga kenderaan meningkat dan kos pendidikan bertambah terus menghantui masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Dengan kenaikan harga minyak dan barang keperluan harian, menjadikan rakyat terus dibelenggu masalah. Belum ditambah lagi isu pengangguran dan isu keselamatan yang berada di tahap kritikal yang masih belum diselesaikan.

6) Pemberian BR1M bukan langkah penyelesaian kerana hanya diberikan kepada kelompok tertentu. Kesusahan yang dialami bukan dirasai oleh golongan berpendapatan RM 3000 ke bawah saja tapi, golongan yang berpendapatan lebih dari itu, turut merasai kesusahan. Masalah no. 4 yang dinyatakan tidak menjamin golongan yang berpendapatan lebih RM 3000 untuk survive, apatah lagi jika ahli keluarganya ramai.

7) Ubah Gaya Hidup – Saya setuju dengan slogan ini dalam menghadapi suasana sekarang. Cuma, bodohlah jika yang nak diubah gaya hidup tu pada golongan bawahan sedangkan golongan atasan terus bersikap boros, mengamalkan rasuah, tidak mengamalkan penjimatan dan tidak langsung prihatin nasib golongan bawahan. Golongan atasan dan pemerintah dikekalkan subsidi 100% untuk petrol, tol dan lain-lain sedangkan untuk rakyat, dikurangkan subsidi atas alasan rasionalisasikan subsidi. Kita harus ingat, Rasulullah, apabila umat Islam mengalami zaman pemboikotan ekonomi, Rasulullah sendiri ikat perut bersama-sama para sahabat.


Kesimpulan, rakyat terus diperbodohkan.. lagi dan lagi... Adakah kita hanya diam membisu atau hanya kutuk dari belakang? Itulah akibatnya apabila membiarkan si penipu, si perasuah dan si penyamun berkuasa. Maka, mereka akan terus bermaharajalela.....

Ini bukan soal politik, bukan soal parti yang kita sokong sebelum ini. Ini bukan soal hak individu tapi ini adalah hak rakyat. Saya mungkin masih boleh survive akibat kenaikan harga minyak ini, tapi saya tetap memikirkan masalah rakyat yang lain. Usah hanya mementingkan diri sendiri akibat kemewahan diri sendiri hingga melupakan kesusahan dan kepayahan orang lain.

Wallahua'lam

Tuesday, August 27, 2013

Monday, August 26, 2013

Takut Akan Bayangan




Di sebuah daerah nan jauh dari kota, seorang pemuda terhinggap penyakit aneh. Ia begitu gusar dengan keadaannya. Selalu gelisah. Karena penyakit itu, sang pemuda tak berani keluar rumah siang hari. Takut. Sangat takut.

Sebenarnya, penyakit itu tampak sederhana. Sang pemuda begitu merinding ketakutan ketika melihat bayangan hitam dirinya akibat sorotan cahaya. Tiap kali menemukan bayangan hitam yang mengikuti geraknya, si pemuda berteriak histeris. “Takut! Takut!” Mungkin, bayangan itu terlihat lain olehnya. Seperti sosok hitam misterius yang terus membayangi ke mana pun ia bergerak.

Beberapa tabib telah didatangkan. Ada yang ahli gangguan setan. Ada yang ahli jiwa. Ada juru nasihat. Dan seterusnya. Tapi, semua belum menggembirakan. Sang pemuda masih saja takut. Ia seperti tak akan pernah sembuh.

Hingga suatu kali, seorang guru berkunjung. Dari balik rumahnya nan gelap, sang pemuda mempersilakan kakek tua itu masuk. “Silakan masuk, Guru!” ucapnya pelan. Kakek dan pemuda itu pun duduk dalam ruang gelap. Nyaris, tak seberkas sinar pun bisa menelusup dari celah bilik rumah itu. Ruang-ruang di situ begitu rapat. Gelap dan pengap.

“Ada apa, anakku? Kenapa kau mengurung diri seperti ini?” suara sang kakek memulai pembicaraan. Wajahnya nan teduh bisa terasa jelas oleh sang pemuda. Pertanyaan itu seperti mengungkit-ungkit rasa kesadarannya yang tertimbun takut.

“Aku takut, Guru! Takut!” jawabnya singkat. “Takut apa?” tanya sang guru lagi. “Aku takut dengan bayangan hitam yang terus membuntutiku. Ia seperti menunggu saat aku lengah. Mungkin, sosok hitam itu akan membunuhku!” ungkapnya sambil sesekali menahan tangis.

“Anakku. Tahukah kamu kalau bayangan hitamlah yang mengantarku ke sini. Kini, ia tak dapat masuk bersamaku di ruang ini. Padahal, ia sahabat terbaikku. Kemana pun aku pergi, ia selalu menemani,” ucap sang guru tenang.

“Tapi guru, ia begitu menyeramkan!” sergah sang pemuda bersemangat. Sang kakek pun tersenyum. Ia memegang pundak pemuda itu, lembut. “Anakku. Jangan terpengaruh dengan bayangan hitam. Karena itu pertanda kalau seseorang sedang tersorot cahaya,” suara sang kakek sambil menahan nafas.

“Anakku,” suaranya lagi agak lebih berat. “Songsonglah sumber cahaya, kau akan bahagia. Jangan terus menatap bayangan gelapnya. Karena kau akan takut melangkah!” ucap sang guru meyakinkan.

Dinamika hidup kerap menawarkan dua sisi. Satu sisi menawarkan peluang, dan sisi lain memunculkan ancaman. Ibarat cahaya, peluang selalu memberikan harapan. Dan cahaya yang menyorot sebuah benda, pasti akan membentuk bayangan. Itulah sisi gelap sebuah ancaman.

Persoalannya, orang kadang lebih sering melihat sisi gelap ancaman daripada harapan. Mau nikah, takut cerai. Mau bisnis, takut rugi. Dan seterusnya. Orang pun terkungkung pada rasa takut bayangan hitam yang sebenarnya sisi lain dari sebuah peluang.

Menarik apa yang pernah diajarkan seorang ulama seperti Ibnu Qayyim soal cahaya harap dan ancaman takut. Beliau mengatakan, “Harap dan takut tak ubahnya seperti dua sayap pada seekor burung.” Kepakan keduanya akan menerbangkan burung kemana pun ia pergi.

Mungkin benar apa yang dikatakan kakek guru di atas. Songsonglah cahaya harap, dan jadikan bayangan ancaman sebagai teman pengawas. Insya Allah, kita bisa terbang ke puncak cita-cita.    


Tuesday, August 6, 2013

Madrasah Ramadhan

Madrasah Ramadhan hampir melabuhkan tirai. Semestinya suasana di bulan Ramadhan ini sangat menggamit hati umat Islam dan pastinya sukar untuk kita mencari suasana seperti ini pada bulan-bulan yang lain. Ramainya manusia yang solat jemaah di surau dan masjid, meriahnya masjid ketika solat tarawikh dan iktikaf pada 10 malam terakhir, rajinnya bertilawah dan bertadarus al-Quran, rajinnya bersedekah dan kembalinya fitrah manusia ke arah kebaikan.

Rasulullah dan para Sahabat amat menantikan bulan Ramadhan dan menangisi pemergian bulan Ramadhan. Kuatnya Rasulullah dan para Sahabat berdakwah, maka bertambah kuatlah mereka berdakwah ketika bulan Ramadhan dan bertambah kuat lagi apabila memasuki 10 malam terakhir. Kurangnya Rasulullah dan para Sahabat makan dan tidur pada hari biasa, maka bertambah kuranglah mereka makan dan tidur ketika bulan Ramadhan dan bertambah kurang lagi apabila memasuki 10 malam terakhir. Itulah Tarbiyah Ramadhan.

Pemergian Ramadhan ini menggusarkan diri kita, adakah kita mampu mempertahankan fitrah yang dibina ketika Ramadhan. Adakah mampu kita bawa momentum madrasah Ramadhan ini ke bulan-bulan yang seterusnya? Mampu atau tidak kita istiqomah dengan Tilawah al-Quran, Solat Jemaah dan amal-amal soleh yang lain? Patutlah Rasulullah dan para Sahabat begitu merindui bulan Ramadhan ini kerana manusia akan kembali kepada fitrahnya.

Ketika Ramadhan, kita sering dihidangkan dengan kisah Rasulullah dan para Sahabat dalam Badar al-Kubra, iaitu pertarungan antara hak dan batil. Bahkan, Ramadhan kali ini, turut menyaksikan penderitaan umat Islam di Mesir, Syria, Palestin dan negara-negara lain. Maka, saksikanlah, pertarungan hak dan batil ini akan berterusan hingga ke akhirnya seperti pertarungan Nabi Musa dan Firaun. Pertarungan yang akan mengorbankan dan menyeksakan ribuan nyawa hinggalah hak itu menang. Maka, beruntunglah golongan yang berjual beli dengan Allah Taala di mana Allah janjikan syurga untuk mereka.

Maka, kemenangan kita menjejakkan kaki di bulan Syawal sepatutnya meningkatkan izzah dan jati diri sebagai Muslim. Banggalah kalian sebagai umat Islam yang baru saja menempuh madrasah tarbiyah dari Allah dan bersedialah untuk memikul tugas-tugas yang tidak akan habis. Rasailah kenikmatan madrasah Ramadhan ini dan anggaplah ini tarbiyah kita terus dari Allah. Insya Allah, Allah akan memberikan kekuatan dan kemenangan kepada kita dan seluruh umat Islam.

Taqabballahu Minna Wa Minkum

Saturday, July 20, 2013

Ramadhan - Medan Untuk Istiqomah

Ramadhan yang hadir umpama satu suntikan kepada umat Islam. Fitrah kepada agama jelas kelihatan pada solat jemaah di masjid, tadarus al-Quran dan sebagainya. Ianya suntikan terbaik bagi kita untuk istiqomah mengabdikan diri kepada Allah.

Ramai yang menjadikan Ramadhan ini sebagai tempat untuk pulun habis-habisan untuk beribadah kepada Allah. Maka, bertilawahlah sehingga 2 - 3 juz sehari. Bagus dan teruskanlah usaha itu, cuma yang harus difikirkan adalah kualiti ibadah itu. Dan bagaimana pula selepas Ramadhan? Adakah kita yakin mampu untuk istiqomah dengan jumlah yang sama? Jangan ketika Ramadhan, 2 - 3 juz sehari, tetapi apabila berlalunya Ramadhan, semangat yang memuncak tiba-tiba kendur, hanya mampu membaca 2 - 3 muka surat sahaja sehari. Bukan ini yang kita mahu.

Sama juga, apabila bulan Ramadhan, mula berjinak-jinak dengan solat jemaah di masjid atau surau, tetapi berlalunya Ramadhan, kembali ke tabiat asal, cukup sekadar solat di rumah. Sekurang-kurangnya, cubalah kekalkan sedikit kebaikan atau suntikan yang diterima ketika Ramadhan. Jika, kita mula berjinak-jinak dengan bersedekah dan berinfaq, didiklah diri kita untuk meneruskan amalan tersebut.

Jadikanlah Ramadhan ini, medan untuk kita istiqomah di atas jalan-Nya. Kejarlah kuantiti ibadah itu, dengan turut menjaga kualitinya. Dan doa dan berusahalah untuk istiqomah selepas berakhirnya Ramadhan ini. Jika, kita target untuk tilawah al-Quran, 1 juz sehari, istiqomahla selepas ini. Jika mampu kita istiqomah selepas setahun, ayuh kita tingkatkan kepada 1.5 atau 2 juz sehari pula tahun hadapan atau melakukan tambahan dengan tadabbur pula.

Moga-moga injection atau antibiotik yang kita terima ketika Ramadhan dapat menjadi pelindung dari gangguan atau halangan selepas ini. Bukan mudah untuk kita istiqomah, tetapi teruslah berdoa dan berusaha. Allah saja yang mampu membolak-balikkan hati kita.

Wallahua'lam.

Thursday, July 18, 2013

Siapa Pula Selepas Ini?

Palestin, Bosnia, Acheh, Chechnya, Kashmir, Tak Bai, Afghanistan, Iraq, Rohingya, Syria, Mesir... Apa samanya kesemua negara ini? Mereka ini majoritinya penduduk Islam tetapi...

Ditindas...
Dibunuh...
Wanitanya diperkosa...
Anak-anak kecil kehilangan ibu dan bapa...
Diperlakukan seperti binatang...
Hak mereka dirampas...


Mengapa ini berlaku pada negara Islam? Bukankah Islam satu-satunya agama yang diredhai Allah? Mengapa seluruh dunia memperlakukan Islam sebegini rupa dan umat Islam tidak mampu mempertahankan haknya?

Angkara siapa semua ini? Yahudi? Orang Kafir? Syiah?

Mengapa kita sibuk menuding jari kepada musuh Islam sedangkan kita sendiri tidak berbuat apa-apa? Memang itulah matlamat musuh Islam untuk melenyapkan Islam... Apa pula tindakan kita? Mengapa kita mudah menyalahkan pihak lain sedangkan kita sendiri langsung tiada usaha mempertahankan Islam. 

Masih lagi leka dengan urusan masing-masing...
Masih lagi leka dengan hiburan...
Tidak kisah meninggalkan solat dan perkara wajib yang lain...
Tidak rasa apa-apa apabila menjamah makanan di McDonald dan minum Coca-Cola...


Firman Allah: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara...” (Al-Hujurat, 49: 10)

Barangkali, ini perancangan Allah. Haruslah redha dan ambil peranan kita sebagai Muslim. Jika mereka itu saudara kita, apa peranan kita? Persaudaraan dalam agama itulah nilai yang paling tinggi. Persaudaraan yang membawa ke syurga, Insya Allah.

Habis sudah negara-negara Islam ditindas. Adakah kita dengan tenang melihat keadaan ini? Atau, adakah kita terfikir, negara mana pula selepas ini yang akan menjadi mangsa? Adakah negara kita? Tidak mustahil ianya berlaku.....

Thursday, June 20, 2013

Friday, June 7, 2013

Kapsul Al-Kahfi

Firman Allah: "(Ingatlah) ketika pemuda-pemuda itu berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa, 'Ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami.'" (Al-Kahfi, 18: 10)

Tarbiyah Allah yang melahirkan pemuda-pemuda yang diceritakan di dalam al-Quran menggambarkan bahawa itulah tarbiyah yang sebenar. Begitu juga tarbiyah yang melahirkan remaja kental pada zaman Rasulullah seperti Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam. Maka, kelompok pemuda dan remaja ini, bukanlah kelompok yang kita gambarkan sebagai hingusan dan tidak matang, sebaliknya, jika mereka ini dijaga sebaik-baiknya, maka akan menjadi generasi yang unggul pada masa hadapan.

Merujuk artikel saya sebelum ini, http://imam-abuhanifah.blogspot.com/2013/01/tarbiyah-remaja-pembinaan-rijal-idaman.html, Generasi Al-Kahfi ini mungkin akan dilihat sebagai golongan yang sedikit yang tidak punyai apa-apa, tapi kesannya pada tarbiyah, seluruh masyarakat beriman kepada Allah. Begitu jua  kisah Ashabul Ukhdud.

Mengambil maksud 'Kapsul' iaitu 'Kotak Kecil', maka, ianya ruangan kecil untuk mentarbiyah remaja-remaja menjadi Generasi Al-Kahfi. Kapsul inilah yang dipanggil Usrah atau Halaqah, ruangan untuk mentarbiyah jiwa-jiwa manusia untuk menjadi lebih baik, dan bagi remaja, ianya tidak terkecuali untuk memperolehi manfaatnya. Moga-moga Kapsul Al-Kahfi ini diberkati oleh Allah dan mengikut tarbiyah acuan dari Allah.

Wednesday, June 5, 2013

Biarlah Gambar Berbicara...


Jika permusuhan lampau dijadikan ukuran, pasti kedua-dua wanita ini tidak semesra begini. Perkara yang lampau bukannya asbab untuk terus bermusuh dan diwarisi permusuhan itu. Jika mereka mampu begini, bagaimana pula dengan Gerakan Islam?

Sunday, June 2, 2013

Nyah Kau Taghut!!

Taghut adalah benda yang melampaui batas (mengingkari Allah) dan masyarakat akan mengikutinya sama ada terpaksa atau rela.

Begitu juga apabila sesebuah masyarakat berdepan dengan sebuah kerajaan taghut. Meskipun terlalu banyak kerosakan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh taghut ini, mereka masih lagi cenderung untuk mengekalkan taghut yang sedia ada. Mereka sedar akan segala kerosakan yang telah dilakukan, tetapi si taghut berjaya menundukkan dan menakutkan mereka. Maka, di antara sebabnya ialah bimbang bantuan akan disekat, takut kehilangan kerja, takut kemewahan ditarik balik dan sebagainya. Maka, berjayalah usaha taghut selama ini.

Bagi golongan yang masih takut untuk berdepan dengan kerajaan taghut ini, kembalilah kita semua kepada Al-Quran.

Firman Allah: “Katakanlah (Muhammad), ‘Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Mahakuasa atas segala sesuatu. Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Dari Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau berikan rezeki kepada siapa yang Engkau kehendaki tanpa perhitungan.’” (Ali-Imran, 3: 26- 27)

Firman Allah: “Milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Jika kamu nyatakan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu sembunyikan, nescaya Allah memperhitungkannya bagimu. Dia mengampuni siapa yang Dia kehendaki dan mengazab siapa yang Dia kehendaki. Allah Mahakuasa atas segala sesuatu.” (Al-Baqarah, 2: 284)

Bukan manusia yang menciptakan kamu dan seluruh alam ini, tetapi ALLAH!

Bukan manusia yang menaburkan rezeki kepada kamu, tetapi ALLAH!

Bukan manusia yang menghidupkan dan mematikan kamu, tetapi ALLAH!

Bukan manusia yang kamu taati dan sembah, tetapi ALLAH!

Maka, buangkanlah perasaan takut kepada taghut. Buanglah atau nyahkanlah si taghut itu seperti apa yang dilakukan oleh Nabi Musa apabila menumbangkan raja segala taghut iaitu Firaun.

Friday, May 24, 2013

Pasca PRU-13

Pasca PRU-13, banyak perkara yang berlegar-legar di fikiran. Akhirnya, BN mengekalkan kuasanya di Malaysia walaupun tidak dinafikan sokongan kepada PR lebih meningkat dari yang sebelumnya. Apa yang diharapkan oleh majoriti rakyat Malaysia tidak kesampaian - Pendidikan Percuma, Harga Kereta Turun, Harga Petrol Turun dan Tol Dihapuskan, hanya tinggal sejarah. Cuma, disebalik PRU-13 ni, banyak perkara yang perlu kita teliti dan fikirkan, di manakah halatuju kita sekarang?

Peranan Pemuda Di Dalam Politik
Penglibatan beberapa tokoh pemuda di dalam PRU-13 ini, memberikan impak yang baik dalam negara kita. Khairy Jamaludin, Rafizi Ramli, Nurul Izzah, Nasarudin Hassan, Anthony Loke adalah antara nama-nama yang meningkat naik. Kita perlu lihat dalam tempoh 5 tahun ini, di mana potensi dan kemampuan mereka dalam dunia politik.

"Jika mahu melihat kemahsyuran sesebuah negara itu, lihatlah pada pemudanya." Ke mana halatuju pemuda di Malaysia? Di Malaysia, kita akan melihat, pemuda di bandar, ada yang ke arah positif dan ada juga di sebaliknya. Peranan IPTA dan IPTS banyak memberi impak kepada pemuda. Mengenai pemuda di kawasan luar bandar, ke mana pula mereka? Adakah mereka ini akan tergolong pada golongan yang terpinggir yang hanya dipergunakan oleh sesetengah pihak. Jika hanya dipergunakan sekadar untuk melakukan provokasi, mengganggu kempen pihak lawan atau mencetuskan pergaduhan dengan hanya sedikit upah, maka, tiadalah kelihatan potensi pemuda itu.

Mentaliti yang tidak berubah hanya menjadikan mereka ini tidak lebih dari menjadi orang suruhan saja. Orang suruhan adalah berbeza dengan orang yang taat. Orang suruhan hanya melakukan apa saja yang disuruh tanpa menilai kebaikan atau keburukan. Berlainan pula dengan ketaatan yang melakukan sesuatu perkara berdasarkan penilaian terlebih dahulu.

Potensi pada pemuda adalah sebagai agen perubahan kepada masyarakat. Sekiranya masyarakat berada dalam kekalutan dan dilema, maka, pemuda inilah yang akan melaksanakan perubahan dan pembaikan. Justeru itu, harga diri bagi seseorang pemuda amat bernilai pada masyarakat dan potensi inilah yang amat dinanti-nantikan oleh masyarakat.

Isu Perkauman Paca PRU-13
Saya pernah ke beberapa negara luar, di kawasan Asia dan Timur Tengah. Apa yang membezakan dengan Malaysia ialah, Malaysia mempunyai penduduk pelbagai agama dan bangsa. Perbandingan di antara Malaysia dan Indonesia saja, amat terserlah. Di Indonesia, ada pelbagai kaum dan agama, tapi mereka ini boleh disatukan dengan dengan Bahasa Indonesia. Saya tertarik mendengar rakyatnya yang berbangsa Cina amat fasih berbahasa Indonesia. Jika kita bandingkan dengan orang Cina dan orang India di Malaysia yang hanya segelintir saja yang begitu.

Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang tetapi bagi saya, semua rakyat di Malaysia ini ada hak masing-masing baik Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya. Tidak wajar mengatakan bahawa hanya satu bangsa saja yang berhak pada sesuatu negara dengan mengabaikan bangsa-bangsa yang lain. Tidak wajar juga mempertikaikan suara-suara dari orang lain walaupun tidak sama dengan pendapat kita. Tidak wajar juga apabila segolongan pihak yang membakar sentimen perkauman yang akhirnya menjadikan hubungan antara kaum bertambah keruh. Ketegangan antara kaum adalah berpunca dari penindasan dan ketidakadilan yang telah lama wujud. Itulah kelemahan perjuangan kebangsaan sebab ianya tidak mampu memberikan keadilan kepada semua bangsa.

Kita perlu yakin hanya Islam saja yang mampu memberikan keadilan kepada semua orang tanpa mengira bangsa dan agama. Seperti dalam artikel saya yang terdahulu, kita perlu terus berubah ke arah kebaikan. Usah ragu-ragu sekiranya perubahan itu memang perlu dilakukan. Tetarpi, perubahan itu perlu berteraskan Islam kerana hanya Islam yang memberikan keadilan kepada semua orang.

Wallahua'lam..

Thursday, May 2, 2013

Winnable Candidate

Firman Allah: "Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata, 'Wahai kaumku! Bukankah kerajaan Mesir itu milikku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; apakah kamu tidak melihat? Bukankah aku lebih baik dari orang (Musa) yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)? Maka mengapa dia (Musa) tidak dipakaikan gelang dari emas, atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringkannya?' Maka (Firaun) dengan perkataan itu telah mempengaruhi kaumnya, sehingga mereka patu kepadanya. Sungguh, mereka adalah kaum yang fasik." (Az-Zukhruf, 43: 51 - 54)

Winnable Candidate atau Calon Boleh Menang boleh saja terdiri di kalangan orang yang mukmin dan orang yang kufur. Bahkan di dalam sesuatu pertarungan, perkara ini kerap berlaku. Cuma, apa yang membezakan di antara orang yang mukmin dan orang yang kufur? Winnable Candidate di kalangan orang mukmin, pastinya melihat perkara yang lebih penting iaitu keredhaan Allah. Sama ada dia menang atau tumpas, redha Allah menjadi keutamaan. Dan, itulah ciri yang paling utama perlu ada bagi seorang Winnable Candidate.

Justeru itu, apabila dilihat kemampuan Nabi Musa dan Firaun, pastinya kelebihan berganda-ganda oleh Firaun disebabkan kekuasaan dan pengaruhnya. Tetapi, malang bagi Firaun, walaupun dia berkuasa, tetap saja redha Allah jauh darinya. Berbeza pula dengan Nabi Musa, yang pada awalnya bukanlah dalam keadaan terbaik untuk bertarung dengan Firaun, tetapi Allah yang memberikan kemenangan dan dialah Winnable Candidate yang sebenarnya.

Bagi seorang mukmin dan seorang dai'e, teruslah berjuang dan bertarung untuk mencapai kejayaan. Usah bimbang sama ada menang atau kalah, sebab Insya Allah kita akan menjadi Winnable Candidate di sisi Allah.

Monday, April 29, 2013

Teruskan Berubah

Menjelang PRU-13 ini, banyak slogan parti politik yang mencuit hati saya. 'Ini Kalilah', 'Jom Ubah' dan 'Tukar' adalah di antaranya. Apa signifikannya slogan ini dengan PRU-13 kali ini? Adakah lebih menunjukkan ketidakpuasan hati kepada kerajaan sedia ada atau rakyat Malaysia kini lebih cerdik berpolitik?

Barisan Nasional telah memerintah selama 56 tahun dan masih kuat dokongan di kalangan rakyat. Penyokongnya pastilah yang rasa selesa dengan pemerintahan sedia ada dan yang mempunyai kepentingan. Bagi Pakatan Rakyat pula, yang baru saja bergabung dan telah memerintah beberapa buah negeri, pula didokong oleh rakyat biasa yang menuntut perubahan dan merasakan Malaysia perlu dilonjak ke arah yang lebih baik dan kebaikan kepada rakyat.

Bagi saya, amat bagus menuntut perubahan. Bahkan dalam diri kita sendiri, kita perlu berubah ke arah lebih baik. Jika mampu, dapatkanlah kehidupan yang lebih baik. Jika mahu, dapatkanlah pekerjaan yang lebih menjamin masa depan. Sampai bila kita hendak terus berasa selesa tanpa sebarang penambahbaikan pada diri kita?

Bagi saya, saya mengimpikan sebuah kerajaan yang diberkati oleh Allah, yang menjamin keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan bagi rakyat dan negara. Mungkin sangat simple tapi jika dihuraikan impian saya, pasti berjela-jela panjangnya, seperti kefahaman Syahadatain bagi seorang Muslim.

Jadi teruslah berubah ke arah kebaikan hingga mendapat yang apa yang diidam-idamkan. Jika mahu BN terus memerintah, undilah BN jika rasa boleh diperolehi kebaikan dan dapat dilakukan perubahan. Jika mahu PR, undilah PR jika perubahan dapat dilakukan lebih baik dari kerajaan sedia ada. Sekiranya, kerajaan baru yang dibentuk tidak dapat melakukan perubahan sebaik-baiknya, maka teruslah lakukan perubahan. Teruskanlah berubah sehingga perubahan total untuk negara, agama dan masyarakat dapat dilaksanakan.

Maka, teruskanlah berubah hingga dapat membentuk KERAJAAN YANG DIBERKATI ALLAH dan perubahan tidak akan berhenti sampai di sini saja. Tidak mahukah kalian mempunyai kerajaan seperti yang diperintah oleh Khulafa Al-Rasyidin atau Khalifah Umar Abdul Aziz?

Sunday, April 28, 2013

BANGKIT!!

Indahnya Warna-Warni Pelangi



Jadilah seperti pelangi, walaupun berbeza warna tetapi perbezaan itulah yang menunjukkan keindahannya. Walaupun berbeza pendapat tetapi perbezaan itu umpama indahnya pelangi kerana berbeza warnanya.  Biarlah hendaknya perbezaan pandangan dan pendapat itu diraikan, bukan dijadikan sebab untuk perbalahan. Sudah tentu, itulah yang paling penting buat kita yang bernama Mukmin dalam menonjolkan imej Islam agama yang indah dan memelihara kedamaian.

Wednesday, April 24, 2013

Misi Mustahil

Dalam Sirah Nabawiyah, Mush'ab bin Umair dan Abdullah bin Ibnu Maktum boleh dikatakan sebagai arkitek dalam kejayaan dakwah Rasulullah untuk bertapak di Madinah. Misi yang boleh dianggap sebagai mustahil, untuk mendakwahi penduduk di Yathrib atau Madinah untuk menerima Islam dan mempersediakan tempat yang lebih baik untuk dakwah Rasulullah. Misi sebegini atau lebih mudah dikatakan sebagai Mission Impossible bukanlah hanya menggambarkan tentang sebuah filem, bahkan di dalam dakwah sendiri, ianya benar-benar wujud.

Berdepan dengan lawan yang ramai, mempunyai kekuatan yang terhad dan perlu bertempur dengan musuh-musuh yang mempunyai kekuatan yang luar biasa, secara manusiawinya, kita akan terfikir akan kekalahan dan kemusnahan. Tetapi, apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah, para Nabi terdahulu dan para Sahabat, adalah sebaliknya. Ketika mereka berdepan dengan masalah ini, maka kekuatan mereka adalah lebih kuat dan bertambah optimis dengan kejayaan. Itu sebabnya, di dalam Al-Quran, misi-misi mustahil sebegini diakhiri dengan kemenangan oleh pihak yang benar.

Justeru itu, ketika Malaysia memasuki musim PRU-13 pada waktu ini, saya amat tertarik dengan misi-misi parti politik dan juga calon dalam mencapai kemenangan. 





Saya bukanlah ahli PAS, apatah lagi bukanlah penyokong fanatik PAS. Tapi, saya amat mengagumi YB Salahuddin Ayub dan YB Datuk Paduka Husam Musa. Kesediaan mereka untuk meninggalkan kawasan selamat untuk berdepan lawan yang cukup-cukup hebat, berdepan dengan jentera lawan yang cukup-cukup kuat, berdepan penyokong lawan yang sangat-sangat ramai, dengan hanya berbekalkan kekuatan yang kerdil, menjadikan mereka begitu berani untuk menggalas Misi Mustahil ini. 

Bagi seorang dai'e atau pejuang Islam, kita perlu bersedia menggalas Misi Mustahil ini dalam apa jua keadaan pun. Bukan kemahsyuran dan kemenangan di dunia yang kita cari, tapi redha Allah yang kita dambakan. 

Firman Allah: "....'Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki.....'" (Ali-Imran, 3: 26)

Jika kita yakin, akan janji kemenangan dari Allah, maka, apa yang harus kita takutkan dalam menggalas Misi Mustahil ini? Dan semestinya, dakwah ini pasti dipenuhi dengan Misi Mustahil.......

Friday, April 12, 2013

Robbaniyah Ar-Rijal



Robbaniyatur Rijal adalah salah satu komponen di dalam Robbaniyatud Dakwah. Sebagai seorang dai'e, dakwah yang kita bawa haruslah bersifat robbani ataupun yang bercirikan ketuhanan. Justeru itu, kita menyeru mad'u kita ataupun manusia kepada Allah. Maka, apabila dakwah itu bersifat robbani, semestinya Rijal atau si pelaku dakwah juga harus bersifat Robbani. Sang Rijal juga perlu mempunyai ciri-ciri yang bercirikan ketuhanan. Maka, apakah ciri-ciri Robbaniyatur Rijal itu?

1) Mengajarkan Kitab
Rasulullah merupakan contoh terbaik dalam melaksanakan proses tarbiyah ini apabila diutus menjadi Rasul dan begitu juga yang dilakukan para Sahabat. Baginda mengajarkan Al-Kitab kepada para Sahabat sebaik sahaja diangkat menjadi Rasul. Sinonimnya, dakwah dan tarbiyah ini memerlukan para dai'e mengajarkan Al-Kitab atau menyampaikan Islam walau sedikit kepada manusia yang lain.

Abu Dzar al-Ghifari terus saja menyampaikan seruan dakwah walau sekejap berjumpa dengan Rasulullah. Mush'ab bin Umair, ketika berhijrah ke Madinah, diriwayatkan bahawa tiada satu pun rumah yang tidak diziarahi dalam menyampaikan dakwah Islam. Bahkan, ketika pemerintahan Khulafa' Ar-Rosyidin, para Sahabat mengembara ke seluruh pelusuk dunia untuk menyampaikan dakwah dan itulah sebabnya dakwah itu terus berkembang.

Justeru itu, para Rijal Dakwah harus komited dalam menyebarkan dakwah dan mengajarkan Islam kepada orang lain. Tiada alasan seperti tidak sedia atau tidak cukup ilmu, bahkan mindset seperti ini harus wujud pada seseorang Rijal Dakwah.

2) Mempelajari Kitab
Jika tidak mempunyai, maka tidak boleh memberi. Justeru itu, perlunya seorang Rijal Dakwah atau dai'e itu mempunyai atau mencari ilmu dengan mempelajari Al-Kitab iaitu Al-Quran. Mempelajari Al-Kitab ini adalah sikap yang semestinya ada bahkan merupakan kewajipan seorang Muslim. Dengan wahyu pertama yang diturunkan iaitu "Iqra'" adalah arahan kepada seluruh umat supaya mempelajari agama ini.

Firman Allah: " ..... Jadilah kamu pengabdi-pengabdi Allah, kerana kamu mengajarkan kitab dan kerana kamu mempelajarinya." (Ali-Imran, 3: 79)

Justeru itu, proses tarbiyah ini merupakan proses dua hala. Tidak cukup sekadar mempelajari Al-Kitab tanpa berusaha untuk menyampaikan. Dan, tidak juga boleh mengajarkan Al-Kitab tanpa mempelajarinya. Proses mengajar dan belajar ini juga adalah rangkuman dalam tarbiyah dan proses ini akan berterusan sampai bila-bila.

3) Tidak Hina
Sikap inilah yang menyebabkan diri seseorang tidak sanggup berkorban untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah. Sikap ini juga lah yang membantutkan kekuatan tentera apabila hendak berperang dengan musuh. Sikap ini juga dikenali juga dengan penyakit Wahan iaitu cinta dunia dan takut mati.

Terdapat golongan yang meletakkan keyakinan bahawa usaha yang dilakukan adalah kunci kejayaan dakwah. Padahal, kita semua harus sedar bahawa yang memberikan kemenangan dan yang mengalahkan kita adalah Allah. Seseorang dai'e juga harus faham bahawa hubungan dengan Allah sangatlah penting dalam kita mahu membina jambatan hubungan dengan manusia. Mana mungkin kita mahu berdakwah kepada manusia sekiranya hubungan kita dengan Allah sangat teruk?

Lihat saja contoh yang dipamerkan oleh para Sahabat yang digelarkan oleh As-Syahid Syed Qutub sebagai Generasi Al-Quran. Betapa hebatnya hubungan dan dekatnya mereka kepada Allah. Apa rahsia Sultan Muhammad Al-Fateh di atas kejayaan beliau dan tenteranya menawan Konstantinople dan kejayaan Salahuddin Al-Ayubi dan tenteranya menawan Baitul Muqaddis? Semuanya disandarkan betapa dekatnya mereka kepada Allah.

Tidak akan hina manusia itu, jika sentiasa dekat kepada Allah. Dan, seseorang itu akan menempah kehinaan andai dia cuba menjauhkan diri dari Allah. Mulia dan Izzahnya seorang Muslim itu jika dia berpegang teguh pada agama Allah tetapi dia akan menjadi hina jika tidak mempedulikan atau memperlekehkan agamanya.

4) Tidak Lemah
Jasad yang lemah bukanlah ciri-ciri yang sepatutnya ada pada para Rijal. Seseorang Rijal seharusnya seorang yang tegar dan tidak lemah dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah kerana dia faham, betapa banyak kerja yang harus dilakukan dan pengorbanan yang luar biasa diperlukan.

Rasulullah sendiri meletakkan kepentingan pada Tarbiyah Jasadiyyah apabila terdapat keperluan Baginda bersama para Sahabat ke medan perang. Penyebaran dakwah ke seluruh pelusuk dunia oleh para Sahabat, Tabi'in dan dai'e yang terdahulu membuktikan bahawa dakwah dan tarbiyah ini tidak hanya perlu kepada kefahaman dan semangat semata-mata, tetapi jasad yang kuat juga merupakan di antara ciri-cirinya.

Di dalam Kisah Thalut dan Jalut, Allah berfirman, ".....'Allah telah memilihnya (menjadi raja) kamu dan memberikan kelebihan ilmu dan fizikal.'" (Al-Baqarah, 2: 247)

5) Tidak Menyerah (Tidak Statik)
Ciri yang terakhir ialah bahawa seorang Rijal tidak akan mudah menyerah kepada musuh. Di dalam Tafsir Ibnu Kathir, Ibnu Abbas mengatakan bahawa tidak menyerah ini bererti tidak berdiam diri ataupun tidak statik. Seorang Rijal tidak patut menunggu dan terus menunggu. Seorang Rijal seharusnya bergerak dan terus bergerak untuk melaksanakan dakwah ibarat air terjun yang tidak henti-henti bergerak pada aliran yang ditetapkan.

Firman Allah: "Dan betapa banyak nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak lemah kerana bencana yang menimpanya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak menyerah (kepada musuh). Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar." (Ali-Imran, 3: 146)

Sifat dakwah ini memerlukan kita bergerak dan bersikap offensive ataupun menyerang di sebalik hanya bersikap defensive ataupun bertahan. Seseorang Rijal Dakwah tidak boleh tunggu dan lihat, sebaliknya terus mencari mad'u dan mentarbiyah mereka sebaik-baiknya dan seramai mungkin supaya dakwah Islam ini terus berkembang luas.


Kesemua ciri-ciri di atas adalah saling melengkapi dan perlu ada kesemuanya pada seorang Rijal Dakwah. Robbaniyatur Rijal adalah untuk membangunkan diri sendiri dan juga membangunkan orang lain. Begitu mulianya menjadi seorang Rijal Dakwah yang Robbani di mana hidupnya bukan untuk diri sendiri tapi juga untuk orang lain.

Sunday, March 31, 2013

Pencinta Sejati

Meminjam kata-kata dari Anis Matta:



“Jalan cinta selalu melahirkan perubahan besar dengan cara yg sangat sederhana. Kerana ia menjangkau pangkal hati secara langsung dari mana segala perubahan dalam diri seseorang bermula. Bahkan ketika ia menggunakan kekerasan, cinta selalu mengubah efeknya dan seketika ia berujung haru.”

“Para pencinta sejati tak suka berjanji. Tapi begitu mereka memutuskan untuk mencintai, mereka akan segera membuat rencana untuk memberi.”

“Pahlawan.. Jangan menanti kedatangannya. Mereka adalah aku, kau, dan kita semua. Mereka bukan orang lain. Mereka hanya belum memulai. Mereka hanya perlu berjanji untuk merebut takdir kepahlawanan mereka, dan dunia akan menyaksikan gugusan pulau-pulau ini menjelma menjadi untaian kalung zamrud kembali yang menghiasi leher sejarah.”

“Kita tidak solat, puasa, atau haji setiap saat, tapi kita bisa berdoa setiap saat. Berdoa membuat kita bisa merasakan kebersamaan dengan Allah sepanjang waktu.”

Sunday, March 24, 2013

Formula Kemenangan

Dalam ucaptama Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang baru, Anis Matta, beliau menggariskan formula kemenangan di dalam jalan dakwah ini. Formulanya ada tiga iaitu :- Hubungan dengan Allah Taala, Kerja Keras di dalam dakwah dan Ukhwah Islamiyah. Sebenarnya, formula kemenangan ini bukanlah dicipta oleh Anis Matta, tetapi telah diterapkan dalam perjuangan Islam sebelum ini dan dimulai oleh Rasulullah dan Rasul-Rasul sebelum ini.

Pelik atau tidak kemenangan yang diraih oleh Tentera Muslimin seramai 313 orang yang menumpaskan 1000 orang Tentera Musyrikin pada peperangan Badar? Secara logiknya, memang mustahil Tentera Muslimin yang sedikit untuk mengalahkan Tentera Musyrikin yang ramai. Jadi apa rahsianya? Kita berbalik semula kepada asam garam dakwah dan formula kemenangan yang merupakan rahsia kekuatan umat Islam.

Muhammad Al-Fateh yang diabadikan dalam sejarah Islam di mana beliau dan tenteranya menawan negara Konstantinopel. Apa rahsianya? Seluruh tenteranya tidak pernah tinggal solat fardhu secara berjemaah walau sekali sejak akil baligh. Sebahagian besarnya tidak pernah tinggal solat sunat Rawatib sejak akil baligh. Muhammad Al-Fateh sendiri tidak pernah tinggal solat sunat Tahajud sejak akil baligh. Wow!! Superb bukan?

Tarbiyah Askariyyah yang diterapkan bukanlah dengan aktiviti fizikal semata-mata, dan juga bukanlah dengan menjadikan tentera menjadi golongan yang keras dan kasar, tetapi juga dengan tarbiyyah rohani yang melunturkan jiwa-jiwa supaya tunduk kepada Rabb Yang Esa.

Firman Allah: "Dan betapa banyak nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak lemah kerana bencana yang menimpanya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak menyerah (kepada musuh). Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar." (Ali-Imran, 3: 146)

Mengapa begitu? Bukanlah kekuatan manusia itu yang memenangkan, tetapi Allah sajalah yang mengurniakan kekuatan itu. Hanya Allah yang memberikan kekuatan kepada kita dan hanya Allah saja yang berhak yang memenangkan dan mengalahkan kita. Jika kita sebagai seorang Muslim dan sebagai seorang dai'e mencari kekuatan dan kemenangan di dunia ini, maka tidak lain dan tidak bukan, kita perlu menjadi Pengabdi Allah. Tiada kemampuan atau kudrat bagi manusia jika meletakkan kemampuan dan strategi manusiawi dalam mencapai kemenangan. Tiada apa yang istimewa bagi diri seorang manusia melainkan yang dikurniakan oleh Allah sendiri.

Firman Allah: "Katakanlah (Muhammad), 'Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Ali-Imran, 3: 26)

Wallahua'lam.

Tuesday, March 5, 2013

Dakwah Secara Touch n Go? Biar Betul?

Situasi 1:
Ikhwah A: "Alhamdulillah, ramai betul orang yang datang ke program kita malam ni. Tak sangka ana, ingatkan biasa je. Nampaknya dakwah kita sudah mula diterima masyarakat."
Ikhwah B: "Emm.. betullah. Jadi, bagaimana dengan mad'u-mad'u baru kita ni? Ada ke ikhwah/akhwat yang sedia untuk santuni mereka?"
Ikhwah A: "Setakat ni, macam tiada orang nak follow up mereka ni. Banyak agenda lain yang perlu diselesaikan. Insya Allah, bulan depan, kita buat lagi program macam ni, supaya lebih ramai yang dapat manfaat."

Situasi 2:
Ikhwah A: "Ada 20 orang ahli baru yang mendaftar dengan persatuan kita. Adakah kita dah aturkan atau sediakan usrah untuk mereka?"
Ikhwah B: "Rasanya macam susah je nak usrahkan mereka ni. Kita ajak mereka ke program taklim bulanan kita saja lah."
Ikhwah A: "Cukup ke dengan taklim bulanan yang sebulan sekali tu?"
Ikhwah B: "Jangan kisahkan tentang kekerapan tu. Yang penting, ahli kita semakin bertambah. Kita perlu cepat supaya kekuatan kita bertambah. Taklim sudah mencukupi untuk memberikan fikrah kepada mad'u kita."


Ikhwah & Akhwat sekalian,
Pernah tak antum melalui lebuh raya? (Hmm.. apa punya soalan daa?) Dalam suasana di lebuh raya, Touch n Go adalah penggunaan kad eksklusif ketika membayar tol. Seperti namanya, Touch n Go dimanfaatkan agar proses pembayaran dapat dilaksanakan dengan lancar tidak seperti lorong bayaran Tunai. Maklumlah, pengguna lebuh raya pastinya hendak cepat tiba di destinasi dan mengelakkan kesesakan jalan raya.



Maka, berlainan dengan Dakwah dan Tarbiyah yang sama sekali tidak boleh dilaksanakan secara Touch n Go di mana hanya untuk melihat keahlian yang ramai dan hadirin yang hadir pada sesuatu program. Dakwah yang kita laksanakan bukanlah untuk memperkenal "Brand" kita semata-mata, tapi apakah kesannya pada masyarakat? Apa kesannya, jika dibanggakan dengan keahlian yang bertambah tapi tiada penerusan tarbiyah? Apa kesannya, jika program umum dipenuhi oleh hadirin tapi tiada seorang pun yang kita usaha untuk santuni ke proses berikutnya? Dan apa juga kesannya, jika banner digantung di banyak tempat yang bertujuan untuk memperkenalkan "Brand" tanpa sebarang penjelasan mengenai inti dakwah kepada masyarakat? Mudahnya dakwah dan tarbiyah jika itulah yang disibuk-sibukkan.

Usah tertipu dengan jumlah yang ramai dan dengan besarnya program yang dianjurkan. Para dai'e harus fokus dengan kerja tarbiyah, harus fokus mentarbiyah segiat-giatnya agar hasil tarbiyah yang kita bina sangat-sangat bagus. Buatlah kerja tarbiyah ini dengan sabar kerana jalannya sangat lama dan sangat sulit. Hendak cepatnya kita untuk mencapai matlamat, bukanlah lesen untuk kita gugurkan kewajipan dalam dakwah ini. Mentarbiyah manusia umpama memasak mi segera, lagi lama direndam mi itu, lagi sedaplah mi segera itu dimakan dan puaslah hati si pemakan.

Insya Allah, boleh rujuk artikel saya yang terdahulu yang bertajuk Marhalah Dakwah - http://imam-abuhanifah.blogspot.com/2011/12/marhalah-dakwah.html. Moga kita sama-sama jelas mengenai pemeringkatan dan tahapan dakwah yang kita laksanakan.

Ikhwah & Akhwat sekalian,
Jika kita mengambil mudah proses tarbiyah dan pembinaan manusia ini, mustahil kita dapat membina masyarakat dan negara mengikut acuan dakwah yang sebenar-benarnya. Fikir-fikirkanlah.....

Wallahua'lam