Friday, December 26, 2014

Pemimpin Berjiwa Rakyat


Seorang Pemimpin juga adalah seorang manusia. Tetapi setiap pemimpin, harus mengetahui dan belajar mengenai tanggungjawab mereka yang sebenarnya.

Firman Allah: "Nabi mereka mengatakan kepada mereka: "Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi rajamu". Mereka menjawab: "Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang banyak?" (Nabi mereka) berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa." Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah, 2: 247)

Semoga Allah merahmati dan memberi hidayah kepada setiap pemimpin yang berjiwa rakyat. Bukan kekuasaan dan kekayaan yang rakyat tagih, tetapi kebersamaanmu ketika senang mahupun susah.

Tuesday, December 23, 2014

Ibrah Dari Cerita Animasi

Meskipun usia makin meningkat dewasa, tidak dinafikan yang saya masih meminati cerita animasi atau kartun. Mungkin sebab sekali sekala saya menonton kartun yang ditonton anak saya seperti Upin & Ipin dan Boboiboy. Setidak-tidaknya, ada animasi yang berkualiti dari Malaysia dan tidaklah hanya didominasi kartun dari Jepun dan Barat sahaja.
 


 
Sekali sekala melayan kartun ini, agak tertarik melayan jalan ceritanya. Walaupun hanyalah sebuah animasi, banyak yang boleh diambil pengajaran. Sama ada kebetulan atau memang dirancang, dalam cerita animasi di Malaysia ini banyak dikaitkan dengan kepelbagaian bangsa dan keharmonian hidup. Sama juga ceritanya dengan animasi ketika zaman remaja saya iaitu Usop Sontorian dan Keluang Man. Apa jua kisahnya, ia akan kembali kepada kisah asas rakyat di Malaysia.
 


 
Sedar atau tidak, animasi tempatan menghidangkan anak-anak kecil tentang kepelbagaian bangsa, menghormati sesama manusia dan keharmonian masyarakat majmuk. Tetapi sayangnya, ianya tidak diterjemahkan ke rancangan lain atau di alam realiti.
 
Barangkali semasa kita kecil, kita dibesarkan dengan penuh bahagia dan jauh dari sebarang permusuhan dan persengketaan. Sayangnya apabila dewasa, ianya tersekat dengan pelbagai fahaman yang mengakibatkan hilang keharmonian itu. Manusia bersengketa tidak berkesudahan akibat daripada ideologi politik, semangat kebangsaan dan ketaksuban pada ideologi yang didokong.
 
Meskipun hanya sebuah cerita animasi atau kartun, namun banyak pengajaran yang boleh diambil. Barangkali kita sangat merindui masa silam kita iaitu masa kanak-kanak dan masa remaja. Andainya masa itu boleh diundur, masa tersebut pasti menjadi pilihan kita.

Lihatlah pada kanak-kanak dan ambillah ibrah dari mereka. Mereka hanya bergaduh sementara saja dan mereka akan mencari persahabatan itu semula. Nilai persahabatan dan saling menyayangi amat kuat dalam diri mereka.

Tidak salah belajar dari sesiapapun walaupun dari kanak-kanak. Apatah lagi mengambil pengajaran untuk kebaikan semua. Sebenarnya, naluri hati kita memang mencari keharmonian dan kebahagian. Usah dizalimi naluri itu dan teruskanlah mencari kebahagiaan itu.

Wallahua'lam...

Tuesday, September 23, 2014

Nilai Toleransi Islam



Nilai - nilai toleransi berperikemanusiaan dan prinsip Islam serta kebajikan yang ditunjukkan oleh orang Islam sendiri adalah antara faktor pemelukan Islam seluruh anggota pasukan bola sepak pelapis kebangsaan Cameroon.

Di Malaysia, masih lagi jauh ketinggalan dari segi gerak kerja dakwah ini, hatta, masih lagi bergelumang dengan isu-isu remeh seperti isu perkauman, ketuanan Melayu dan birokrasi sistem zakat yang terus menjauhkan Islam daripada masyarakat bukan Islam.

Wallahua'lam...

Wednesday, September 17, 2014

Hilangnya Sifat Amanah

Apabila ada sesi temuduga pekerja baru di sebuah syarikat, di antara kriteria calon yang selalu diambil kira ialah dari segi kelayakan akademik, pengalaman bekerja dan sebagainya. Jarang pula ditanya atau dinilai akhlak Islami seperti kewajipan solat, menutup aurat dan sebagainya dan pasti akan dilihat janggal sekiranya perkara tersebut yang dinilai.

Atas sebab itu, antara perkara yang menakutkan masyarakat sekarang ialah apabila gejala tidak solat dipandang biasa. Bukan saja tidak solat, bahkan tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat, berjudi dan lain-lain lagi. Jika hak kepada Allah tidak ditunaikan, bagaimana pula hak sesama manusia? Tidak langsung menghormati hak orang lain dan mengkhianati amanah yang diberikan.

Justeru itu, tidak hairan dengan apa yang berlaku sekarang. Kes terbaru apabila kebocoran soalan UPSR yang akhirnya merosakkan institusi pendidikan negara dan yang menjadi mangsa, tentulah pelajar dan guru. Hilangnya sifat amanah yang mana mahu mengejar kejayaan sekelip mata. Sedar tak sedar, hasil perbuatan ini mungkin berjaya menghasilkan A dalam peperiksaan tetapi E dalam nilai intelektualisme.

Ramai orang sering menuding jari pada kesalahan orang lain. Menuduh golongan orang atasan tidak amanah dan mengamalkan rasuah, padahal diri sendiri juga tipu overtime, membocorkan maklumat tender, menerima rasuah dan sebagainya. Isunya bukan pada nilai, kerana tiada beza kecil atau besar nilainya jika sifat amanah itu tiada lagi.

Firman Allah: "Dan salah seorang dari kedua (perempuan) itu berkata, 'Wahai ayahku! Jadikanlah dia sebagai pekerja (pada kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja (pada kita) ialah orang yang kuat dan dapat dipercaya.'" (Al-Qasas, 28: 26)

Berdasarkan firman Allah mengenai kisah Nabi Syuaib dan Nabi Musa, di antara elemen terpenting dalam kerjaya sekarang ialah kemampuan bekerja dan wujudnya sifat amanah dalam dirinya. Berdepan dengan segala cabaran dunia tanpa sempadan sekarang, sifat amanah merupakan nilai tambah yang wajib ada pada diri seseorang.

Sehubungan dengan itu, sebagai seorang Muslim, yang dikejar bukanlah dunia yang singkat ini sahaja. Tetapi, memerlukan agama yang memberikan panduan kehidupan yang menguntungkan dan selamat. Ayuh, kembalilah kepada agama fitrah iaitu Islam.

Sunday, September 14, 2014

Dakwah



Konsep dakwah secara asas menerangkan ke arah mana kita menyeru manusia. Kita membawa manusia mengenal Allah iaitu Tuhan Yang Esa. Ramai saja yang beragama Islam tapi tak kenal siapa Allah dan tidak merasakan dekatnya Allah pada diri mereka. Justeru itu, kita melihat orang Islam sendiri tanpa segan silu melakukan maksiat, sedangkan jika kita kenal Allah maka pasti akan berhati-hati dalam setiap amal kita. Ikutlah wasilah mana yang sesuai, asalkan yang paling penting kita dapat mengenal Allah dan terus beramal.

Dakwah ini juga perlu disampaikan dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik. Hikmah itu bermaksud kebenaran manhaj yang dibawa dan kaedah serta pendekatan yang bijaksana supaya mad'u atau orang yang didakwahi itu menerima dakwah kita dengan senang hati dan lapang dada. Target dakwah itu juga agar mad'u mempunyai sikap yang jelas iaitu menolak toghut dan beriman kepada Allah seperti yang termaktub dalam dua kalimah syahadah.

Hasilnya adalah kita hendak membawa manusia keluar dari kegelapan jahiliyah dan menuju sinar Islam yang terang benderang. Sebagai dai'e, kita harus yakin bahawa kita menyeru dan membawa manusia ke arah sebuah agama yang sangat unggul, yang menjanjikan kebahagiaan dunia dan akhirat serta memberikan penyelesaian terhadap pelbagai masalah di muka bumi ini.

Firman Allah: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk." (An-Nahl, 16: 125)

Saturday, September 13, 2014

Rahmat Masyarakat Majmuk

Adakah kita masih ingat tentang bagaimana diri kita dibesarkan sejak kecil, menempuh alam kanak-kanak, seterusnya ke alam remaja dan belia dan akhirnya ke alam dewasa. Saya teringat memori ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan yang majoritinya pelajar berbangsa Melayu. Belajar, bermain dan berinteraksi rata-rata dengan pelajar berbangsa Melayu. Ditakdirkan memasuki Sekolah Menengah yang kesemua pelajarnya juga berbangsa Melayu. Suasana agak berubah apabila memasuki IPT yang mana agihan bangsanya boleh dikatakan sama banyak. Dari situ, baru saya jelas di mana saya sekarang dan apa peranan saya seterusnya.

Kita dibesarkan dengan suasana semangat perkauman menebal dan malang sekali, ianya dibawa hingga ke alam dewasa. Tidak dapat disatukan dengan 1 Bahasa Pertuturan seperti yang diamalkan di Indonesia. Masing-masing sibuk dan berbangga dengan bahasa dan kebudayaan masing-masing hingga tidak nampak amalan penyatuan di situ. Walaupun di kawasan kejiranan masih ada jiran yang pelbagai bangsa, masih juga kurang interaksi antara satu sama lain. Bahkan, di dalam dunia politik sendiri yang mencorakkan kepimpinan negara, gagal mengeluarkan masyarakat dari kepompong perkauman itu. Wujudnya parti yang berteraskan perkauman, hatta di kalangan agamawan sendiri, dan ini menyebabkan masyarakat kita terus menerus didorong dengan semangat perkauman ini. Cadangan mewujudkan Sekolah Wawasan lebih kurang 15 tahun dahulu yang bermatlamat menyatukan kaum turut gagal dilaksanakan akibat teras pada politik perkauman parti tertentu.

Sikap berpuak-puak atau asobiyah ini merenggangkan hubungan antara kaum dan menimbulkan sangsi di antara satu sama lain. Ada kaum yang merasakan mereka ditindas akibat polisi kerajaan, ada yang rasa ditindas akibat ketidakmampuan ekonomi dan ada juga yang ditindas akibat warna kulit. Paling menjelikkan apabila wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu yang mendakwa mereka adalah pejuang bangsa, lantas tergamak melontarkan kata-kata berbau perkauman dan sering mengancam keharmonian antara kaum. Apa saja dilakukan oleh bangsa lain dilihat sebagai ancaman kepada negara dan bangsa mereka. Inilah realiti masyarakat di Malaysia kini. Masyarakat harmoni yang dicanangkan sebenarnya adalah lakonan semata-mata dan tidaklah menggambarkan situasi sebenar masyarakat kita.


Sampai bila situasi ini akan berlarutan?

Tidak salah mewujudkan suasana patriotik dalam diri kita, bahkan mencintai negara adalah kewajipan dalam diri seorang Muslim. Cuma, semangat ini tidaklah sampai menghina dan memperlekehkan kewujudan bangsa lain seolah-olah hanya bangsa kita saja yang diiktiraf di muka bumi ini.

Pada permulaan dakwah Rasulullah, Baginda berdepan dengan suasana ini dengan wujudnya pertembungan dan perseteruan di antara kabilah Arab. Semangat berpuak-puak dan asobiyah ini dapat dijinakkan dengan keadilan dan keharmonian Islam, di atas kebijaksanaan Rasulullah.

Para dai'e sering mengungkapkan tentang keindahan dan penyatuan Islam tetapi bagaimana pula praktikalnya? Bagaimana penyebaran Islam itu boleh dilakukan dengan bermatlamat mendamaikan semua kaum sehinggakan kesemuanya merasakan Islam adalah agama rahmat. Islam itu bukanlah ancaman bagi orang yang bukan beragama Islam, sebaliknya memberi jalan keharmonian dan jalan penyelesaian kepada semua masalah. Berusahalah agar diri kita dapat membawa Islam itu kepada seluruh manusia tanpa sebarang ragu-ragu. Buangkanlah sangsi kita di kalangan orang Islam dan bukan Islam dan bukannya terus menjadi batu api dalam menyemarakkan semangat perkauman ini.


"Islam For All"

Wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia ini merupakan satu rahmat kepada para dai'e. Jadikanlah ruang untuk kita terus beramal, berdakwah dan mempraktikkan Islam itu sebaik-baiknya. Gunakanlah kebijaksanaan dalam membuang rasa sangsi manusia pelbagai bangsa ini kepada Islam. Jadikanlah ianya sebagai satu medium penyatuan dan kesepakatan manusia pelbagai kaum ini ke arah kebaikan. Semoga slogan "Islam For All" terus relevan kepada semua dan menjadi rahmat kepada seluruh alam.


Wallahua'lam

Sunday, September 7, 2014

Selamatkan Organisasi Itu

Nasib yang menimpa Malaysian Airline System (MAS) baru-baru ini amat mendukacitakan kita sebagai rakyat Malaysia. MAS sebelum ini merupakan lambang kemegahan negara di mata dunia, tetapi sejak kebelakangan ini, malang bertimpa-timpa.

Dengan kemunculan syarikat penerbangan murah seperti Air Asia, Fire Fly dan Malindo Air sedikit sebanyak menghilangkan monopoli oleh MAS itu sendiri. Ditambah pula dengan musibah kehilangan pesawat MH370 dan terhempasnya pesawat MH17 menambah lagi derita sedia ada. Kerugian makin meningkat, ditambah pula hilang kepercayaan dari dalaman dan luaran membuatkan MAS perlu melalui perubahan atau pemulihan demi membaikpulih imej syarikat tersebut. Agak pelik apabila sebuah GLC seperti MAS boleh kerugian berjuta-juta ringgit dalam beberapa tahun kebelakangan ini seolah-olah tiada kemampuan lagi untuk berdaya saing.

Saya bukanlah orang yang mahir dalam selok belok perniagaan, tetapi hasil diskusi dengan seorang sahabat, pemulihan yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia kepada MAS adalah wajar demi kebaikan syarikat tersebut pada masa akan datang. Sepatutnya, syarikat GLC lain yang mengalami kemerosotan harus melalui perkara yang sama. MAS boleh dikatakan sebagai anak emas kepada negara, maka perlunya dijaga dan dipulihkan agar dapat memberi impak yang baik pada negara dan masyarakat. Bukannya dibiarkan saja tanpa mampu bersaing secara kompetitif dengan syarikat lain.

Justeru itu, tiada perkara yang sebaik-baiknya dapat dilakukan dalam memperbaiki sesuatu keadaan melainkan dengan melaksanakan 'Big Overhaul' atau muhasabah pada sesebuah organisasi. Proses muhasabah ini adalah hasil dari kesedaran untuk berubah dari semua segi termasuklah penambahbaikan perkhidmatan, pengoptimuman kakitangan dan yang paling penting ialah kembali ke jalan Allah. Di antara cadangan:- Memakai pakaian yang menutup aurat, menghentikan penjualan arak dan menghapuskan amalan kroni dan khianat oleh 'hantu-hantu' yang merosakkan kualitinya. Sedangkan kesilapan kecil boleh saja menarik keberkatan, inikan pula melibatkan perkara yang Allah larang.

"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu dia berpaling darinya dan melupakan apa yang telah dikerjakan oleh kedua tangannya? Sungguh, Kami telah menjadikan hati mereka tertutup, (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka. Kendatipun engkau (Muhammad) menyeru mereka kepada petunjuk, nescaya mereka tidak akan mendapat pentunjuk untuk selama-lamanya." (Al-Kahfi, 18 : 57)

Barangkali, kita selalu melihat suatu perkara yang besar tapi jarang untuk kita terokai perkara yang Allah larang. Selalu dikaitkan kerugian dengan persaingan dan musibah tetapi tidak pula melihat aspek keberkatan di sisi Allah. Alangkah indahnya jika dalam bekerja dan berniaga, wujud unsur-unsur tarbiyah supaya lebih halus jiwa-jiwanya.


Wallahua'lam...

Friday, September 5, 2014

Mutiara Termahal Ikhwanul Muslimin



"Sesungguhnya mutiara termahal dimiliki oleh Ikhwan ialah Jundi Majhul itu (tentera yang tidak dikenali), yang berusaha sehabis kudratnya, yang menginfaqkan melebihi dari apa yang ada di dalam poketnya, yang berkorban dengan waktu paling berharga yang dimilkinya. Kehadirannya tidak diketahui. Ketiadaannya tidak disedari. Dia sengaja menjauhkan diri dari menjadi popular, sedikit cakapnya, banyak amalnya, dia beriman bahawa baginya ada Tuhan yang akan mengingatinya bersama golongan yang lebih afdhal dari bumi dan segala isinya, Tuhan yang suka terhadap amalan selama mana ia dilakukan dengan keikhlasan." (Hasan Al-Banna)

Thursday, September 4, 2014

Kepentingan Syahadatain



Syahadataian - 'LA ILAAHA ILLALLAH, MUHAMMAD RASULULLAH' yang bermaksud TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH DAN MUHAMMAD PESURUH ALLAH adalah kalimah yang agung bagi umat Islam. Syahadataian bukan hanya untuk dilafazkan semata-mata tetapi turut memberi implikasi yang sangat besar dalam kehidupan. Justeru itu, kita harus memahami kepentingan syahadataian seperti berikut:

1. Pintu Masuk Kepada Islam
Sahnya iman seseorang apabila menyebut syahadatain. Dengan syahadataian ini, seseorang Muslim itu menafikan segala Ilah atau Tuhan selain Allah dan akan patuh pada segala perintah agama. Kesempurnaan iman bergantung pada pemahaman dan pengamalan syahadataian dalam dirinya. Inilah yang membezakan seseorang itu sama ada dirinya Muslim ataupun kafir.

2. Intisari Ajaran Islam
Syahadatain mengandungi ketaatan pada Allah dan Rasul. Apabila masuk Islam, seseorang harus patuh seluruhnya pada ajaran Islam dan melaksanakannya. Apa saja yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah mesti ditaati kerana di dalamnya terkandung segala ajaran dan arahan dalam agama Islam.

3. Dasar Perubahan Menyeluruh
Perubahan yang berlaku bagi seseorang Muslim berbanding ketika zaman Jahiliyah adalah perubahan dari segi keimanan, pemahaman, pemikiran, muamalat dan sebagainya yang menjadi seseorang manusia menjadi lebih baik dari keadaan sebelumnya. Sebagai contoh, lihat saja pada Sahabat Nabi yang meninggalkan sisa-sisa jahiliyah apabila beriman kepada Allah. Perubahan ini berlaku atas dasar keimanan dan kefahaman terhadap sesuatu perkara.

4. Hakikat Dakwah Para Rasul
Kesemua Para Rasul sebelum ini  menyampaikan dakwah kepada umatnya dengan mentauhidkan Allah dan meninggalkan sembahan yang lain. Ini adalah isi dakwah yang paling penting untuk dilaksanakan oleh para Rasul dalam memastikan umatnya benar-benar beriman kepada Allah.

5. Ganjaran Yang Besar
Janji Allah kepada para Rasul dan golongan yang beriman kepada-Nya iaitu kebahagiaan dunia dan akhirat. Ganjaran syurga semestinya dijanjikan kepada golongan yang menterjemahkan konsep syahadatain ini dalam kehidupan. Semestinya, hanya Allah Taala saja yang berhak diimani dan ganjaran-Nya saja yang paling tinggi nilainya.

Wallahua'lam...

Sunday, August 31, 2014

Manusia Merdeka



Kemerdekaan bukan hanya bermaksud kebebasan semata-mata. Bagi seorang Muslim yang merdeka, kemerdekaan adalah tiada lagi kebergantungan selain pada Allah. Justeru itu, tiada lagi kebergantungan pada manusia yang menyebabkan dirinya terus dikongkong. Manusia yang merdeka tidak akan tunduk pada sebarangan kuasa kerana kebergantungan pada Allah semata-mata.

Sebagai contoh, sahabat di Gaza yang jauh lebih merdeka meskipun mereka dikepung dan dikawal oleh tembok kekejaman Zionis. Tiada perasaan takut pada musuh yang sekian lama cuba menghancurkan mereka. Berbanding dengan sebuah negara yang merdeka tetapi rakyatnya masih dijajah dengan ketakutan pada musuh dan terus dijajah dari segi ekonomi, politik dan sebagainya.

Minda dan jiwa kita harus bebas dan merdeka. Memetik kata-kata Syeikh Hasan Hudhaibi, "Penjara bukanlah tembok tebal dan jeriji besi. Sebenarnya penjara adalah keadaan dalam perasaan dan fikiran kalian."

Ayuh bangkitlah jiwa-jiwa Islam. Keluarlah dari penjara dunia dan jadilah manusia yang merdeka walau di mana saja kita berada. Teruslah mencari ketenangan dan kejayaan dengan jiwa dan minda yang merdeka. 

Allahu Akbar!!
Allahu Akbar!!
Allahu Akbar!!

Saturday, August 30, 2014

Hari Kemerdekaan - Sejarah dan Realiti



Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekelian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam. 

Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan ke hadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang. 

Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahan-Mu dan kemurkaan-Mu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan.

Ya Allah! Awasilah dengan penglihatan-Mu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan benteng-Mu yang tidak mudah diterima....



Oleh,
Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said.

*Doa ini dibaca ketika pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31hb Ogos 1957.

Wednesday, July 2, 2014

Monday, June 30, 2014

Runtuhnya Ego Kuasa Besar

Ketika berlangsungnya Piala Thomas 2014 yang lepas, rata-rata mengatakan China pasti akan merangkul kejuaraan, di mana tak nampak ada kuasa lain mampu menyekatnya, baik Malaysia atau Indonesia. Tiba-tiba, muncul Jepun yang julung-julung kali merangkul Piala Thomas dengan menumbangkan China dan Malaysia. Tembok Besar China runtuh jua akhirnya. Kehadiran Lin Dan dalam skuad China dan Lee Chong Wei dalam skuad Malaysia, tidak dapat menyekat keghairahan Jepun untuk muncul juara.

Sama kisahnya ketika berlangsungnya Piala Dunia 2014. Sebelum bermula, Sepanyol yang turun sebagai juara bertahan, diramal akan mempertahankan kejuaraan edisi yang lepas. Dengan dibarisi ramai pemain bintang, ramai yang meramalkan Sepanyol akan bersinar lagi pada edisi Piala Dunia kali ini. Akhirnya, Sepanyol dimalukan oleh Belanda dan Chile di peringkat awal lagi dan dipaksa pulang lebih awal. Sepanyol yang terkenal dengan corak permainan 'tiki-taka' yang merupakan gaya permainan yang dicirikan oleh hantaran pendek dan kepelbagaian pergerakan, akhirnya rebah dan gaya permainan yang dikagumi selama ini akhirnya memakan diri.

Begitulah dunia ini. Usah disangka pada sebuah kuasa kecil tidak mampu menakluk dunia dan usah disangka sebuah kuasa besar akan berkuasa selama-lamanya. Empayar besar yang penuh dengan keegoan, pasti tidak akan bertahan lama dan akan runtuh jua akhirnya. Maka, pada sebuah kuasa kecil dengan cita-cita yang besar dan perancangan yang rapi, pasti akan berkuasa dan membina sebuah empayar besar.

Begitu juga dengan dakwah. Bukan kuantiti yang menjadi ukuran. Meskipun sedikit jumlah kita, teruskanlah berdakwah dengan membawa cita-cita yang besar, perancangan yang rapi dan memohon pertolongan kepada Allah, nescaya kemenangan akan menjadi milik kita.

Insya Allah...

Saturday, June 28, 2014

Ramadhan Bulan Perubahan

Saya agak cemburu apabila mendengar pengalaman rakan-rakan yang mengerjakan umrah di Baitullah pada bulan Ramadhan, di mana mereka melaksanakan ibadah puasa dan solat sunat tarawih dengan seronok tanpa keletihan. Ianya bukanlah suatu perkara yang pelik dan kita pun sedia maklum tentang sirah Rasulullah yang mana baginda dan para sahabat makin gencar berdakwah, bahkan mengalahkan kaum Musyrikin dalam Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan.

Tetapi, suasana sekarang seolah-olah terbalik. Ramadhan dikaitkan dengan kepenatan dan kelesuan. Meskipun pada bulan Ramadhan ini manusia kembali kepada fitrah dan kebaikan, namun tidak mencakupi keseluruhan masyarakat.

Maka, marilah kita jadikan bulan Ramadhan kali ini sebagai bulan perubahan kepada semua lapisan masyarakat. Jadikanlah sunnah Rasulullah sebagai ikutan dan carilah ruang untuk memperbanyakkan tilawah dan tadabbur Al-Quran, solat berjemaah, banyakkan bersedekah, tidak melakukan pembaziran, kesungguhan bekerja dan mencari ruang untuk mengajak rakan-rakan kepada kebaikan. Suasana kebaikan ini harus sentiasa dihidupkan di tengah-tengah masyarakat dan tidak luntur pada penghujung bulan Ramadhan.

Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai momentum dan agen perubahan kepada masyarakat agar masyarakat benar-benar faham dan berlumba-lumba ke arah kebaikan serta memperjuangkan Islam. Semestinya kita mahu dan merindui suasana Islami seperti itu. Sekiranya mahu, ayuh lakukannya bersama-sama.

Insya Allah...

Saturday, June 14, 2014

World Cup 2014

Pejam Celik..
Pejam Celik..
Pejam Celik..
World Cup 2014 muncul jua akhirnya seperti yang dijanjikan. Sejumlah 32 buah pasukan negara berkumpul untuk mengejar kemashyuran dalam dunia bola sepak.
 
Bila ditanya tentang World Cup 2014 kali ni, banyak perspektif muncul. Ada yang sebelum ini tidak langsung ambil tahu tentang bola sepak, tiba-tiba saja berminat dan ada pasukan pilihannya. Ada pula yag tidak sabar-sabar menantikan kehadiran World Cup ini dan bersedia untuk "Makan Bola, Tidur Bola, Minum Bola, Boikot Coca-Cola...". Ada juga memang buat tak tahu sebab tak minat atau merasakan sia-sia berjaga malam untuk menonton aksi perlawanan bola sepak ini. Apa-apa sajalah....
 
Ada yang bertanya, adakah World Cup 2014 ini satu perkara yang memberi manfaat kepada kita ataupun perkara yang 'totally' sia-sia dan tiada manfaat langsung? Bagaimana kita sering meletakkan minat kita pada minat orang lain dan kemampuan kita pada kemampuan orang lain. Maksudnya, kita hendak orang lain bertindak seperti apa yang kita mahu atau kita lakukan dan tidak melihat dari segi aspek positif di atas kecenderungan mereka.
 
Saya melihat, ada menariknya apabila berlangsungnya World Cup kali ni sebahagiannya pada bulan Ramadhan. Seperti yang saya 'bergurau' dengan rakan sepejabat yang gila bola untuk berqiamullail sekali sebelum menonton aksi perlawanan. Mudah-mudahan ini menjadi titik tolak perubahan apabila tiba bulan Ramadhan iaitu mudah bangun sahur dan 'cuba-cuba' untuk solat tahajud. Mungkin keadaannya seperti cakap main-main tetapi tidak salah kita meletak harapan perubahan pada rakan-rakan kita. Sama juga seperti orang bukan Islam yang cenderung atau masuk Islam apabila tertarik atau hendak berkahwin dengan orang Islam, yang mana dia perlu diraikan dan hal ehwal Islam perlu dijelaskan kepada mereka.
 
Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan World Cup 2014 sebagai ruang dan harapan kepada dakwah itu sendiri. Ianya mungkin nampak macam pelik...tetapi siapa tahu? Sebab hanya Allah yang memberikan hidayah.

Justeru itu, pasukan mana pilihan anda untuk menjuarai World Cup 2014 kali ini?
Pasukan Pilihan saya ialah Jerman atau Belanda.
Sama-sama kita nantikan....

Thursday, May 15, 2014

Komunikasi

Menurut En. Wikipedia, Komunikasi boleh ditakrifkan sebagai "Satu proses perpindahan maklumat, perasaan, idea dan fikiran seseorang individu kepada individu atau sekumpulan individu yang lain." Ia merupakan proses interaksi yang bererti antara hidupan dan merangkumi kedua-dua perkara iaitu:
1) Perbuatan menghantar maklumat
2) Proses untuk bertukar-tukar maksud
 
Lantaran itu, ianya bertujuan dapat menghasilkan pemahaman. Komunikasi boleh mengambil bentuk, baik secara lisan mahupun tidak, misalnya bahasa gerak-geri, bahasa isyarat, sentuhan, hubungan mata dan penulisan. 
  


Maka, komunikasi ini boleh dikira sebagai interaksi minimum dua pihak. Interaksi ini memerlukan respon daripada kedua-dua belah pihak. Jika hanya satu pihak saja yang bercakap tanpa sebarang respon dari pihak yang lain, maka itu bukanlah komunikasi.
 
Komunikasi ini akan dilihat sebagai elemen yang cukup mudah. Tetapi, mudahnya elemen sering disalah anggap sehingga tidak melihat ianya suatu unsur yang sangat penting. Bahkan, di dalam syarikat-syarikat yang besar, komunikasi dijadikan salah satu nilai-nilai korporat yang perlu ada pada majikan dan pekerja. Mana mungkin kerjasama dalam sebuah syarikat dapat dilaksanakan tanpa komunikasi yang baik. Mustahil juga bagi sebuah syarikat untuk mendapat jualan yang baik jika Sales & Marketing Department tidak berfungsi atau berkomunikasi dengan baik.
 
Begitu juga dengan dakwah. Ketika Jibril a.s menyampaikan wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w., Jibril memaksa Baginda untuk berkomunikasi dengannya supaya wahyu itu dapat disampaikan. Rasulullah juga berinteraksi dengan mad'u-mad'unya dalam menyebarkan dakwah meskipun adakalanya dibalas dengan cercaan. Maka, sebenarnya, dalam dakwah ini juga menuntut komunikasi yang berkesan untuk melancarkan dakwahnya tidak kira sama ada dakwah itu diterima atau ditolak.
 
Justeru itu, mengapa berlakunya double standard di dalam dakwah ini? Jika di alam pendidikan atau di alam kerjaya, sang dai'e boleh saja berkomunikasi dengan baik, bercakap dengan sesiapa saja dan respon di alam maya (email / sms / WhatsApp); mengapa tidak di dalam dakwah? Agak pelik dengan orang yang menggelarkan diri mereka sebagai sang dai'e tetapi tidak langsung menerapkan ciri-ciri professional di dalam dakwah. Bukankah bergerak aktif di dalam dakwah ini menuntut untuk kita lebih professional di antara satu sama lain? Bersikaplah lebih professional di dalam dakwah ini seperti mana di alam kerjaya, dan tidak perlulah untuk diajar atau ditatang untuk perkara-perkara sekecil ini.
 
Mana mungkin seorang dai'e itu hanya mendiamkan diri atau memencilkan diri dari masyarakat sambil meletakkan harapan dakwah akan tersebar luas.
 
 
Wallahua'lam...

Sunday, May 4, 2014

Kenyataan Media: Isu Sahsiah di Kalangan Remaja

Assalamualaikum.

IKRAMTeens Negeri Sembilan merupakan sebuah institusi yang menguruskan Hal Ehwal Remaja di bawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan).
 
IKRAMTeens Negeri Sembilan sentiasa mengikuti perkembangan semasa isu-isu yang melibatkan remaja di seluruh negara. Terbaru, kes yang melibatkan kematian seorang pelajar akibat pergaduhan dengan rakan sekolah di sebuah sekolah berasrama di Selangor.
 
IKRAMTeens Negeri Sembilan melahirkan kebimbangan dengan kes yang melibatkan buli, pergaduhan dan adab dengan ibu bapa/guru di kalangan remaja. Kes-kes ini dilihat semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian dan mendapatkan solusi terbaik untuk perkara tersebut. Sebagai contoh, kes buli adalah isu yang telah lama berlaku terutama sekali di sekolah berasrama dan gejala buruk ini perlu dibuang dan tidak patut diwarisi ke generasi akan datang.
 
Remaja adalah generasi umur yang berkembang dan mudah terpengaruh dengan sekeliling. Usia ini amat kritikal kerana mereka mengalami perubahan menjadi lebih dewasa. Justeru itu, IKRAMTeens Negeri Sembilan menyeru agar wujudnya sokongan dan kebersamaan serta fokus daripada ibu bapa, para guru, jiran, anggota masyarakat dan pemimpin masyarakat.
 
Dalam mendepani masalah ini, IKRAMTeens Negeri Sembilan amat yakin dengan membawa golongan remaja ini kepada tarbiyah dan didikan secara syumul. Didikan ini perlu menerapkan didikan akhlak kepada ibu bapa, guru, rakan sebaya dan masyarakat secara amnya. Akhlak ini seharusnya wujud atas dasar seorang hamba Allah yang menerapkan kasih sayang dan hormat sesama manusia yang sangat bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Islam iaitu 'Rahmatan Lil A'lamin'. Didikan ini boleh diterapkan dalam pengajaran di rumah dan di sekolah atau melibatkan para remaja ini dengan program-program yang bersifat ketuhanan yang membawa mereka ke arah kebaikan.
 
Sehubungan dengan itu, IKRAMTeens Negeri Sembilan sentiasa bersama-sama masyarakat dalam membantu membangunkan sahsiah di kalangan para remaja. Program-program yang dianjurkan IKRAMTeens seperti usrah, program motivasi, program sahsiah, program kepimpinan dan banyak lagi diyakini dapat membantu dan mempersiapkan para remaja ini ke arah yang lebih baik dan lebih dewasa. Peranan semua pihak amatlah dituntut dalam memastikan kerja-kerja pengislahan ini berjaya.
 
 
Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Pengarah,
IKRAMTeens Negeri Sembilan.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan)

Monday, March 17, 2014

Kenyataan Media: Isu Penyalahgunaan Dadah di Future Music Festival Asia

Assalamualaikum.
 
IKRAMTeens Negeri Sembilan merupakan sebuah institusi yang menguruskan Hal Ehwal Remaja di bawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan). IKRAMTeens Negeri Sembilan sentiasa mengikuti perkembangan muktahir isu-isu yang melibatkan Belia dan Remaja di Malaysia. 
 
Isu terkini melibatkan penyalahgunaan dadah di kalangan belia dan remaja di Future Music Festival Asia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Perkhabaran terkini, insiden ini mengakibatkan enam individu termasuk seorang pelajar sebuah universiti maut dan empat belas individu lain kritikal. 
 
IKRAMTeens Negeri Sembilan memandang serius dan mengecam penganjuran Festival Muzik ini yang memberi impak negatif kepada masyarakat terutama golongan belia dan remaja. Penganjuran seperti ini membuka ruang kepada unsur-unsur negatif seperti penyalahgunaan dadah, pengambilan arak, pergaulan bebas dan seks bebas yang merupakan isu lama yang masih belum selesai. Muktahir ini, unsur-unsur seperti penyalahgunaan dadah dilihat menjadi satu 'trend' untuk berhibur.
 
Justeru itu, IKRAMTeens Negeri Sembilan menggesa pihak penguasa agar lebih sensitif dengan penganjuran konsert-konsert dan aktiviti hiburan melampau yang lebih banyak membawa impak negatif. Peranan pihak penguasa ini harus ditampung oleh peranan masyarakat dalam memastikan golongan belia dan remaja di negara ini diberi perhatian dan dijaga sebaik-baiknya kerana golongan ini merupakan aset negara pada masa hadapan.
 
IKRAMTeens Negeri Sembilan amat yakin bahawa segala unsur negatif yang melanda golongan belia dan remaja dapat diperbaiki dengan hasil didikan dan tarbiyah yang berterusan, dan bukannya dengan melaksanakan proses rawatan yang sehingga kini masih belum terbukti berkesan. Kerjasama semua pihak dituntut dan IKRAMTeens akan bersama-sama dengan masyarakat untuk melaksanakan kerja-kerja pengislahan ini.
 
Memetik kata-kata ulama tersohor:
"Sebuah masyarakat itu bergantung kepada pemudanya. Jika baik pemudanya, maka baiklah masyarakatnya. Dan, jika rosak pemudanya, maka rosaklah masyarakatnya."
 
 
Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Pengarah,
IKRAMTeens Negeri Sembilan,
Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan)

Saturday, February 22, 2014

Wow Factor

Firman Allah: "Dan Kami wahyukan kepada Musa, 'Lemparkanlah tongkatmu!' Maka tiba-tiba ia menelan (habis) segala kepalsuan mereka. Maka terbuktilah kebenaran dan segala yang mereka kerjakan sia-sia. Maka mereka dikalahkan di tempat itu dan jadilah mereka orang-orang yang hina. Dan para pesihir itu serta merta menjatuhkan diri dengan bersujud. Mereka berkata, 'Kami beriman kepada Tuhan seluruh alam, iaitu Tuhannya Musa dan Harun.' Firaun berkata, 'Mengapa kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya ini benar-benar tipu muslihat yang telah kamu rencanakan di kota ini, untuk mengusir penduduknya. Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu ini). Pasti akan aku potong tangan dan kakimu dengan bersilang(tangan kanan dan kaki kiri atau sebaliknya), kemudian aku akan menyalib kamu semua.' Mereka (para pesihir) menjawab, 'Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami. Dan engkau tidak melakukan balas dendam kepada kami, melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami ketika ayat-ayat itu datang kepada kami.' (Mereka berdoa), 'Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan muslim (berserah diri kepada-Mu).'" (Al-A'raf, 7: 117 - 126)

Allah Taala mengurniakan kehebatan dan kemuliaan kepada Rasul-Rasul dalam mereka menyampaikan dakwah. Kata-kata mereka, perbuatan mereka dan mukjizat yang Allah kurniakan kepada mereka semestinya memberi impak kepada ummat dan mad'u mereka. Impak inilah yang boleh dipanggil Wow Factor!

Dalam firman Allah di atas, tiada apa lagi yang mampu diucapkan oleh para pesihir Firaun setelah melihat hebatnya mukjizat Allah Taala. Hatta, Firaun menggertak untuk menyalib mereka namun tidak dapat mengatasi kekaguman terhadap mukjizat tersebut. Wow!! Kagum sungguh pada mukjizat Nabi Musa.

Begitu juga terkesimanya apabila musuh-musuh Rasulullah mendengar ayat-ayat Al-Quran dan ianya menjadi impak terbesar dakwah Rasulullah s.a.w. Wow!! Ayat apakah ini? Sangat luar biasa!

Justeru itu, dakwah ini sebenarnya memerlukan impak sehebat begini dalam menyantuni masyarakat. Bahkan, sekiranya kita membaca atau mengikuti sejarah tokoh-tokoh dakwah seperti Hasan al-Banna, Yusuf Qardhawi, Syed Qutb, Ahmad Deedat dan lain-lain, semestinya mereka mempunyai aura dan kekuatan tertentu. Kagumnya masyarakat kepada mereka pastinya disebabkan oleh Wow Factor dari Allah iaitu berpegang dan berdampingnya dengan Al-Quran.

Wahai Dai'e, berdampinglah dengan Al-Quran dan semoga ianya menjadi aura, kekuatan atau Wow Factor untuk mengetuk hati-hati ummat dan mengajak mereka ke jalan yang benar.

Wallahua'lam...

Sunday, February 16, 2014

Rekabentuk

 

Dalam merancang sebuah pembangunan material yang besar seperti di dalam industi automotif dan industri pembinaan atau construction, perancangan yang rapi harus dilaksanakan. Apabila bercerita tentang perancangan, ianya harus dikaji dengan teliti dan rekabentuk (design) perlu dilaksanakan secara persis atau tepat. Mustahil sebuah kenderaan dapat dihasilkan dan sebuah bangunan dapat didirikan tanpa perancangan dan rekabentuk yang terbaik. Jika perancangan dilaksanakan sambil lewa dan rekabentuk yang tidak teliti, ianya bukan sahaja gagal menghasilkan hasil yang terbaik bahkan keselamatan pengguna juga terancam. Itulah peranan ilmu kejuruteraan dan ilmu seni bina. Bahkan, setiap rekabentuk keseluruhan bangunan dan segala sistem yang ada perlu disemak berulang kali oleh pihak perunding bagi memastikan ianya sangat menepati kualiti dan kehendak pengguna.

Firman Allah: "Yang memiliki kerajaan langit dan bumi, tidak mempunyai anak, tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan-Nya, dan Dia menciptakan segala sesuatu, lalu menetapkan ukuran-ukurannya dengan tepat." (Al-Furqan, 25: 2)

Sebenarnya, apa yang dilaksanakan oleh manusia adalah sunnatullah. Ianya mengikut apa yang Allah buat bagi kerajaan-Nya sendiri. Allah sendiri merancang dan mencipta sebaik-baiknya serta merekabentuk alam ini dengan sepersis-persisnya sebelum penghasilan alam yang indah ini. Ilmu Allah itu sangatlah banyak dan ianya dimanfaatkan oleh manusia sebaik-baiknya untuk kebaikan keseluruhan alam.

Maka, sebagai seorang dai'e harusnya mengambil iktibar dengan firman Allah ini. Dalam menjayakan misi dakwah yang sangat besar, kita harus merancang serapi-rapinya dan merekabentuk dakwah yang diinginkan. Ianya, perlu dirancang untuk tempoh yang sangat lama dan panjang dan tidak akan berjaya untuk tempoh yang singkat. Bak kata seorang ikhwah, "Kalau kita nak buat kerja dakwah dan tarbiyah ini, kita kene pulun!!"



Sekiranya, kita sambil lewa dalam merancang dan bekerja, dan semberono dalam merekabentuk dakwah yang diinginkan, semestinya, bangunan dakwah yang ingin dibina hancur dan musnah. Lihat saja tragedi bangunan runtuh akibat tangan-tangan manusia dan jangan kita pula sebagai dai'e yang meruntuhkan dakwah yang ingin dibina.
 

Wallahua'lam...

Thursday, February 6, 2014

Dare To Fail


Manusia sering mengimpikan kejayaan yang berterusan tapi kadang-kadang mereka lupa bahawa kejayaan itu hadir dengan bermulanya kegagalan. Mengapa harus bimbang kepada kegagalan pada awalnya jika itu merupakan lonjakan kepada kejayaan di akhirnya.
 
Maka, usahlah bimbang jika kita terpaksa menempuh kegagalan dalam kehidupan ini kerana ianya adalah ruang untuk melakukan penambahbaikan demi  kejayaan yang lebih besar.

Sunday, January 19, 2014

Usah Jadi Seperti Abu Jahal

Apabila tibanya tarikh 12 Rabiul Awal, ramai yang sedia maklum tentang Maulidur Rasul iaitu hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Sejak saya kecil, saban tahun ianya disambut di peringkat kebangsaan, negeri atau daerah dengan perarakan sambil berselawat ke atas nabi dan ada nama-nama yang diangkat menjadi Tokoh Maulidur Rasul. Maknanya, di mata rakyat Malaysia, sambutan Maulidur Rasul agak tinggi standardnya atau agak meriah selepas Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.

Sambutan Maulidur Rasul ini adalah ruang yang terbaik untuk berdakwah dan menyampaikan cinta kepada Rasulullah. Semua lapisan masyarakat berpeluang merasainya. Tetapi, seharusnya kecintaan kepada Rasulullah tidaklah bermusim atau sentiasa di'program'kan hingga menampakkan seperti formal. Sepatutnya kecintaan kita kepada Rasulullah menjadikan kita mengikuti apa jua sunnahnya. Bukan hanya bergembira dengan hari keputeraan baginda saja tapi apa jua yang ditonjolkan dari segi sunnahnya turut diamalkan.

Firman Allah: "Katakanlah (Muhammad), 'Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.' Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Ali-Imran, 3: 31)

Abu Jahal juga antara manusia yang bergembira ketika baginda dilahirkan tetapi akhirnya Abu Jahal lah yang menjadi penentang kuat dakwah Rasulullah s.a.w..

Oleh itu...
Apa guna kita menyambut Maulidur Rasul saban tahun tapi menolak untuk bersama-sama melakukan dakwah yang merupakan sunnah terbesar baginda. 
Apa guna kita menyambutnya jika kita berterusan mengiktiraf sistem-sistem Barat yang jelas menyeleweng dari apa yang baginda sampaikan.
Apa guna kita menyambutnya jika pada hakikatnya kita menentang perjuangan Rasulullah s.a.w. dan menolak sistem-sistem Islam yang lain.

Justeru itu, marilah bersama-sama menghayati perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w. dan bersama-sama melaksanakannya. Usahlah kita menjadi agen Abu Jahal pada masa kini yang kononnya mencintai Rasulullah di luaran namun pada hakikatnya sangat memusuhi baginda.

Wallahua'lam...

Tuesday, January 14, 2014

Ghazwul Fikri



Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.' Maka salah seorang sahabat bertanya, 'Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?' Nabi s.a.w. menjawab, 'Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'.' Seorang sahabat bertanya: 'Apakah wahan itu wahai Rasulullah?' Nabi menjawab: 'Cinta pada dunia dan takut pada mati.' (Riwayat Abu Daud)

Hadith di atas telah terbukti hari ini. Umat yang dilahirkan sebagai umat terbaik bagi seluruh umat manusia itu telah mencapai puncak kemundurannya.

Ketika Islam berada pada landasan yang unggul pada suatu masa dahulu, lantas musuh-musuh Islam mencari ruang untuk menghancurkan umat Islam. Ketika mereka sedar betapa sukarnya Islam itu ditumbangkan dengan peperangan senjata disebabkan kualiti dan kuantiti umat Islam pada masa itu sangat hebat, maka Ghazwul Fikri atau Perang Pemikiran dilaksanakan. Maka, runtuhlah khalifah dan umat Islam jatuh sehina-hinanya.

Kebiasaannya, apabila menghuraikan apa itu Ghazwul Fikri, ramai akan bercerita unsur-unsurnya iaitu 5S dan 4F.
5S : Sport, Sex, Smoke, Song, Screen
4F : Fun, Fashion, Food, Faith

Maka, jika diperhatikan tentang ghazwul fikri ini, ianya lebih dari itu. Ia merupakan suatu sistem yang amat teratur dan terorganisasi untuk melumpuhkan kekuatan umat Islam. Umat Islam diracuni pemikiran dan diserang secara halus atau secara tidak sedar hingga mengakibatkan kehidupan menjadi songsang. Perkara yang baik dianggap tidak baik manakala perkara yang tidak baik dilihat baik. Tidak perlu musuh-musuh Islam menghantar batalion tentera untuk menyerang umat Islam dan cukup sekadar 'mengirim' hiburan-hiburan berbentuk filem dan lagu yang melalaikan dan menggairahkan sehinggakan mereka hanyut dalam dunia mereka sendiri.

Firman Allah: ".....Mereka tidak akan berhenti memerangi kamu sehingga kamu murtad (keluar) dari agamamu, jika mereka sanggup. Barang siapa murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itu sia-sia amalnya di dunia dan akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." (Al-Baqarah, 2: 217)


Kaedah-Kaedah Ghazwul Fikri

1) Ifsadul Akhlak (Merosakkan Akhlak)

Jika ditanya kepada golongan yang baru memeluk Islam, adakah mereka tertarik dengan orang Islam atau Islam itu sendiri? Majoritinya adalah disebabkan Islam itu sendiri, bukannya di atas peribadi orang Islam itu. Maknanya, akhlak yang ditunjukkan oleh umat Islam kini tidak menggambarkannya sebagai seorang Muslim. Tiada bezanya akhlak seorang Muslim dengan moral yang Non-Muslim. Ghazwul Fikri itu menyebabkan seseorang itu mengabaikan perintah Allah dan mengerjakan perkara yang haram serta meninggalkan perkara yang halal.

Kata-kata Saidatina A'isyah: 'Akhlak Nabi ialah Al-Quran. Menggambarkan majoriti umat Islam tidak meletakkan al-Quran itu sebagai rujukan atau piawai dalam menjadi Muslim yang baik. Musuh Islam berusaha menjauhkan Al-Quran dari kehidupan orang Islam yang akhirnya merosakkan akhlak sedikit demi sedikit.

2) Tahthiim Al-Fikrah (Menghancurkan Fikrah)

Menghancukran fikrah hingga tak melambangkan peribadi seperti seorang Muslim. Tidak berpegang pada Islam yang syumul dan Islam itu dilihat berpecah-pecah. Maka, ada yang cenderung pada pelbagai aliran yang dilihat benar seperti Nasionalisme, Sosialisme dan lain-lain. Islam tu dilihat hanya pada aspek tertentu saja seperti ibadah. Manakala aspek-aspek lain seperti Ekonomi, Pendidikan dan lain-lain, Islam dilihat tidak dominan. Justeru itu, tidak pelik apabila melihat orang Islam semakin konfius dengan keadaan sekarang, seolah-olah tidak memahami ajaran Islam sebenar yang akhirnya memberikan ketaatan kepada taghut dan menjadikan syaitan sebagai pemimpin.

Firman Allah: "Tidakkan engkau (Muhammad) memperhatikan orang-orang yang mengaku bahawa mereka telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelummu? Tetapi mereka masih menginginkan ketetapan hukum kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari Taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) kesesatan yang sejauh-jauhnya." (An-Nisa', 4: 60)

3) Izabah Asy-Syahsiyyah (Melarutkan Sahsiah)

Melarutkan sahsiah atau keperibadian hinggakan umat Islam menjadi kufur dengan tidak mengerjakan perintah Allah. Mereka cenderung ke arah keburukan dan tidak mustahil ada yang murtad menjadi kafir. Tiada lagi ciri-ciri Islam pada peribadinya. Cara berinteraksi, bersosial, bermuamalat dan lain-lain bertukar 180 darjah ke arah kekafiran.

Firman Allah: "Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaiman mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka). Maka, janganlah kamu mengambil (seorangpun) di antara mereka menjadi penolong-penolongmu, hingga mereka berhijrah di jalan Allah. Jika mereka berpaling ingkar, tawanlah dan bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya, dan janganlah kamu ambil (seorangpun) di antara mereka menjadi pelindung atau penolong." (An-Nisa', 4: 89)

4) Ar-Riddah (Memurtadkan)

Musuh-musuh Islam berusaha untuk merosakkan akidah umat Islam yang merupakan kejayaan yang paling utama bagi mereka. Mereka melakukan pelbagai cara termasuk menipu dan cara halus untuk memastikan orang Islam jauh dan keluar dari Islam secara total. Gerakan Pemurtadan dan Orientalis bertungkus-lumus dalam memastikan orang Islam keluar seleuruhnya dari Islam. 

Firman Allah: "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang kafir, nescaya mereka akan mengembalikan kamu pada kekufuran, lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi." (Ali-Imran, 3: 149)


Kesan-Kesan Ghazwul Fikri
 
Al-Walaa' Lil Kaafiriin (Memberikan Ketaatan Kepada Orang Kafir)

Kaedah-kaedah Ghazwul Fikri dengan merosakkan akhlak, menghancurkan fikrah, melarutkan sahsiah dan memurtadkan akan menyebabkan sesorang muslim memberikan ketaatan kepada orang kafir dengan segala bentuk. Ketaatan ini akan menyebabkan kebergantungan segala-galanya kepada orang kafir seperti menjadikan mereka sebagai idola, rujukan, panduan dan nasihat.

Firman Allah: "Hai orang-orang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu), kerana sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu yang menjadikan mereka sebagai pemimpin, maka sesungguhnya ia termasuk golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (Al-Ma'idah, 5: 51)